Sunday 22 December 2013

The Dark Knight Returns


Khabar angin akan filem Superman yang baru tengah menggila sekarang. Berita yang telah di sahkan ialah kehadiran Batman dan akan berlakukannya pertarungan di antara The Cape Crusader dengan Man of Steel. Zack Snyder juga menyatakan yang ia akan berdasarkan (secara longgar) akan novel grafik The Dark Knight Returns. Jadi sebelum kita bersantap dengan sequel Superman ni yang akan keluar pada 2016 marilah kita revisited novel grafik terbaik Batman ini.  


The Dark Knight Returns berlatar belakangkan dysantopia di Gotham City dengan Bruce Wayne yang sudah berumur 55 tahun dan ‘bersara’ dari menjadi alter egonya, Batman. Namun Bruce merasa tidak selesa dengan persaraannya lebih-lebih lagi apabila Gotham sedang menghadapi ancaman dari sebuah kumpulan samseng jalanan iaitu Mutant. Suatu malam sewaktu pulang dari bertemu Jim Gordon, bagi meraikan persaraannya dari jawatan komisioner polis, Bruce hampir disamun ahli kumpulan Mutant. Ini menyedarkan dia yang jenayah semakin menguasai Gotham City sejak ketiadaan Batman.

 


Dalam pada itu, Harvey Dent AKA Two-face telah selamat menjalani pembedahan plastik bagi mengembalikan wajahnya yang asal. Pakar psikiatri percaya yang Harvey telah pulih bukan saja secara fizikal malah juga mental dan dia telah sembuh sepenuhnya dan boleh kembali ke pangkuan masyarakat tapi Bruce sangsi dengan perkara itu. Dalam masa yang sama Batman telah kembali ke Gotham City dan mula membersihkan jalan-jalan Gotham dari ancaman Mutant. Batman telah menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun bernama Carrie Kelley dari disamun geng Mutant. Carrie Kelley kemudiannya menyarung sut Robin biar pun Alfred tidak bersetuju dengan tindakan Bruce Wayne yang mahu membimbing Kelley menjadi sidekick Batman.

 

Kehadiran semula Batman ke Gotham City telah berjaya merendahkan kadar jenayah namun pendapat awam mula berbelah bagi samada Batman adalah hero atau penjenayah sama seperti geng Mutant yang diburunya. Malah komisioner polis yang baru, Komisioner Yindel turut mengeluarkan arahan khas agar Batman dilayan seperti penjenayah dan harus ditangkap. Rasa curiga Batman pada Harvey Dent menjadi kenyataan apabila Harvey mengugut mahu meletupkan bangunan Gotham City Twin Tower sekiranya dia tidak dibayar lima juta dollar. Bagaimanapun Batman berjaya membunuh Harvey yang akhirnya mengaku bahawa personanya, Two-face tidak pernah lenyap dari dalam dirinya.



Batman kini menumpukan usahanya untuk menumpaskan geng Mutant dan untuk melumpuhkan geng itu Batman harus menewaskan ketuanya. Batman telah menyerbu ke sarang Mutant dan bertempur satu lawan satu dengan ketua Mutant. Tapi Batman tewas dalam pertarungan itu dan teruk dicederakan ketua Mutant. Namun Robin sempat menyelamatkannya dan membawanya pulang ke Batcave. Ketua Mutant telah ditangkap dan dipenjarakan namun dia mengugut akan mengarahkan ahli geng Mutant yang lain untuk menghuru-harakan Gotham City. Bimbang dengan situasi itu, datuk bandar Gotham City telah bertemu dengan ketua Mutant untuk berbincang namun dia dibunuh oleh ketua Mutant. Batman tahu dia harus menewaskan ketua Mutant secara public bagi mematahkan semangat ahli Mutant yang lain dari meneruskan rancangan untuk menghuru-harakan Gotham City. Batman telah memperdayakan ketua Mutant sehingga dia menyangkakan yang dia telah berjaya melarikan diri dari penjara namun sebenarnya dia dibawa di sebuah kawasan di mana ahli geng Mutant telah berjaya dipedaya Robin agar berkumpul di situ bagi menyaksikan pertarungan buat kali kedua di antara ketua Mutant dengan Batman.
 


Dalam pertarungan kali ini Batman telah berjaya menewaskan ketua Mutant dan membunuhnya. Peristiwa itu telah menyebabkan kumpulan Mutant berpecah. Ada yang meneruskan perbuatan jenayah secara berasingan dan ada pula yang menyertai kumpulan yang taksub dengan Batman yang menggelarkan diri mereka sebagai The Son of Batman dan berusaha untuk membanteras jenayah. Dalam pada itu kembalinya Batman telah memulihkan kembali Joker yang berada dalam keadaan katatonik di Arkham Asyllum. Seperti juga Harvey Dent, Joker berjaya memperdayakan pihak awam yang dia telah menyesal di atas segala jenayah yang telah dilakukannya namun Bruce Wayne tahu yang Joker menipu. Dalam satu temuramah rancangan televisyen, Joker telah bertindak membunuh semua orang di studio dengan melepaskan laughing gas dalam usahanya untuk melarikan diri.



Dalam masa yang sama US sedang menghadapi krisis nuclear apabila Russia meningkat kekuatan ketenteraan di sebuah negara kecil, Corto Maltese. Kerajaan US telah meminta bantuan Superman (yang kini telah diketahui umum juga adalah Clark Kent) untuk mengawal situasi dari menjadi lebih buruk. Joker telah bertemu dengan Selina Kyle AKA Catwoman yang kini merupakan pemilik agensi escort girl. Joker telah menggunakan lipstick untuk mengawal fikiran seorang escort girl Selina untuk mempengaruhi seorang ahli kongres. Ahli kongres tersebut telah mengeluarkan arahan agar serangan dilancarkan ke atas pihak Soviet Union di Corto Maltese. Batman dan Robin telah memburu Joker yang berada di pesta County Fair. Dia berhasrat mahu membunuh pengunjung pesta tersebut namun Batman berjaya menewaskannya. Joker yang enggan menerima kekalahan tersebut telah bertindak mematahkan batang lehernya sendiri supaya ia kelihatan seperti Batman kini adalah seorang yang ganas dan bertindak di luar kawalan. Pihak polis semakin meningkatkan usaha memburu Batman.



Sementara itu, Russia telah bertindak balas di atas serangan US ke atas tentera mereka di Corto Maltese dengan melancarkan serangan nuclear. Namun Superman berjaya mengalihkan peluru berpandu nuclear tersebut ke sebuah kawasan padang pasir. Namun ledakan nuklear tersebut telah menyebabkan gangguan elektro magnetic pulse yang menyebabkan seluruh Amerika kehilangan tenaga elektrik. Insiden blackout seluruh Amerika ini telah menyebabkan huru-hara di seluruh negara termasuklah Gotham City. Namun Batman telah berjaya memujuk saki-baki anggota Mutant dan anggota Sons of Batman untuk membantunya mengembalikan kenteraman awam di Gotham menjadikan ia kini sebagai bandar yang paling selamat di Amerika. Kejayaan Batman ini bagaimanapun memalukan pihak kerajaan dan White House. Presiden US (Ronald Reagan) telah meminta Superman menangani Batman yang dianggap semakin tidak terkawal. Bruce telah menemui Oliver Queen AKA Green Arrow bagi meminta bantuan kerana Queen berdendam dengan Superman. Dia kehilangan sebelah tangannya dalam satu konfrontasi dengan kerajaan US (Ini kisah dalam komik yang lain) dan menyalahkan Superman di atas tragedi itu. Namun Queen masih seorang pemanah yang handal dengan memanah menggunakan sebelah tangan dan mulutnya.

 

Pada hari pertarungan, Batman telah menggunakan sut exo-skeleton untuk menghadapi Superman biar pun Superman memujuknya agar menyerah diri. Bruce telah menerima kenyataan yang dia sudah tua dan bersedia untuk mati. Dalam pertarungan itu jelas sekali Superman yang tidak dimamah tua terlalu kuat buat Batman yang telah lanjut usia. Namun sedang mereka bertarung, muncul Queen membantu. Dia telah melepaskan panah dengan mata diperbuat daripada kryptonite bagi melemahkan Superman. Dalam keadaan lemah itu Superman dapat mengesan jantung Batman yang semakin lemah. Bruce mengalami serangan jantung dan akhirnya mati sebelum sempat Superman menewaskannya. Alfred yang kecewa kerana Bruce tidak mahu mendengar nasihatnya telah memusnahkan Batcave dan Wayne Manor sebelum dia mati akibat stroke. Tindakan Alfred itu telah membuka rahsia yang Bruce Wayne adalah Batman namun apa yang pelik adalah kehilangan semua harta milik Bruce Wayne. Clark Kent telah menghadiri pengkebumian Bruce. Dia adalah orang yang paling sedih dengan kematian Bruce. Dia terlihat Carrie Kelley yang menyamar dan Clark sempat mengenyitkan matanya. Rupa-rupanya Clark dapat mengesan degupan jantung Bruce. Clark sedar kini yang Bruce telah merancang kematiannya dengan menyuntik dadah yang menyebabkan jantungnya terhenti buat seketika sebelum dihidupkan kembali. Bruce, Queen dan Carrie bersama anggota Mutant dan Sons of Batman telah masuk ke bawah tanah bagi meneruskan usaha mereka melawan jenayah.

 


Buku ni aku beli dalam tahun 90an. Dan seperti mana kebiasaan artwork Frank Miller, stroke lukisannya tak berapa menarik. Agak kecewa juga aku masa mula-mula beli. Yalah, tahun 90an adalah ledakan artwork yang cantik dalam industri komik US. Pelukis macam Alex Ross, Todd McFarlane, Jim Lee, Marc Silvestri yang memiliki stroke lukisan yang perghh….menggila lawanya. Apatah lagi industri komik diperkenalkan dengan teknik pengwarnaan yang baru iaitu airbrush teknik dengan gabungan computer. So the quality is so tremendous nak dibandingkan dengan komik-komik tahun 80an. Namun kekuatan Frank Miller adalah pada jalan ceritanya. Sewaktu dia muncul dalam tahun 80an, dia antara penulis yang menulis komik with a touch reality sense. Komik dengan jalan cerita yang sesuai untuk pembaca matang dengan tema yang berkaitan isu terkini.



The Dark Knight Returns di terbitkan pada tahun 1986. Tu sebab ada elemen cold war dalam cerita ni. Pada aku The Dark Knight Returns sama seperti Grendel: Warchild (juga hasil kerja Frank Miller), tidak terlalu simple dan tidak pula terlalu kompleks. Kira sedang-sedang saja. Pembaca tak terlalu bosan dan tak pula confuse. TDKR pada aku banyak bermain dengan perasaan. Dalam buku, Bruce Wayne AKA Batman tidaklah seperti wataknya dalam komik yang lain di mana dia selalunya suave, cool, power dan segala macam benda yang hebat. Tapi dalam TDKR, Bruce Wayne adalah seorang tua yang lemah dan semakin dilupakan sementara generasi muda melihatnya sebagai seorang weirdo. Bila dia kembali menyarung sut Batman, sangkanya dia akan diterima kembali oleh masyarakat namun dia dikecam kerana dianggap sama seperti penjenayah lain. So Batman yang suatu masa dulu dipuja kini diburu dan dicerca sedangkan sahabat karibnya Superman masih lagi dipuja. Namun dalam keadaan tua, lemah dan diburu bak anjing kurap, Bruce Wayne masih lagi seorang yang kuat semangat dan bijak. Jadi biar pun dia tidak lagi gagah seperti Superman namun dia masih berjaya menyelesaikan semua masalah.

 

Secara jujurnya aku rasa sebak bila baca buku ni. Frank Miller berjaya meraih simpati pembaca dengan menjadikan satu watak yang hebat menjadi watak yang serba kekurangan tetapi dikagumi dari sudut kemanusiaan. Bruce Wayne seorang manusia biasa. Dia tua dan lemah. Tapi masih berpegang pada prinsip tanggungjawab biar pun dia tahu yang dia akan terkorban. Tak macam Superman yang tak perlu bimbangkan apa-apa. Miller seolah-olah nak bagitahu, walaupun kita ini manusia biasa dan banyak kekurangan tapi mengalah jangan sekali. Biar pun kita tewas namun kita tetap menang selagi mana kita tidak berputus asa. Sepanjang cerita ini Bruce Wayne menghadapi segala macam dugaan dan tentangan tapi semangat dia jitu. Dan bahagian paling sedih apabila dia berhadapan dengan Superman. Apabila dia tumbang kerana sakit jantung, Superman sendiri sebak melihatkan rakannya sampai dia pangku mayat Bruce Wayne. Man, that’s so overwhelmed! But the best part bila Clark Kent tersenyum sambil kenyit mata pada Carrie sebab dia tahu Bruce Wayne masih hidup.
 


For me Frank Miller is among the best comic writer ever. Kudos to him and kudos to The Dark Knight Returns. TDRK sudah pun dijadikan filem animasi dalam dua bahagian. Aku tak tengok lagi tapi daripada review dinyatakan filem animasi TDRK stay true to its comic, every part of it, which is good news. Dan ia dikatakan dapat diterjemahkan lebih baik dari komik sendiri. Whoah! Aku dok fikir mana nak cari animasi ni. Kalau KL Gangster senang la nak cari. Sekarang aku cuma harap Ben Affleck boleh bagi aura yang sama dalam sequel Man of Steel. Kalau tak, memang sial la lu Affleck!