Wednesday 30 July 2014

HELIKOPTER TEMPUR - Keperluan Yang Memuncak


Rancangan untuk mendapatkan pesawat helikopter tempur sudah berada dalam perancangan ATM sejak tahun 80an lagi. Namun sehingga kini ia tidak dapat direalisasikan. Antara penyebabnya ialah kekangan kewangan dan ia tidak dilihat sebagai satu kepentingan yang signifikan dengan keperluan pertahanan Malaysia. Helikopter tempur dianggap sebagai aset berorientasikan ofensif dan Malaysia tidak mengamalkan doktrin ofensif dalam polisi pertahanan negara. Usaha mendapatkan helikopter tempur hampir menjadi kenyataan dalam tahun 90an apabila ATM menyatakan hasrat untuk membeli pesawat helikopter tempur buatan Afrika Selatan, Denel Rooivalk. Namun terpaksa diketepikan apabila pada waktu itu Malaysia giat memodenkan aset TUDM dengan menggantikan pesawat pejuang yang uzur dengan pesawat pejuang moden. Dan ia memerlukan perbelanjaan yang tinggi.

Denel Rooivalk
Setelah itu Malaysia menyedari akan kepentingan untuk memodenkan armada TLDM dengan menggantikan kapal-kapal perang tua dengan kapal perang moden yang lebih sesuai dengan keperluan pertahanan moden memandangkan bagi sebuah negara seperti Malaysia yang dikelilingi lautan, pertahanan di perairan negara adalah tembok pertama bagi menghalang musuh untuk menyusup masuk ke dalam negara. Seperti juga rancangan permodenan TUDM, ia memerlukan perbelanjaan yang besar. Bukannya keperluan tentera darat tidak difikirkan namun penambahan aset tentera darat dinilai dengan lebih teliti akan keperluannya. Jadi kerajaan bersetuju untuk mendapatkan aset seperti pelancar roket berganda dan kereta kebal moden untuk tentera darat. Namun permohonan mendapatkan pesawat helikopter tempur tidaklah diketepikan begitu saja. Bajet telah diperuntukkan untuk penubuhan unit PUTD dan dan hasilnya 11 pesawat helikopter Agustawestland A109LUH dibeli sebagai perintis program helikopter tempur di masa hadapan.

Namun perubahan suasana dan situasi yang dihadapi Malaysia kini telah memaksa negara menilai semula doktrin pertahanan nasional. Ya, secara amnya memang Malaysia masih memegang falsafah diplomasi dahulu dan mengangkat senjata sebagai jalan terakhir. Namun Malaysia kini bukan Malaysia yang dulu. Malaysia biar bagaimana pun mahu mengasingkan diri dari melibatkan diri dengan mana-mana pihak, terpaksa memilih bersama dengan suatu kumpulan biar pun bersandarkan pada situasi. Contoh terbaik, MH17. Pihak media begitu giat bercerita betapa sikap neutral Malaysia lah yang membawa kejayaan mendapatkan mayat penumpang dan kotak hitam pesawat. Hanya macai dan orang yang tidak tahu diplomasi politik sahaja yang akan percaya fakta itu! Kalau Malaysia menggunakan insuran sebagai sebuah negara berkecuali untuk bertemu dengan ketua pemberontak pemisah Ukraine, apa yang berlaku ialah di kala ini Malaysia mungkin terpaksa merayu agar dipulangkan mayat penumpang MH17 dan juga mayat delegasi kerajaan yang dihantar bagi berbincang dengan pihak pemisah.

Perbincangan dan persetujuan tercapai adalah hasil dari perbincangan awal antara Najib dan Putin. Putin bagi green light dan segalanya berjalan lancar. Russia menekan militan pemisah Ukraine agar berkerjasama dengan Malaysia. Dan sudah pasti Putin takkan tunduk kalau Najib sekadar memujuk. Najib juga pasti ada kata-kata tekanan pada Putin. Setidak-tidaknya mengugut, jika Russia tidak menyokong usaha Malaysia maka Malaysia akan menyokong usaha AS! Ini kenyataan perbincangan diplomasi antara negara! Russia tidak takut pada Malaysia dan mereka tidak kerugian apa-apa jika kehilangan sokongan Malaysia di peringkat antarabangsa. Namun Malaysia merupakan watak utama dalam insiden MH17. Rayuan Malaysia akan memberikan green light pula pada AS untuk bertindak lebih agresif. Dan Russia tahu tentang itu. Malah AS antara yang paling kecewa dengan kejayaan Malaysia membawa pulang mayat penumpang MH17.

Begitu juga dengan insiden dengan militan Sulu. Malaysia cuba bersikap neutral dalam usaha menyokong usaha damai antara kerajaan Filipina dengan kumpulan pemberontak Mindanao. Namun apabila rakyat Sabah sudah mula dianggap sebagai komoditi mengaut keuntungan oleh pihak militan Sulu, Malaysia sudah tidak boleh bersikap neutral. Maka Malaysia terpaksa mengambil tindakan memerangi kumpulan ini biar pun ia disuarakan dalam nada yang lembut dan perlahan. Insiden Lahad Datu telah membuktikan keperluan pesawat helikpter tempur yang lebih sesuai dalam situasi konflik berintensiti rendah (Low intensity conflict). Penggunaan pesawat pejuang dalam operasi di Lahad Datu dilihat agak kurang berjaya dalam membantu pasukan di medan tempur. Maka ATM menggesa pihak kerajaan agar meluluskan pembelian pesawat helikopter tempur bersandarkan insiden Lahad Datu. Pada mulanya ia begitu hangat diperkatakan dan Najib memberikan jaminan akan perkara ini. Namun ia kembali sejuk apabila isu Lahad Datu semakin dingin. Maka rancangan pembelian pesawat helikopter tempur ini ditolak kembali kebelakang dalam senarai pembelian aset berkepentingan.

Rancangan penubuhan ESSCOM  dilaksanakan. Antara penambahan yang dilakukan ialah bot-bot ronda dan pengwujudan pangkalan laut atau Sea Basing yang berplatform di atas kapal Bungamas 5 dan beberapa bekas pelantar minyak milik Petronas. Aset udara pula disokong pesawat milik TLDM dari kapal yang terlibat sama dalam operasi di ESSCOM. Di kala ini ia tampak mencukupi namun harimau jika terasak, ia akan bertindak ganas. Kebenaran telah diberikan pada badan penguasa bagi melepaskan tembakan ke arah sasaran dan tidak lagi sekadar menahan mereka. Namun jika ini berlaku, tidakkah pihak militan ini akan bertindak lebih jauh? Jika setiap bot pancung mereka mula ditembak dan menyebabkan kematian, tidakkah mereka akan lebih bersedia di lain kali? Bagaimana jika mereka mula membawa senjata seperti pelancar roket? Ia cukup untuk menenggelamkan sebuah bot RHIB atau bot laju milik TLDM. Tidakkah itu akan membahayakan nyawa anggota keselamatan? Di sinilah peranan sebuah helikopter tempur menjadi amat penting. Aerial support akan menjamin keselamatan anggota di medan tempur. Pihak militan akan berfikir seribu kali sebelum mahu mencabar pihak berkuasa. Kalau sebuah pesawat helikopter tempur yang dilengkapi meriam 30mm, pelancar roket dan peluru berpandu yang tidak mampu mereka lihat pada waktu malam yang muncul secara tiba-tiba dan membedil mereka, mereka takkan berani cuba untuk menceroboh perairan Malaysia di waktu malam sementara pencerobohan di waktu siang adalah amat berisiko.  

Pesawat seperti Super Lynx tidak boleh diberi peranan ini kerana ia komited pada kapal induk mereka iaitu friget Kelas Lekiu. Perlu pesawat yang didedikasikan tugasnya pada operasi di ESSCOM yang bersedia 24 jam untuk bertindak bila berlaku pencerobohan. Pertanyaan kenapa Agusta A109LUH tidak digunakan pula timbul. Walaupun ia terlibat dalam operasi Lahad Datu namun peranannya lebih kepada pesawat peninjau. Untuk makluman, semua sebelas pesawat ini tidak dilengkap dengan persenjataan biar pun versi A109 yang dibeli di Malaysia adalah yang tercanggih di dunia. Ia mampu untuk beroperasi di waktu malam dalam tempoh masa yang panjang. Kementerian Pertahanan telah pun menyatakan rancangan untuk menaik taraf A109 dengan pembelian mesingan dan pelancar roket (FZ90-70mm) namun ada pula cerita yang kurang enak. Kononnya ATM sebenarnya meragui kemampuan A109. A109 sebenarnya tidak pernah ada dalam senarai pesawat yang dikehendaki ATM. Rekod keselamatannya tidaklah begitu memberansangkan kerana tiga pesawat milik tentera udara Afrika Selatan pernah terhempas akibat masalah mekanikal. Selain dari itu sejarah pesawat jenis yang sama di Malaysia juga agak membimbangkan. Tahun 1990, dua juruterbang TUDM yang menerbangkan pesawat VIP cedera apabila pesawat mengalami masalah rotor di bahagian ekor. 1996, tiga orang terbunuh apabila pesawat milik DRB Hicom meletup di udara sebelum terhempas di dalam hutan. 2010, tiga orang pegawai dari unit udara Bomba cedera apabila pesawat yang dinaiki terhempas di ladang getah di Lanchang, Pahang. Jadi macamana A109 boleh dibeli? Khabar angin mengatakan, ada tangan ghaib yang masuk campur atas dasar business dan ATM tidak mampu melakukan apa-apa. ATM berkehendakkan sebuah pesawat helikopter tempur yang genuine namun ini yang disuapkan pada mereka dengan alasan, ia pesawat perintis sebelum pesawat tempur sebenar dibeli. Dan salah sebuah darinya terhempas pada awal tahun ini hanya menambah rasa kurang yakin ATM maka Agusta A109LUH kekal sebagai pesawat peninjau.
FZ90 70mm
Bangkai pesawat A109

Insiden penculikan dan pencerobohan yang kerap berlaku kembali menghangatkan isu pembelian pesawat helikopter tempur. Umum tahu pesawat yang diidamkan ATM adalah Eurocopter EC-665 Tiger. Denel Rooivalk pernah menjadi pilihan namun melihatkan begitu banyak permasalahan yang dihadapi tentera udara Afrika Selatan dengan pesawat ini, maka ATM beralih arah pada pesawat yang lebih terkini. Malah beberapa pegawai telah dihantar ke Perancis bagi menjalani latihan berkaitan program pesawat EC556 ini. Namun seperti mana-mana juga aset pilihan ATM, kekangan kewangan menjadi penghalang. Pesawat Tiger amat mahal. Dengan tag price mencecah RM 170 juta sebuah, ia bukan nilai yang kecil. Ini tidak termasuk kos melatih setiap juruterbang yang mencecah satu juta dollar seorang. Tidak lagi termasuk pilot gear seperti helmet dan sut yang mengikut spesifikasi juruterbang. Boeing menawarkan AH-64 Apache namun dengan Singapura dan Indonesia yang turut membeli pesawat yang sama, Malaysia pasti tidak akan menyertai kelab ini. Namun Boeing tidak putus asa. Menyedari masalah utama Malaysia berkaitan kekangan kewangan, mereka menawarkan pula pesawat AH-6 Little Bird. Selain Boeing, satu lagi firma Amerika Syarikat iaitu Bell menawarkan AH-1Z Viper dan pesawat alternatif, UH-1Y Venom.

AH-64 Apache
AH-6-Lttle Bird
AH-1Z Viper
 UH-1Y Venom yang dipamerkan di PWTC sempena DCS 2014
Namun firma lain seperti Turkish Aerospace Industries yang berkerjasama dengan Agusta Westland turut bersaing apabila menawarkan pesawat T129 ATAK. Namun pencapaiannya amat rendah. Dua buah pesawat dalam inventori tentera Turki telah terhempas akibat masalah mekanikal selain ia masih belum memiliki rekod pertempuran. Selain dari itu Russia juga turut menawarkan pesawat Kamov KA-52 Alligator. Namun Russia tidak begitu popular dengan pesawat tempurnya yang dianggap kurang berkemampuan dalam memenuhi keperluan pertempuran moden. Dan Malaysia pasti bimbang apa yang terjadi dengan MiG-29 akan berlaku pula pada pesawat yang dibeli dari Russia. Jadi dua pesawat ini boleh dianggap sebagai tidak akan menjadi pilihan Malaysia. Lawatan Barack Obama tempohari tiba-tiba mengubah senario apabila EC556 Tiger yang disebut-sebut bakal menjadi pilihan Malaysia kini terpaksa bersaing dengan AH-1Z Viper. Sebelum ini pun TLDM sudah menyatakan yang mereka mahukan pesawat Sikorsky MH-60 sebagai pesawat yang akan dilengkapkan pada platform enam buah LCS SGPV yang bakal dibina nanti. Apatah lagi firma Bell Helikopter telah pun memeterai perjanjian kerjasama dengan firma tempatan, Deftech dalam usaha membida kontrak ini bagi menyaingi Eurocopter yang sudah pun punya hubungan dengan ATM melalui pembelian 12 buah pesawat EC752 Super Cougar. Jadi adakah kemungkinan Malaysia akan mula cenderung ke arah aset dari negara Uncle Sam? Memang agak mengejutkan apabila AS menawarkan pesawat ‘Zulu Cobra’ ini kerana ia adalah versi terkini dalam kelas Cobra. Ia tidak boleh disamakan dengan model asal AH-1 Cobra atau Super Cobra.  Kemampuan Viper dikatakan hampir menyamai kemampuan Apache dan perbezaan yang paling ketara ialah jumlah bebanan yang boleh dibawa yang kurang daripada pesawat Apache. Selain dari itu, kedua-dua pesawat ini setara. Dan jika Viper menjadi pilihan, Malaysia akan menjadi negara asing pertama memiliki pesawat ini. Namun kalau berdasarkan pengalaman F-18 Hornet, kemungkinan Malaysia tidak akan membeli pesawat-pesawat dari AS.
T-129 ATAC

Kamov KA-52 Alligator

Eurocopter EC556 Tiger, pesawat yang menjadi idaman ATM sejak sekian lama masih lagi menjadi pilihan utama. Biar pun reputasinya yang kurang enak dari tentera Australia dimana setelah enam tahun diterima, ia masih tidak dioperasikan sepenuhnya akibat masalah teknikal. Sumber mengatakan ia berpunca daripada kesukaran mengintegrasikan sistem antara pihak Jerman dan Perancis. Ia suatu kebimbangan kalau sekiranya ia berlaku pada Malaysia. Minat Malaysia pada pesawat Tiger ini sehingga ATM telah menghantar pegawai dan juruterbang PUTD menjalani latihan berkaitan pesawat Tiger dengan tentera darat Perancis dari unit ALAT. Malah dalam masa yang sama, kerajaan Perancis juga telah menawarkan enam buah pesawat Tiger dalam simpanannya untuk dijual agar Malaysia boleh terus menggunakannya dalam operasi ESSCOM. Pesawat yang ditawarkan mengikut ‘Standart 1’ iaitu kelengkapan persenjataan meriam 30mm, pelancar roket dan peluru berpandu udara ke udara Mistrall. Namun ia masih boleh dinaiktarafkan dan yang pasti Malaysia akan membeli lebih dari enam buah unit dan ia akan turut dilengkapkan dengan peluru berpandu udara ke darat. Namun masalah utamanya ialah kekangan kewangan. Baik pembelian EC665 mahu pun AH-1Z, kedua-duanya adalah pesawat yang mahal kosnya. Kementerian pertahanan menyatakan yang ATM memerlukan enam ke duabelas unit pesawat yang pasti akan mencecah berbillion ringgit. Pembelian alternatif sudah tentulah pesawat seperti UH-1Y Venom atau AH-6 Little Bird yang boleh dianggap tindakan yang kurang bijak. Aku merasakan menaik taraf pesawat Agusta A109LUH masih lagi tindakan terbaik dan usaha yang lebih ekonomikal. Jadi pembelian pesawat Venom dan Little Bird boleh dianggap satu pembaziran.    


Aku meletakkan tajuk ‘HELIKOPTER TEMPUR – Keperluan Yang Memuncak’ sebagai menekankan betapa keperluan memiliki pesawat tempur sudah menjadi kepentingan utama. Insiden di Sabah semakin menjadi-jadi. Orang tempatan di Sabah sendiri mula menilai jika kerajaan Malaysia benar-benar jujur dalam memberikan layanan yang sama dengan Sabah. Keselamatan mereka tergugat namun kerajaan pusat dilihat masih sambil lewa dan tidak memandang serius. Hanya cakap-cakap keras umpama tong kosong tapi tidak banyak yang berlaku. Cukup sekadar menambah jumlah anggota keselamatan dengan disokong aset-aset usang. Selepas insiden Lahad Datu, amat mengejutkan betapa militan Sulu masih bebas keluar masuk sempadan Malaysia. Sehingga mereka boleh menculik malah membunuh anggota keselamatan kita. Adakah itu tidak cukup untuk Najib menyedari betapa seriusnya masalah keselamatan di Sabah. Sentimen Sabah keluar dari Malaysia kini kembali kuat bertiup. Jika pembelian helikoter ini dapat membantu membendung pencerobohan musuh-musuh negara, kenapa ia ditangguh-tangguhkan? Adakah Najib mahu menunggu kuota sepuluh orang anggota keselamatan mati dibunuh, baru mahu bertindak?

AH-1 Cobra milik Thailand

McDonald Douglas 520MG

Mi-35 Hind milik Indonesia

Sebenarnya Negara-negara jiran yang lain sudah lama mengoperasikan pesawat helikopter beorieantasikan tempur. Kita tahu Singapura memiliki 20 buah pesawat AH-64 Apache. Thailand pula memiliki 7 buah pesawat AH-1 Cobra. Filipina mengoperasikan pesawat tempur ringan mirip Little Bird iaitu McDonald Douglas 520MG sebanyak 16 buah. Filipina telah pun mengesahkan pembelian 8 buah pesawat A109LUH yang dilengkapi dengan mesingan dan pelancar roket. Indonesia bakal menerima 8 buah pesawat AH-64 Apache namun mereka sudah pun memiliki 3 buah pesawat Mi-35 Hind buatan Russia. Kesemua negara ini sedang berusaha samada mahu menambahkan kekuatan atau menaik taraf skuadron pesawat helikopter tempur mereka. Kesemua mereka dapat melihat akan kepentingan pesawat-pesawat helikopter tempur dalam menjalankan tugasan CAS (Close Air Support) pada pasukan di lapangan. Hanya Malaysia yang masih berkira-kira sekiranya mahu memiliki aset pesawat helikopter jenis ini. Kini khabar angin pembelian aset helikopter tempur sekali lagi bertiup kencang. Harapnya ia tidak sejuk kembali seperti sebelum ini. Samada mahu membeli EC556 Tiger mahu pun menaik taraf Agusta A109, petugas ESSCOM harus memiliki sokongan aerial yang jitu atau usaha mengawal sempadan sabah menjadi amat sukar!