Tuesday 27 January 2015

PEMEROLEHAN PESAWAT BEROTOR MALAYSIA


Beberapa minggu lalu, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri telah mengumumkan akan perancangan pemerolehan enam pesawat helikopter tempur yang akan dimasukkan ke dalam rancangan Malaysia ke 11. Selain itu Malaysia juga merancang untuk membeli sepuluh laras mesingan Gatling Gun M134D Hybrid untuk dipasang pada pesawat helikopter AW 109 bagi memenuhi keperluan ESSCOM. Berita pembelian enam pesawat helikopter tempur ini menjadi heboh di kalangan mereka yang mengikuti rapat perkembangan pemerolehan aset pertahanan negara. Apatah lagi jenis pesawat yang akan dibeli tidak dinyatakan. Maka ramailah yang mengutarakan (tak kurang juga yang meramalkan) jenis helikopter yang bakal menjadi pilihan ATM. Pelbagai jenis helikopter yang popular (Apache, Viper, Rooivalk) sehinggalah yang mustahil (Kamov KA-52, Mil MI-28) diutarakan oleh mereka yang mengikuti isu ini dengan dekat. Namun dua jenis pesawat yang begitu menonjol adalah EC 665 Tiger dan AH-1Z Viper. Apatah lagi firma aviasi Bell begitu giat melobi dua buah pesawat keluaran mereka iaitu Viper dan pesawat utiliti yang dilengkapi persenjataan iaitu UH-1Y Venom. Ini terserlah dengan usaha mereka mengadakan kerjasama dengan firma tempatan iaitu Deftech dalam usaha untuk mendapatkan kontrak membekalkan pesawat berotor untuk kegunaan ATM.
 
AH-1Z Viper

Namun pada pemerhatian aku, pilihan sebenarnya sudah dibuat oleh ATM dan dipersetujui oleh kerajaan akan pesawat yang menjadi pilihan. Cuma memang sikap kerajaan untuk tidak mewar-warkannya sehingga perjanjian rasmi ditandatangani. Pesawat yang dimaksudkan ialah pesawat EC 665 Tiger. Fakta yang menyokong pendapat ini adalah bersandarkan kepada tawaran yang pernah dibuat oleh kerajaan Perancis pada 2013 pada Malaysia di mana enam buah pesawat helikopter tempur yang berada di dalam simpanan mereka iaitu EC 665 Tiger. Sepatutnya Malaysia menandatangani perjanjian pembelian pada 2014 dan akan diterima pada 2015. Namun entah kenapa ia tidak menjadi kenyataan. Seperti yang pernah aku nyatakan dalam artikel yang lalu. Kerajaan Malaysia bagai tidak mengambil iktibar akan apa yang berlaku di Lahad Datu. Sehinggalah insiden penculikan meningkat di Sabah yang bukan sahaja melibatkan orang tempatan tetapi juga pelancong asing dan juga anggota keselamatan. Insiden-insiden ini seolah-olah menunjukkan pihak militan yang sering menceroboh perairan Sabah bagai tidak takut atau setidak-tidaknya memandang sepi akan usaha kerajaan mewujudkan wilayah ESSCOM. Mungkin juga kerana itu, kelengkapan dan keperluan untuk ESSCOM dipertingkatkan. Pendapat ini juga disokong dengan penghantaran pegawai-pegawai tentera bagi menjalani latihan berkaitan pesawat tempur Tiger di Perancis pada tahun 2014. Selain dari itu Malaysia punya hubungan baik dengan Eurocopter dengan pembelian 12 buah pesawat EC725 Super Cougar di mana sehingga kini prestasinya dianggap amat memuaskan.

Aku pernah menyatakan dalam artikel yang lalu akan keperluan yang memuncak bagi anggota keselamatan memiliki pesawat tempur bagi menambah lagi efektifnya usaha pihak keselamatan dalam memantau dan menghalang pencerobohan pihak militan ke perairan Sabah. Namun sayang sekali Malaysia tidak pernah memiliki helikopter dengan kemampuan untuk melancarkan serangan. Sesuatu yang ironic memandangkan Malaysia pernah mengalami era insurgensi komunis, sepatutnya kita memiliki pesawat seperti itu. Pesawat Fennec dan Super Lynx walaupun dilengkapi senjata namun ia dioperasikan oleh TLDM dan distesenkan di atas kapal. Tugasannya juga khusus untuk maritim dan tidak membolehkannya memberi bantuan sokongan pada pasukan infantri. Malaysia tidak seperti negara-negara jiran yang sudah memiliki aset pesawat tempur atau helikopter yang dilengkapi persenjataan khusus untuk tugasan CAS. Pengesahan ini adalah amat melegakan kerana pemilikan pesawat helikopter tempur bukan lagi satu pemerolehan untuk menyaingi kekuatan negara jiran sebaliknya sudah menjadi satu keperluan yang nyata. Biar pun netizen Indonesia berdegar-degar menyatakan pesawat Tiger tidaklah sehebat Apache (dan sudah tentu isu kuantiti juga akan dibangkitkan kerana Malaysia akan hanya memiliki enam pesawat Tiger berbanding Indonesia lapan buah Apache dan berkira-kira untuk menambah jumlah itu) namun pesawat ini adalah bagi memenuhi keperluan dalam menangani permasalahan pencerobohan di Sabah. Bukan sekadar mengisi logistik pertahanan negara. 
Pesawat Fennec yang dilengkapi mesingan GPMG
Pesawat Super Lynx yang dipasang mesingan M3P 12.7mm

 
EC655 Tiger
Pesawat Tiger yang ditawarkan Perancis adalah dari variasi HAP (Hélicoptère d'Appui Protection, Support and Escort Helicopter) yang akan dinaiktaraf ke Standart 1. Bagaimanapun persenjataannya akan mengikut varian HAD yang kemungkinan akan dilengkapi dengan persenjataan meriam 20mm, pelancar roket dan pelancar peluru berpandu udara ke udara Mistral. Isu pembelian ‘barang terpakai’ sudah pasti akan ditimbulkan kerana selalunya Malaysia akan hanya membeli aset-aset yang baru. Namun situasi terkini di Sabah memerlukan pesawat diperolehi dengan kadar segera. Jika Malaysia membeli pesawat yang baru dikeluarkan dari kilang bermakna ia akan memakan masa 4 ke 5 tahun untuk diterima. Selain dari itu faktor kos turut memainkan peranan. Di kala Malaysia mengalami sedikit gelinciran ekonomi dan dalam masa yang sama lebih banyak aset pertahanan berkeutamaan diperlukan, pembelian enam pesawat sedia ada boleh dianggap sebagai tindakan ekonomikal kerana ia mampu menjimatkan wang. Selain dari itu aku juga yakin enam buah pesawat ini akan menjadi kayu pengukur bagi menentukan samada jumlah pesawat ini akan bertambah atau tidak pada masa hadapan kerana ramai pihak yang mempertikaikan kemampuan pesawat Tiger yang dikatakan kurang berkemampuan dan tidak memiliki track record di medan tempur dan sukar untuk dikendalikan berbanding pesawat dari US seperti Apache dan Viper. Pesawat Tiger ini akan dikawal selia oleh PUTD (Pasukan Udara Tentera Darat) dan bukan TUDM kerana sebelum ini ia menjadi persoalan siapa yang akan mengoperasikan pesawat ini kerana TUDM mengoperasikan pesawat EC725 Super Cougar sedangkan PUTD mengoperasikan AW 109LOH. Dan jika Tiger menjadi pesawat sokongan ESSCOM sudah pasti ia akan ditempatkan di pangkalan Labuan.

UH-1Y Venom
Ada pihak yang menyatakan adalah lebih baik memiliki pesawat utiliti yang dilengkapi persenjataan kerana peranannya yang lebih pelbagai berbanding pesawat helikopter tempur yang hanya terhad tugasannya di medan perang. Mungkin pendapat ini lahir dari situasi banjir yang berlaku sekarang ni namun secara peribadi aku tak punya pendapat dalam isu ini. Pada aku baik pesawat helikopter tempur mahu pun pesawat helikopter utiliti yang dilengkapi persenjataan, kedua-duanya adalah bagus. Asalkan ATM memiliki helikopter dengan kemampuan melancarkan serangan, itu sudah memadai. Kerana ini adalah kekurangan paling ketara ketika ini. Malah kalau ditakdirkan pembelian enam pesawat helikopter tempur dibatalkan, tidak menjadi kisah pada aku asalkan perancangan pemerolehan sepuluh laras Gatling Gun yang akan dipasang pada pesawat AW 109 diteruskan. Amat mengejutkan aku juga bila kerajaan mengumumkan akan melengkapkan AW 109 dengan Gatling Gun kerana AW 109 milik Malaysia sebenarnya dibina dengan konsep ‘Fitted for but not with’. Pernah dengar? Sudah tentu! Konsep yang sama pada kapal NGPV dimana ia boleh dipasang senjata tetapi tidak dipasang. Dalam kes AW 109, pesawat ini dilengkapi platform pod mesingan dan pelancar roket namun tidak dipasang. Dengan hanya membeli peralatan ini maka ia sudah sedia dipasang pada pesawat. Jadi kenapa ia tidak dilakukan? Mungkin faktor kos. Membeli sepuluh unit Gatling Gun mungkin lebih murah dari pod mesingan dan pelancar roket. Kini aku tertanya-tanya, bila ia dipasang nanti samada ia akan dioperasikan oleh krew, seperti mana ia dipasang pada pesawat huey atau pun pilot, seperti mana ia dipasang pada pesawat Little Bird. Tapi dari berita terkini menyatakan tidak semua Gatling Gun itu akan dipasang pada AW 109. Ia juga akan dipasang pada pesawat Nuri dan pesawat UH-60 Blackhawk yang bakal diterima Malaysia, ehsan dari Brunei. Ya, empat buah pesawat Blackhawk akan diserahkan Brunei kepada Malaysia sebaik mereka menerima 12 buah pesawat Blackhawk dengan teknologi terkini yang dibeli dari US. Ini tidaklah menghairankan kerana hubungan antara tentera Malaysia dengan tentera Brunei amat rapat sehinggakan sekiranya Brunei terlibat dalam sesuatu misi pengaman dibawah panji Bangsa-bangsa Bersatu, mereka akan meminta akan ditempatkan bersama tentera Malaysia. Dari pemerhatian aku adalah besar kemungkinan Gatling Gun ini akan dipasang di pintu. Namun pada aku, cukuplah kalau kita memiliki skuadron helikopter yang berkemampuan melancarkan serangan yang membolehkan mereka memberikan bantuan sokongan udara pada tentera di lapangan.
 
AW 109 LOH yang dilengkapi pelancar roket dan pod senjata.
Gatling Gun 134D

Gatling Gun yang dipasang dipintu dan dioperasikan oleh krew


SH-60 Seahawk pilihan TLDM bagi distesenkan di atas LCS SGPV

Selain dari dua pemerolehan berkaitan pesawat berotor ini, beberapa permohonan melibatkan pesawat helikopter turut di sertakan dalam Rancangan Malaysia ke-11. TLDM sebagai contohnya berharap permohonan akan pemerolehan enam pesawat ASW yang akan distesenkan di atas kapal SGPV akan mendapat kelulusan. TLDM sanggup untuk membatalkan rancangan untuk melengkapkan LCS SGPV dengan program UAV bagi membolehkan perancangan pemilikan enam pesawat helikopter ASW menjadi kenyataan. Seperti yang diketahui, calon pilihan TLDM adalah pesawat SH-60 Seahawk. Namun harganya bukanlah murah. Dan khabar angin menyatakan kerajaan cenderung untuk memilih pesawat yang ditawarkan Agusta Westland iaitu AW159 Wildcat dimana harganya yang lebih murah selain TLDM turut memiliki pesawat yang hampir sama iaitu Super Lynx. Jadi dari sudut pengalaman dan kemahiran pengendalian dan penyelenggaraan bukan tidak menimbulkan masalah buat TLDM sekiranya AW159 menjadi pilihan. Cuma dalam masa yang sama, pasukan tentera laut Filipina juga dikatakan akan memilih pesawat yang sama dengan peranan yang sama iaitu pesawat anti kapalselam. Namun hasrat untuk memiliki enam pesawat ASW ini masih samar kerana begitu banyak peruntukan untuk TLDM telah dan akan diluluskan. Bajet untuk enam buah LCS SGPV saja sudah menelan belanja 9 billion ringgit. Dan itu kalau tidak ada sebarang masalah. Kalau berlaku sebarang masalah selalunya bajet akan melebihi peruntukan. Selain dari itu firma dari Korea Selatan, Daewoo Shipbuilding & Marine Engineering Co Ltd (DSME) telah mengumumkan akan kejayaan mendapatkan kontrak membina enam buah korvet untuk TLDM. Biar pun berita itu disangkal TLDM namun apa yang sebenarnya berlaku ialah DSME telah menandatangani usahasama dengan sebuah firma tempatan iaitu NGV Marine Engineering & Logistic Sdn Bhd (NMEL - firma yang sama yang membina dua buah kapal latihan untuk TLDM, Gagah Samudera dan Teguh Samudera) untuk membina enam buah korvet untuk TLDM. Memang resminya ATM tidak akan mengumumkan sesuatu pemerolehan aset selagi mana tidak menandatangani perjanjian. Namun secara asasnya ia sudah menjadi kenyataan. Hanya menunggu masa yang sesuai untuk majlis pemeteraian persetujuan di antara kerajaan Malaysia dengan DSME/NMEL. Jadi pemerolehan enam buah korvet ini bakal jadi kenyataan. Namun ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana TLDM memang telah lama merancang mahu menggantikan kapal-kapal FAC-M (Fast Attack Corvette with Missile) yang telah usang. Malah rancangan asal TLDM dahulu adalah untuk mendapatkan kapal-kapal kelas Nakhoda Ragam yang ditolak oleh Tentera Laut Brunei namun entah mana silapnya, rancangan itu tidak diteruskan dan kini kapal-kapal itu dimiliki oleh Indonesia yang lebih pantas bertindak membeli kapal-kapal itu.
 
AW 159 Wildcat yang dikatakan alternatif kepada Seahawk yang agak tinggi kosnya

Model korvet yang ditawarkan DSME pada Malaysia
Kapal kelas Bung Tomo milik Indonesia yang dahulunya dikenali sebagai kelas Nakhoda Ragam oleh Brunei

Namun apa yang membimbangkan aku ialah bagaimana NMEL boleh mendapat kontrak ini kerana projek dua buah kapal latihan Gagah Samudera dan Teguh Samudera mengalami masalah kewangan sehingga kedua-dua kapal ini tersadai di limbungan. Hanya baru-baru ini projek itu dapat diteruskan. Itu pun setelah mendapat campurtangan dari pihak kerajaan. Aku amat bimbang luka lama berdarah kembali. Tragedi program NGPV berlaku lagi apabila projek itu tidak dapat diteruskan dan terpaksa diambil alih oleh Bousted Naval Shipyard dan akhirnya kapal Kelas Kedah itu hanya mendapat status kapal peronda kerana tidak dipasang sistem pelancar peluru berpandu akibat masalah kewangan. Ini benar-benar merungsingkan. Namun harapnya dengan kewujudan majlis pemantaun PAC akan dapat memantau rapat perkembangan program ini nanti dan dapat menghalang ia daripada menjadi projek yang gagal. Selain dari itu TLDM juga telah memohon agar kapal Kelas Kedah dinaiktaraf daripada kapal peronda kepada korvet dengan pemasangan sistem peluru berpandu. Dan dengarnya secara am pihak kerajaan bersetuju dengan permohonan itu. Jika ditakdirkan kesemua program ini berjalan lancar (Insha Allah) menjelang 2025 Malaysia akan memiliki 22 buah kapal tempur termasuk Kelas Lekiu dan Kasturi.

Teguh Samudera sewaktu pelancarannya
Kapal kelas Kedah yang akan dinaiktaraf dari kapal peronda kepada korvet sekiranya perancangan pemasangan peluru berpandu dilaksanakan

Tentera Darat turut tidak ketinggalan memasukkan permohonan mendapatkan pesawat helikopter utiliti. Ini kerana pesawat Nuri dan EC 725 Super Cougar adalah di bawah pengoperasian TUDM. Permohonan ini dapat difahami kerana pihak tentera darat paling banyak terlibat dalam misi-misi kemanusiaan dan sering memerlukan bantuan udara. Jika tentera darat memiliki skuadron helikopter utilitinya sendiri, maka Tentera Darat tidak perlu terlalu bergantung pada TUDM dalam melaksanakan tugas-tugas mereka. Namun ia kelihatan agak samar kerana kerajaan baru saja meluluskan pemerolehan enam pesawat helikopter tempur serta persenjataan untuk helikopter AW 109 untuk unit PUTD, selain program AV8-Gempita, rasanya hasrat untuk memiliki skuadron helikopter utiliti sendiri untuk tentera darat mungkin tidak akan tercapai dalam masa terdekat ini.
EC725 Super cougar

TUDM juga turut memasukkan permohonan untuk meneruskan kesinambungan pemerolehan pesawat EC 725 Super Cougar sebanyak 12 buah lagi bagi merealisasikan program penggantian pesawat Nuri yang sudah usang. Namun seperti juga hasrat Tentera Darat, permohonan ini juga tampak agak samar untuk mendapat kelulusan. Apatah lagi beberapa buah pesawat Nuri telah pun mengalami program pemulihan bagi membolehkan jangkahayat pengoperasiannya dipanjangkan. Dan sudah tentu isu yang paling polular berkaitan TUDM adalah program penggantian pesawat MiG-29 yang sehingga kini masih lagi dalam teka-teki. Apatah lagi TUDM bakal menerima aset yang dinantikan iaitu empat buah pesawat Airbus A400 yang bakal membentuk skuadron baru TUDM iaitu skuadron ke-22. Jadi boleh dikatakan hasrat penambahan pesawat EC 725 Super Cougar ini akan menerima nasib yang sama seperti hasrat untuk mendapatkan pesawat AEWC yang sekian lama senyap tanpa berita.

Apa pun aku dapat melihat patern pemerolehan aset pertahanan di mana ia mesti sejajar dengan kepentingan keperluan ESSCOM. Penubuhan pasukan marin, pesawat helikopter tempur, penambahan kapal korvet, semuanya menunjukkan ia ada kaitan dengan operasi dan tugas-tugas berkaitan ESSCOM. Jadi kemungkinan mana-mana permohonan yang tidak selari dengan operasi ESSCOM kemungkinan akan dibekukan. Dan Nampak gaya begitu jugalah dengan program pemerolehan MRCA. Apa pun belum lagi sahih samada EC 665 Tiger menjadi pilihan. Namun pengumuman Najib yang akan menyusun semula bajet 2015 disebabkan beberapa situasi yang sedang dihadapi negara seperti musibah banjir, penurunan mata wang ringgit dan kejatuhan harga minyak serta kelembapan ekonomi negara menimbulkan kebimbangan aku kerana selalunya antara sektor yang sering dikorbankan apabila negara mengalami masalah kewangan ialah pertahanan negara. Diharapkan pemerolehan enam pesawat ini tidak dibatalkan di saat-saat akhir mahu pun di tangguhkan kerana kehadirannya akan memberikan impak yang besar dalam operasi ESSCOM.