Tuesday, 28 February 2023

JEMBALANG SAKONG


Pra tempahan untuk novel JEMBALANG SAKONG dibuka.

Tarikh tempahan bermula dari 20 February hingga 20 Mac 2023.

Penulis: KHAIRUL NIZAM KHAIRANI

Penerbit: Menara Seni

Halaman: 444 mukasurat

Harga: RM 32.00

Postage: RM 8.00 (Semenanjung) RM 14.00 (Sabah/Sarawak)

Pada yang berminat menerokai misteri JEMBALANG SAKONG, boleh membuat tempahan melalui aplikasi What’sApp yang tertera di bawah:

https://wa.me/60123948527?text=

Sinopsis:

Mahluknya kurus dan tinggi. Tingginya melampaui manusia biasa. Memiliki sepasang sayap. Sentiasa membawa sebilah pisau dan sebatang kayu pancang yang lebih panjang dari ketinggian tubuhnya. Setiap kali ia muncul, ia akan menghasilkan satu bunyi nyaring bersahut-sahutan.

- Pakcik Subari

Jembalang Sakong, mahluk mitos yang menjadi buah mulut penduduk daerah Sakong sejak berdekad lamanya. Kemunculannya sering dikaitkan dengan amaran kononnya akan ada malapetaka akan berlaku.

Setelah terlihat kelibat mahluk aneh sewaktu melakukan operasi di Hutan Sakong, Harun dan sepasukan Polis Hutan telah diserang hendap pengganas komunis dan hanya Harun yang terselamat. Setelah pulang ke pangkuan keluarganya, Harun terus diburu jelmaan mahluk aneh itu yang dia percaya adalah Jembalang Sakong. Bimbang keselamatan keluarganya terancam dek mahluk mistikal itu, Harun mengambil keputusan untuk kembali ke Hutan Sakong dan hilang tanpa dapat dikesan.

Berdekad kemudian, sewaktu melalui daerah Sakong, anak Harun iaitu Shakir terlihat kelibat mahluk bersayap yang menyebabkan dia mengalami kemalangan jalanraya dan mengakibatkan dia koma. Setelah tersedar dari koma, Shakir menjadi obses dengan mahluk itu yang dia percaya adalah Jembalang Sakong, mahluk yang sama yang menjadi misteri kehilangan ayahnya.

Kerana obsesinya terhadap Jembalang Sakong, Shakir kembali ke daerah Sakong walaupun ditegah ibunya dan juga kekasihnya, Intan. Berpandukan pada buku nota yang ditinggalkan ayahnya, Shakir cuba merungkai misteri Jembalang Sakong dan kaitan mahluk mitos itu dengan misteri kehilangan ayahnya. Namun rahsia yang dibongkar mungkin tidak mampu dihadapinya.


Saturday, 26 June 2021

PESAWAT TEMPUR RINGAN UNTUK MALAYSIA

Bae Hawk milik Arab Saudi


Baru-baru ini kerajaan Malaysia telah mengumumkan tawaran tender untuk pemerolehan 18+18 unit pesawat tempur ringan/latihan bagi menggantikan pesawat BAE Hawk dan Aermacchi MB-339. Beberapa pesawat telah tersenarai iaitu Tejas (India) YAK-130 (Russia) Kai-50 (Korea Selatan), Leonardo M-346 (Itali) dan JF-17 Thunder (Pakistan).

 

Namun dikatakan dua buah pesawat yang kini mendahului persaingan adalah Kai Fa-50 dan JF-17 Thunder sementara Leonardo M-346 pula adalah kuda hitam. Walaupun tender ini terbuka pada mana-mana firma yang mahu menghantar usulan namun bukanlah rahsia yang TUDM berminat dengan pesawat Kai Fa-50. Namun kerajaan Malaysia mungkin memiliki pandangan berbeza. Dan di sinilah JF-17 mengambil peluangnya.

 

TUDM lebih berminat kepada Kai Fa-50 kerana ia adalah pesawat yang dibangunkan Korea dengan kerjasama Amerika Syarikat. Kai Fa-50 dianggap mempunyai banyak persamaan dengan pesawat F-16 Falcon malah dianggap sebagai versi F-16 yang lebih kecil dan murah. Selain harganya yang tidak terlalu mahal, lumrah pesawat buatan AS, kos penyelenggaraan dan operasinya serta harga alat gantinya adalah rendah selain jangkahayat airframe-nya yang lebih panjang. Namun masalah kini ialah peruntukan untuk pembelian pesawat yang kecil. Malaysia pernah menggunakan sistem barter dengan menggunakan komoditi minyak kelapa sawit sebagai tukaran bagi mendapatkan pesawat Sukhoi-30. Dan Malaysia tampak mahu menggunakan cara yang sama dalam memperolehi pesawat LCA. Namun Korea Selatan pula kelihatan tidak berminat dengan cara urusan itu.

 

Masuklah JF-17 Thunder! Pesawat Pakistan ini sebenarnya bukanlah pilihan utama malah dikatakan amat mustahil bagi ia terpilih kerana selain Kai Fa-50, pesawat kedua yang menjadi pilihan ialah Leonardo M-346. Pesawat JF-17 tidak menjadi pilihan kerana ia adalah pesawat baru. Tidak punya rekod dalam pertempuran atau latihan, jadi kemampuannya diragui. Selain daripada itu JF-17 ini juga adalah program usahasama antara Pakistan dengan China. Jadi sistem persenjataan, sistem penderiaan dan radar serta avionik menggunakan sistem China dan Malaysia tidak pernah menggunakan sistem pesawat tempur dari China sebelum ini dan dibimbangi ia akan menimbulkan masalah yang baru pula kepada Malaysia. Selain dari itu, harga JF-17 sebenarnya lebih mahal dari Kai Fa-50. Jadi jelas Kai Fa-50 adalah pesawat pilihan berbanding JF-17.

 

Tetapi menyedari Malaysia tidak memperuntukkan kewangan yang besar pada rancangan pemilikan pesawat LCA ini, Pakistan menganggap ia sebagai peluang dengan berusaha memudahkan urusan jualbeli dengan Malaysia. Selain dari memudahkan urusan jual beli, bantuan perkhidmatan selepas jualan juga ditawarkan di mana ia mampu mengurangkan kos penyelenggaraan. Dan kerajaan Malaysia tampak mula memberikan perhatian pada usulan oleh Pakistan.

 

Ini adalah pendapat peribadi penulis! Bukan kenyataan rasmi mana-mana pihak dan mungkin ada pihak yang tidak bersetuju dan penulis menerima perbezaan pendapat ini. Kenyataannya sebab utama program MRCA (Multirole combat aircraft) ditangguhkan adalah kerana masalah kewangan. Kerajaan Pakatan Harapan pada ketika itu melihat, peruntukan yang besar untuk membeli pesawat tempur adalah tidak produktif. Sebaliknya peruntukan yang besar seharusnya disalurkan kepada sektor ekonomi. Namun keperluan untuk memiliki pesawat tempur bagi tujuan pertahanan negara menjadi penting apabila pesawat Hawk dan F-18 Hornet dilihat sudah tua sementara hayat Sukhoi-30 akan berakhir dalam tempoh 15-20 tahun lagi selain masalah tahap kesiap-siagaannya yang dikatakan amat rendah sehinggakan abang Mat mendakwa hanya 5 dari 18 pesawat sahaja yang boleh terbang.

 

Maka program pemerolehan pesawat LCA diwujudkan untuk dijadikan sebagai stop-gap sebelum program MRCA dinilai semula pada 2025. Namun desas-desus menyatakan, perancangan Kementerian Pertahanan sebenarnya ialah mahu menggantikan semua pesawat tempur termasuklah F-18 dan SU-30 dengan pesawat tempur ringan atas alasan kos efektif. Malah Kai-50 dianggap calon yang paling sesuai kerana ia dilihat mampu menggalas tugas sebagai pesawat tempur udara biar pun statusnya sebagai pesawat LCA. Namun kini JF-17 Thunder dilihat telah mencapai tempoh matang. Kemampuannya sebagai pesawat tempur secara teknikalnya dilihat lebih ampuh dan berkemampuan sedangkan Kai Fa-50 masih berada dalam proses meningkatkan kemampuannya sebagai pesawat tempur. Pakistan telah menawarkan JF-17 variant blok lll yang mampu membawa lebih banyak persenjataan dan menyaingi pesawat kelas sederhana seperti F-18 atau F-16. sementara Kai-50 pula telah menaiktaraf kemampuan pesawat kepada block 10 pada 2018 dan dalam proses meningkatkan kemampuan kepada block 20 yang meningkatkan kemampuan tempur udaranya.

 

Kenapa Pakistan pantas dalam meningkatkan kemampuan JF-17 berbanding Kai-50? Ini adalah kerana matlamat Pakistan membangunkan JF-17 adalah untuk menggantikan pesawat-pesawat mereka yang telah usang seperti pesawat Mirage. Jadi JF-17 dibangunkan dengan orientasi sebuah pesawat yang memiliki kemampuan tempur udara yang maksima. Korea Selatan membangunkan Kai-50 adalah sebagai pesawat latihan yang juga mampu berfungsi sebagai pesawat tempur ringan. Kai-50 ditingkatkan kemampuannya bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berpotensi yang mahukan Kai-50 memiliki kemampuan jet tempur dan tidak pesawat latihan semata-mata.

 

Jika pesawat Kai Fa-50 yang terpilih sebagai pesawat LCA Malaysia, pastinya tidak mengejutkan. Namun jika JF-17 yang terpilih, ia boleh menimbulkan kebimbangan. Apatah lagi jika kerajaan membuat keputusan untuk menambah 18 unit lagi menjadikan 36 unit. Sudah boleh dilihat perancangan untuk menggantikan seluruh pesawat tempur dalam inventori TUDM dengan pesawat tempur ringan bakal menjadi kenyataan. Teruk sangatkah penggunaan pesawat tempur ringan sebagai pesawat tempur utama tanpa pesawat MRCA saiz sederhana atau berat seperti F-18 atau SU-30? Jika situasi negara aman dan damai seperti sekarang, tidak ada apa yang perlu dibimbangkan. Tapi jika negara menghadapi konflik bersenjata berskala besar dengan negara lain yang memiliki pesawat tempur sederhana atau berat sebagai pesawat pemukul utama, maka bolehlah kita ucapkan sadaqallah hul azim….

 

Lihat saja negara jiran yang giat meningkatkan kemampuan tentera udara masing-masing dengan Singapura bakal memiliki 24 buah pesawat F-35, Indonesia yang berhasrat membeli pesawat Rafale disamping menantikan kehadiran pesawat gen-5 mereka dari Korea Selatan iaitu KFX. Hatta Filipina yang dianggap sebagai negara dengan kekuatan tentera udara paling lemah, kini dalam perancangan untuk memiliki pesawat Saab Gripen. Jadi adakah patut Malaysia yang menjadi pelopor angkatan tentera udara moden di rantau ini, merendahkan status dan kemampuannya? Tolong jangan lupa juga insiden 16 buah pesawat China yang menceroboh ruang udara negara dikala TUDM menyambut ulang tahun ke 63. Insiden yang sama China lakukan dengan menceroboh ruang udara Taiwan setelah NATO memberikan amaran pada China agar tidak cuba mengganggu gugat kedaulatan Taiwan. Jadi jelas China ada niat mahu mencerca maruah negara kita sewaktu menghantar 16 buah pesawat menceroboh ruang udara negara Malaysia. Masih lagi kerajaan memikirkan keperluan pesawat MRCA tidak penting? Tampak siapa pun kerajaan yang memerintah, kepentingan keperluan pertahanan negara tetap dipandang ringan. Jangan sampai sudah terhantuk baru hendak terngadah!

  


JF-17 THUNDER

(Pakistan dengan kerjasama China)

Harga seunit - RM 168 juta

Harga 18 unit pesawat (termasuk persenjataan) - RM 4.536 billion

 


KAI FA-50

(Korea Selatan dengan kerjasama AS)

Harga seunit - RM 126 juta

Harga 18 unit pesawat (termasuk persenjataan) - RM 2.646 billion

 


LEONARDO M-346

(Italy)

Harga seunit - RM 105 juta

Harga 18 unit pesawat (termasuk persenjataan) - RM 2.268 billion

Nota: M-364 adalah pesawat subsonik dengan kelajuan lebih rendah berbanding Kai Fa-50 dan JF-17.

 

  

Saturday, 9 January 2021

FAST ATTACK CRAFT KELAS HANDALAN


KD Handalan

Kapal kecil molek ini panjangnya hanya 43.6 meter. Terdapat 4 buah kapal dari kelas Handalan.

KD Handalan

KD Gempita

KD Perkasa

KD Pendekar 

Ditauliahkan pada 1976 dan dianggap sebagai kapal cili padi kerana dikelaskan sebagai kapal FAC-M.

M merujuk kepada missile. Kelas Handalan dilengkapi sistem peluru berpandu anti kapal Exocet MM38.


KD Handalan (sewaktu masih dipasang Exocet 38MM)

Tapi beberapa tahun lalu, sistem peluru berpandu Exocet 38MM ini telah ditanggalkan kerana sudah sampai tempoh expired dan TLDM tidak berhasrat menggantikan dengan sistem peluru berpandu yang lain.

 

KD Gempita (Sewaktu masih dipasang Exocet 38MM


KD Pendekar

Agak mengejutkan kapal litoral mission ship kelas Keris yang panjangnya 69 meter, hanya dilengkapi meriam 30mm dan 2 mesingan 12.7mm sedangkan kapal kelas Handalan kini masih dilengkapi 2 meriam 57mm dan 40mm. Dalam erti kata lain, kapal kelas Handalan yang sudah tua dan lebih kecil, lebih berbisa dari kelas Keris yang lebih besar dan baru. Mungkin kerana kelas Keris dibina oleh konsortium China dan menggunakan sistem penderiaan serta radar buatan China yang memerlukan penggunaan sistem peluru berpandu buatan China, membuatkan TLDM tidak berminat untuk mengoperasikan sistem peluru berpandu dari negara itu.

 

KD Kelas Keris

Malaysia kini dalam perancangan untuk membeli Litoral Mission Ship batch kedua dan beberapa proposal telah diterima (dan tidak ada konsortium China).

 

1) Konsortium Damen (Belanda). Jenis kapal, Stan Patrol 6211. Panjang 68 meter

2) Konsortium Swiftships (US). Panjang 70 meter

3) Konsortium Fassmer (German). Panjang 70 meter

4) Konsortium Preston (Malaysia). Panjang 70 meter

 

Damen Stan Patrol 6211





Walaupun belum ada maklumat akan persenjataan yang akan dilengkapkan pada LMS batch kedua ini, diharapkan ia akan dilengkapi sistem peluru berpandu agar ia lebih bertaring dalam menghadapi kapal-kapal penceroboh di perairan Malaysia.

Sunday, 13 December 2020

KAI-FA 50 MALAYSIA


 

Malaysia merancang membeli 36 buah pesawat LCA (Light Combat Aircraft) sebagai stop gap sebelum merancang pembelian aset MRCA (Multirole Combat Aircraft). Beberapa nama menjadi calon antaranya Tejas (India) JF-17 (Pakistan) dan Yakolev-130 (Russia), Leonardo M-346 (Italy).

 

Namun pesawat KAI-FA 50 (Korea Selatan) dikatakan menjadi pilihan utama TUDM berdasarkan kemampuannya yang hampir menyamai pesawat F-16 selain harganya yang berpatutan dan juga khidmat selepas jualan yang meyakinkan dari Korea Selatan.

 

Malaysia merancang untuk membeli LCA dalam jumlah 12+24 unit. Satu perkara yang aku tak gemar adalah terma ‘plus’. Selalunya apabila Malaysia merancang jumlah pembelian dengan terma plus di belakangnya, ia tidak akan berlaku. Contoh pemerolehan aset dengan terma plus yang tidak menjadi kenyataan.

 

Eurocopter EC 725. Rancangan pembelian, 12+12. Sampai la ni 12 biji je!

Program NGPV (Kelas Kedah). Rancangan pembinaan, 6+12. Sampai la ni enam buah je!

Kapal selam Scorpene. Rancangan pembelian, 2+4. Sampai la ni tulah 2 buah kapal KD Altantuya kita pakai sampai mereput!

 

Jadi aku tak berapa yakin akan perancangan pembelian pesawat LCA sebanyak 12+24 unit ini akan menjadi kenyataan. Kemungkinan besar pembelian 12 buah pesawat pertama itu akan kekal sampai pesawat itu out of service. Namun ia masih boleh dilihat dari sudut positif. Kalau pembelian KAI-FA 50 menjadi kenyataan dan hanya 12 unit dibeli serta tidak ada penambahan 24 buah unit seperti yang dirancang, ia mungkin dapat mempercepatkan proses pemerolehan pesawat MRCA yang dirancang penilaiannya pada tahun 2025 dan mungkin diterima sebelum 2030. Mungkin juga dengan pemerolehan LCA dalam jumlah yang kecil akan meningkatkan jumlah pemerolehan pesawat MRCA. Mengikut perancangan TUDM, menjelang 2030, pesawat Sukhoi-30 dan F-18 Hornet akan terpaksa diganti. Bererti paling tidak TUDM memerlukan dua skuadron bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Sukhoi-30 dan F-18.

 


HAWK 200 (2 tempat duduk) dengan peranan sebagai pesawat LIFT (Lead in fighter trainer). 

Mungkin TUDM akan berusaha memperolehi 36 unit pesawat MRCA. Dan harapnya tidak ada terma ‘plus’ di belakangnya. Just full 36 unit of MRCA aircraft. Tapi dari situasi terkini dengan krisis Covid-19 selain TUDM mungkin akan menerima pesawat MPA (Maritime Patrol Aircraft), kemungkinan besar perancangan program LCA ini akan tertangguh dan TUDM akan terus meletakkan beban tanggungjawab pertahanan udara negara di bahu Sukhoi-30, F-18 Hornet dan Hawk selama mana yang boleh sebelum ia terpaksa digantikan.

Atau mungkin lebih teruk, langsung tidak berganti!

Jangan lupa, skuadron F-5 dan MiG-29 masih tidak diisi kekosongan sehingga kini.    

Monday, 16 April 2018

SUKHOI-35 FLANKER, JAGUH ANGKASA?



Kecoh sebaik Indonesia mengumumkan persetujuan untuk membeli sebelas buah pesawat Sukhoi-35 dari Russia. Berita ini turut mendapat perhatian pemerhati antarabangsa kerana ini menjadikan Indonesia negara ketiga mengoperasikan pesawat ini selain Russia dan China. Sukhoi-35 mendapat perhatian dunia kerana dianggap sebagai pesawat paling hebat dalam pertempuran udara (dog fight) dalam kelas pesawat generasi ke 4++. Kemampuannya berdasarkan spesifikasi yang dinyatakan secara rasmi oleh pihak Russia dan juga pemerhatian oleh pihak pemerhati ketenteraan dalam setiap eksesais dan operasi ketenteraan yang melibatkan Sukhoi-35.

Sukhoi-35 adalah kesinambungan pesawat Sukhoi-27. Sukhoi-27 dibina bagi menyaingi pesawat buatan AS, F-15 Eagle pada era erang dingin. Dari Sukhoi 27, dihasilkan pula Sukhoi-30 namun kemampuan versi 27 dan 30 tidak jauh berbeza dan versi Sukhoi-30 lebih kepada memenuhi permintaan luar Russia. Pesawat kelas Flanker memang dikenali dengan kemampuan maneuvering yang luarbiasa kerana penggunaan enjin Vector penujah tiga dimensi. Nozelnya yang mampu digerakkan ke arah berlainan sewaktu penerbangan membolehkan pesawat ini melakukan pelbagai pergerakan yang sukar. Hanya sebuah pesawat dari blok barat yang memiliki teknologi yang serupa iaitu pesawat AS, F-22 Raptor namun kemampuan teknologinya hanyalah dua dimensi. Penambahan saiz tangki minyak membolehkan Sukhoi-35 mencapai jarak maksima 3600km menjadikan pesawat tempur jarak jauh yang efisien. Walaupun Sukhoi-35 bukan pesawat ‘stealth’ namun keratan rentas radarnya agak kecil iaitu antara 1-3 meter berbanding pesawat f-15 iaitu 5m. selain itu Sukhoi-35 turut menggunakan material penyerap radar.



Sukhoi memiliki 14 hardpoint yang membolehkan ia membawa empatbelas persenjataan dari peluru berpandu pelbagai jenis dan juga bom. Ini menjadikan Sukhoi-35 sebagai pesawat tempur yang mampu membawa paling banyak persenjataan dalam satu penerbangan. Ia juga dilengkapi sistem L175M Khibiny yang mampu mengganggu gelombang radar dan mengalih arah peluru berpandu musuh. Sukhoi-35 juga dilengkapi radar PESA (Passive Electronically Scanned Array) Jenis IRBIS-E yang mampu mengesan 30 pesawat dalam jarak 400km. IRBIS-E adalah sistem paling canggih dalam radar kelas PESA. Bagaimana pun kelemahan IRBIS-E adalah ia mudah dikesan dan disekat gelombangnya oleh radar AESA (Active Electronically Scanned Array) yang banyak digunakan oleh pesawat-pesawat blok barat terutamanya pesawat buatan AS. Sukhoi-35 dilengkapi sistem IRTS (Infrared Track and Search) yang boleh menentukan kedudukan pesawat lain dalam radius 50km yang membolehkan mereka mengesan pesawat stealth dalam jarak dekat.

Secara umumnya Amerika Syarikat menghasilkan pesawat yag mahal dengan jangkahayat yang panjang. Russia pula sebaliknya menghasilkan pesawat yang murah dengan jangkahayat yang pendek dengan keperluan penyelenggaraan yang rumit dan mahal. Pesawat generasi Flanker seperti Sukhoi-27 dan Sukhoi-30 turut mengalami masalah yang sama (yang turut memberi kesan pada tahap peratusan kesiap-siagaan Sukhoi-30 milik TUDM). Bagaimana pun Sukhoi-35 dikatakan telah berjaya mengurangkan jurang perbezaan ini dengan meningkatkan jangkahayat enjinnya kepada 4500 ke 6000 jam penerbangan berbanding versi Sukhoi-27/30 yang hanya memiliki jangkahayat 3000 jam penerbangan. Sedikit informasi, jangkahayat pesawat F-22 Raptor dan F-35 JSF adalah 8000 jam penerbangan.

Pastinya persoalan yang berlegar dalam minda adalah sejauh mana kehebatan Sukhoi-35. Adakah ia benar-benar sebuah pesawat yang tidak terkalah dan hanya mampu disaingi pesawat dari generasi kelima seperti F-22 Raptor dan F-35 JSF? Pertama sekali perlu difahami dalam era teknologi pertempuran udara moden kini, taktik pertempuran udar terbahagi kepada dua iaitu WVR dan BVR.
WVR (Within Visual Range) adalah singkatan dari ‘Dalam Jarak Visual’ atau terma yang lebih popular adalah dogfight, merujuk kepada pertempuran udara ke udara di mana kedua-dua pejuang dapat melihat antara satu sama lain dan mereka cuba untuk menembak antara satu sama lain menggunakan peersenjataan yang dimiliki seperti peluru berpandu dan meriam.
BVR (Beyond Visual Range) merujuk kepada pertempuran udara di luar jangkauan visual. Kedua-dua pihak terlalu jauh untuk mengenal pasti antara satu sama lain dengan mata kasar dan hanya bergantung pada radar. Radar menghantar gelombang dan apabila pesawat musuh menyentuh gelombang ia melantun kembali ke radar dan dikesan, ini adalah bagaimana juruterbang mengesan pesawat musuh tanpa benar-benar melihat musuh secara visual. Dalam pertembungan BVR, pesawat mampu mengesan satu sama lain lebih dari jarak 100 kilometer dan mampu melancarkan peluru berpandu udara ke udara dari jarak jauh.
Dengan teknologi peluru berpandu terkini yang mampu dilancarkan tanpa perlu dikawal selia, bersama-sama dengan sensor udara dan kawalan udara yang berkaitan dengan data, pertempuran WVR yang mengadaptasi teknik manuver pejuang asas (BFM - Basics Fighter maneuver) dan dogfights dianggap tidak lagi relevan ketika ini. BVR sebaliknya dianggap sebagai pertempuran udara masa hadapan.



Walau bagaimanapun kemampuan identifikasi, kawan atau musuh menjadi persoalan. Kadangkala juruterbang tidak dapat memastikan samada pesawat yang dikesan memberikan ancaman atau tidak kerana juruterbang berada di luar jangkauan visual. Situasi ini memaksa juruterbang untuk mendekati pesawat bagi mendapatkan kepastian sekiranya pesawat sasaran mungkin mengalami masalah komunikasi. Masalah lain berkaitan BVR adalah apabila medan pertempuran sesak dengan pelbagai aktiviti pesawat pengangkutan udara dan pesawat pejuang udara secara serentak kerana dibimbangi peluru berpandu yang dilancarkan mungkin akan mengenai sasaran yang berada di dalam laluan peluru berpandu. Amerika Syarikat dan “sekutunya” menerima pengajaran ini sewaktu operasi Desert Storm ketika menentang Angkatan Udara Iraq. Walaupun dengan kemampuan teknologi yang canggih, juruterbang secara tidak sengaja menembak beberapa pesawat dari kalangan mereka sendiri. Ini memaksa arahan dikeluarkan agar semua juruterbang melancarkan serangan WVR bagi mengelakkan mereka tidak sengaja menembak pesawat rakan.

Berbalik pada persoalan kemampuan pesawat Sukhoi-35 yang dikatakan luarbiasa sehingga tidak mampu disaingi pesawat dalam kelas generasinya. Dalam membincangkan isu ini perlu diingat, pesawat yang dihasilkan pihak blok barat kebanyakannya memiliki kemampuan BVR yang melampui kemampuan pesawat buatan Russia. Kemampuan terkini peluru berpandu udara ke udara menjangkau 100km meyakinkan Amerika Syarikat dan sekutu blok baratnya lebih meletakkan kepercayaan abad ke 21 adalah era pertempuran BVR namun pihak Russia percaya langkah-langkah balas elektronik (Electronic counter measure) dan pergerakan mengelak (Evasive maneuver) mampu mengurangkan kebarangkalian pesawat dari terkena tembakan dari jarak jauh dari lima puluh hingga tujuh puluh peratus. Dengan alasan ini, Russia membina pesawat dengan kemampuan pertempuran BVR, tetapi dengan kepercayaan bahawa pertempuran jarak pendek mungkin akan berlaku setelah pihak musuh melancarkan serangan BVR.

Sudat tentu persoalan seterusnya yang bermain dalam minda kita, peminat military di Malaysia, adakah pesawat-pesawat kita mampu bersaing dengan ‘the mighty’ Sukhoi-35 Flanker jikalau berlakunya pertembungan antara Malaysia dengan Indonesia (yang diharapkan tidak akan berlaku). bagi menjawab persoalan ini maka perbandingan harus dilakukan di antara Sukhoi-35 dengan pesawat-pesawat lain dari generasi ke 4 dan ke 5. Kenyataan Sukhoi-35 tidak mampu disaingi pesawat-pesawat generasi ke 4 adalah sama sekali tidak benar. Salah satu pesawat generasi ke 4 yang mampu menyaingi Sukhoi-35 ialah F-15 Eagle yang dibina khusus bagi menyaingi kemampuan MiG-29 dalam era perang dingin. Dan pengeluar pesawat F-15, McDonald Douglas yang terus menerus menaik taraf dan meningkatkan kemampuan F-15 menjadikan ia masih lagi relevan sehingga kini. Dan satu-satunya negara di rantau Asia Tenggara yang mengunakan F-15 Eagle adalah tentera udara republik Singapura.

Pesawat F-15 Eagle


F-15 dibina dengan kemampuan dogfight yang sangat baik namun dikatakan masih belum cukup baik bagi menghadapi Sukhoi-35. Namun kekurangan ini ditampung dengan kemampuan pertempuran BVR serta sokongan aset lain seperti AWACS dan sistem pintasan kawalan darat. Ini kerana Amerika Syarikat dan negara blok barat berusaha menyeragamkan sistem pertahanan udara mereka kepada orientasi peperangan yang berpusatkan rangkaian (Network-centric). Seseorang juruterbang tidak kira semahir mana pun dia dan secanggih mana pun pesawat yang dikawalnnya pasti akan menghadapi kesukaran untuk menewaskan musuh yang memiliki kelebihan network-centric ability. Selain itu, teknologi HMS (Helmet Mounted Sight) - topi keledar yang membolehkan juruterbang menandakan sasaran dengan melihat dan menembak peluru berpandu turut mengurangkan kelebihan pertempuran dekat jarak dekat yang menjadi kebanggan Sukhoi-35. Kehebatan Sukhoi-35 juga sedikit tercacat dek kekurangan kemampuan radarnya yang tidak secanggih sistem radar AESA.

HMS - Helmet Mounted Sighted yang memberikan kelebihan pada juruterbang dalam pertempuran WVR


Namun Sukhoi-35 masih memiliki kelebihan. Antaranya kemampuan membawa peluru berpandu udara berorientasikan radar dengan jarak jauh, K-77M dengan kemampuan jarak 200 kilometern selain peluru berpandu R-37M jarak jauh (300-400 kilometer) yang direka untuk memusnahkan pesawat tangki dan pesawat sokongan AWACS. Satu lagi kelebihan Sukhoi-35 ialah sistem jamming Radar L175M Khibiny. Walaupun radar AESA Amerika dipercayai mampu menghalang sekatan radar namun tidak peluru berpandu AIM-120. Peluru berpandu AIM-120 yang digunakan pesawat AS dikatakan kurang berkesan bila dilancarkan ke arah pesawat yang menggunakan sistem Khibiny. Dalam erti kata lain, biar pun F-15 berjaya mengesan Sukhoi-35, masih ada kemungkinan peluru berpandu yang dilancarkan mampu disekat sistem Khibiny dari menghentam pesawat Sukhoi-35 dan membolehkan juruterbang itu melakukan serangan balas ke atas F-15.

Keupayaan Sukhoi-35 agak sukar ditandingi. Walau bagaimanapun pertempuran udara di masa hadapan menggunakan peluru berpandu terkini (R-77, Meteor, AIM-120) menjadikan pertempuran BVR lebih efektif dan pertempuran jarak dekat pula tidak memerlukan juruterbang melancarkan serangan ke arah musuh secara konservertif dengan kewujudan peluru berpandu yang lebih canggih seperti AIM-9X dan R-74. Dalam hal ini kelebihan sebenar Sukhoi-35 adalah pada tahap kelajuan pesawatnya kemampuan membawa lebih banyak persenjataan. Sementara itu, ketangkasan dan kemampuan tindak balas elektronik Flanker-E dapat membantu menghindari serangan peluru berpandu musuh.

Bagaimana pula persaingan Sukhoi-35 dengan pesawat generasi kelima atau lebih tepat lagi pesawat F-22 dan F-35? Setakat ini dalam rekod hanya tercatat satu pertembungan antara pesaawat Sukhoi-35 dan F-22 Raptor iaitu di Syria. Dua pesawat F-22 Raptor dilaporkan memintas pesawat Sukhoi-25 dan Sukhoi-35 berhampiran sungai Euphrates. Salah sebuah pesawat Sukhoi-25 itu hampir bertembung dengan pesawat F-22. pesawat Sukhoi-35 dikerah bagi memberi sokongan kepada Sukhoi-25. biar pun tidak berlaku konfrontasi serius namun F-22 jelas menunjukkan kesungguhan dalam menyaingi Sukhoi-35 yang dikatakan mengalami beberapa komplikasi sewaktu beroperasi di Syria. Menurut timbalan menteri pertahanan Russia, Yuri Borisov, peperangan di Syria dijadikan sebagai medan ujian dan pemerhatian akan kemampuan Sukhoi-35 dan Russia akan cuba memperbaiki kelemahannya dan meningkatkan kemampuannya.

Pesawat F-22 Raptor


Pesawat F-35 JSF tidak seperti F-22 Raptor yang direka menjadi pesawat tempur udara ke udara yang efektif. Raptor menggabungkan kerangka pesawat yang sangat senyap dengan siling ketinggian yang tinggi dan kelajuan supersonik melebihi Mach 1.8. F-22 memiliki kemampuan kawalan pesawat dalam pertempuran visual jarak dekat. Ia mampu mengatasi pesaingnya dari segi kadar putaran, radius, sudut serangan dan penambahan tenaga di semua tahap ketinggian membolehkan ia bersaing dengan kemampuan Sukhoi-35 secara berhadapan. Dan dengan sokongan network-centric, F-22 memiliki kelebihan dalam menewaskan Sukhoi-35. Walaupun Sukhoi-35 mempunyai keupayaan hipotetikal untuk mengesan F-22 pada jarak dekat menggunakan IRST dan radar Irbis-E, kedua-dua sensor perlu difokuskan pada arah ruang udara yang tepat bagi membolehkan ia mengesan sasaran. Sebaliknya, F-22 boleh mengesan dengan tepat kedudukan Sukhoi-35 dalam jarak yang jauh dan luas bagi membolehkan juruterbang F-22 mengawal situasi pertempuran BVR. Satu-satunya peluang Sukhoi-35 untuk memenangi pertempuran BVR dengan F-22 adalah dengan mengelakkan tembakan peluru berpandu AMRAAM dan AIM-9 dari F-22 dan melancarkan serangan balas kepada kapal tangki dan pangkalan udara yang menjadi nadi utama memudahkan sensor F-22 mengesan kedudukan musuh.

Pesawat F-35 Joint Strike Force


Selain pertembungan F-22 dan Sukhoi-35 di Syria, mungkin rujukan terbaik datangnya dari excercise Cope Taufan 2014 dan 2016 antara Malaysia dan Amerika Syarikat. Apa yang menariknya excercise ini melibatkan F-22 Raptor dan Sukhoi-30 MKM yang dikatakan hampir menyamai Sukhoi-35. Sedikit maklumat akan Sukhoi-30 MKM yang dianggap luar biasa kerana menggabungkan teknologi terkini Russia dengan sistem avionik barat seperti radar pelbagai peringkat (Phased Array Radar) dan peperangan elektronik (Electronic Warfare). Teknologi ini diaplikasi dengan pelbagai jenis peluru berpandu terbaik Rusia menjadikan Su-30MKM sebagai versi terbaik Sukhoi-30 selain Sukhoi-30S (yang turut dibangunkan berasaskan kajian teknologi Sukhoi MKM). Ia mampu terbang sejauh 3,000km tanpa pengisian minyak. Perbezaan ketara Sukhoi-30 MKM dengan Sukhoi-35 ialah pod sasaran. Ia dianggap kelemahan paling ketara pada pesawat ini kerana tanpa pod sasaran, ketepatan serangan sasaran di bumi agak rendah dan sukar dilaksanakan. Kejayaan pemasangan Thales Damocles pod pada pesawat Sukhoi-30 MKM membuatkan Russia berhasrat untuk mendapatkan lesen bagi menghasilkan Damocles targeting pod buatan Perancis supaya ia dapat dipasang pada pesawat Sukhoi-35.

Thales Damocles Targeting Pod yang dipasang pada Sukhoi-30 MKM


Juruterbang tempur AS telah menerbangkan pesawat tempur asas (BFM) dalam excercise COPE Taufan. Maklumat berkaitan excercise COPE Taufan dirahsiakan namun dari apa yang difahamkan, COPE Taufan dikatakan mengerahkan kemampuan logistik berskala besar. Bererti latihan tidak tertumpu pada simulasi pertempuran udara ke udara semata-mata. Ia turut melibatkan objektif latihan yang lebih rumit dan luas di mana TUDM dan USAF berlatih dalam mode pertempuran menentang antara satu sama lain dan juga operasi bersama sebagai sekutu dalam sesuatu pertempuran. Objektif utama COPE Taufan ialah untuk kedua-dua pihak belajar antara satu sama lain bagaimana menghadapi pertempuran dalam pelbagai situasi yang melibatkan WVR dan BVR serta sokongan logistik yang lain. Latihan misi seperti suppression and destruction ke atas pertahanan udara musuh, misi mencari dan menyelamat, misi air deep interdiction (memusnahkan sasaran musnah bagi menghalang kemaraan musuh menggunakan aset udara), Close air support (sokongan udara dekat) dan lain-lain, semuanya dijalankan semasa latihan ini. Aset pengangkut udara seperti pesawar C-17A dan C-130J turut terlibat sama. Selain itu pasukan khas pula terlibat dalam latihan di darat dalam operasi yang digelar “Teak Mint” dan “Balanced Mint”.

Pesawat yang terlibat dalam latihan COPE Taufan 2014


Berbeza dengan pesawat F-35 yang jelas sekali tidak mampu bersaing dengan Sukhoi-35 dalam dogfight. Pertempuran udara bukanlah keutamaan atau kekuatan pesawat F-35 sewaktu ia mula-mula dibina. Ini menjadikan pesawat yang lebih berusia seperti Typhoon atau Sukhoi-35 mampu menewaskan F-35 dalam pertempuran jarak dekat dengan mudah. Typhoon dan Sukhoi-35 memiliki nisbah tujahan positif ke atas beban tempur, bermakna ia mampu memecut secara menegak dan kedua-duanya mampu mengekalkan dan mengembalikan tenaga pecutan lebih baik daripada F-35. F-35 mempunyai nisbah teras-berat positif, tetapi tidak diketahui samada nisbah itu kekal apabila pesawat dimuatkan dengan bahan bakar dan persenjataan. Dalam erti kata yang mudah, Typhoon dan Sukhoi-35 mampu terbang dan dikendalikan dalam keadaan stabil tidak kira samada pesawat dalam keadaan membawa persenjataan dengan tangki yang penuh atau sebaliknya. Tetapi tidak F-35 yang dikatakan mengalami masalah pengendalian dan penerbangan yang sukar apabila membawa beban persenjataan. Juruterbang F-35 perlu bijak menggunakan kelebihan teknologi stealth dan sensor serta taktikal yang bijak bagi menghadapi ancaman Sukhoi-35 dalam pertempuran BVR dan mengelakkan pertempuran WVR yang menjadi kelemahan pesawat F-35.

Pesawat Typhoon RAF menjalani latihan bersama pesawat Sukhoi-30MKI milik IAF


Bagaimana pula dengan persaingan Sukhoi-35 dengan pesawat buatan Eropah atau secara spesifiknya, pesawat Eurofigter Typhoon dan Dassault Rafale? Sudah tentu isu ini menarik perhatian kita kerana kedua-dua pesawat ini kini menjadi peneraju utama sebagai calon untuk menggantikan MiG-29 dalam program MRCA. Rafale memiliki kemampuan yang sama seperti Typhoon untuk menghadapi Su-35, tetapi kurang kemampuan kinematic ke atas Sukhoi-35 di altitud tinggi dan pertempuran BVR. Kemampuan maneuver Rafale pada ketinggian sederhana dan rendah boleh dikatakan menyamai Typhoon. Jika F-22 dan F-35 dilengkapi sistem AESA, Rafale dilengkapi sistem SPECTRA dan seperti juga AESA, ia memberi kelebihan pada Rafale dalam persaingan EW (Electronic Warfare) terhadap Sukhoi-35.

Dassault Rafale


Eurofighter Typhoon adalah pesawat yang dibangunkan untuk menjadi pesawat yang berkemampuan dalam dalam pertempuran jarak dekat. Kemampuannya kemudian dipertingkatkan membolehkan ia berkemampuan untuk operasi serangan udara ke darat serta meningkatkan kemampuan persenjataan yang berlainan. Typhoon pertama kali terlibat dalam operasi pertempuran sewaktu campur tangan tentera pada tahun 2011 di Libya dengan Angkatan Udara Diraja Britain dan Angkatan Udara Itali, melakukan peninjauan udara dan juga misi serangan udara ke darat. Sukhoi-35 ataupun Typhoon tidak dilengkapi teknologi radar AESA, tetapi kedua-duanya mempunyai kemampuan BVR. Kedua-dua pesawat ini direka untuk kelajuan tinggi, kemampuan pertempuran BVR dengan altitude yang tinggi. Ini memberikan kelebihan kedua-dua pesawat melancarkan sistem persenjataan mereka dalam pertempuran BVR. Tetapi masih tidak diketahui akan efektifnya sistem identifikasi milik Russia. Seseorang juruterbang harus mengenalpasti sasarannya sebelum melancarkan serangan. Kemampuan kokpit dan antaramuka pesawat Typhoon pula adalah lebih baik daripada mana-mana versi Flanker yang ada. 

Peluru Berpandu Meteor

Pesawat Typhoon juga memiliki satu kelebihan. Dalam masa terdekat, angkatan Tentera Udara Diraja (Britain), RAF akan mula menggunakan peluru berpandu MBDA Meteor. Meteor merupakan peluru berpandu udara ke udara berpandukan radar aktif (BVRAAM) yang menggunakan ramjet berkuasa jarak jauh. Dan dikatakan peluru berpandu BVRAAM yang terbaik dikala ini. Ia dianggap kunci utama kemampuan Typhoon menewaskan mana-mana pesawat Russia setidak-tidaknya sehingga Russia menghasilkan peluru berpandu BVRAAM dengan kemampuan yang sama dengan Meteor. Kemampuan pesawat Typhoon adalah terhad kepada 6 peluru berpandu BVRAAM (jarak jauh) dan 2 peluru berpandu SRAAM (jarak pendek). Ia mempunyai 13 pylon tetapi hanya 8 daripadanya boleh membawa peluru berpandu. Sebaliknya semua 12 ‘hardpoint’ pada Sukhoi-35 boleh dipasang dengan peluru berpandu. Stesen-stesen pada hujung sayap pesawat dipasang dengan pod EC. Dua poket sayap dalaman boleh membawa rak yang boleh memuatkan 2 peluru berpandu BVR menjadikan keseluruhan hardpoint yang berfungsi adalah 14.

Eurofigter Typhoon. Adakah ia akan mengisi kekosongan MiG-29?

Eurofighter Typhoon membawa beban persenjataan


Typhoon dan Sukhoi-35 tidak pernah bertembung dalam sebarang pertempuran. Mungkin sastu-satunya rujukan yang paling hampir boleh dibuat adalah latihan bersama tentera udara India (IAF) dan tentera udara Diraja (RAF) yang melibatkan dua buah pesawat iaitu Sukhoi-30 MKI (IAF) dan Eurofighter Typhoon (RAF). Pesawat Sukhoi-30 MKI milik India berjaya menewaskan Typhoon milik Britain 12-0 dalam latihan pertempuran WVR. Dalam exercise dogfight, pesawat Sukhoi-30 IAF mampu melakukan pusingan yang tajam mengatasi Typhoon dengan kelebihan enjin thrust-vektornya, memastikan pesawat RAF berjaya dikunci dalam sasaran mereka.
Sistem Carian dan Trek Inframerah canggih Suara (IRST), penderia pasif, yang tidak dapat dijejaki, terbukti menjadi kelebihan pada juruterbang IAF dalam menghadapi pertempuran jarak dekat. IAF dan RAF menggunakan keupayaan penuh radar onboard dalam mod latihan, bererti frekuensi radar sebenar yang digunakan dalam keadaan pertempuran tidak didedahkan atas alasan kerahsiaan. Walau bagaimanapun, julat pengesanan radar kedua-dua pesawat tidak dikurangkan dan ia dianggap exercise dogfight yang paling hampir dengan situasi dogfight sebenar. Namun ramai pemerhati masih meragui sekiranya benar Typhoon tidak mampu menghadapi ancaman keluarga Flanker seperti keputusan dari latihan IAF dan RAF ini kerana masih banyak taktikal EW tidak didedahkan atau diaplikasi kedua-dua pihak dalam latihan ini.






Russia berjaya meningkatkan kemampuan pesawat mereka sejak berakhirnya era perang dingin. Pesawat Sukhoi-30 dan Sukhoi-35 adalah ancaman yang sangat dibimbangi oleh pengendali pesawat blok barat. Namun Russia masih ketinggalan dari segi kemampuan teknologi sensor dan sistem antaramuka pesawat. Dalam hal ini menjadikan pesawat Typhoon lebih berkemampuan dalam menewaskan mana-mana pesawat dari Russia. Kebanyakan pesawat pejuang generasi ke-4 seperti Sukhoi-35 atau Typhoon memiliki kemampuan yang hampir sama. Juruterbang setiap jenis pesawat perlu mahir mengendalikan pesawat mereka ke had paling maksima. Juruterbang harus mengeksploitasi kekuatan pesawat bagi menampung kelemahannya menghadapi ancaman pesawat musuh. Tahap kesiagaan pesawat juga penting. Tidak kira betapa hebatnya sesebuah pesawat namun jika proses penyelenggaraannya ala kadar dan kemampuan kesiap-siagaannya juga rendah, ia tidak akan mampu mencapai tahap kemampuan yang maksima. Bagi menghadapi pesawat Typhoon, Sukhoi-35 yang menggunakan teknologi enjin Vektor Thrust membolehkan juruterbang mengendalikan kelajuan rendah bagi mengimbangi kemampuan kadar putaran Typhoon yang sangat tinggi serta penambahan tenaga yang sangat baik sewaktu mengeksploitasi keupayaan serangan sudut yang tinggi. Dalam erti kata lain, kejayaan pertempuran WVR antara Typhoon dan Sukhoi-35 bergantung pada kemampuan juruterbang dan juga nasib.

Nozzle enjin thrust vector


Kehadiran F-22 Raptor dalam Cope Taufan adalah mesej  dari Amerika Syarikat kepada China dan kuasa serantau lain bahawa Amerika berusaha mengukuhkan hubungan dengan negara-negara yang tidak mempunyai hubungan baik ataus sebaliknya dengan China dan Malaysia adalah contoh terbaik. Ini berbeza dengan excercise antara IAF dengan RAF di mana IAF sekadar mahu melihat kemampuan Typhoon dalam membuat penilaian dan keputusan untuk memilih pesawat yang mahu mereka beli.

Sebenarnya tidak ada pesawat yang boleh dianggap berkemampuan mutlak dalam merajai ruang angkasa. Setiap pesawat memiliki kelebihan dan kekurangannya dan bagi pesawat yang terbaik pada masa ini, ia hanya menunggu masa sebelum pesawat baru dibina bagi menyaingi kemampuannya kerana dikala ini sudah ada pihak yang memulakan usaha membangunkan pesawat generasi ke-6 seperti Boeing dengan program FA-XX dan MiG-41. Teknologi BVR memainkan peranan yang besar, tetapi taktik, latihan dan prosedur adalah kunci utama kejayaannya. Kumpulan pesawat pejuang perlu menyelaras dan mengkoordinasi sistem komunikasi mereka antara satu sama lain dengan AWACS atau pusat kawalan pangkalan. Unit Tentera Udara A.S. pada umumnya tidak menggunakan taktik canggih mereka semasa latihan antarabangsa bagi mengelakkan teknik tersebut terdedah pada pihak luar. Dalam erti kata lain, keputusan latihan ketenteraan kadangkala tidak memberi petunjuk tepat akan kemampuan sesuatau pesawat. Di akhirnya nanti, aset sokongan dan kemahiran juruterbang yang akan menentukan keputusan pertembungan dan bukannya jurang teknologi. Kenyataannya kemampuan Sukhoi-35 masih belum teruji dalam situasi sebenar. Kebanyakan rumusan dibuat hasil dari pemerhatian dan analisa latihan bersama antara pesawat blok barat dengan pesawat Sukhoi-30 sementara pihak Russia pula kerap menggembar-gemburkan kehebatan Sukhoi-35 sebagai pesawat jaguhan yang tidak tertanding oleh mana-mana pesawat.

Pesawat J-11 hasil reverse engineering dari pesawat Sukhoi-27


Jadi tidak kira apa pesawat yang akan TUDM miliki dalam program MRCA nanti, baik Typhoon, Rafale mahu pun F-18 (atau mungkin F-35…..minta dijauhkan), kemampuan semua aset diintegrasikan dan semua aset berada dalam keadaan siap siaga tahap maksima adalah penentu kemampuan TUDM mempertahankan kedaulatan Malaysia. Dan sebenarnya Malaysia tidak perlu bimbang jika Indonesia membeli Sukhoi-35 atau Singapura memiliki F-15 Eagle (dan berkemungkinan F-35) sebaliknya yang lebih membimbangkan Malaysia adalah kemungkinan ancaman yang datang dari China. China memiliki 24 buah pesawat Sukhoi-35. China merancang untuk melaksanakan program yang sama seperti Sukhoi-27 dan Sukhoi-30 yang dibeli mereka dari Russia iaitu dengan melakukan reverse engineering di mana dari program Sukhoi 27/30 lahirnya pesawat Shenyang J-11 dan J-16. Mereka merancang menghasilkan pesawat-pesawat copycat ini dalam jumlah yang banyak dan memang diketahui tahap kesiap-siagaan tentera People Liberation Army -Air Force sentiasa berada dalam tahap tertinggi. 



Realitinya keupayaan Sukhoi-35 masih belum teruji. Analisa yang dibuat berdasarkan latihan antara negara yang mengoperasikan Sukhoi-30 dengan negara-negara yang mengoperasikan pesawat blok barat di mana keputusan latihan itu samada tidak komprehensif atau dirahsiakan. Sementara itu pihak Russia pula galak menggembar-gemburkan keupayaan Sukhoi-35 dan kebanyakan kenyataan yang dikeluarkan diragui oleh pemerhati pertahanan. Malaysia memiliki Sukhoi-30 yang boleh dianggap tidak jauh beza kemampuannya dengan Sukhoi-35. Pemilikan pesawat dari blok barat dalam proses penggantian pesawat MiG-29 rasanya tidak akan menjejaskan kemampuan atau mencacatkan kekuatan TUDM dalam melindungi ruang udara negara. Mungkin pemilikan pesawat AWACS akan dapat membantu meningkatkan kemampuan TUDM dalam mengawal selia ruang udara Malaysia.