Tuesday, 2 October 2012

Terbakarnya Klewang


Di kala kita meraikan sambutan 55 tahun kemerdekaan Malaysia yang lalu, Indonesia telah melancarkan kapal pertama dari empat buah kapal daripada program KCR Trimaran yang dinamakan KRI Klewang. Gah dan agam kapal tersebut dilancarkan dengan penuh rasa bangga oleh rakyat Indonesia. Ini kerana, program yang dimulakan pada tahun 2007 itu telah dihasilkan di Indonesia dengan menggunakan seratus peratus tenaga anak tempatan. Rekabentuknya berdasarkan kepada rekabentuk oleh firma New Zealand; LOMOcean Design. Bahan binaan untuk badan menggunakan bahan komposit serat karbon dari China. KRI Klewang akan memulakan operasi pada 2013 dan tiga buah lagi kapal akan siap pembinaannya pada 2014. Sewaktu dilancarkan, KRI Klewang masib belum dilengkapi dengan persenjataan. Ia dikatakan boleh dilengkapkan dengan RBS-15, Penguin atau Exocet. Namun China telah diberi kepercayaan untuk melengkapkan KRI Klewang dengan persenjataan CIWS (Close In Weapon System). Selalunya negara-negara Eropah atau US tidak begitu cenderung untuk mengintegrasikan sistem persenjataan mereka dengan sistem persenjataan dari China. Jadi dikatakan Klewang akan dilengkapkan dengan persenjataan menyamai bot penyerang kelas Houbei yang dilengkapi peluru berpandu dari China. Namun belum sebulan kapal tersebut dilancarkan, ia telah mengalami kebakaran dan tenggelam. Dikatakan punca kebakaran adalah kerana lintar pintas dan oleh kerana badan kapal yang diperbuat daripada komposit serat karbon maka api merebak dengan begitu cepat tanpa dapat dikawal.
 
Kelajuan KRI Klewang mampu mencecah 35 knot dengan 27 orang kru tidak termasuk 10 orang anggota pasukan khas (jika perlu). Bentuk kapal ini juga direka dengan membolehkan bot pasukan khas (RHIB) diturun naikkan ke permukaan dengan mudah dan disimpan dengan baik sekiranya tidak diperlukan (lebih kurang macam hangar untuk RHIB). Rekabentuknya juga menjadikan kapal ini meminimumkan pantulan isyarat radar, infra red, akustik dan magnetik (kalau korang fahamlah apa maksudnya) yang memberikan kemampuan stealth pada kapal ini. Tapi aku pasti semua orang nak tahu perbandingan kapal KCR Trimaran ini dengan kapal dari program SGPV Malaysia. Pertama sekali ingin aku perjelaskan, KCR Trimaran tidak berada dalam kelas yang sama dengan SGPV. KCR Trimaran merupakan sebuah bot penyerang yang besar. Ia boleh disama kelaskan dengan bot penyerang Houbei dari China. Sementara SGPV pula merupakan sebuah frigate (atau LCS – Litoral Combat Ship, mengikut istilah TLDM). Walau pun ramai blogger Indonesia yang mendakwa KCR Trimaran ini adalah sebuah frigate namun frigate atau corvette memiliki ciri-ciri tertentu. Salah satu daripadanya ialah saiz. Saiz frigate selalunya adalah dari 80 meter ke 130 meter. Walaupun ada frigate dengan kepanjangan sekitar 70-80 meter namun jumlahnya sangat kecil dan seringkali diletakkan kategori frigate oleh negara yang memiliki kapal tersebut walaupun kesahihannya boleh dipertikai (ini lebih kepada taktik perang saraf). Namun belum ada lagi frigate bersaiz lebih kecil dari itu. Panjang KCR Trimaran pula hanyalah 63 meter. Panjang SGPV yang dicadangkan oleh TLDM ialah sekitar 90-100 meter. TLDM menyatakan mahukan LCS SGPV ini lebih panjang dari kapal kelas Kedah (panjang kapal kelas Kedah adalah 96 meter) tetapi lebih kecil dari saiz asal frigate Gowind. Kapal SGPV dibina berasaskan kepada frigate Gowind yang bersaiz dari 80-130 meter. Ada kemungkinan, secara spesifiknya, SGPV adalah berdasarkan Gowind 170 yang saiz asalnya ialah 115 meter.
Bot penyerang laju Houbei
 

Tempoh operasi KCR Trimaran pula hanyalah selama 10 hari berbanding frigate Gowind iaitu 21 ke 28 hari, bergantung kepada bekalan dan jumlah kru yang berada di atas kapal tersebut. Tempoh sepuluh hari adalah satu tempoh yang singkat bagi sebuah kapal untuk beroperasi di laut lepas. Jarak rondaannya juga agak terhad dan tidak boleh terlalu jauh dari pangkalan menyukarkan kapal ini melakukan rondaan yang efektif di perairan zon ekonomi eksklusif yang jaraknya amat panjang mengelilingi perairan sebuah negara seperti Indonesia apatah lagi untuk berada di perairan antarabangsa dalam satu tempoh masa yang lama. Jadi sekiranya Indonesia perlu untuk menghantar sebuah kapal untuk operasi ketenteraan (i.e. operasi membanteras lanun di teluk Aden) maka KRI Klewang bukanlah kapal yang sesuai untuk misi tersebut. Persenjataannya juga amat terhad. Mengikut perancangan, KRI Klewang akan dilengkapi dengan 8 peluru berpandu anti permukaan dengan jarak 120km, meriam berkaliber 40-57mm serta CIWS berkaliber kecil. Pendek kata, KCR Trimaran merupakan sebuah bot penyerang yang berperanan dalam tugasan rondaan persisiran pantai dan juga tugasan misi rahsia yang melibatkan pasukan khas. Bukan sebuah kapal perang barisan hadapan. Akronim KCR itu juga sebenarnya bermaksud Kapal Cepat Rudal yang merujuk kepada bot penyerang laju yang dilengkapi peluru berpandu.
Gowind 170

Formidable

Sebenarnya SGPV adalah jawapan balas Malaysia kepada enam kapal perang termoden milik Singapura dari kelas Formidable. Enam buah frigate ini yang terdiri daripada RSS Formidable, RSS Intrepid, RSS Steadfast, RSS Tenacious, RSS Stalwart dan RSS Supreme merupakan frigate termoden dengan rekabentuk stealth. Ini mungkin sebab utama kenapa TLDM tidak meneruskan program NGPV yang melibatkan kapal Meko 100 (Kelas Kedah) sebaliknya beralih kepada kapal kelas Gowind yang dianggap standing dengan kapal kelas Formidable. Frigate kelas Formidable dibina berdasarkan frigate kelas La Fayette. Program frigate kelas Formidable ini telah bermula sejak tahun 90an lagi dan pembinaannya bermula pada tahun 2002. Seperti juga Malaysia, Singapura tidak mengambil seratus peratus ciri-ciri frigate La Fayette sebaliknya ia disesuaikan dengan keperluan dan kehendak Republic of Singapore Navy (RSN). Kepanjangannya ialah 114 meter dengan berat 3200 tan. Kepanjangan SGPV ialah 90-100 meter dengan berat 2200-2400 tan. Mempunyai tahap kelajuan yang sama iaitu 22-27 knot. Boleh membawa kru sehingga 70-140 orang (termasuk kru udara dan pasukan khas jika perlu). SGPV pula adalah seramai 70-90 orang (termasuk kru udara dan pasukan khas jika perlu).
 
RSS Steadfast
Rekabentuk asas SGPV
Sistem radarnya ialah radar pelbagai fungsi jenis Thales Herakles yang membolehkan pemantauan tiga dimensi (udara, permukaan laut dan bawah permukaan laut) menjangkau jarak 250km. Apa yang menariknya ialah kemampuan radarnya yang bukan sahaja mampu menyerap pantulan radar musuh, malah mampu pula membias isyarat radar tersebut ke arah yang lain bagi mengelirukan pihak musuh untuk mengesan kedudukan frigate tersebut. TLDM pula mahukan sistem radar Thales Tacticos dipasang pada SGPV kerana ia adalah sistem yang sama yang dipasang pada kapal kelas Lekiu. Namun kerajaan Malaysia lebih berminat kepada sistem radar DCNS SETIS yang dikatakan memiliki kemampuan yang sama seperti sistem Thales Herakles. Frigate kelas Formidable boleh berlayar bersama sebuah helicopter jenis Sikorsky S-70 Seahawk bersama 14 orang krunya. Lengkap dengan hangar bagi menyimpan helikopter tersebut. SGPV juga akan memiliki kemampuan yang sama, membawa pesawat helikopter bersama krunya dan dilengkapi dengan hangar bagi membolehkan pesawat itu beroperasi di atas frigate SGPV. Saiz dan rekabentuk KCR Klewang tidak memiliki kemampuan tersebut. Ia tidak mempunyai platform pendaratan, apatah lagi hangar penyimpanan pesawat. Sikorsky S-70 Seahawk milik RSN dibina khas bagi kegunaan frigate kelas Formidable dengan tugasan khusus maritim dan berkemampuan untuk membawa apa yang dipanggil ‘dipping sonar’. Alat sonar berbentuk seperti boya yang dibawa pesawat dan akan direndam di bawah permukaan sedang pesawat terapung-apung di udara bagi mengesan kedudukan kapal selam. Ia juga mampu membawa dan melancarkan 3 torpedo jenis Raytheon. TLDM berhasrat untuk memiliki enam buah helikopter khusus untuk tugasan maritim bagi dipasangkan dengan frigate SGPV dan sudah pun mendaftarkannya ke dalam Rancangan Malaysia ke-10. Amerika Syarikat telah melobi pesawat MH-60 Seahawk sementara Eurocopter pula mengusulkan naval type EC725.    
 
Hangar & landing pad helikopter SGPV

Dari sudut persenjataan, frigate kelas Formidable dilengkapi dengan tiub VLS (vertical launch system) iaitu pelancar peluru berpandu secara menegak yang boleh melancarkan peluru berpandu anti pesawat Aster 15 yang menjangkau jarak 15km. Sebanyak 32 buah peluru berpandu boleh dibawa dalam satu masa. Bagi peluru berpandu permukaan ke permukaan, Formidable dilengkapi dengan peluru berpandu Boeing Harpoon yang mampu menjangkau jarak 130km. Frigate ini juga dilengkapi dengan tiga tiub pelancar torpedo dari jenis Eurotop A244. Selain dari itu, ia juga dipasang meriam Oto Melara 76mm dan 4 mesingan ringan CIS 50MG 12.7mm. Bagi frigate SGPV, masih belum ada kepastian akan persenjataannya. Apa yang nyatakan di sini adalah persenjataan yang dicadangkan oleh pihak Boustead Naval Shipyard dan DCNS namun pihak TLDM dikatakan mempunyai pilihan yang tersendiri. Persenjataan yang diusulkan DCNS dan Boustead Naval Shipyard adalah MBDA Mica untuk peluru berpandu anti pesawat. Namun TLDM berkehendakkan peluru berpandu Raytheon ESSM (Evolved Sea Sparrow Missile) yang boleh menjangkau jarak 50 km. Ini kerana telah diketahui bahawa pertahanan udara anti pesawat negara dipikul oleh TLDM kerana peluru berpandu anti pesawat dalam jarak sederhana hanya dilancarkan dari kapal-kapal perang. Persenjataan yang dimiliki GAPU (Grup Artileri Pertahanan Udara) tentera darat hanya terhad untuk pintasan pesawat dalam ketinggian yang rendah. Jadi kemampuan peluru berpandu permukaan ke udara yang akan dipasang pada SGPV bukan sahaja berperanan melindungi kapal tersebut malah juga melindungi ruang udara negara.
Aster 15

 Harpoon
Raytheon ESSM
Peluru berpandu permukaan ke permukaan pula, DCNS dan BNS mencadangkan peluru berpandu terbaru dari Kongsberg Defence & Aerospace iaitu NSM (Naval Strike Missile). NSM sebenarnya adalah kesinambungan daripada peluru berpandu jenis Penguin dan ia boleh mencapai jarak 180km. Jangkauan jarak peluru berpandu permukaan ke permukaan yang jauh ini signifikan dengan sebuah kapal stealth. Sebuah kapal yang gagal dikesan oleh radar, harus mampu melancarkan serangan peluru berpandu dari jauh bagi mengelakkan lokasi mereka dikesan pihak musuh. Apatah lagi armada TLDM adalah agak kecil dengan jumlah kapal penyerang berjumlah kurang dari 40 buah. Bayangkan jika kita terpaksa berhadapan dengan armada TNI-AL yang berjumlah lebih 300 buah kapal dan bot penyerang. Bagaimana pun TLDM memilih untuk menggunakan Exocet MM40 Blk III atas alasan logistic kerana kebanyakan kapal perang terkini milik TLDM menggunakan peluru berpandu jenis exocet. Meriam yang akan digunakan ialah Bofors 57mm MK2 sebagai meriam utama dan dua meriam sekunder 30mm dari MSI Defence system. Bagi torpedo, berdasarkan pada alasan yang sama seperti peluru berpandu Exocet iaitu kemudahan logistic, kemungkinan SGPV akan dilengkapi dengan sistem torpedo yang sama yang dipasang pada kapal kelas Lekiu iaitu torpedo Stingray dengan sistem pelancar B515
NSM

 Exocet
Bofors 57mm MK2

MSI 30mm
Dari perbandingan ketiga-tiga kelas kapal dari tiga buah negara jelas sekali KCR Trimaran ini bukanlah berada di dalam kelas yang sama seperti frigate kelas Formidable mahu pun LCS SGPV. KRI Klewang ini lebih merupakan sebuah bot penyerang laju. Flotilla yang sama kelas dalam TLDM mungkin dari kelas Perdana dan kelas Handalan yang merupakan FAC-M (Fast Attack Craft - Missile). Kalau perbandingan hendak dibuat dengan kapal dari Indonesia maka corvette kelas Sigma yang dimiliki Indonesia adalah lebih tepat untuk dikategorikan sama dengan SGPV. Indonesia memiliki empat buah corvette kelas Sigma 9113 iaitu KRI Diponegoro, KRI Sultan Hasanuddin, KRI Sultan Iskandar Muda dan KRI Frans Kaisiepo. Seperti juga frigate kelas Formidable dan dan SGPV, corvette kelas Sigma ini dibangunkan hasil kerjasama di antara Indonesia dengan Schelde Navalship Building. Program bermula pada 2004 dan corvette pertama ditauliahkan pada 2007. Memiliki kepanjangan 90 meter dengan berat 1700 tan, berkelajuan 28knot dengan anak kapal seramai 80 orang. Dilengkapi persenjataan peluru berpandu anti pesawat MBDA Mistral Tetral dengan jangkauan jarak sejauh 5km. Peluru berpandu permukaan ke permukaan ialah Exocet MM40 Blk II. Meriam utama Oto Melara 76mm dengan dua meriam sekunder Vector G12 20mm. Sistem torpedo ialah B515.
KRI Diponegoro 
Terbakarnya KRI Klewang umpama satu tamparan hebat buat TNI-AL. Malah ada blogger Indonesia yang mendakwa bahawa terbakarnya kapal tersebut adalah kerana sabotaj Paskal. Aku tak pasti tentang itu namun aku tidak percaya yang TLDM akan bertindak sedemikian rupa atas tujuan yang tidak pasti. Insiden ini amat memalukan TNI-AL namun pada aku ini adalah sesuatu yang normal. Dalam kita berusaha pasti akan berlaku kegagalan. Kita mungkin mentertawakan Indonesia di atas insiden ini namun harus diingat, Indonesia mempunyai semangat yang kuat. Aku pasti mereka akan belajar dari kesilapan dari kegagalan ini. Malah apa yang berlaku pada KRI Klewang tidak mencerminkan satu kegagalan buat Indonesia. Harus diingat, Indonesia dengan usahasama firma asing telah berjaya membina empat buah corvette kelas sigma dan akan membina frigate PKR 105 berdasarkan pada frigate Sigma 10514 bagi menyaingi frigate kelas Formidable dan SGPV. Indonesia juga telah berjaya membina 2 dari empat buah kapal MPCS (Multi-Purpose Command & Support) kelas Makassar hasil kerjasama dengan firma Daesun Shipyard iaitu KRI Makassar, KRI Surabaya, KRI Banjarmasin dan KRI Banda Acheh. Apa yang menakjubkan ialah semua program pembangunan dan penghasilan kapal-kapal ini (termasuk KCR Trimaran) memakan masa dalam tempoh lima tahun. Indonesia berhasrat untuk menggantikan kesemua kapal dan bot milik mereka dalam tempoh sepuluh ke limabelas tahun. Dan jika perancangan ini berjaya direalisasikan, maka tidak mustahil kalau TNI-AL memiliki armada terbesar dan terkuat di Asia Pasifik suatu hari nanti.
 
Bagaimana pula dengan Malaysia? Setelah beberapa tahun berlalu, program SGPV masih lagi diperingkat di atas kertas. Bagaimana pula dengan hasrat TLDM mahu memiliki dua buah kapal MPCS bagi menggantikan KD Mahawangsa dan KD Inderasakti yang telah uzur dan KD Inderapura yang terbakar? Bagaimana pula dengan hasrat TLDM mahu memiliki enam buah pesawat helikopter maritim? Dengan kapal peronda kelas Kedah yang gagal memenuhi objektif asal NGPV, tidak hairan kalau kejayaan program-program dan perancangan lain oleh TLDM diragui pihak awam. Mungkin pihak lain mempunyai pendapat yang berbeza tapi bagi pendapat aku, apabila projek NGPV yang sepatutnya menghasilkan 26 buah frigate yang menjadi frontline barrier pertahanan negara hanya berjaya membuahkan enam buah kapal bertaraf patrol vessel, ia adalah satu kegagalan! (Ni adalah pulak orang yang nak kerakyatan aku dilucutkan atau tuduh aku ejen PAP dan komunis). Jadi apakah apakah yang membuatkan Malaysia tidak mampu menjejaki Indonesia? Masalah birokrasi? Kekangan kewangan? Kekurangan kemahiran dan pengetahuan? Indonesia sama saja seperti Malaysia. Negara yang serumpun. Memiliki kekuatan ekonomi yang sama. Namun apa yang membezakan Indonesia dan Malaysia ialah mentaliti. Mentaliti kita sebagai rakyat Malaysia harus diubah. Kerana mentaliti kita kini berlakunya ketirisan, ketidak-telusan, rendahnya keyakinan, rendahnya rasa tanggungjawab, tidak gigih, tidak patriotik dan tidak komited dalam merealisasikan cita-cita kita. Bagaimana kita boleh menghadapi musuh jika kita masih tidak mampu melawan sifat mazmumah di dalam diri kita sendiri. Selagi sifat tamak, sifat angkuh, sifat rendah diri, sifat bodoh sombong masih kuat menyelaputi diri, sukar untuk kita melangkah ke hadapan. Malang sekali apabila ATM membentangkan begitu banyak perancangan hasil buah fikiran ahli pemikir dalam memajukan dan meningkatkan daya pertahanan negara namun ianya gagal dilaksanakan kerana sikap buruk sesetengah pihak yang telah dipertanggungjawabkan dalam melaksanakan amanah rakyat.
 
Sudah tiba masanya semua rakyat Malaysia berubah, berubah yang sebenar-benarnya berubah. Benar-benar bertransformasi, bukan sekadar retorik nak menang pilihanraya! Janganlah kita jadi Pak Pandir, lebai malang, Wak Dogol zaman moden. Kita memandang rendah, menghina dan mentertawakan negara lain sedangkan negara lain semakin jauh meninggalkan kita. Setiap perkara positif dan baik dari pihak luar atau negara jiran harus kita ikuti dan contohi. Pahlawan yang hebat tidak hanya tahu kelemahan musuh dan kekuatan sendiri, malah juga tahu kelemahan sendiri dan kekuatan musuh! KRI Klewang mungkin terbakar hari ini, tapi mungkin dari terbakarnya KRI Klewang, akan Indonesia lahirkan pula kapal pengangkut pesawat. Who laugh last, laugh louder!   


3 comments:

  1. Member aku pernah kerja sekejap kat bengkel kapal TLDM kat Manjung rasanya lepas SPM dulu. Dia kata, skru yang digunakan untuk salah satu kapal tu kena import dari Jerman. Skru kapal pun tak boleh buat sendiri lagi. Jangan cerita pulaklah bab senapang tempur utama (assault rifle). Pun masih kena beli dari luar. Padahal dulu kita zaman Langkasuka dulu, Jepun pun datang sini belajar buat meriam dari kita.

    ReplyDelete
  2. Nak seribu daya. Jepun lepas kalah perang dunia ke-2, Amerika blok diaorang dari sebarang pembangunan teknologi. Tapi Maharaja Jepun cakap, sekarang masanya untuk mereka berkorban nyawa demi membangunkan semula Jepun. Jadi Jepun pun hantar engineer dorang ke barat, curik segala ilmu pengetahuan tentang teknologi. Malah nak curi pengetahuan tentang automotif, dorang sanggup bunuh diri pastu member dorang sumbat segala maklumat tu dalam mayat dorang pastu hantar balik Jepun. Sampai macam tu sekali. Kita ni orang Melayu, susah sikit pun tak mahu. Indonesia baru je announce yang dorang akan teruskan pembinaan KCR Trimaran yang kedua biar pun Klewang terbakar dan tenggelam. Itu semangat kita orang Melayu kena ikut. Tak tahu putus asa. Jalan terus jalan!

    ReplyDelete
  3. setakat skru kapal, boleh je kalau nak 'custom'. buat pakai ss 316 pun tak ada masalah untuk disesuaikan dengan penggunaan di laut. buat kat sini lebih mudah dan murah. kecuali kita memang ada perjanjian untuk menggunakan alat ganti asli pengeluar. aku cadangkan kalau kita buat ToT pastikan tak ada perjanjian untuk menggunakan alatganti asli supaya semua part kita boleh 'custom'. tapi nak ke orang tengah ni buat perjanjian begitu. biasanya, lagi tinggi nilai barang, lagi tinggi la nilai komisyennya.

    ReplyDelete