Thursday, 15 May 2014

NATIJAH MH370



Belum reda sayu di hati kita akan tragedi Lahad Datu, berlaku pula tragedi yang baru. Kehilangan MH370. Dan tragedi MH370 ini adalah lebih besar. Dan rasanya tidak ada tragedi yang sebesar ini sebelum ini. Tragedi pesawat terhempas di Tanjung Kupang dan Highland Tower juga kelihatan kecil berbanding MH370. Begitu besar sehingga mendapat perhatian antarabangsa dari seluruh dunia. Sehingga artikel ini dipost, nasib MH370 belum dapat disahihkan lagi. Ia menimbulkan kebingungan oleh masyarakat aviasi dunia. Tidak pernah berlaku sebuah pesawat moden di zaman teknologi yang teramat canggih, baik pada pesawat mahu pun peralatan yang memantaunya, hilang begitu sahaja tanpa dapat dikesan di mana ia berada dan apa nasibnya. Malah pakar-pakar aviasi berpendapat, tragedi ini akan mengubah landskap aviasi pesawat komersil dalam skala yang besar kerana tidak pernah mereka menjangka sesuatu seperti ini boleh berlaku di zaman moden ini.

Dan kenyataan bahawa tragedi ini menimpa Malaysia, sebuah negara kecil yang jarang berlaku malapetaka yang mampu menarik perhatian dunia bagaikan mimpi ngeri buat Malaysia. Malaysia menjadi perhatian dunia namun bukan dalam konteks yang positif. Ia menjadi ujian yang getir buat negara. Disebalik tragedi ini, ia menyerlahkan apa yang tersirat yang selama ini tidak kelihatan atau sengaja tidak diendahkan. Aku cuba untuk kupas isu ini dari pelbagai sudut, seluas mana yang aku mampu.

Ditakdirkan tragedi MH370 ini melibatkan sejumlah besar rakyat China. Maka terserlahlah belang China yang sebenar akan bagaimana ia akan melayan Malaysia dan negara-negara yang lebih kecil darinya. Selama ini China cuba menyerlahkan imej sebuah negara yang bertolak ansur dan rasional dalam menangani pelbagai isu yang melibatkan mereka. Walau pun Filipina adalah antara negara yang mula menerima bahang sikap keras China namun tidak Malaysia. Malaysia yang berusaha mengeratkan hubungan dengan China biar pun isu Pulau Spratly umpama duri dalam daging pada kedua-dua buah negara. Malaysia cuba menenangkan keadaan dengan cuba berdiplomasi (atau pada aku, cuba tutup mata) dengan China berkaitan masalah ini. China seolah-olah turut melayan tarian Malaysia. Malah ada ketikanya China menggunakan Malaysia sebagai contoh bagaimana negara terlibat harus bereaksi berkaitan isu tuntutan kawasan bertindih dengan negara-negara lain.

Namun tragedi MH370 membuka sifat sebenar China. Hilang segala diplomasi, adab, sopan santun dan rasa hormat-menghormati China dengan Malaysia. Malaysia ditempelak dan dikritik serta diperlekeh kerajaan China berkaitan tragedi ini. China menggambarkan Malaysia umpama sebuah negara yang tidak berkemampuan dan lemah dalam isu ini. Habis segala perkara negatif dikorek dan di bentang di atas meja media. Sikap kurang ajar rakyat China yang menghina Malaysia pula tidak ditegur malah seolah-olah disokong kerajaan China dengan cara berdiam diri sementara media milik kerajaan saban hari menghentam Malaysia biar pun Malaysia bermati-matian berusaha setiap hari dalam usaha menjejaki MH370. Ini menimbulkan persoalan pada Malaysia jika perhubungan rapat dengan China membawa kesan yang positif atau sikap berdiplomasi Malaysia dilihat China sebagai sikap lemah dan takut pada negara tersebut. Sebaliknya negara-negara ASEAN seperti Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand, Vietnam, Brunei yang selama ini dikatakan sentiasa mencurigai antara satu sama lain, membuktikan erti setiakawan masih tinggi dalam diri masing-masing. Negara-negara ASEAN pantas menghulurkan bantuan sedaya yang boleh sambil tidak putus-putus mengucapkan takziah dan memberi sokongan pada Malaysia. Tidak ada di antara mereka yang mengkritik Malaysia apatah lagi merendah-rendahkan kemampuan Malaysia. Nyata hubungan ASEAN sebenarnya lebih erat dan utuh dari yang disangkakan.

Perkara ini disedari China. Malah China juga sedar apabila sikap 'kurang ajar' mereka terserlah sehingga ke peringkat dunia. Kini semua negara ASEAN mula menyedari sikap sebenar China (atau mereka mungkin sudah tahu namun buat-buat tak tahu). Ia menjadi lebih parah buat China apabila negara-negara barat dan yang pro barat mula menunjukkan simpati dan menghulurkan bantuan tanpa banyak soal, seolah-olah Malaysia adalah rakan akrab mereka. Rasanya tidak pernah dilihat hubungan yang begitu akrab di antara Malaysia dengan Australia sebelum tragedi ini. Australia berkelakuan seolah-olah pesawat yang terhempas adalah milik mereka dengan bersungguh-sungguh menjalankan operasi mencari dan menyelamat tanpa sedikit pun mempersoalkan kemampuan Malaysia. Mungkin ia bermotifkan politik namun ia berjaya mencuri hati Malaysia sekali gus merosakkan imej China. Begitu juga dengan negara Eropah seperti UK, Perancis, German dan US sendiri. Berusaha mencurahkan keringat membantu Malaysia. Rasanya tidak keterlaluan kalau dikatakan China adalah satu-satunya negara yang menempelak Malaysia sedangkan negara-negara lain bekerja keras membantu. Menyedari kesilapan mereka, China mula mengkritik Malaysia dengan cara yang lebih lembut. Sedar kemungkinan kehilangan sokongan Malaysia dari negara ASEAN (yang merupakan negara yang kuat menyokong penglibatan ASEAN+1 China), China mula menyatakan tragedi ini tidak menjejaskan hubungan Malaysia-China.

China semakin bimbang apabila mendapati tragedi ini telah membuka hubungan yang lebih akrab antara Malaysia dengan US. Lawatan Barack Obama baru-baru ini juga membimbangkan China. Penerimaan Malaysia akan lawatan Obama walaupun diwarnai bantahan beberapa pihak namun secara umumnya adalah lebih mesra penerimaannya berbanding sewaktu lawatan Presiden Xi Jinping tahun lalu. Lawatan Xi Jinping boleh dianggap tidak berbeza dengan lawatan pemimpin dari negara lain. Orang Malaysia tahu. Orang Malaysia tak ambil peduli. Tapi kehadiran Obama umpama rockstar. Dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar isu, semuanya jadi tumpuan. Penampilan Obama juga dilihat lebih mesra. Walaupun kita tahu, presiden Amerika tidak akan melawat sesebuah negara kecuali kalau terpaksa (in this case, mahu mendesak!) namun dia lebih berbudi bahasa. Jadi bezanya Xi Jinping datang Malaysia, paksa suruh bagi itu dan ini! Tapi Obama datang Malaysia, dengan lemah lembut meminta itu dan ini. Kata mudahnya, Obama lebih lunak desakannya berbanding Xi Jinping.

Kini persoalannya apakah pendirian Malaysia setelah apa yang berlaku? Najib tidak boleh mengambil pendekatan seperti bapanya, be friend with everyone, ally with no one! Zaman sudah berubah. China bakal jadi kuasa besar dunia. Dan mereka mahukan sesuatu milik kita! Kita yang lemah dari pelbagai segi, tahu yang kita takkan mampu untuk menyaingi China. Umpama David vs Goliath. Dari reaksi yang ditunjukkan Malaysia, kita bukanlah sekutu US tapi secara halusnya tampak kita lebih condong ke arah Uncle Sam. Ia sesuatu yang sensitif namun Malaysia terdesak. Najib terpaksa berhati-hati dalam setiap keputusan dan tindakannya. Umpama tarik rambut dalam tepung. Rambut tak putus, tepung tak berserak!

Perkara lain yang aku sedari dari tragedi MH370 ialah populariti Najib yang jatuh teruk. Bukan setakar di peringkat nasional tapi juga peringkat antarabangsa. Pada awal tragedi berlaku, dia tidak menunjukkan muka mahu pun memberikan sebarang kenyataan. Tugas menghadapi media digalas Hishamuddin Tun Hussein. Pihak media antarabangsa menganggap Najib umpama seorang pemimpin yang tak bertanggungjawab, penakut, try to play safe dan biarkan orang lain yang menghadapi tekanan. Apabila dia mula kelihatan mengambil tindakan melibatkan diri dalam insiden ini, dia dilihat pula sebagai lemah apabila terpaksa menemui pemimpin-pemimpin tertinggi negara lain bagi memberikan penerangan berkaitan MH370. Malah media China menyatakan yang Najib ditempelak pemimpin tertinggi China kerana lewat memberikan tindakbalas pada ahli keluarga mangsa. Pendek kata apa saja tindakan yang diambil Najib serba tak kena biar pun dia telah melakukan perkara yang sepatutnya. Dalam masa yang sama, populariti seorang lagi individu mencanak naik dengan tinggi. Juga di peringkat nasional dan antarabangsa. Siapa lagi kalau bukan Hishamuddin Tun Hussein.


Aku bukan minat sangat dengan Hishamuddin tapi aku harus akui, penampilannya sebagai frontman Malaysia menghadapi masyarakat dunia dalam tragedi ini benar-benar menonjolkan keperibadiannya sebagai seorang pemimpin yang berkaliber (samada dia berintegriti atau tidak itu soal kedua). Bayangkan sewaktu lawatan Obama ke Malaysia, Hishamuddin memperkenal diri, Obama menyatakan yang dia kenal Hishamuddin, menteri yang menguruskan insiden MH370! Kalau presiden Amerika boleh cam kau, memang betullah kau popular. Dari sudut politik, tragedi ini telah menaikkan rating Hishamuddin dan menjatuhkan rating Najib. Dan jangkamasa panjang, kalau Hishamuddin bijak, dia boleh meraih sokongan popular rakyat untuk merebut kerusi Perdana Menteri kalau sekiranya Najib sudah sedia berundur. Sebab di kala ini, menteri-menteri lain sudah tidak setaraf dengannya. Baik Muhyiddin, Khairy apatah lagi Zahid Hamidi. Jadi tugasan yang diberikan kepadanya sebagai menteri menangani tragedi ini in the way telah memberikan kelebihan politik padanya. Walau pun mungkin itu bukan perkara yang dia cari.

MH370 juga tidak keterlaluan untuk aku katakan telah menyerlahkan kekurangan serta kepincangan kelengkapan dan kemampuan pertahanan negara. Benda ni dah jadi macam lumrah. Bila Malaysia nak beli aset itu dan ini maka akan ada suara sumbang mengkritik. Malah aku tak boleh tahan dengar ada pihak bertanya, Malaysia beli itu dan ini, Malaysia nak perang dengan siapa? Siapa musuh Malaysia? Resmi kita bila terantuk baru nak tengadah! Bila sesuatu insiden sudah berlaku, barulah kita terhegeh-hegeh mahu menaikkan kemampuan dan kelengkapan sesuatu keperluan. Agak malu juga dirasakan apabila pakar menyatakan kemampuan sistem radar yang dimiliki Malaysia sangat terhad dan kurang berkemampuan sehingga negara yang terlibat dalam operasi SAR terpaksa menggunakan aset mereka sendiri. Itu tidak kira lagi aset sokongan seperti pesawat MMA (Maritime Multirole Aircraft) seperti P3 Orion dan P8 Poseidon, kapal peninjau HMS Echo dan pelbagai lagi. Kebanyakan aset ini mengalas tugas penting dalam misi SAR MH370 sedangkan pesawat C130 Hercules TUDM sekadar menjalankan tugas peninjauan visual kerana ia tidak dilengkapi teknologi yang diperlukan.
HMS Echo
 

P3-Orion
 

P8-Poseiden
 
Ada pula pihak yang mempersoalkan kehadiran kapal selam British, HMS Tireless dengan mengutarakan persoalan kenapa dua kapal selam TLDM tidak dikerah untuk terlibat dalam operasi SAR. Di sini ingin aku terangkan, perbezaan kapal selam kelas Perdana Menteri (Scorpene) dengan kapal selam HMS Tireless macam langit dengan bumi. HMS Tireless adalah kapal selam berkuasa nuklear sementara kapal selam TLDM berkuasa diesel elektrik. Tidak seperti HMS Tireless, kapal selam TLDM tidak sesuai untuk berlayar di laut lepas. Walaupun ia berkemampuan tetapi ia tidak digalakkan kerana risiko berlayar di laut lepas adalah amat tinggi. Sewaktu kedua-dua kapal selam TLDM berlayar pulang dari Perancis, kedua-duanya tidak belayar jauh dari persisir pantai sehingga tindakan mereka tidak disenangi oleh negara-negara dalam laluan mereka. Oleh sebab kapal selam milik Malaysia memfokuskan tugasan di kawasan persisiran jadi teknologi penderiaan bawah air terhad pada laut cetek. Tidak lagi diambil kira kemampuan kedalaman selaman. Anehnya pihak yang mengkritik adalah pihak yang sama yang menyatakan pembelian kapal selam adalah satu pembaziran. Mungkin mereka mahu menggunakan fakta ini sebagai bukti untuk menyokong dakwaan mereka akan pembelian aset pertahanan adalah satu pembaziran. Menyedihkan, betapa ramai pihak di Malaysia tidak boleh bersikap neutral apabila membincangkan isu berkaitan pertahanan. Dan bila sesuatu insiden tidak diingini berlaku, mereka masih mahu mencari salah dan bukan jalan penyelesaian.
 
HMS Tireless
 
Seperti insiden Lahad Datu apabila pihak keselamatan Malaysia dikritik kerana gagal menangani permasalahan dengan lebih efektif, pihak kerajaan segera mengutarakan pelbagai jalan penyelesaian namun lumrah di Malaysia, semua isu bermusim. Sebaik ia reda, ia tidak lagi menjadi kepentingan. Contoh terbaik ialah keperluan memiliki helikopter tempur bagi memudahkan tugasan cegah rintang dari pencerobohan pihak musuh. Ia dianggap keperluan berkepentingan tinggi namun akhirnya senyap dan diketepikan apabila situasi dianggap telah kembali pulih. Namun apabila insiden penculikan rakyat asing di Sabah berulang, isu pembelian aset ini kembali timbul. Dan seperti biasa pihak kementerian yang terlibat sekali lagi mendendangkan lagu keperluan untuk meningkatkan kemampuan kawalan keselamatan di Sabah. Seolah-olah kita tidak belajar dari tragedi yang berlaku. Persoalannya kini adakah kita akan belajar dari tragedi MH370? Betapa Malaysia perlu meningkatkan kemampuan beberapa bahagian dan aspek keselamatan berkaitan aviasi dan sistem radar. Hishamuddin menyatakan Malaysia akan meningkatkan kemampuan sistem radar negara secepat mungkin ekoran tragedi ini. Aku hendak tengok samada ia akan dilaksanakan atau retorik semata-mata. Kekangan kewangan dan keperluan pembangunan ekonomi adalah alasan yang sama yang akan digunakan bagi menjustifikasikan pengabaian peruntukan bajet bagi menaiktaraf kemampuan aspek-aspek tersebut.

Misteri kehilangan MH370 masih menimbulkan pertanyaan. Dan melihatkan situasi terkini, segala persoalan tidak mungkin terjawab dalam tempoh terdekat. Dan tragedi ini telah menimbulkan banyak teori konspirasi dan aku yakin akan menjadi modern myth mystery of the world selagi mana kehilangannya tidak terjawab atau bangkainya tidak ditemui. Bagi kita rakyat Malaysia, harapnya tragedi MH370 ini akan membuka mata semua pihak dan yang paling penting akan dapat menyatukan lagi semua lapisan dan kumpulan masyarakat di Malaysia. In the end of the day, we are all Malaysian! What ever tragedy come upon us, we all feel the pain!

1 comment:

  1. sekarang ini masih tidak kedengaran jawapan yang tepat dan betul daripada kerajaan, buat malu. Negara mudah dicerobohi dan senang sahaja, sebab itu pendatang banyak negara kita.

    ReplyDelete