Saturday, 7 November 2015

Helikopter Tempur Ringan MD-530G


Khabar bahawa Malaysia akan membeli lapan buah pesawat helikopter tempur ringan jenis MD-530G bertiup kencang. Perjanjian pembelian dikatakan akan ditandatangani pada bulan November sewaktu Malaysia menjadi tuan rumah persidangan Asia Timur yang akan turut dihadiri presiden AS, Barack Obama. Namun jika perjanjian gagal dicapai sebelum tarikh itu, ia akan dimuktamadkan pada DSA 2016, April tahun hadapan. Aku terdiam seketika membaca khabar ini. Tahun lalu heboh diperkatakan Malaysia bakal memiliki pesawat Eurocopter EC 665 Tigre. Segala-galanya menunjukkan pesawat Tiger ini akan mengisi keperluan inventori tentera Malaysia sebagai pesawat helikopter tempur. Sehinggakan sahabat kita di seberang laut yang bakal memiliki pesawat Apache galak mengutuk-ngutuk kita sambil membanding-bandingkan kekuatan Apache dan Tiger. Namun kini situasinya berbeza. Ekonomi negara yang diwar-warkan ‘the almighty’ Najib yang kononnya stabil ternyata berbeza pula realitinya. Bajet 2016 menyaksikan hampir semua sektor mengalami pemotongan. Hatta IPT juga menerima pemotongan. Dan peruntukan pertahanan yang sememangnya diketahui seringkali jadi mangsa turut menerima nasib yang sama. (Peliknya Jabatan Perdana Menteri pula mendapat kenaikan!)

MD-530G

 
Pembentangan bajet 2016 menyaksikan peruntukan pertahanan adalah penambahan aset yang sudah diketahui sekian lama (AV8, NGPV dll) selain peruntukan keperluan logistik ATM dan APMM. Tidak ada pengumuman peruntukan penambahan aset yang baru. Namun itu adalah amalan biasa. Selalunya pengumuman penambahan aset akan diumumkan di luar pembentangan bajet tahunan. Perkara yang sama berlaku pada pembelian pesawat MD-530G yang tersebar seminggu selepas pembentangan bajet 2016. Walau pun banyak khabar angin yang tersebar dan banyak juga yang tidak menjadi kenyataan namun khabar pembelian MD-530G ini dikatakan sahih kerana ia memenuhi keperluan ESSCOM dan sehingga kini semua keperluan ESSCOM sebahagian besarnya dipenuhi kerana dianggap sebagai keperluan ancaman yang nyata dan mendesak.

MD-530G adalah dari keluarga MD-500 yang dihasilkan berasaskan helikopter kegunaan tentera, OH-6 buatan firma Hughes. Namun firma ini dipecahkan kepada dua entiti iaitu Boeing yang menghasilkan pesawat untuk kegunaan tentera (AH-6 dan AH-64 Apache) dan McDonald Douglas (MD Helicopters Inc) yang menghasilkan pesawat awam. MD Helicopters Inc tidak seperti Boeing yang membina helikopter khusus untuk kegunaan tentera AS, baru cuba untuk kembali melibatkan diri ke dalam industri pertahanan dengan penghasilan helikopter MD-530F yang lebih spesifik penghasilannya sebagai sebuah pesawat helikopter tempur ringan yang sesuai untuk tugasan tinjauan dan sokongan udara dilengkapi dengan sistem persenjataan yang lebih canggih, radar, sistem pengimejan yang membolehkan ia beroperasi pada waktu malam.
Boeing AH-6i

MD-530G pula adalah versi terkini berasaskan MD-530F yang dipertingkatkan kemampuannya. Khususnya dari segi persenjataan yang lebih canggih. Antara modifikasinya ialah dengan mengukuhkan gear mendarat membolehkan pesawat menampung lebih berat persenjataan yang dibawa. Peralatan radio taktikal yang lebih canggih, pemasangan tangki minyak tambahan dan juga panel perisai  balistik selain pemasangan sayap tambahan yang membolehkan lebih banyak persenjataan dan tangki tambahan dipasang yang juga disambungkan ke sistem pengurusan dalaman yang membolehkan segala persenjataan dan maklumat berkaitan kelengkapan yang dipasang dikawal oleh juruterbang di kokpit. MD-530G boleh dilengkapi persenjataan seperti minigan, mesingan berat, roket panduan laser dan juga peluru berpandu anti tank.

Bagaimana pun berpandukan pada situasi ekonomi dan juga keperluan pesawat ini di ESSCOM, kemungkinan pesawat ini akan hanya dilengkapi mesingan (kemungkinan besar gatling gun yang kini galak dipasang ATM pada Nuri dan AW-109). Tidak ada pelancar roket mahu pun peluru berpandu kerana ancaman yang dihadapi hanyalah pihak militan yang biasanya bersenjatakan senjata ringan. Perlu diingat, peranan utama pesawat ini adalah sebagai pesawat scout attack iaitu mengesan kedudukan musuh dan memberi sokongan udara. Kepantasan adalah amat penting. Persenjataan yang berlebihan akan hanya menambah berat pesawat yang akan menyebabkan penggunaan minyak lebih serta menyukarkan pemacuan pesawat. Kelajuan maksima mencecah 282km/h dengan jarak penerbangan 426 km. Ia mampu terbang selama dua setengah jam jika dilengkapi tangki tambahan (tangki tambahan mampu membawa 35 gelen bahan api yang membolehkan pesawat terbang dengan tempoh tambahan sejam). Pesawat ini juga dilengkapi kamera sistem pemantauan taktikal WESCAM MX-10 yang di pasang pada bahagian hadapan pesawat yang membolehkan juruterbang mendapatkan imej EO (Electro Optical) yang stabil, beresolusi dan berdefinasi tinggi serta berwarna serta imej infra merah dan pengenal-pastian geopoint dan geolocation berketepatan tinggi selain penyasaran laser ke arah sasaran. Dan sudah pasti helmet juruterbang yang akan dilengkapkan dengan teknologi NVG (Night Vision Goggle) membolehkan pesawat ini beroperasi pada waktu malam.

Sebenarnya MD-530G bersaing rapat dengan ‘kembarnya’ iaitu AH-6i, versi terkini yang dinaiktaraf dari versi MH-6. Perbezaan fizikal antara MD-530G dengan AH-6i ialah MD-530G memiliki lima bilah kipas utama dan dua bilah kipas ekor sementara AH-6i memiliki enam bilah kipas utama dan empat bilah kipas ekor. Ini membuatkan pesawat AH-6i punya kelebihan dari segi kawalan pemacuan dalam keadaan panas dan beraltitud tinggi. Kelebihan AH-6i yang lain adalah kerusi juruterbangnya yang lebih tahan terhempas, tangki minyak yang boleh menampung kebocoran serta mampu membawa jumlah amunisi yang lebih berbanding MD-530G. Selain itu AH-6i berasaskan pesawat MH-6 yang mempunyai rekod pertempuran kerana digunakan dengan meluas oleh pihak tentera AS dalam banyak konflik bersenjata. Rekod cemerlang ini meyakinkan Jordan dan Arab Saudi untuk membeli AH-6i bagi kegunaan tentera mereka. MD-530G pula berasaskan pesawat MD-530F dimana rekod perkhidmatannya agak negatif. Pada tahun 2011, MD Helicopter Inc berjaya mendapatkan kontrak membekalkan pesawat MD-530F kepada angkatan tentera udara Afghanistan. Juruterbang Afghanistan mengkritik akan kemampuan pesawat MD-530G yang tidak mampu terbang dalam jarak jauh untuk sampai ke kawasan persembunyian Taliban selain persenjataan mesingannya yang tidak menepati sasaran dan seringkali tersekat (jammed).

MD-530F milik tentera Afghanistan
Walaupun Malaysia dikatakan akan membeli lapan unit MD-530G namun jumlah ideal adalah duapuluh empat. Bagaimana pun jumlah lapan buah ini dibeli hanya untuk memenuhi keperluan ESSCOM dan bukan sebahagian dari program pembangunan dan pemodenan ATM. Kita semua tahu ATM sebenarnya mahukan pesawat tempur berat seperti Tiger, Apache, Cobra mahu pun Rooivalk. Namun keadaan kewangan sekali lagi menjadi penghalang. Malah kalau dilihat dari sejarah, pembelian MD-530G ini kemungkinan akan menyebabkan harapan untuk melihat pesawat helikopter tempur berat berada dalam inventori ATM tidak akan dapat direalisasikan dalam tempoh terdekat ini. Malah kemungkinan besar di masa hadapan, kerajaan akan hanya menambah jumlah pesawat MD-530G dan bukan membeli pesawat tempur baru. Aku sebenarnya agak kecewa dengan keputusan pembelian MD-530G. Satu sebabnya sudah tentu kerana aku kepingin sangat melihat Tiger menjadi milik kita. Dan dengan segala apa yang berlaku yang menunjukkan kita begitu hampir memiliki pesawat buatan Perancis itu, sayangnya masalah kewangan yang begitu mengikat menyebabkan ATM terpaksa melupakan pesawat yang diidam-idamkannya itu. ‘Beggar cannot choose’ bak kata pepatah. Namun apa yang lebih menyedihkan ialah apabila pilihan antara MD-530G dan AH-6i, kerajaan memilih pesawat yang lebih murah dan ekonomi dan bukannya yang lebih berkemampuan. Bererti pesawat dipilih berdasarkan kantung kewangan negara yang semakin menipis.

EC-665 Tiger, impian yang dekat tapi jauh

Timbul persoalan kalau faktor kewangan jadi penyebab Tiger tidak dipilih, kenapa tidak dinaiktaraf saja pesawat AW-109 agar dilengkapi persenjataan? Antara sebab pemilihan MD-530G berbanding AH-6i atau melengkapkan persenjataan pada AW-109 adalah kos penyelenggaraan dan pengoperasiannya yang lebih murah. MD-530G ini pasti akan ditempatkan di pangkalan laut Tun Sharifah Rodziah dan kapal pangkalan laut KD Tun Azizan (sebuah pesawat di setiap pangkalan dalam satu-satu masa). Ruang yang minima diperlukan oleh MD-530G berbanding pesawat lain, contohnya AW-109. Malah sifat MD-530G yang kurang kompleks berbanding pesawat seperti Tiger mahu pun AW-109 membolehkan sebarang masalah teknikal boleh ditangani di kedua-dua pangkalan laut ini tanpa perlu dihantar ke pangkalan darat yang pastinya memakan masa dan kos. Selain dari itu, faktor pembelian yang lebih mudah pesawat MD-530G berbanding AH-6i turut menjadi penyebabnya. MD-530G boleh didapatkan terus melalui penjualan komersil kerana ia masih dianggap pesawat komersil sementara AH-6i perlu mendapatkan kelulusan penjualan persenjataan Amerika Syarikat pada negara asing. Walaupun isu ini masih boleh dipertikaikan dimana hanya pesawat yang boleh dibeli secara terus sementara pemerolehan persenjataannya masih terpaksa melalui proses mendapatkan kelulusan dari pihak kerajaan AS.

KD Tun Azizan

Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah

 
Namun isu yang paling menyedihkan aku dalam hal ini bukanlah jenis helikopter yang dipilih semata-mata. Tetapi kenyataan di mana negara-negara jiran lain giat meningkatkan kemampuan ketenteraan mereka, Malaysia pula kelihatan seperti memperlahankan usaha sedangkan Malaysia antara negara terawal di Asia Tenggara yang memulakan usaha pemodenan angkatan tenteranya. Filipina yang tidak punya kekukuhan ekonomi kini begitu giat meningkatkan kekuatan tentera biar pun kemampuan kewangan mereka terhad. Untuk pengetahuan, Filipina adalah antara negara terawal menggunakan pesawat MD-500 sebagai pesawat tempur ringan bagi menyokong usaha mereka menghadapi insurgensi di selatan Filipina. Dan kini mereka membeli pesawat AW-109 yang dilengkapi senjata sebagai langkah memodenkan skuadron pesawat tempur mereka. Ironi bukan, bila Malaysia sebenarnya negara pertama di Asia Tenggara memiliki pesawat AW-109 berorientasikan ketenteraan dan kini beralih kepada pesawat MD-530G bagi menubuhkan skuadron pesawat helikopter tempur. Seolah-olah kita berundur dan bukannya maju ke hadapan.

AW-109 yang dilengkapi senjata
Negara-negara tetangga seperti Vietnam, Indonesia, Filipina, Thailand, Brunei dan Singapura begitu gigih meningkatkan kemampuan pertahanan mereka kerana bimbangkan ancaman China di Laut China Selatan namun kita masih menggunakan ‘jalan diplomasi’. Sewaktu ekonomi negara kukuh, alasan mengutamakan ekonomi digunakan untuk menjustifikasikan peruntukan kecil dalam sektor pertahanan. Namun kini bila ekonomi lemah, alasan kekangan kewangan pula digunakan. Jadi bila masanya yang sesuai bagi pihak kerajaan meletakkan kepentingan pertahanan nasional sebagai agenda yang penting? Bila musuh sudah di sempadan dan sedia menceroboh kedaulatan negara? Ramai orang kritik pembangkang dengan pandangan bodoh mereka berkaitan penambahan aset pertahanan. Tetapi tak ramai pula yang mahu mengkritik sikap parti pemerintah kini yang gemar berpolitik selain punya agenda peribadi apabila melibatkan isu pertahanan.

Aku memperumpamakan pembelian pesawat MD-530G ini umpama seorang anak meminta ayahnya membeli permainan. Tetapi si ayah tak mampu. Jadi si ayah belikan gula-gula bagi membeli jiwa anak itu sedangkan hakikatnya si anak tidak akan dapat permainan yang diinginkannya. Itulah yang berlaku kini antara pihak kerajaan dengan ATM. Kerajaan tak mampu membelikan pesawat helikopter yang lebih canggih seperti Tiger, jadi dibelikan MD-530G. Dan hakikatnya ATM kemungkinan tidak akan langsung berpeluang memiliki pesawat seperti Tiger sampai bila-bila kerana harapan ini telah disimpan sejak dari dulu namun tidak pernah direalisasikan. Dan senario pemilihan aset berdasarkan kantung kewangan dan bukannya kualiti ini bagai bakal menjadi amalan. Contohnya, sudah ada cadangan agar pesawat ISR F-5 yang telah disarakan digantikan dengan pesawat yang lebih murah. Aku pernah ketengahkan isu kemungkinan ATM memilih pesawat Textron Airland Scorpion bagi menggantikan F-5 sebagai pesawat ISR negara kerana faktor harganya yang lebih murah. Namun Malaysia punya idea yang lebih rendah dari itu. Menggantikan pesawat F-5 dengan pesawat ringan Cessna AC-208 Caravan. Harga pesawat ini dikatakan satu pertiga dari harga pesawat Textron Airland Scorpion selain kos penyelenggaraannya yang menyamai kos pesawat ringan. Jadi masalah kewangan membuatkan kita benar-benar terdesak sehingga sanggup merendahkan kualiti aset pertahanan kita? Pesawat F-5 adalah sebuah jet pejuang tapi bakal diganti dengan pesawat ringan? Bukankah tindakan ini dilihat umpama melangkah kebelakang? Jadi adakah kita akan menggantikan MiG-29 dengan pesawat tempur ringan seperti FA-50 yang dibeli Filipina dan Thailand? Atau pesawat yang lebih murah seperti pesawat turboprop Super Tucano yang dimiliki Indonesia?

Cessna AC-208 Caravan

 
Adalah amat menyedihkan dengan segala tenaga, usaha dan idea yang telah dibentangkan selama ini menyaksikan kita umpama kembali berundur dan bukannya maju ke hadapan bagi mencapai objektif menjadi negara dengan kemampuan pertahanan moden yang mampu menghadapi ancaman musuh di abad ke 21. Ekonomi Malaysia akan kembali kukuh dalam tempoh beberapa tahun ini. Malaysia akan kembali menikmati kemewahan hasil dari penjanaan ekonomi, perindustrian dan hasil sumber asli negara. Dikala itu aku mahu melihat adakah kerajaan Barisan Nasional maha bijaksana dan mulia ini (jika mereka masih berkuasa pada ketika itu) akan berubah minda dan mula menitik beratkan isu pertahanan atau akan tetap dengan sikap sedia ada yang memandang ringan kepentingan keselamatan nasional dengan menggunakan alasan mengutamakan kepentingan ekonomi sebagai hujah untuk peruntukan terhad pertahanan tapi dalam masa yang sama berbillion ringgit wang negara masuk ke dalam poket kroni-kroni mereka!       

7 comments:

  1. Salam,
    Menurut pandangan saya, pembelian MD-530G adalah suatu keputusan yg mencukupi walaupun tidak terlihat bijak bagi segolongan pihak. Selain dari isu kewangan saya yakin pihak yg terlibat telah membuat kajian mereka tersendiri apa keperluan yg mereka inginkan. Kita yg berada di luar cuma mampu memberikan pandangan yg saya yakin tak akan pernah dapat memuaskan SEMUA orang. Contohnya bila seandainya pihak kerajaan membuat keputusan untuk membeli pesawat lain seperti Tiger dapatkah kita menjamin tak akan ada suara yg akan mempertikaikan pembelian tersebut? Mungkin ada pula suara2 sumbang berkata "mengapa tak beli Apache?" dan sebagainya.
    Semua maklum bahawa pembelian helikopter ini adalah untuk keperluan memberi lebih pengawasan di ESSCOM. Bila bersangkut dengan ESSCOM kita kena melihat apa penyebab tertubuhnya ESSCOM ini?
    Peristiwa pencerobohan puak pengganas Sulu lah yang menjadi punca. Saya percaya majoriti mereka yg berfikiran rasional pun turut mempunyai kepecayaan yg sama. ESSCOM tidak ditubuhkan kerana peristiwa penculikan pelancong2 di pulau2 di perairan Sabah. Bukan juga berpunca dari kegiatan lanun yg dari berabad dulu tidak pernah dapat dihapuskan. Malah sewaktu hangatnya isu Ambalat di perairan Sabah pun tidak menjadi punca kepada penubuhan ESSCOM.
    Bila tujuan utama pembelian MD-530G ini adalah untuk ditempatkan di ESSCOM, menurut saya memang memadai. Kenapa? Sebab tugas pesawat ringan ini memang sesuai untuk kegunaan di sana. Bagi saya untuk menjalankan tugas pengawasan di ESSCOM pembelian pesawat seperti TIGER atau APACHE adalah suatu pembaziran. Kenapa? Sebabnya cukup mudah, sudahlah harganya mahal, kos utk pengoperasian yg tinggi dan 'maintenance' pesawat tersebut berkali ganda dari mengoperasikan helikopter serang ringan seperti MD-530G ini.
    Sebab yang lain lagilah mudah untuk kita fikirkan, ingin sy tanyakan pada pembaca, selama ini pihak pengganas Sulu atau yang lain (Abu Sayyaf dll) mempunyai berapa banyak kereta kebal? Jangankan kereta kebal, kereta perisai pun tak punya. Ada berapa banyak pula pihak pengganas ini memiliki bot tempur? Apalagi kapal2. Kalau untuk menceroboh Sabah pun mereka gunakan bot pancung, patutkah kita memperoleh Tiger atau Apache bagi menghadapi mereka yang sentiasa berjalan kaki ini? Isu di sini bukanlah perang dalam skala besar, isunya adalah pencerobohan bersenjata berskala yang amat kecil. Sebab itulah PT-91M, Astros II MLRS maupun meriam besar 155mm tak payah susah2 untuk diangkut ke sana sewaktu pencerobohan berlaku. Helikopter tempur berat seperti Apache maupun Tiger fungsi utamanya adalah menghapuskan ancaman kereta kebal atau kereta perisai bukan direka untuk bertempur dengan infantri (tentera pejalan kaki).
    Jadi perlu tak Tiger atau Apache di sana? Tak payah fikir lama2 saya pasti anda dapat jawapannya.
    Bagi saya pembelian MD-530G boleh dianggap sebagai latihan peralihan untuk anggota2 tentera kita sebelum beralih ke helikopter tempur yang lebih canggih. Ibarat sebelum mendapat lesen 'E' penuh kita perlu ada lesen 'D' terlebih dahulu. Sedang untuk memindahkan operasi dari TUDM ke TDM memakan masa bertahun2 dengan latihan dan sebagainya...yang sampai ke hari ini masih berterusan dan belum selesai, apalagi untuk langsung menggunakan helikopter tempur berat.
    Segala macam karenah politik dalam pembelian peralatan angkatan tentera kita saya rasa sudah menjadi "rahsia umum" dan kita amat menyesali ia masih juga berlaku. Cuma dalam isu yang ini saya anggap kerajaan telah mengambil tindakan yg 'cukup'. Kecualilah bila kita dipaksa untuk berperang dengan negara tetangga yang lain (nauzubillah) tapi kerajaan kita tidak melengkapi angkatan tentera kita dengan helikopter seperti Apache, Tiger atau KA-50 dan membeli pesawat seperti MD-530G ini bertempur di medan perang menentang angkatan kereta kebal dan sebagainya, barulah tindakan seperti ini bukan sahaja saya anggap sebagai kesilapan tapi akan saya anggap sebagai perbuatan bodoh dan gila.

    ReplyDelete
    Replies
    1. This comment has been removed by a blog administrator.

      Delete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  4. Militer Malaysia dilengkapi senjata yang modern yang canggih

    ReplyDelete
  5. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  6. Ni mungkin strategi ketenteraan kita org awam x thu sbb fikir dgn logik mustahil negara kita hanya memiliki sekitar 56 buah helikopter dan 48 buah kereta kebal dan beberapa aset lgi tu cuma keperluan biasa pasti aset rahsia lain dibeli atau dibina sendiri disimpan rapi utk keselamatan mne thu kan

    ReplyDelete