Sunday, 17 February 2013

Bajet Pertahanan 2013


Apabila diumumkan tiada peruntukan tambahan dalam bajet pertahanan 2013, ramai yang tunding jari menyalahkan Tian Chua, PKR dan Pakatan Rakyat yang suka sangat memfitnah dan memperlekehkan ATM. Aku rasa nak tergelak. Sejak bila Barisan Nasional tunduk pada tekanan Pakatan Rakyat atau PKR apatah lagi Tian Chua? Hanya satu perkataan akan jawapan sebab utama kenapa tiada peruntukan tambahan; PILIHANRAYA! Kadang-kadang aku pelik bila baca blog yang menyatakan mereka patriotik dan tidak mencampur-adukkan pertahanan dan ketenteraan dengan politik. Tapi post mereka menunjukkan sebaliknya. Aku pun kadang-kadang tak puashati cara orang-orang PKR menyindir ATM. Malah aku menyokong sebarang usaha menambah aset, menaiktaraf kemampuan sistem pertahanan dan program pembangunan pertahanan negara. Cuma masalah di sini seperti yang selalu aku nyatakan, adanya pihak yang mengaut untung atas angin. Malah kadang-kadang aku rasa pelik bagaimana golongan ‘patriot’ ini walaupun setelah mengetahui kewujudan ‘orang tengah’ ini, masih lagi mempertahankan sistem yang digelar ‘konsultan’ ini. Kononnya negara lain pun sama guna orang tengah. Kalau takda orang tengah susah hendak mendapatkan peralatan tertentu bagi melengkapkan aset negara atau proses pembelian akan mengalami kesukaran. Negara lain guna orang tengah tapi bayaran yang diterima takdalah sampai 10% dari jumlah urusan jual beli (kadang-kadang konsultan Malaysia dapat lebih tinggi). Seolah-olah mereka tak pernah berusaha untuk buat sedikit research tentang perkara ini. Apabila indeks anti rasuah pertahanan antarabangsa dikeluarkan, Malaysia dikelaskan dalam kumpulan D-. Kelakar bila tengok Zahid Hamidi melompat dan menyerang badan kajian tersebut. Sepatutnya dia ambil ikhtiar bagaimana mahu memperbaiki penilaian ke atas Malaysia agar Malaysia naik setakuk di penilaian akan datang.

Sebenarnya Malaysia tidaklah teruk sangat. Malah aku agak terkejut apabila dapat tahu Singapura dan Thailand hanya dapat D+. Indonesia lagi teruk, E! AS dan UK pun cuma dapat B. Hanya dua buah negara yang dapat A. Australia dan Jerman. Daripada laporan penilaian ke atas Singapura, Malaysia dan Indonesia dapat aku rumuskan begini. Antara Singapura dan Malaysia takda jauh bezanya. Apa yang membuatkan Malaysia dan Singapura mendapat D ialah kerana penyata perbelanjaan, audit serta kelulusan peruntukan kecemasan dirahsiakan. Selain dari itu Singapura dan Malaysia tidak ada apa yang dipanggil Jawatankuasa Khas Pemantau dalam memantau pengaliran wang peruntukan yang dikeluarkan. Bagaimana wang dikeluarkan, untuk apa digunakan dan adakah peruntukan itu digunakan dengan berhemah. Bagi negara macam AS dan UK memang ada Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan bagi memantau peruntukan belanjawan pertahanan dan ketenteraan. Malah ahli jawatankuasa ini dianggotai oleh ahli parlimen pemerintah dan pembangkang dan juga pakar dalam bidang berkaitan serta pakar undang-undang dan kewangan. Namun apa yang membezakan Singapura dan Malaysia menurut laporan tersebut ialah kurang keberkesanannya SPRM dalam mengambil tindakan atau siasatan sebarang kes berkaitan pertahanan atau bahasa kasarnya SPRM tidak ada taring untuk siasat benda ni. Selain dari itu perlantikan konsesi dan pemberian kontrak dibayangi pengaruh kronisme atau meritokrasi. Sementara laporan Indonesia pula boleh dikatakan amat teruk. Biar pun Indonesia ada jawatankuasa pemantau khas namun pemberian kontrak atau sebarang keputusan berkaitan pembangunan pertahanan dipengaruhi parti pemerintah. Malah dilaporkan, badan yayasan ketenteraan Indonesia yang banyak terlibat dalam projek pertahanan dikatakan terlibat dalam mengeksploitasi sumber alam, jenayah dadah dan perjudian dalam mengaut keuntungan. How bad is that? Sekurang-kurangnya kita tahu ATM takda buat benda macam tu. Namun bagaimana pun masih ada banyak ruang yang boleh diperbaiki bagi Malaysia naik ke ranking yang lebih baik. Dan bagi mereka yang suka menyokong membabi buta, beria-rian menyatakan jangan dicampur-adukkan politik dan pertahanan, itu pendirian mereka. Aku hanya boleh hormat pendapat mereka.

Berbalik kepada isu peruntukan pertahanan 2013 yang tidak ditambah. Menurut Zahid Hamidi sebab utama tiada peruntukan tambahan bagi membolehkan kerajaan BN memberikan tumpuan pada pembangunan sosio-ekonomi rakyat. Kebiasaannya bajet pertahanan akan disertakan dalam Rancangan Malaysia dalam tempoh lima tahun sekaligus. Namun kerajaan bimbang ia akan memberikan impak negatif pandangan rakyat akan perbelanjaan kerajaan maka ia dilakukan mengikut tahunan. Mengikut rekod, pada 2012, jumlah peruntukan mengikut cabang ketenteraan adalah seperti berikut:-
Tentera Darat memohon peruntukan RM 1.16 bilion namun hanya mendapat RM 541 juta. Ini memberikan kesan pada perancangan tentera darat dalam meningkatkan kemampuan battalion infantry dan rejimen artileri, pemerolehan sistem rangkaian radio serta aset udara. Tentera darat berhasrat untuk menambah rejimen pelancar roket berganda Astross II selain mendapatkan meriam artileri Howitzer. Selain itu tentera darat juga berhasrat untuk mewujudkan unit udara yang terdiri dari rejimen peninjau, utility dan serangan. Sehingga kini hanya rejimen peninjau sahaja yang berjaya direalisasikan dengan pemilikan 11 pesawat Agusta A109.
  
Tentera Laut pula memohon RM 4.39 bilion tapi hanya mendapat RM 759 juta. Program pemerolehan kapal sokongan pelbagai peranan bagi menggantikan KD Inderapura yang terbakar terpaksa ditangguhkan. Begitu juga dengan perancangan menaik taraf tempoh hayat dua friget kelas Lekiu yang kini menjangkau usia 20 tahun. Selain dari itu TLDM juga dikatakan menggesa agar program SGPV disertakan sekali dengan pembelian 6 buah pesawat helikopter dengan peranan marin. Ini penting bagi memastikan setiap friget SGPV berkemampuan menghadapi pertempuran dari udara, darat, permukaan dan bawah laut dan mampu berlayar di laut lepas secara berdikari dan tidak sekadar di persisir pantai.

Permohonan tentera udara adalah RM 2.49 bilion namun hanya menerima RM 983 juta. TUDM menerima kesan yang agak teruk. Dengan perancangan penggantian MiG-29 menjadi fokus utama, ia terpaksa ditangguhkan walaupun pada asalnya Kementah merancang untuk mengumumkan pesawat yang akan menggantikan MiG-29 selewat-lewatnya pada tahun 2012. Dikatakan TUDM sebenarnya sudah muktamad dengan memilih Eurofighter Typhoon sebagai pengganti. Namun Kementah tidak memberikan sebarang keputusan. Malah keadaan menjadi rumit apabila berdasarkan anggaran bajet asal, TUDM hanya mampu memiliki 10 ke 12 unit pesawat sahaja kalau Typhoon mahu pun Rafale menjadi pilihan. Dan ini adalah sesuatu yang tidak dipersetujui TUDM. Dan menyebabkan TUDM menimbangkan hasrat untuk menyewa 18 pesawat Saab Gripfen. Sebenarnya menyewa pesawat bukanlah sesuatu yang menguntungkan dalam jangka masa panjang namun ia kemungkinan terpaksa dilakukan biarpun TUDM masih belum membuat sebarang keputusan. Kalau ia berlaku, Malaysia bukan negara pertama menyewa pesawat Gripfen. Negara lain yang menyewa pesawat ini ialah Republik Czech dan Hungary, masing-masing dengan 14 buah pesawat.

Kenyataan dari TUDM ini hanya menguatkan lagi ura-ura bahawa TUDM akan mendahulukan program pemerolehan pesawat AEW&C. Dua pesawat menjadi pilihan iaitu E-2D Hawkeye buatan firma Northrop Grumman dan Erieye oleh Saab. Sebenarnya Erieye telah pun dipilih TUDM pada tahun 2005 tapi program itu dibatalkan akibat masalah ekonomi dunia pada 2008. Saab yang mencuba taktik serampang dua mata, telah memasarkan Erieye dan Gripfen. Ia tampak berjaya lebih-lebih lagi apabila Saab mengikat perjanjian berkerjasama dengan DRB Hicom dalam program Erieye. Kerjasama itu juga melibatkan pemindahan teknologi dalam skala besar (maksudnya DRB Hicom akan diberi kemahiran dan kepakaran dalam membangunkan teknologi AEW&C). Perkhabaran yang aku terima menyatakan kerajaan akan meluluskan pembelian 3-4 buah pesawat Saab 340 yang dipasang sistem radar Erieye. Pembelian bernilai lebih RM 1 bilion. Walaupun sebenarnya kemampuan E-2D Hawkeye adalah lebih memberangsangkan namun harga setiap pesawat sangat mahal melebih setengah billion ringgit sedangkan TUDM memerlukan sekurang-kurangnya 2 pesawat AEW&C. Ini kerana tidak seperti Erieye yang ditenggekkan pada sebarang pesawat, E-2D Hawkeye dibina secara unit dengan pesawatnya. Aku yakin kemungkinan pembelian Saab 340 Erieye turut melibatkan kontrak sewa 18 pesawat Saab Gripfen.
E-2D Hawkeye

Sistem Radar Erieye
Pesawat Saab 340

Persoalan yang berlegar kini, adakah ini bermakna TUDM akan melupakan pembelian pesawat menggantikan MiG-29? Jawapannya tidak. Cuma program itu mungkin akan ditangguh sehingga kerajaan mampu untuk memperuntukkan bajet untuk program tersebut. Buat sementara waktu TUDM akan menggunakan Gripfen. Persoalan kedua timbul. Adakah TUDM akan membeli Gripfen dan tidak Typhoon dan Rafale? Persoalan itu agak sukar dijawab. Ini kerana aku pasti TUDM masih menaruh perasaan (macam cerita romantik plak) pada Typhoon. Dan melihatkan usaha oleh BAE System dan Dassault dalam memasarkan kedua-dua pesawat, peluangnya masih cerah. Namun jika Saab bijak bak kata pepatah Inggeris ‘role the dice right’ maka peluang Gripfen juga cerah. Namun berdasarkan pada rekod seringkali pembelian pesawat tidak berdasarkan kemampuan pesawat tersebut sebaliknya pada pengaruh politik dan kemampuan ekonomi. Selain isu pembelian pesawat, TUDM juga terpaksa menaik taraf hayat pesawat C-130 Hercules dan S-61 Nuri selain menambah jumlah pesawat EC 725 Cougar bagi mencukupkan kuota 27 buah pesawat.


Peruntukan pertahanan 2013 melibatkan kos bayaran gaji tenaga kerja, kos latihan, kos pembelian aset asas (peluru, uniform, ect.), maintenance asset malah juga melangsaikan pembayaran aset terdahulu seperti pembelian Sukhoi-30, kapal selam Scorpene dan pesawat A400. Peruntukan yang melibatkan kos menaik taraf pangkalan-pangkalan dan kuarters kediaman angkatan tentera seluruh negara diteruskan. Ini tidak termasuk peruntukan tambahan sebanyak RM 50 juta bagi tujuan latihan kemahiran pada bekas tentera. Jelas sekali peruntukan yang memberikan kesan secara terus pada ahli komuniti tentera diutamakan (usaha beli jiwa anggota tentera dan keluarga sempena pilihanraya!). Bagaimana pun bajet kecil ini tidak melibatkan program-program yang dikategorikan sebagai program berkeutamaan iaitu program kereta perisai AV8 dan program friget SGPV. Peruntukan bagi program-program ini tetap diteruskan biar pun dilihat perkembangannya amat pasif. Sebagai contoh prototaip variasi pertama program AV8 dan rekabentuk friget SGPV yang sepatutnya dipersembahkan pada tahun lepas kepada Kementah masih tidak berlaku. Tidak diketahui samada ia disengajakan atau memang ini lumrah di Malaysia, selalu berlaku procrastination dalam program besar. Namun apa yang mahu aku simpulkan di sini, apabila tiba soal peruntukan pertahanan, baik Barisan Nasional mahu pun Pakatan Rakyat, kedua-duanya akan melakukan perkara yang sama atau lebih kurang sama. Bukan kali pertama Barisan Nasional melakukan perkara seperti ini apabila pilihanraya hampir tiba. Namun sebaik mereka menang pilihanraya, segala peruntukan tertangguh akan diberikan tanpa menunggu pembentangan bajet pada tahun seterusnya. Dalam erti kata lain, peruntukan instant akan disalurkan serta-merta selepas pilihanraya. Kedua-dua pihak tahu dan sedar kepentingan kekuatan ketenteraan dan pertahanan. Jadi kalau pun Pakatan Rakyat yang berkuasa sekarang, Pakatan Rakyat juga akan membekukan peruntukan pertahanan dan menyatakan mahu menumpukan pada sosio ekonomi rakyat. Ada pihak yang menyatakan kalau sekiranya Pakatan Rakyat menang pilihanraya umum ke 13 maka semua program pembangunan pertahanan yang dirancang akan dibatalkan! Alu menyangkal tanggapan itu. Seperti yang aku katakan, sesiapa sahaja yang memerintah akan tetap melakukan perkara yang sama dan meneruskan program yang telah dirancang. Bezanya adalah samada ketirisan, penyalahgunaan kuasa, rompakan secara terhormat duit rakyat akan tetap berlaku. Kalau ditakdirkan Pakatan Rakyat menang dan semua ini masih lagi berlaku dan didalangi oleh Pakatan Rakyat, mungkin sudah sampai untuk kita rakyat Malaysia melancarkan revolusi ‘Arab Spring’ ala Malaysia dan melantik ulama muktabar menjadi perdana menteri!   

             



8 comments:

  1. Bro. Apa pendapat ko kes di Lahad Datu baru2 ni?

    ReplyDelete
  2. Sorry to say, it will increase index support towards BN in Sabah & Sarawak and maybve semenanjung, no matter how its end. Berita terkini, 2 komando PGA mati, 12 tentera Raja Sulu mati. Benda macam ni akan naikkan semangat patriotik. Pengundi atas pagar akan lean pada BN. Persoalan kini, ketua tentera Raja Sulu yang juga adik si Kiram tu berjaya lepaskan diri. Jurucakap Tentera Sulu menyatakan, ini adalah permulaan perjuangan mereka nak tuntut hak. Adakah ini akan menjadi insurgensi kedua selepas Parti Komunis Malaya? PS: Aku dengar benda ni semua sebenarnya sebab Raja Kiram tu tuntut bayaran sewaan tanah dari kerajaan Sabah pada dia ditambah tapi kerajaan Malaysia tolak. So it's just about money!

    ReplyDelete
  3. takde sebab anwar ibrahim? Raja Sulu tu sah ke kerajaan nak bagi macam tu aja. kalau sebab money tak pelah (takpe???) jangan pulak sebab kerajaan merancang kejadian itu supaya patriotik naik orang support BN itu lagi teruk... ke ko fikir macam tuh

    ReplyDelete
  4. Secara jujurnya aku tak rasa benda ni di orkestrakan BN. It's to big and involve a lots of party. It just happen at the right time. Mungkin ya UMNO akan menggunakan isu ini sebagai leverage mereka tapi nak kata dia orang sengaja cetuskan benda ni rasanya tak berapa masuk akal. Lagi pun kalau di kaji peribadi Raja Kiram ni, dia bukannya seorang leader tapi seorang megalomaniac yang masih ingat dia ada kuasa. Jadi kalau tanya aku, yang patut di salahkan ialah Raja Kiram. Malah PDRM sepatutnya telah menamatkan insiden ini sebelum seminggu yang lalu dan tidak mengheret begotu banyak masa.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Aku juga terasa macam kes ni sengaja didrag lama-lama. Sebab kalau mahu lihat rekod dan prestasi ATM, perkara sebegini selalunya selesai dengan cepat. Cuma yang aku pelik, tiadakah kawalan sempadan oleh ATM di bahagian Lahd Datu tu, atau kawalan yang agak lemah. Senang-senang sangat mereka masuk dan tawan satu kampung.

      Delete
  5. Sebenarnya kes ini senang je ko. Kes penjenayah, yg nampak peluang melakukan jenayah atas sebab mendapat suntikan terus ke kepala otak diorang ni, itu yg cepat naik syeikh tu. Takde sebab walau sekelumit asas utk diorang buat benda tak masuk akal ni. Walaupun sebab duit sekalipun tak berani diorang nak buat kerja gila ni.
    Kita yg duk kat luar dgn bawah ni dah terlalu tebal dgn penafian itu yg jadikan isu ini begitu sukar dan nampak berbelit-belit. Macam Kiram juga, dimanipulasi.

    Tentang dah tiba masanya M'sia melantik (kununnya) 'ulama muktabar' menjadi PM itu pendapat ko. Aku takde bantahan ulama jadi PM.

    ReplyDelete
  6. Kita semua ada konspirasi teori masing-masing. Tapi tak bererti kita boleh cerita sesuka hati. Teori itu teori. Selagi tiada bukti, tidak bererti apa-apa. Nak cite panjang lebar, lepak kat restomak, pekena roti canai dengan teh tarik, baru boleh cerita detail. Internet masih dianggap 'on the record' statement. Aku taknak menyinggung hati perasaan wira-wira kita yang memang dah benar-benar gugur di perbatasan. Isu ni isu sensitif. Who's play it right, will win. So play it smart!

    ReplyDelete
  7. hehe..rupanya ada komen kat bawah..mostly everyday saya masuk blog ni nak baca apa komen tentang lahad datu.. anyway respect your stand bout the fallen warriors..

    ReplyDelete