Scorpion adalah pesawat yang dihasilkan dengan kerjasama dua firma Textron Inc. dan Airland Enterprise. Idea terhasil daripada senario peperangan di Afghanistan dan Iraq di mana pesawat A-10 Thunderbolt II, F-16 Fighting Falcon dan F-15E Strike Eagle seringkali dikerah untuk tugasan rondaan dan bantuan sokongan darat Close Air Support – CAS). Namun pesawat-pesawat ini beroperasi di dalam keadaan ancaman rendah berbanding kemampuan setiap pesawat. Jadi ia beroperasi dengan kos yang tinggi untuk misi berancaman rendah. Textron Airland mendapat idea menghasilkan pesawat yang lebih murah bukan sahaja dari segi harga tapi juga kos dengan peranan yang spesifik dengan misi yang tidak melibatkan ancaman yang tinggi. Dalam tempoh hanya dua tahun setengah, prototaip pertama Scorpion berjaya dihasilkan dan mula dipertontonkan pada pihak awam. Apa yang menariknya projek ini tidak menerima dana kerajaan US sebaliknya dibiaya sendiri oleh Textron Airland. Textron Airland menganggap projek ini sebagai projek komersil dengan potensi ketenteraan. Textron yang diketahui memiliki dua buah syarikat aviasi iaitu Cessna yang menghasilkan pesawat jet korporat dan Bell yang menghasilkan helikopter telah mengguna pakai banyak teknologi dari pembuatan jet korporat Cessna dalam penghasilan Scorpion. Scorpion tidak dikategorikan sebagai pesawat penyerang ringan (Light Attack Aircraft) sebaliknya Textron Airland mengkategorikannya sebagai pesawat ISR/Strike (Intelligence, Surveillence and Reconnaissance) dengan kemampuan melancarkan serangan ke sasaran di darat. Menurut Textron Airland, peranan utama Scorpion ialah kawalan sempadan dari udara, pemantauan perairan maritim, bantuan kemanusiaan dan bantuan sokongan tentera di lapangan (CAS).
Scorpion merupakan pesawat enjin berkembar
Selain dari bahagian fuselage dan sayap yang direkabentuk khusus, bahagian lain diambil dari bahagian pesawat yang sedia ada yang dihasilkan oleh firma pengeluar seperti enjin, sistem hidrolik, gear pendaratan dan sistem aviasi selain aspek-aspek lain seperti kerusi ejeksi dan kokpit yang sudah sedia ada di pasaran. Scorpion memiliki sayap ekor berkembar, sayap kiri kanan yang lurus dan memiliki enjin berkembar jenis Honeywell TF731 Turbofans, enjin yang sama yang dipasang pada pesawat jet korporat komersil yang dihasilkan Cessna. Namun Textron Airland menyatakan enjin itu boleh ditukar kepada enjin lain bergantung pada permintaan pembeli. Sebahagian besar badan pesawat diperbuat daripada bahan komposit yang digunakan pada pesawat komersil. Memang agak membimbangkan kerana pesawat ini adalah untuk kegunaan ketenteraan dan biar serendah mana pun ancaman namun ia tetap membahayakan. Ancaman yang paling dibimbangi sudah tentu serangan peluru berpandu anti pesawat. Namun Textron Airland menyatakan yang Scorpion cukup lasak untuk menghadapi kerosakan yang minima.
Hawk 108MK milik TUDM
Ruang beban (payload) di bahagian tengah Scorpion yang mampu membawa bebanan persenjataan seberat 1400kg
Saiz Scorpion juga tidak sekecil pesawat tempur ringan seperti pesawat Hawk 108 milik TUDM atau T-50 Golden Eagle buatan Korea Selatan, sebaliknya sama besar dengan pesawat Sukhoi-30. Saiznya yang besar ini disebabkan oleh ruang beban (payload) di bahagian tengahnya yang bersaiz 82 kaki persegi. Ia boleh memuatkan payload 1400kg persenjataan, atau membawa bekalan minyak untuk perjalanan jauh atau dipasang alat sensor bagi misi reconnaissance. Scorpion memiliki 6 hardpoint (point persenjataan), tiga si setiap sayap kiri dan kanan dengan berat payload 2800kg, yang mampu membawa gun pod, peluru berpandu, roket, bom atau tangki minyak simpanan atau pun alatan sensor. Sayapnya yang tegak dan dipasang tergantung pada fuselage adalah untuk menstabilkan pesawat dikala terbang dengan kelajuan yang rendah. Di bahagian muncungnya dipasang elctro optical dan infra red sensor yang boleh di keluar masuk bagi mengurangkan pergeseran. Jika boleh aku katakan, Scorpion adalah gabungan pesawat A-10 dan pesawat dengan enjin turboprop seperti Super Tucano. A-10 Thunderbolt adalah pesawat dua enjin dengan peranan CAS dan serangan sasaran di darat termasuk kereta kebal dan kereta perisai. Super Tucano pula adalah pesawat tempur ringan yang menggunakan enjin turboprop (pesawat yang berkipas). Indonesia telah membeli 14 buah pesawat Super Tucano bagi tujuan tinjauan dan serangan ringan ke sasaran darat selain tugasan COIN (Counter Insurgency). A-10 mempunyai kuasa pemusnah yang tinggi namun peranannya terhad serta kosnya yang tinggi. Super Tucano biar pun murah namun kemampuannya amat terhad dan menjadi sasaran mudah ancaman udara dan juga darat. Jadi Scorpion persilangan antara kedua-dua buah pesawat ini. Antara Scorpion dan A-10, kelebihan A-10 ialah daya ketahanannya selain kemampuannya membawa beban persenjataan yang lebih banyak. Namun A-10 tidak memiliki kemampuan ISR yang maksima seperti Scorpion selain kosnya yang amat mahal. Sementara Super Tucano pula kelebihannya sudah tentu pada harga dan kos operasi serta penyelenggaraannnya namun seperti juga A-10, ia tidak memiliki kemampuan ISR seperti Scorpion selain kemampuan Scorpion dari segi sensor, jarak penerbangan dan ketahanan yang melampaui kemampuan Super Tucano.
A-10 Thunderbolt II
Super Tucano milik TNI-AU
Namun apa yang paling menarik tentang Scorpion ialah dakwaan Textro Airland bahawa pesawat ini adalah pesawat moden paling murah di dunia. Bukan saja dari segi harga malah juga dari sudut kos pengoperasian. Dengan tanda harga lebih kurang 20 juta dollar, ia dianggap sangat murah jika dibandingkan dengan jet pejuang seperti F-18 Super Hornet yang bernilai 55 juta dollar. Apatah lagi pesawat generasi 4.5 seperti Eurofighter Typhoon atau pun Dassault Rafale. Malah Scorpion adalah lebih murah daripada kos menaiktaraf pesawat A-10 Thunderbolt atau F-16 Fighting Falcon. Kos pengoperasian Scorpion pula adalah lebih kurang 3000 dollar sejam jika hendak dibandingkan dengan pesawat F-16 iaitu 18,000 dollar sejam (tugas rondaan) dan 25,000 dollar sejam (melaksanakan misi) dan F-16 adalah pesawat yang paling rendah kos pengoperasian berbanding pesawat-pesawat tempur yang lain. Bererti kos pengoperasian Scorpion hanya satu perempat dari kos pesawat yang paling rendah kos pengoperasiannya. Penggunaan komponen dan teknologi pembuatan dari jet komersil Cessna serta tidak menggunakan teknologi penerbangan ‘Fly by wire’ telah mengurangkan kos pembuatannya. Kenapa aku menulis artikel berkaitan pesawat ini? Kerana menurut jurucakap Textron Airland, pesawat ini masih mencari pelanggan pertamanya. Textron dan UAE telah mengadakan perbincangan serius untuk membeli pesawat ini bagi kegunaan skuadron aerobatik UAE, Al Fursan. Namun UAE keberatan menjadi pelanggan pertamanya dan meminta Textron Airland mencari pembeli yang lain dahulu. Textron Airland telah menawarkan pesawat ini pada beberapa buah negara seperti Bahrain, Qatar, Filipina, Indonesia dan Arab Saudi. Namun dua buah Negara yang menunjukkan minat dan dikatakan berpotensi menjadi pelanggan ialah Malaysia dan Brunei.
Ini tidaklah mengejutkan kerana Brunei dan Malaysia sedang menghadapi isu yang sama iaitu isu Laut China Selatan selain Malaysia turut menghadapi konflik pencerobohan di Sabah yang membawa kepada penubuhan ESSCOM. Seperti yang dinyatakan di atas, Scorpion adalah pesawat ISR/Strike dan bukannya pesawat tempur jadi tugasan utamanya adalah pemantauan, intipan serta tinjauan selain memberikan bantuan udara (CAS) pada tentera darat. Di kala ini pesawat yang menggalas tugas tersebut di dalam TUDM ialah pesawat F-5E (ya, pesawat yang kena kebas organ dalamannya tu). Namun pesawat F-5E sudah uzur dan kos penyelenggaraan dan operasinya mahal jika hendak dibandingkan dengan Scorpion selain kemampuannya yang terhad. Sebelum engkau orang berfikir pembelian Scorpion adalah tidak sesuai kerana ia tidak sehebat Typhoon, Rafale, Superhornet, Gripfen atau Sukhoi-30, perlu aku ingatkan, kalau Malaysia membeli Scorpion, ia tidak ada kena-mengena dengan program penggantian MiG-29 Fulcrum. Kerana sekali lagi aku tegaskan, peranan Scorpion adalah ISR/Strike. Bukan untuk mengawal ruang udara negara dari pencerobohan pesawat asing. Namun ia mungkin melibatkan hasrat pembelian pesawat helikopter tempur yang diwar-warkan ATM.
Pesawat F-5E milik TUDM
Sebab utama kenapa ATM memerlukan pesawat helikopter tempur adalah untuk menyokong operasi ESSCOM dalam tugasan ISR dan juga CAS. Malah ia juga dapat membantu memintas bot-bot atau kapal-kapal yang cuba menceroboh perairan Malaysia di ESSZone. Namun kos program pembelian pesawat tempur helikopter amatlah mahal. Dengan program penggantian MiG-29 masih tidak menentu, adalah sukar untuk memenuhi tuntutan pembelian pesawat helikopter tempur. Namun peranannya amat penting dalam memastikan operasi ESSCOM berjaya kerana ATM tidak boleh berharap pada kemampuan flotilla semata-mata. Jadi disinilah kehadiran Scorpion tampak strategik dan sesuai dengan masa dan keperluan ATM bagi melengkapkan keperluan ESSCOM. Bukan saja harganya, kos pengoperasian dan penyelengaraannya murah, malah kemampuannya juga boleh dikatakan melebihi kemampuan sebuah helikopter tempur. Scorpion mampu terbang sejauh 4445km dengan kelengkapan persenjataan dan terbang selama lima jam sebelum kembali ke pangkalan. Sesuatu yang tidak mampu dilakukan oleh sebuah helikopter tempur yang terhad jarak serta tempoh masa penerbangannya. Jika pesawat helikopter digunakan di ESSZone, ia memerlukan pangkalan FARP (Forward Arming and Refuelling Point) bagi kegunaan helicopter kerana tidak efisien sebuah helikopter mahu berulang-alik dari kawasan rondaan ke pangkalan udara kerana jaraknya yang jauh. Dan ia adalah kos tambahan yang besar sedangkan Scorpion boleh ditempatkan di pangkalan tentera udara di Labuan. Mungkin ada yang tidak bersetuju kerana pesawat ini adalah buatan firma Amerika Syarikat dan pengalaman pembelian pesawat F-18 Hornet benar-benar menyakitkan hati kita apabila US secara terbuka mengutamakan keselamatan Singapura dalam memberikan kebenaran penjualan persenjataan pada Malaysia. Namun perlu diingat, program Scorpion dibiaya sendiri oleh Textron Airland tanpa mendapat dana dari kerajaan US bererti pihak senat tidak ada hak untuk menetapkan kawalan ke atas jual beli pesawat ini atau pun alat gantinya. Berkenaan persenjataan, Textron Airland telah menyatakan yang pesawat ini dibina dengan sistem yang modular bererti ia boleh dipasang dengan sistem perisian persenjataan dan sensor mengikut kehendak sipembeli. Perkara yang sama dilakukan TUDM pada pesawat Sukhoi-30MKM yang menggunakan sistem navigasi Thales dari Perancis dan bukan sistem buatan firma Russian. Malah Malaysia mungkin boleh melengkapkan Scorpion dengan persenjataan buatan negara lain tanpa perlu bergantung pada persenjataan buatan US.
AH-1Z Viper bersama UH-1Y Venom
Aku tidak tahu betapa cerahnya harapan untuk memiliki pesawat ini memandangkan ATM memerlukan begitu banyak aset dalam situasi kritikal. Namun keutamaan pada ketika ini adalah kepada keperluan ESSCOM. Pada DSA 2014 yang lalu, syarikat tempatan, Deftech telah menadatangani memorandum persefahaman dengan Textron namun bukan berkaitan pesawat Scorpion sebaliknya untuk melobi Malaysia membeli pesawat helikopter UH-1Y Venom dan AH-1Z Viper. Biar pun di atas kertas kelihatan Scorpion memenuhi keperluan ESSCOM namun ATM dikatakan memerlukan helikopter yang mampu mempertahankan diri atau memberikan perlindungan pada pada pesawat lain yang membawa anggota masuk ke dalam kawasan pertempuran melalui udara. Jelas peranan ini amat sesuai digalas Venom dan Viper kerana dikala ini pesawat seperti AW109 milik ATM tidak mampu menggalaskan tugas tersebut sementara pesawat Super Puma tidak dipasang persenjataan. Anggota yang dikerah ke medan perang melalui udara berhadapan risiko serangan dari pihak musuh. Namun Malaysia masih belum membuat sebarang keputusan apatah lagi memilih pesawat yang dimahukan. Namun aku merasakan ATM lebih berat untuk mendapat pesawat berotor daripada pesawat bersayap. Kemungkinan besar helikopter menjadi pilihan ATM. Namun begitu harus diingat, faktor kewangan selain kemampuan yang lebih baik berbanding helikopter memberikan kelebihan pada Scorpion. Aku berpendapat, jika pun Malaysia memilih untuk membeli helikopter, ada kemungkinan pesawat Scorpion akan turut dibeli. Cuma faktor masa yang akan menentukan bila ia akan dibeli. Kalau berdasarkan tugasan ISR, Malaysia tidak memerlukan begitu banyak unit. Cukup sekadar empat buah pesawat Scorpion sudah cukup untuk mengawal ESSZone. Pada DSA 2014 yang lalu, Textron telah menawarkan pesawat ini pada Malaysia. Walaupun tidak menyatakan sebarang persetujuan namun Malaysia dilihat amat berminat dengan pesawat ini. Dan Deftech pasti akan turut melobi usaha ini kerana Deftech diketahui ingin meluaskan saiz industri mereka dengan melibatkan diri dengan industri aviasi. Deftech telah membeli kepentingan dalam syarikat Composites Technology Research Malaysia (TCRM) yang menghasilkan alat ganti untuk pesawat Airbus 350, 380 dan A400 selain Boeing 737, 747 dan 787. Kalau sekiranya Malaysia membeli Scorpion, ia akan memberikan Deftech akses kepada teknologi pesawat tempur yang mampu membuka jalan akan penghasilan pesawat tempur buatan Malaysia.
Scorpion bukan pengganti kepada MiG-29
Aku amat bersetuju dengan pembelian pesawat ini dan sekali lagi aku tekankan, pembelian Scorpion tidak akan menjejaskan program penggantian pesawat MiG-29 Fulcrum kerana Scorpion bukannya pesawat MRCA. Scorpion tidak mampu menyaingi pesawat-pesawat MRCA dalam pertempuran dogfight (pertempuran udara antara jet pejuang) kerana kemampuan manuevering yang terhad selain kelajuannya yang tidak mencecah 1 mach. Aku menyokong pembelian Scorpion kerana kemampuannya menggalas tugasan mengawal persempadanan Negara darat dan maritime selain mampu melancarkan serangan udara ke darat dengan efisien. Perlu diingat, negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Thailand memiliki kereta kebal dalam jumlah yang besar. Untuk bergantung pada anggota infantry dalam misi memusnahkan pasukan kereta kebal yang begitu banyak adalah tidak munasabah dan akan menyebabkan kehilangan nyawa di pihak Malaysia dalam jumlah yang tinggi. Pesawat Helikopter tempur seperti Apache, Viper dan Tiger serta pesawat A-10 memang memiliki kemampuan menggalas tugas khusus memusnahkan kereta kebal dan kereta perisai. Dan Scorpion juga memiliki kemampuan yang sama bererti ATM tidak hanya bergantung pada unit infantri anti kereta kebal dalam operasi memusnahkan kereta kebal musuh. Namun di akhirnya nanti hanya pak menteri yang akan menentukan samada kemungkinan Textron Airland Scorpion ini akan berada dalam inventori ATM memandangkan sehingga kini, program yang lebih mendesak pun masih berada dalam status yang samar. Semuanya gara-gara kekangan kewangan. Namun apa yang menghairankan aku, Indonesia yang menghadapi masalah ekonomi yang lebih teruk daripada kita sedang berusaha untuk mencapai status kuasa tentera terkuat di Asia Tenggara. Bimbang nanti kalau kita diperbudak-budakkan pula oleh Indonesia setelah kita diperlekeh oleh Singapura. Harapnya tidak.
Sememangnya saya juga bersetuju Scorpion ini menjadi aset baru ATM dengan perkembangan persekitaran kewangan negara yang masih belum mantap. Apa yang penting adalah penambahan aset udara yang efisien dan berterusan bukannya menunggu bertahun-tahun untuk mendapatkan hanya beberapa unit aset yang mahal seperti Sukhoi yang nampak kurang fungsi. MIndef patut memandang lebih jauh, agresif dan praktikal dari terus membiarkan politikus menentukan dasar ketenteraan negara.
ReplyDeletesalam,
ReplyDeleteJom exchange link
http://encikbinjaie.blogspot.com/