Pentagon mengeluarkan laporan rasmi yang menyatakan usaha China dalam mencapai misi mereka memodenkan kemampuan ketenteraan mereka menjelang tahun 2020 akan menjejaskan kestabilan di wilayah Asia Pasifik. China keras menyangkal kenyataan laporan Pentagon itu namun apa yang membimbangkan ialah kenyataan bahawa setiap kali isu ini dibangkitkan oleh Amerika Syarikat baik dari bahagian pertahanan dan perisikan mahupun oleh senator dan ahli kongres, China tidak pernah menafikannya sebaliknya hanya berkeras menyatakan tindakan mereka meningkatkan kemampuan ketenteraan mereka sekadar memenuhi kehendak semasa dan tidak akan menggugat keselamatan negara-negara jiran.
Suatu masa dahulu kekuatan ketenteraan china sangat jauh ketinggalan jika hendak dibandingkan dengan kemampuan ketenteraan Taiwan, negara yang didakwa China sebagai sebahagian daripada Republik Rakyat China. Namun kini kekuatan ketenteraan China telah begitu maju sehingga pemerhati konflik China–Taiwan menyatakan, sekiranya China menyerang Taiwan persoalan samada China mampu untuk menguasai Taiwan tidak lagi timbul sebaliknya soalan yang timbul ialah berapa hari Taiwan mampu bertahan dengan serangan China sebelum Amerika Syarikat sempat menghantar bantuan! Kekuatan dan kemampuan tentera China suatu masa dahulu hanya menjangkau Taiwan yang hanya beberapa ratus kilometer dari persisir pantai China. Peluru berpandu balistik jarak dekat yang mereka miliki hanya mampu mencapai jarak 300 ke 600 km sahaja. Pesawat pejuang J-6 dan J-7 juga hanya mampu mencapai jarak yang lebih kurang sama tanpa perlu minyaknya diisi semula.
J-7
Namun kesungguhan mereka meningkatkan kemampuan ketenteraan mereka dengan kemajuan teknologi tempatan telah mengubah senario tersebut. China telah berjaya mencipta peluru berpandu DH-10 yang dikatakan memiliki kemampuan menyaingi peluru berpandu Tomahawk buatan AS yang mampu menjangkau jarak 1500 km. Pembinaan pesawat-pesawat J-10 dan J-11 yang mempunyai tangki bahan bakar yang lebih besar juga membolehkan jangkauan kekuatan serangan udara yang lebih jauh melampaui kepulauan Taiwan. Selain dari itu mereka juga memiliki skudron pesawat Sukhoi-30 yang dilengkapi dengan peluru berpandu anti kapal permukaan Kh-31A buatan Russia. China turut membangunkan program pesawat generasi ke 5 dengan terhasilnya pesawat prototaip J-20 yang mempunyai peranan yang sama seperti F-35 Lightning sebagai sebuah pesawat tempur/pengebom. Sasaran tentera udara China ialah memiliki kemampuan untuk beroperasi dalam lingkungan 1000 km dari tanah besar China menjelang 2010 (namun ia masih gagal direalisasikan) dan 3000 km menjelang 2030. Untuk makluman, kedudukan sempadan Indonesia dengan tanah besar China adalah lebih kurang 2000 km!
DH-10
J-10
J-11
Namun penghasilan peluru berpandu anti kapal permukaan yang paling digeruni Pentagon ialah DF-21D yang dikatakan adalah yang terhebat di dunia sehingga armada tentera laut AS dikatakan tidak akan mampu untuk memintas peluru berpandu ini sekiranya ia dilancarkan ke arah kapal perang mereka. Namun apa yang paling menakutkan mereka ialah sebuah peluru berpandu ini mampu untuk memusnahkan kapal pengangkut pesawat (supercarrier) secara mutlak dimana supercarrier adalah lambang kekuatan dan keagungan tentera laut AS. Sehingga kini AS masih belum mampu (dari segi kewangan dan teknologi) untuk membangunkan system pertahanan khusus bagi menangani DF-21D. Ini bererti sekiranya AS berani menghantar kesemua 11 armada kapal pengangkut pesawat mereka ke perairan China maka kesemuanya mampu untuk dijadikan tukun ikan oleh PLA (People Liberation Army of China) di dasar laut China Selatan!
DF-21D
Kemampuan armada kapal selam China juga adalah satu ancaman yang menakutkan. Armada kapal selam china adalah yang kedua terbesar terdiri daripada 65 buah (ada pihak menyatakan lebih dari 70 buah) kapal selam termasuklah beberapa buah kapal selam serangan pantas berkuasa nukelar dengan kemampuan peluru berpandu balistik. Program kapal selam China suatu masa dahulu dianggap lelucon oleh pertahanan laut barat lebih-lebih lagi apabila terdapat beberapa kapal selam milik China dikatakan gagal berfungsi sehingga menyebabkan ia tenggelam dan membunuh semua krewnya. Namun pada 26 Oktober 2006 sewaktu armada tentera laut AS sedang menjalani latihan ketenteraan di lautan pasifik, sebuah kapal selam China dari kelas Song secara tiba-tiba timbul di permukaan laut berhampiran kapal pengangkut USS Kittyhawk yang menjadi pusat arahan (Command Centre) latihan tersebut. Kapal selam China itu berada dalam lingkungan jarak 5 batu nautika atau 9 km dari kedudukan USS Kittyhawk yang membolehkan mereka melancarkan serangan torpedo atau peluru berpandu dan ia dikatakan telah mengekori USS Kittyhawk sebelum latihan bermula lagi dan gagal dikesan kehadirannya. Ia sengaja memunculkan diri seolah-olah mengejek armada tentera laut AS. Untuk makluman armada kapal pengangkut terdiri daripada beberapa kapal frigate, pemusnah dan kapal selam (sekurang-kurangnya dua) untuk mengawal dan menyaring pencerobohan kapal musuh yang mahu menghampiri kapal pengangkut.
Armada kapal pengangkut
Hakikat bahawa armada tentera laut terkuat di dunia berjaya ditembusi oleh kapal selam konvesional (Kapal selam kelas Song adalah kapal selam berkuasa diesel elektrik) benar-benar mengejutkan tentera laut AS. Mereka tidak menyangka teknologi kapal selam China telah mencapai tahap yang sangat tinggi dan insiden itu juga membuktikan bahawa krew kapal selam China yang dianggap tidak mempunyai pengalaman, kepakaran dan kemahiran setanding tentera laut AS adalah meleset sama sekali. Perlu diingat, tentera laut PLA juga memiliki kapal selam berkuasa nuclear dari kelas Han dan Shiang (Kapal selam penyerang), kelas Jin (Kapal selam pelancar peluru berpandu balistik) dan kelas Xia (Kapal selam pelancar peluru berpandu kruise).
Kapal selam kelas Song
Leon Panetta; pengarah CIA menyatakan China cuba untuk membina kekuatan ketenteraan yang mampu memenangi peperangan yang sengit dalam tempoh yang singkat selain bersedia menghadapi akan kemungkinan konfrontasi dengan Taiwan serta kemungkinan campurtangan ketenteraan AS sekiranya peperangan meletus. Malah China langsung tidak berusaha untuk menyembunyikan kesungguhan mereka apabila dengan sengaja melancarkan penerbangan ujian pesawat J-20 yang sepatutnya merupakan sebuah program rahsia sewaktu lawatan setiausaha pertahanan AS; Robert Gates ke China.
J-20
Kesan peningkatan kemampuan ketenteraan China turut dirasai negara-negara di Asia Tenggara. Malah negara-negara Asia Tenggara adalah pihak yang sepatutnya berasa paling bimbang dengan perkembangan ini kerana Asia Tenggara adalah jiran paling dekat dengan China dan sejak beberapa dekad yang lalu China paling banyak berselisih pendapat dengan negara-negara Asia Tenggara. Kebanyakan berkaitan dengan persempadanan perairan. Namun ia semakin hangat sejak beberapa tahun ini malah di kala negara-negara yang terlibat sanggup untuk bertolak ansur China pula bersikap sebaliknya malah dengan angkuh menyatakan tidak akan berganjak dengan segala tuntutan mereka. Konflik tuntutan pulau Spratly adalah bukti terbaik yang menyerlahkan keangkuhan China. China bukan sekadar menuntut keseluruhan pulau tersebut malah juga beberapa pulau kecil yang berhampiran serta kawasan perairan sejauh beberapa puluh batu nautika.
China walaupun tidak pernah menyatakannya secara terbuka namun dilihat bercita-cita untuk memiliki seluruh perairan Laut China Selatan. Dikatakan seorang ahli delegasi AS menyatakan betapa seorang pegawai tinggi PLA menyatakan nama Laut China Selatan saja sudah cukup menunjukkan yang ia adalah milik China. Tidak dapat dipastikan samada pegawai tersebut sekadar berseloroh atau benar-benar serius dengan kenyataan itu. Tidak cukup dengan itu ada khabar angin yang menyatakan cita-cita besar China untuk meluaskan tanah jajahannya sehingga ke seluruh tanah Indochina (Vietnam, Laos, Cambodia).
People Liberation Army
Walaupun negara-negara di Asia Tenggara dilihat lebih tenang dalam melihat isu peningkatan kekuatan ketenteraan China jika hendak dibandingkan dengan negara di Asia Selatan atau Amerika sendiri, namun ini adalah kerana negara-negara di Asia Tenggara tidak menyatakan secara terbuka akan kebimbangan mereka kecuali Vietnam dan Filipina yang secara terbuka menyatakan tujuan mereka meningkatkan kemampuan mereka adalah kerana bimbangkan kemungkinan ancaman China. Ini kerana kedua-dua Negara pernah berkonfrantasi secara terus dengan tentera PLA. Namun masing-masing sedar akan kemungkinan ancaman tersebut dan ia dibincangkan oleh pegawai-pegawai diplomat negara masing-masing secara tertutup dan tidak rasmi. Dan kesannya boleh dilihat dengan agak jelas.
Suatu ketika dahulu rasa curiga di antara satu negara dengan negara yang lain adalah sangat tinggi. Singapura-Malaysia, Indonesia-Malaysia, Thailand-Myanmar sehinggakan sekiranya sebuah negara membeli sesuatu peralatan ketenteraan, negara jirannya samada akan menyatakan protes atau rungutan atau akan turut membeli peralatan yang sama atau lebih baik kemampuannya dari peralatan yang dibeli negara tersebut. Antara contohnya apabila Malaysia merancang untuk memodenkan TUDM dengan membeli pesawat generasi ke-4 (Mig-29), Singapura pula menaik taraf kemampuan pesawat F-16 milik mereka. Begitu juga apabila Indonesia berhasrat menggantikan kapal selam mereka dengan kapal selam kelas Kilo dari Russia, kebanyakan negara-negara Asia Tenggara memprotes kerana kapal selam kelas Kilo adalah sebuah kapal selam penyerang dan ia bertentangan dengan persafahaman ASEAN yang mahukan wilayah Asia Tenggara bebas dari potensi konflik bersenjata.
Namun kini tidak lagi. Sejak sedekad lalu, perkara seperti ini tidak lagi menjadi suatu perkara yang begitu menimbulkan keributan di kalangan negara di Asia Tenggara. Walaupun dilihat seperti ada persaingan pembelian persenjataan (Malaysia; Sukhoi-30, Singapura; F-15, Thailand; Saab Gripfen) namun ia kini tidak lagi menjadi sesuatu isu yang besar. Malah tidak berlaku kekecohan apabila Vietnam secara terbuka menyatakan hasrat untuk menubuhkan armada kapal selam mereka dengan membeli enam kapal selam kelas Kilo dari Russia. Malah negara-negara Asia Tenggara begitu galak meningkatkan kemampuan ketenteraan masing sehingga dilihat tidak lagi begitu mempedulikan negara jiran masing-masing yang turut melakukan perkara yang sama. Mungkin kerana masing-masing sudah mengerti dan faham yang masing-masing hanya berusaha untuk menghadapi kemungkinan yang sama; ancaman ketenteraan dari China!
Vietnam, Cambodia, Filipina dan Myanmar sedang cuba memodenkan kekuatan ketenteraan mereka. Thailand, Indonesia dan Brunei pula sedang cuba meningkatkan kemampuan dan kelengkapan ketenteraan mereka meningkatkan perolehan persenjataan serta usaha untuk menghasilkan system persenjataan mereka sendiri.
Sementara Malaysia kini sedang cuba mengadaptasi system pertahanan negara maju dalam ketepatan serangan, pemantauan rendah (stealth) dan C4ISR. C4ISR ialah rangkaian sistem perintah, kawalan komunikasi, computer, risikan, pemantauan dan tinjauan dalam mengintegrasikan kemampuan cabang-cabang ketenteraan agar mampu digerakkan secara synchronize apabila berhadapan dengan sesuatu konflik bagi merealisasikan matlamat ini Malaysia berhasrat memperolehi banyak aset-aset penting yang seperti pesawat AEW&C, kapal korvet stealth (pilihan antara Sigma 10614 atau Gowind) dan sebagainya. Jika system pertahanan ini dapat diadaptasikan (yang ketika ini tampak agak sukar akibat kekangan kewangan) ia akan mengubah asas, konsep dan perlaksanaan sistem pertahanan Malaysia. Singapura sudah pun mencapai tahap tersebut namun masih mahu meningkatkan kemampuannya. Mereka bercita-cita untuk mentransformasikan tentera mereka menjadi apa yang dipanggil ‘Soldier of the future’. Malah singapura turut terlibat dalam program pembangunan pesawat generasi ke-5 F-35 Joint strike Fighter.
Gowind
Pesawat AEW&C
Australia walaupun sebuah negara Asia Pasifik namun merupakan jiran terdekat Asia Tenggara. Australia seperti juga AS, percaya apa jua yang berlaku di Asia Tenggara akan memberikan impak pada mereka. Walaupun pembangunan kekuatan ketenteraan Australia tidak disebabkan oleh kebimbangan akan peningkatan ketenteraan China namun Australia berkongsi kebimbangan yang sama dengan negara-negara di Asia Tenggara. Australia juga seringkali dianggap sebagai wakil barat di rantau Asia memantau dengan penuh curiga setiap tindak-tanduk China dan bersedia sekiranya berlaku sebarang konflik bersenjata. Tetapi seperti juga negara-negara di Asia Tenggara, kepentingan ekonomi memaksa mereka cuba untuk tidak bersikap keterlaluan. Ini kerana China adalah rakan dagang terbesar Australia. Namun dalam masa yang sama Australia bekerjasama rapat dengan AS. Presiden Barack Obama sudah pun mengumumkam akan menempatkan sejumlah 2500 tentera Marin AS di Darwin, Australia dan akan menambahkan angkanya di masa hadapan. Walau dinyatakan kononnya pangkalan itu sebenarnya bertujuan untuk pemantauan aktiviti lanun dan pergerakan pengganas namun umum tahu AS masih merasa kecewa dengan keengganan negara-negara Asia Tenggara untuk menerima kehadiran tentera AS setelah mendapat bantahan keras dari Malaysia dan Indonesia. Jadi Australia adalah penyelesaian yang terbaik buat masa ini dalam usaha mereka memantau dengan rapat akan perkembangan ketenteraan China.
F-35
Namun China belajar dari sejarah kejatuhan Soviet Union. Bagaimana Russia cuba bersaing dengan Amerika secara bersendirian dan sering mengasingkan diri dari dunia malah cuba mencerna imej yang menggerunkan. Ini membuatkan masyarakat dunia cukup mudah untuk membuat keputusan akan siapa yang mahu mereka sokong dalam perang dingin tersebut. Bimbang perkara sama berlaku ke atas mereka ditambah pula propaganda barat yang cuba memburukkan imej mereka di mata dunia, China mula mengamalkan polisi pintu terbuka. Ternyata tindakan mereka membuahkan hasil. Bukan sahaja ia membantu memulihkan imej mereka malah ia juga telah memarakkan ekonomi China sehingga China kini dianggap sebagai bakal pengganti AS dalam menerajui ekonomi dunia di masa hadapan.
Dengan kesejahteraan ekonomi ini China mula memancing simpati dan meraih sokongan masyarakat dunia. Di kala Eropah menghadapi kegawatan ekonomi yang getir, China dengan tidak disangka-sangka menawarkan bantuan kewangan. Negara di Asia Tenggara China juga menjadi pelabur utama dan penyumbang terbesar bantuan kemanusiaan di Indonesia, Laos, Filipina, Vietnam dan Myanmar di samping peningkatan hubungan dagang di antara negara di Asia Tenggara yang lain dengan China. Tidak cukup dengan itu China juga menghulurkan tangan untuk bekerjasama dalam membantu meningkatkan pengetahuan teknologi pertahanan dengan negara-negara di Asia Tenggara. Antara Negara yang bekerjasama dengan China ialah Indonesia dan Vietnam (negara yang lantang mengkritik China yang sering menceroboh perairannya). Malah China juga telah bersetuju untuk membantu meningkatkan kemampuan ketenteraan Myanmar dan Cambodia. Namun tujuan sebenar China jelas boleh diterjemahkan yang mereka cuba menjadikan Myanmar dan Cambodia sebagai sekutu mereka di Asia Tenggara.
Malaysia secara umumnya telah diketahui sebagai negara yang mengambil sikap berkecuali sewaktu era perang dingin AS-Russia. Malaysia masih cuba untuk meneruskan sikap tersebut. Walaupun Malaysia dilihat menyokong hubungan baik ASEAN dan China (malah mengambil inisiatif mengeratkan hubungan dengan China dengan lawatan Najib ke Beijing) namun dalam masa yang sama Malaysia turut cuba mengeratkan hubungan dengan kuasa besar yang lain. Sebagai contoh, sebaik Najib kembali dari Beijing, beliau melawat pula Amerika Syarikat dalam jarak tempoh waktu yang singkat seolah-olah ingin memberitahu AS yang lawatannya ke China tidak bermakna Malaysia kini lebih pro kepada China. Malaysia juga cuba meningkatkan hubungan dengan India. Lawatan Najib ke India serta lawatan balas perdana menteri India ke Malaysia jelas menunjukkan betapa Malaysia cuba menjadikan India sebagai rakan yang akan menyokong Malaysia sekiranya berlaku sesuatu perkara yang tidak diduga (untuk makluman; hubungan di antara India dan China juga agak renggang). Setelah mengadakan usahasama dalam bidang ekonomi dan pendidikan, Malaysia cuba untuk menjalinkan hubungan berkaitan pertahanan dengan India. Baru-baru ini Malaysia menyuarakan hasrat untuk membeli peluru berpandu supersonic Brahmos yang dihasilkan bersama India dan Russia bagi dipasang pada pesawat Sukhoi-30. Brahmos adalah peluru berpandu kruise yang mempunyai kelajuan tiga kali lebih pantas dari peluru berpandu Harpoon dan Tomahawk buatan AS dan merupakan peluru berpandu terhebat di dunia buat masa ini. Namun jika Malaysia ingin membeli peluru berpandu tersebut maka Malaysia harus menjadi rakan strategik dengan India dalam bidang pertahanan. Dalam erti kata lain, Malaysia harus terlibat dan bekerjasama dalam pelbagai program pertahanan dengan India.
Sukhoi-30 MKM
Sebenarnya hasrat Malaysia ini sudah dapat dilihat sejak awal 2000 lagi apabila Malaysia bersetuju untuk membeli pesawat Sukhoi-30 MKM yang berasaskan pesawat Sukhoi-30 MKI yang dibeli India dari Russia. Itulah sebabnya Sukhoi-30 MKM tidak bermasalah menjadi platform bagi peluru berpandu Brahmos (untuk makluman; Brahmos adalah peluru berpandu pemusnah kapal permukaan dan juga sasaran daratan dengan kuasa kemusnahan yang besar!). Selain itu, kecenderungan Malaysia untuk mendapatkan pesawat Eurofighter Typhoon juga dikatakan ada kaitan dengan India. Ada komen yang menyatakan bahawa hasrat Malaysia untuk membeli Typhoon adalah suatu yang tidak bijak kerana pemilik Typhoon seperti Britain mengalami masalah alat ganti yang terlalu mahal. Untuk makluman, pada ketika ini India sedang dalam proses memuktamadkan pesawat yang mahu dibelinya. Ada dua buah pesawat dalam senarai akhir; Typhoon dan Rafale. Dan kemungkinan besar Typhoon akan menjadi pilihan. Seperti yang diketahui, India kebiasaanya akan menghasilkan alatan ganti serta akan memajukan teknologi peralatan senjata yang mereka beli dari luar. Dalam hal ini, sekiranya Typhoon terpilih maka perkara yang sama akan berlaku. Ia mungkin akan mempengaruhi keputusan pembelian pesawat Typhoon oleh Malaysia kerana ini akan membolehkan Malaysia berurusan dengan India dalam usaha mendapatkan alat ganti serta kemahiran dan kepakaran dari India disamping meningkatkan hubungan pertahan dan ketenteraan dengan India. Namun sebuah akhbar di Russian melaporkan akan lawatan menteri pertahanan, Zahid Hamidi baru-baru ini dikatakan bertujuan untuk menyatakan keinginan Malaysia untuk menambah 18 unit lagi pesawat Sukhoi-30 MKM. Walaupun dinafikan Mindef namun ia menunjukkan kemungkinan Sukhoi-30 MKM kini menjadi pilihan kedua sekiranya pembelian Typhoon dianggap terlalu mahal dan Sukhoi-30 MKM masih memberilan peluang yang sama pada Malaysia dalam usaha meningkatkan hubungan dengan India.
Brahmos
Eurofighter Typhoon
Jadi persoalannya kini adakah berkemungkinan perang dingin mampu tercetus di Asia Pasifik? Jawapannya agak samar namun kemungkinannya agak rendah. Beberapa faktor yang boleh di keutarakan. Pertama, negara-negara di Asia Tenggara memandang positif akan polisi luar China yang tampak lebih lembut dan bertoleransi walaupun adakalanya insiden ketenteraan yang agresif oleh PLA berlaku namun ia adalah terlalu kecil jika hendak dibandingkan dengan tindakan luar akal yang sering diambil Amerika dan sekutu-sekutunya. Kedua, faktor ekonomi. China yang kini dilihat sebagai bakal pengganti Amerika syarikat sebagai kuasa ekonomi dunia dan menjadi jiran yang dekat dengan Asia Tenggara merupakan satu peluang bagi negara-negara di rantau ini merintis jalan menjadi sebuah negara maju. China telah memainkan peranan dengan sangat jayanya sebagai pelabur dan rakan dagang kebanyakkan negara-negara di Asia Tenggara. China melihat begitu banyak peluang dalam membuat keuntungan dan mengukuhkan kedudukan mereka dalam ekonomi dunia setelah negara dari benua yang berpotensi seperti Amerika Latin dan Eropah sentiasa sangsi dan curiga serta sukar untuk bekerjasama dengan China. Jadi Asia Tenggara dilihat sebagai platform terbaik untuk mereka meningkatkan kekuatan ekonomi mereka. Selain dari itu Asia Tenggara yang kaya dengan bahan mineral juga menarik minat China untuk menjalinkan hubungan rapat dengan Asia Tenggara.
Ketiga adalah faktor kemampuan ketenteraan mereka sendiri. Walaupun China mempunyai kekuatan ketenteraan yang jauh lebih besar berbanding negara-negara Asia Tenggara (walaupun semua negara-negara Asia Tenggara bergabung, kekuatan ketenteraannya masih tidak mampu menyaingi China) namun ia masih belum mencukupi. China sedar pihak luar seperti Amerika Syarikat dan Eropah memerhati dengan penuh minat akan tindak-tanduk China dan mereka akan bertindak sekiranya China bertindak di luar batasan. Lebih sedekad China cuba untuk memperbaiki imej mereka di mata dunia dan perkara terakhir yang mereka mahukan ialah menjadi musuh kepada dunia.
Jadi perang dingin adalah sesuatu yang tidak berkemungkinan namun tidak mustahil boleh berlaku. Sehingga kini baik negara-negara Asia Tenggara dan Australia lebih suka menggunakan jalan diplomasi dalam menyelesaikan sebarang isu dengan China dan China turut memberikan respon yang positif. Mungkin hanya Filipina satu-satunya negara yang tidak selari dengan negara-negara lain dalam usaha menangani masalah dengan China. Kempen Filipina agar ASEAN bersatu dalam menentang tindakan-tindakan China yang kurang disenangi itu bagaimanapun dipandang sepi oleh jiran-jirannya. Ini kerana masing-masing tahu bahawa usaha Filipina itu tidak lebih sekadar retorik politik Benigno Aquino yang cuba mengalihkan masalah sebenar Filipina iaitu reformasi ekonomi. Benigno Aquino dilihat cuba untuk mengukuhkan kembali hubungan Filipina dengan Amerika malah ada ketikanya Filipina dilihat seolah-olah masih menaruh kepercayaan yang Amerika akan kembali pulih sebagai gergasi ekonomi dunia sehingga mereka tidak langsung mahu menoleh peluang-peluang lain yang berpotensi untuk membantu meningkatkan kekuatan ekonomi mereka. Tidak cukup dengan itu, tindakan Benigno Aquino yang secara terbuka meminta bantuan ketenteraan dari Amerika Syarikat turut mendapat tentangan dari rakyatnya sendiri menunjukkan tindakannya sebenarnya tidak selari dengan kehendak rakyat Filipina. Oleh sebab itu negara-negara ASEAN enggan turut serta dalam kempen Filipina yang dilihat hanya lebih memudaratkan dari memanfaatkan pihak ASEAN.
Namun sekiranya berlaku insiden di mana China mencetuskan rasa tidak senang negara-negara di Asia Pasifik (yang selalunya disebabkan oleh isu persempadanan perairan) dan setelah usaha diplomasi menemui jalan buntu (sekiranya china keras dengan keputusannya) negara-negara Asia Pasifik sudah pasti akan menggunakan ekonomi sebagai senjata. Samada menggantung hubungan ekonomi dengan memboikot produk China, mengadakan sekatan ekonomi, membekukan aset-aset China di Asia Tenggara dan sebagainya atau membawa perkara ini ke PBB atau ICJ (International Court of Justice). Maka disinilah akan bermulanya perang dingin.
Perlu diingat, perang dingin di antara AS dengan Russia tidak berklimakskan peperangan. Malah tidak berlaku peperangan secara bersemuka di antara dua pihak. Sebaliknya masing-masing menggunakan proksi masing-masing. Dalam masalah China-Asia Pasifik, perkara yang sama akan berlaku. Pertembungan secara berdepan di antara Asia Tenggara dengan China kemungkinan besar tidak akan berlaku. Ini kerana China sendiri sedar jika mereka cuba bertentangan secara berdepan, ramai pihak akan campurtangan. Amerika, Eropah, PBB, NATO dan pelbagai pihak lagi. Jadi apa yang berlaku ialah peperangan risikan, gertak-menggertak, persaingan teknologi pertahanan, perbandingan budaya popular, malah pada satu ketika nanti akan berlaku pertembungan bersenjata di antara negara Asia Tenggara yang menentang China dan yang pro China, seperti yang dinyatakan tadi bagaimana China memiliki agendanya yang tersendiri dalam mencari sekutu di kalangan negara Asia Tenggara (Myanmar dan Cambodia). Dan kita tahu Myanmar dan Thailand tidak mempunyai hubungan yang baik sementara Cambodia memiliki rekod yang kurang cemerlang dari segi politik, keadilan dan hak asasi manusianya. Kedua-dua negara seringkali dilihat bagaikan terpinggir dalam komuniti ASEAN. Dan China mungkin melihatnya sebagai satu peluang dalam usaha menggugat perpaduan ASEAN tanpa perlu terlibat secara terus dalam usaha melemahkan perpaduan tersebut. Hanya bekalkan senjata pada kedua-dua negara dan lihat dari jauh bagaimana kedua-duanya mencetuskan konflik terhadap negara sahabat yang lain. Mungkin!
Apa pun negara-negara Asia Tenggara kini sudah menyedari akan kemungkinan rantau Asia Pasifik akan menjadi apa yang dipanggil sebagai ‘the centre of the earth’. Jika selama ini kita hanya melihat banyak perkara yang berlaku di seluruh dunia di peti televisyen, kini giliran kita pula untuk ditonton oleh masyarakat dunia.