Sunday 18 September 2011

Memoir Tragedi Memali


Buku ini sudah tentunya berkisar tentang Ustaz Ibrahim Bin Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya dan menceritakan apa yang berlaku dalam peristiwa Memali pada 19 November 1985. Ia terbahagi kepada tiga bahagian. Bahagian pertama menceritakan tentang latar belakang dan sejarah hidup serta pendidikan Ustaz Ibrahim Mahmud. Aku menggelarnya Ustaz kerana kekukuhan pendidikan agama Islamnya. Ustaz Ibrahim Mahmud melanjutkan pendidikan Islam tinggi di India, Mesir serta Libya (Di sinilah gelaran Ibrahim Libya itu menjadi signifikan dengan namanya). Penulis juga menceritakan akan cita-cita Ustaz Ibrahim Mahmud untuk menubuhkan institusi pendidikan Agama Islam terkemuka di Kedah dan beliau memulakan usahanya dengan membina madrasah di kampong Memali.

Bahagian kedua pula menceritakan siapakah Ustaz Ibrahim Mahmud dan apakah yang terjadi pada hari tersebut dari perspektif isteri Ustaz Ibrahim Mahmud; Solehah.  Solehah juga menceritakan keadaan dan situasi serta layanan yang diterimanya sewaktu ditahan pihak polis setelah peristiwa tersebut.

Bahagian ketiga pula adalah berdasarkan pengalaman seorang kenalan Ustaz Ibrahim Libya iaitu Mat Piah Yunus atau Pak Teh yang juga penduduk kampong Memali yang turut terlibat dalam peristiwa tersebut. Dikatakan empat belas butir peluru telah menembusi tubuh Mat Piah Yunus namun beliau masih lagi hidup sehingga tarikh buku ini diterbitkan.

Peristiwa Memali ini merujuk kepada operasi polis yang dikenali sebagai operasi Angkara bagi memberkas Ustaz Ibrahim Mahmud. Walaupun pada awalnya Ustaz Ibrahim Mahmud mahu diberkas kerana dipercayai menyebarkan ajaran sesat namun tuduhan itu diubah dengan menyatakan beliau menyebarkan fahaman subversif yang mencetuskan huru-hara dan mengancam keselamatan negara.

Kampong Memali (atau secara spesifiknya madrasah tempat ustaz Ibrahim Mahmud mengajar) telah dikepong pihak polis selama tiga bulan. Gabungan FRU dan UTK seramai lebih tiga ribu orang telah bersiap sedia untuk menggempur madrasah tersebut. Para Jemaah di dalam madrasah itu pula dikatakan hanya bersenjatakan parang, kapak dan buluh runcing (ada yang nengatakan penduduk kampong turut menyediakan Molotov cocktail walapun tidak dapat disahihkan bagaimana penduduk kampong mampu menghasilkan bahan tersebut).

Dalam serbuan itu 14 orang maut termasuk ustaz Ibrahim Mahmud yang sempat mengucapkan syahadah dan menghembuskan nafas yang terakhir dipangkuan pegawai kanan polis (dikatakan pegawai polis tersebut adalah di antara beberapa orang pegawai kanan polis yang membantah serbuan dilakukan ke atas madrasah tersebut namun terpaksa akur setelah arahan diterima dari timbalan perdana menteri pada ketika itu Musa Hitam.

Dalam peristiwa itu juga beberapa orang pegawai polis turut cedera tetapi dikatakan yang mereka telah terkena peluru sesat yang dilepaskan oleh anggota polis sendiri walaupun pada awalnya pihak polis menyatakan mereka tertembak dek senapang patah milik penduduk kampong namun tidak ditemui sebarang senjata api di dalam kawasan madrasah tersebut.

Ustaz Ibrahim Mahmud serta pengikut-pengikutnya telah disemadikan sebagai seorang yang gugur syahid setelah disahkan oleh majlis fatwa kerajaan negeri Kedah dengan perkenan Sultan Kedah pada waktu itu (kemudiannya pihak di dalam majlis fatwa tersebut yang memberikan pengesahan itu telah dipecat).

Sudah lama aku mencari buku atau bahan rujukan berkaitan apa yang sebenarnya berlaku pada peristiwa Memali ini tapi agak sukar untuk mendapatkannya. Sewaktu peristiwa ini berlaku aku masih kanak-kanak dan menetap di Johor Baharu. Pada ketika itu orang Johor tengah celebrate team bola Johor menang piala Malaysia buat pertama kalinya. Aku masih ingat betapa kecohnya peristiwa itu di media massa yang menyatakan pihak polis telah Berjaya menumpaskan satu kumpulan ajaran sesat di Kedah. Malah sehingga masuk sekolah menengah pun aku masih percaya yang Ibrahim Libya ni guru ajaran sesat sehinggalah aku tamat sekolah dan berhijrah ke Selangor. Di Selangor aku berkawan dengan beberapa orang budak dari Baling. Diaorang marah aku bila aku bergurau mangatakan Ibrahim Libya ni guru ajaran sesat. Diaorang pun ceritalah dari pengetahuan diaorang (yang aku pasti mereka terima dari mulut ke mulut) akan siapakah Ibrahim Libya dan apakah sebenarnya yang terjadi di memali.

Aku bukan jenis suka telan benda bulat-bulat jadi sejak dari itu aku cuba untuk check akan kebenaran cerita itu. Dan kebanyakan maklumat yang aku dapat semuanya secara asasnya seperti apa yang aku tulis di atas (kecuali dokumentari yang dipaparkan di RTM1). Memang penulis buku ini agak biased namun jika kau orang boleh mengasingkan di antara penulisan beremosi dengan yang fakta rasanya kau orang boleh kumpulkan fakta  dan kronologi peristiwa memali dalam buku ini. And please, don’t read the book with some politics inclination to any parties in your mind.     

Sunday 4 September 2011

Selamat menyambut Eid ul-Fitr


Berakhir sudah Ramadhan. Syawal pula menjengah. Sebulan dah berpuasa sekarang sebulan pula kita beraya. Kalau orang alim dan kuat agama, mereka berasa sedih dengan berakhirnya Ramadhan. Tapi orang macam aku yang nipis iman ni macam orang-orang yang lain, beraya sakanla.

Tengok kat tv, progam raya menggila. Bak kata mak aku, orang bersungguh merayakan berakhirnya Ramadhan. Sedangkan Ramadhan adalah sebaik-baik bulan, bulan yang mudah kita nak buat pahala berlipat kali ganda, mudah diampunkan dosa kita walau sebesar mana pun dosa. Mudah untuk kita mendekatkan diri dengan agama dan tuhan dan mudah untuk kita meningkatkan dan menebalkan iman kita. Jadi bagi orang yang iman setebal kulit bawang macam kita ni, cuma boleh berdoa semoga kita bertemu lagi dengan Ramadhan tahun hadapan.

 Anyway aku ingin memaklumkan perkembangan terkini akan novel aku. Sebelum cuti raya tu hari aku terima e-mel dari publisher. Sadly enough, terpaksa aku memaklumkan kemungkinan novel Bidak Patriot yang aku war-warkan kemungkinan tidak akan di terbitkan. Dari apa yang dinyatakan editor, manuskrip tersebut akan disimpan dahulu sehingga mereka merangka strategi untuk meningkatkan jualan novel dengan genre seperti ini. He! He! He!

Aku tak boleh nak salahkan publisher apabila mereka hilang keyakinan dengan manuskrip aku apabila 3 buah buku aku yang terdahulu jualannya tidak memberangsangkan. In the end of the day money playing a very big role to keep the industry running. Jadi terpaksalah aku menerima kenyataan dengan hati yang terbuka.  Dengan perkembangan yang terkini membuatkan aku dengan berat hati terpaksa menghentikan projek aku untuk menyiapkan manuskrip fantasi yang sedang aku usahakan dan rancangan aku untuk menulis manuskrip military thriller berkaitan kapal selam terpaksa aku scrap!

Sekarang ni aku sedang menulis novel berbentuk romkom (romantik komedi). I know some of you would call me a sellout tapi nak idup beb. Tak guna aku tulis novel bersusah payah, menghabiskan banyak masa dan tenaga tapi manuskrip tidak diterbitkan. Buat masa ini aku cuma berharap, mungkin setelah menulis beberapa novel cinta (kalau aku mampu) mungkin aku akan menulis novel thriller kembali dan publisher akan kembali berminat untuk menerbitkan novel dengan genre seperti itu.

Jadi aku ingin memohon maaf pada korang yang mungkin tertunggu-tunggu novel tersebut kerana ia mungkin sesuatu yang amat mengecewakan. Kesilapan aku ialah mewar-warkan perkara tersebut prematurely dan terlalu yakin ia akan diterbitkan.  But the facts is the book would not even gonna see  the light of it. Jadi, sekali lagi aku memohon maaf. Hari baik dan bulan baik ni.

Maafkan kami...maafkan kami....maafkan kami......