Monday, 7 November 2016

MALAYSIA-CHINA DAN LAUT CHINA SELATAN



Dah lama sangat aku tak post sebarang artikel. Naik bersawang dah laman sesawang ni. (get it? Laman sesawang bersawang? Ha! Ha! Ha!). Jadi kena jugalah aku post artikel memandangkan aku masih belum post sebarang artikel tahun ini. Taknak mati tak bernisan pula blog aku ni.

Isu yang paling hangat (sebenarnya banyak sangat isu hangat kat Malaysia ni) ialah isu Laut China Selatan. Aku pernah post artikel berkaitan Laut China Selatan beberapa tahun dulu. Aku pernah nyatakan konflik laut China Selatan mampu mencetuskan perang dingin US-China.  Dan isu ini tidak reda malah semakin membara. Malaysia antara negara yang tersepit dalam pertelingkahan antara US dan China. Walaupun Malaysia bersikap neutral dan berusaha untuk mengelakkan sebarang pertembungan keras namun sejak akhir-akhir ini sikap China kelihatan amat agresif sehingga Malaysia mahu tidak mahu terpaksa menunjukkan sedikit sikap tegas. Sesuatu yang sebelum ini tidak pernah ditunjukkan.  

Beberapa insiden yang boleh dianggap tindakan mencabar kedaulatan negara telah dilakukan oleh China. Antaranya ialah kehadiran kapal Coastguard China di Beting Pattingi Ali atau Luconia Shoal di Miri yang didakwa penduduk tempatan sudah berlarutan lebih dua tahun. Pada 26 Mac 2013, Tentera laut PLA (People Liberation Army) telah mengadakan eksesais berkekuatan empat buah kapal perang dan sebuah kapal amphibious  berhampiran Beting Serupai atau James Shoal yang jaraknya dari China adalah 1800 km dan hanya 80 km dari malaysia. Eksesais itu dipantau TLDM oleh kapal KD Perak namun Malaysia dilihat menyepikan diri dan hanya melakukan bantahan melalui saluran diplomatik secara senyap. James Shoal adalah wilayah utama yang dituntut Malaysia yang berada di kedudukan titik paling jauh dalam garisan 9 dashed line. Apa itu 9 dashed line? Ia adalah garis persempadanan yang didakwa China adalah milik mereka. Dan China sudah menunjukkan sikap agresif terhadap Malaysia sejak 2009. 

China juga telah memulakan projek pulau buatan sejak 2014 dan sehingga kini sudah membina tujuh buah pulau yang dijadikan pangkalan ketenteraan. Antaranya Pulau Cuarteron di mana China akan membina radar berfrekuensi tinggi jarak jauh bagi membolehkan pemantauan udara dan laut. Pulau Fiery Cross yang memiliki landasan kapalterbang yang cukup panjang membolehkan pesawat tempur dan pesawat bersaiz besar mendarat selain pulau batu karang Mischief dan pulau batu karang Subi yang juga memiliki landasan kapalterbang. Pulau batu karang yang lain ialah Gaven, Hughes dan Johnson Selatan.

SIKAP AGRESIF CHINA

Apa yang mendorong China bersikap agresif sejak beberapa tahun kebelakangan ini? Tuntutan China ke atas Laut China Selatan bukanlah sesuatu yang baru. Namun sebelum ini China tidak dilihat begitu kasar sikapnya dengan ASEAN. Malah atas dasar persahabatan dan rasa hormat antara satu sama lain, pada 4 November 2002, China dan ASEAN telah  mewujudkan apa yang dipanggil South China Sea Code of Conduct. Code of conduct  secara umumnya adalah persetujuan di antara ASEAN dan China dalam menangani isu tuntutan wilayah di Laut China Selatan secara aman dan diplomasi tanpa ada usaha mencetuskan ketegangan yang boleh menyebabkan konflik bersenjata. Code of Conduct (Kod tatalaku) laut China Selatan tidak menyentuh isu kedaulatan dan Malaysia dalam menangani isu Laut China Selatan dilihat lebih fleksibel dengan mengadakan perbincangan secara terus dengan China, membangunkan sesuatu wilayah bertindih secara bersama, pemuliharaan alam sekitar dan sebagainya. Di atas sikap toleransi Malaysia itu, China lebih berlembut dengan Malaysia dalam isu tuntutan bertindih Laut China Selatan jika dibandingkan dengan Vietnam dan Filipina. Dan China tidak pernah membuat bantahan rasmi ke atas aktiviti penerokaan minyak oleh Malaysia di Laut China Selatan. 




Namun keadaan menjadi keruh apabila Barack Obama telah meneruskan kesinambungan usaha pentadbiran George W Bush yang mula memberikan perhatian pada Asia Pasifik kerana bimbangkan ancaman China. Usaha Obama ini dinamakan Pivot to Asia (Berpaksi ke arah Asia).  Pivot to Asia adalah strategi Asia Obama yang mengalihkan fokus polisi luar US dari Timur Tengah dan Eropah kepada Asia Timur dan Selatan. Antara intipati utama Pivot to Asia ialah menguatkan hubungan dua hala dengan sekutu US, meluaskan lagi kerjasama dengan kuasa dunia yang baru termasuklah China, meluaskan perdagangan dan pelaburan,meluaskan kekuatan dan kehadiran tentera dan menambah baikkan sistem demokrasi dan hak asasi manusia. Di sinilah lahirnya idea TPPA (Trans-Pacific Partnership Agreement) bagi merapatkan hubungan dagang antara negara-negara di rantau sebelah sini dengan US dan beberapa negara Amerika Latin. US adalah rakan dagang ke-4 terbesar Malaysia dan pelabur asing terbesar Malaysia. Dengan menyertai TPPA, Malaysia dijangka akan menerima lebih banyak pelaburan asing dari US selain laluan lebih mudah untuk mengekspot produk Malaysia ke US. Namun China tidak dijemput sekali membuatkan mereka merasakan TPPA adalah rancangan licik US untuk mengenepikan dan mengasingkan China dari pasaran ekonomi Asia Pasifik. Lawatan Presiden Obama ke Malaysia pada 26 April 2014 adalah usaha US untuk merapatkan lagi hubungan US-Malaysia dan dalam lawatan itu, Najib telah menyatakan sokongan pada kempen Pivot to Asia yang diusahakan US  yang dianggap dapat menguatkan keselamatan dan pembangunan ekonomi serantau. 

China merasakan US cuba melaksanakan apa yang dipanggil China Containment Policy atau polisi pengawalan China dan mendakwa US cuba melemah dan memecahbelahkan China bagi meneruskan hegemoni US di Asia. Dan matlamat ini dapat dicapai dengan US mewujudkan (atau mempengaruhi) hubungan diplomatik, ketenteraan dan ekonomi dengan negara-negara yang berjiran dengan China. Dengan cara ini, US dapat melemahkan perkembangan pesat ekonomi dan politik China yang mampu menjadikan China sebagai kuasa besar dunia yang baru yang mampu menyaingi US. Namun halangan terbesar US ialah, China merupakan rakan dagang terbesar negara-negara penting yang terlibat seperti Australia, India, Jepun, Indonesia, Vietnam dan Malaysia. Malaysia adalah rakan dagang terbesar China di Asia Tenggara dengan jumlah dagangan tahunan melebihi 100 billion US Dollar. US sedar tentang itu. US tahu kebanyakan negara (termasuk Australia, sekutu rapat mereka di Asia Pasifik) yang mempunyai kepentingan ekonomi dengan China akan keberatan untuk memberikan sokongan pada kempen Pivot to Asia. Di sinilah US menggunakan taktik menakut-nakutkan negar-negara Asia Pasifik dengan menekankan ancaman ketenteraan China berkaitan tuntuan wilayah bertindih. Taktik ini berkesan pada Jepun. Berkesan pada Vietnam dan Filipina. Namun adakah ia berkesan pada Malaysia?


Kapal pemusnah USS Curtis Wilbur yang meronda berhampiran kawasan yang dituntut China-Filipina

Pendekatan diplomatik US yang agresif dengan negara-negara Asia dilihat sebagai usaha Amerika melaga-lagakan negara-negara yang terlibat dengan China dalam tuntutan bertindih di Laut China Selatan. Walaupun ada negara-negara seperti Vietnam dan Filipina yang menyokong pendekatan US namun Malaysia dilihat lebih berhati-hati dalam menyeimbangi hubungan di antara US dan China. China sedar akan potensi mereka menjadi kuasa besar dunia yang baru. Dan mereka belajar dari Soviet Union yang tumbang kerana mereka mengasingkan diri dari dunia luar. Maka China membina hubungan baik dengan negara-negara membangun yang bermasalah dan juga negara dunia ketiga (Amerika Latin dan benua Afrika) namun tidak begitu berjaya dengan negara-negara timur tengah kerana hubungan rapat negara-negara ini dengan US. China bertindak bijak dalam membina hubungan dengan dunia luar dan seharusnya tidak termakan dengan provokasi US. Sayangnya mereka mula rasa tercabar dengan provokasi US. Mereka mula bersikap agresif. Mula membina ‘tembok-tembok ketenteraan’ di sekeliling wilayah mereka. Dan ini menakutkan jiran-jiran mereka. Dan perkara inilah yang digunakan US untuk memomok-momokkan negara-negara di Asia Tenggara.

REAKSI MALAYSIA DENGAN TINDAKAN CHINA

Malaysia punya sejarah yang panjang dalam hubungan dengan China. Sejak era empayar Melaka sehinggal tertubuhnya Negara Malaysia. Malaysia adalah negara ASEAN pertama yang mengadakan hubungan diplomatik dengan China dikala Negara lain cuba menjauhi China kerana ideology komunismenya. Pada 1974, Tun Razak ke China membawa bersama usulan agar China tidak menyokong perjuangan Parti Komunis Malaya. Walaupun ia tidak segera dipersetujui China pada awalnya namun dilewat 70an, China akur kerana mahu Malaysia menjadi jambatan penghubung antara China dengan ASEAN. Dan hubungan ini berlarutan dari Tun Razak hinggalah ke perdana menteri selepasnya. Namun isu tuntutan wilayah bertindih di Laut China Selatan umpama duri dalam daging. Apatah lagi sikap China yang kadangkala tampak kurang ajar!

Walaupun Malaysia cuba mengambil jalan selamat namun pihak media barat secara amnya dilihat cuba memprovokasi isu kehadiran tentera laut PLA di Beting Serupai (James Shoal) sehingga ianya mempengaruhi beberapa tokoh politik, pertahanan serta menimbulkan kesedaran di kalangan orang awam akan pertikaian antara Malaysia-China di Laut China Selatan. Hishamuddin telah bertemu dengan menteri pertahanan Australia, Marise Payne sebagai usaha mendesak China berpegang dengan janji untuk tidak menempatkan sebarang aset ketenteraan di kawasan Laut China Selatan. Presiden Xi Jinping telah menyatakan yang China tidak berhasrat menjadikan pulau-pulau yang dibangunkan sebagai pangkalan tentera. Namun kebimbangan 10 ahli ASEAN meningkat apabila China di dapati menempatkan bateri peluru berpandu dan beberapa buah jet pejuang. Dan ini memaksa kapal-kapal perang US aktif melakukan rondaan di perairan berhampiran pulau-pulau buatan yang dibina China. Malaysia turut mewujudkan koordinasi dengan Vietnam dan Filipina dalam usaha memantau kehadiran kapal-kapal China di sekitar perairan Laut China Selatan.

Sebenarnya hubungan diplomatik Malaysia dengan US yang lebih akrab tidak akan menyebabkan Malaysia terpaksa memilih antara US dan China namun dapat mengimbangi pengaruh dan penguasaan China ke atas Malaysia dalam hubungan antara China-Malaysia. Malaysia akan menolak sebarang permohonan US untuk menempatkan sebarang aset ketenteraan atau pun kehadiran tentera US di Malaysia kerana isu kedaulatan dan juga tekanan dari China tapi US akan menggunakan pendekatan kerjasama khusus yang senyap dan rahsia dengan Malaysia tanpa diketahui pihak umum yang sudah pasti berkaitan pertahanan dan ketenteraan. Ini dapat dilihat pada  peningkatan hubungan pertahanan antara Malaysia dengan US di mana eksesais bersama antara kedua-dua negara telah meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Sebelum ini hanya ada satu eksesais ketenteraan Malaysia-US namun jumlahnya meningkat sehingga tigapuluh kali sedangkan hanya ada satu eksesais ketenteraan bersama antara Malaysia dan China. Selain itu Malaysia juga telah mula membina kekuatan dan pangkalan pasukan amphibious (Pada awalnya ATM menyarankan pengwujudan pasukan Marin namun ditolak kementerian atas faktor kos) berhampiran James Shoal dengan kerjasama bersama US Marine Corps. Kesan dari insiden Lahad Datu serta ancaman militan dari Filipina, Malaysia telah meningkatkan tahap keselamatan dan pertahanan ketenteraan di pantai timur Sabah. US memerhati situasi ini dengan positif kerana ini memudahkan penaiktarafan  kemampuan dan kekuatan ketenteraan Malaysia di sekitar Laut Sulu yang boleh dijadikan sebagai strategi rintangan daripada China. Dan kalau ditakdirkan situasi China-Malaysia semaking tegang, memungkinkan US membina pangkalan atau setidak-tidaknya menempatkan pasukan infantri di kawasan pantai timur Sabah yang kini sudah pun di isytiharkan sebagai kawasan operasi ESSZONE.


James Shoal atau Tebing Serupai yang menjadi rebutan China-Malaysia


SITUASI MALAYSIA ANTARA CHINA-US

Persoalan penting kini adalah ke manakah kecenderungan Malaysia dalam konflik ini? US atau China? Perkembangan mutakhir ialah Najib Tun Razak mengadakan lawatan rasmi ke China yang menyaksikan China menjanjikan ‘soft loan’ berjumlah RM 55 billion untuk projek ECRL dan jumlah keseluruhan perjanjian yang dimeterai antara Malaysia-China bernilai hampir RM 144 billion. Sebelum ini pun sudah banyak kata-kata tidak senang dengan jumlah pelaburan China ke Malaysia. Bimbang jika ia akan dijadikan cagaran oleh China dalam konflik ini. Dan hasil lawatan Najib ini hanya menambah riuhkan lagi keadaan. Malah ada yang pergi lebih jauh dengan mendakwa Malaysia semakin cenderung ke arah China daripada US akibat tindakan US yang ‘mengusik’ isu 1MDB. Apatah lagi tanpa angina dan rebut, Hishamudin mengumumkan China akan membina kapal Litoral Mission Ship untuk Malaysia yang nyata tidak menyenangkan ramai pihak kerana beranggapan Malaysia mungkin terpaksa berhadapan dengan China jadi kenapa harus membeli peralatan ketenteraan dari China? Sebelum ini peralatan ketenteraan yang dibeli Malaysia dari China hanya persenjataan ringan iaitu peluru berpandu mudah alih FN-6. China beberapa kali menawarkan persenjataan dengan teknologi terkini kepada Malaysia. Ia merupakan satu penghormatan apabila sesebuah negara membuat tawaran sedemikian rupa yang menunjukkan sikap hormat serta kepercayaan pada negara yang ditawarkan. Contoh terbaik ialah sewaktu Najib membuat lawatan ke India dan delegasi Malaysia ada menyuarakan rasa minat pada peluru berpandu cruise Brahmos, hasil usahasama India-Russia. Namun India kelihatan agak berat hati kerana hubungan antara Malaysia dan India tidak begitu erat. Dalam hal China, Malaysia lebih suka berdiam diri dan akhirnya tawaran itu senyap begitu saja. China pernah menawarkan peluru berpandu darat ke udara jarak sederhana LY 80 namun ia tidak kemana. China juga pernah menawarkan untuk membina kapal multirole support ship (MRSS) dan juga frigate. Juga tidak kemana. Jadi apabila China ditawarkan membina LMS, ramai pihak menganggap Malaysia bagai membuat pilihan ke arah China.


Gambaran Litoral Mission Ship yang bakal dibina China

Namun hubungan politik tidaklah semudah itu. A berkawan dengan B, A takkan berkawan dengan C! pemerhati politik di US yang memerhatik situasi ini merasakan pertemuan Najib dan Xi Jinping lebih kepada kepentingan ekonomi dan pembelian empat buah LMS adalah atas faktor kos di mana diketahui kapal-kapal buatan China amat murah sehingga sepertiga harganya berbanding kapal-kapal buatan Eropah atau US. Selain itu faktor masa dan peralihan teknologi turut memainkan peranan. Kapal-kapal LMS ini akan siap dalam tempoh 24 bulan bermula dari tarikh ia dibina. Selain dari itu Malaysia berpeluang untuk menerima teknologi peralatan dalaman yang dimiliki China. Sesuatu yang sukar didapati dari firma-firma barat. Dan sebenarnya ramai pihak tidak menyedari situasi kapal-kapal milik TLDM yang sudah terlalu uzur dan sepatutnya sudah lama dilucutkan pertauliahannya namun atas kekangan kewangan maka kapal-kapal ini masih dikerah untuk terus berlayar. Jadi dalam situasi terdesak dari segi kewangan, masa dan kepentingan pertahanan, membeli LMS dari China adalah satu tindakan bijak. 




Ada juga suara-suara yang mengatakan yang Najib telah menjual Malaysia kepada China. Biar aku bagitahu dulu, aku bukan orang UMNO, aku pun tak suka Najib. Tapi kita kena neutral dalam menilai sesuatu situasi. Aku tak bersetuju bila dikatakan Malaysia dah kena jual. Malah aku tak bersetuju juga dengan pendapat yang Malaysia telah mengalihkan sokongan dari US kepada China kerana isu 1MDB. Macam yang aku katakan, geopolitik adalah sesuatu yang kompleks. Malaysia adalah sebuah Negara kecil. Tak pernah berubah. Tapi situasi di sekeliling kita berubah. Suatu masa dahulu, di zaman Tun Razak, di zaman Mahathir, Malaysia adalah sebuah Negara kecil yang tak berapa diberi perhatian. Namun kini ia berubah. Bila dunia melihat potensi Asia Pasifik dan Malaysia pula berada betul-betul di pusat perdagangan Asia Tenggara, tersepit di antara dua kuasa besar, US dan China, maka cara Malaysia membawa diri di peringkat antarabangsa perlu berubah. 

Ramai yang melihat US dan China cuba mengambil kesempatan ke atas Malaysia. Tapi kenapa kita tidak lihat situasi ini dari persepektif berbeza? Bagaimana pula jika situasi ini sebenarnya melihatkan Malaysia mengambil kesempatan dari US dan China. We playing both ways and taking advantage of both of it! Peranan Malaysia unik. Kita tidak seperti Indonesia, tidak seperti Thailand, tidak seperti Filipina atau Vietnam. Malaysia berada di dalam situasi yang unik. Umpama anak kecil yang direbut oleh ibu dan bapa yang bercerai! Sikap kita yang tidak menunjukkan kecenderungan pada mana-mana pihak jelas menghantar isyarat pada US dan China, jangan cuba memijak kepala kami atau kami akan beralih arah! And that’s smart! Malah Presiden Filipina, Rodrigo Duterte turut melakukan perkara yang sama bila mendapati US cuba mengambil kesempatan dan mula mahu menginjak kepala mereka, maka Duterte pantas mengalihkan kecenderungannya kepada China, membuatkan US pening kepala.

Walau apa pun yang berlaku sekarang, kita sebagai rakyat Malaysia harus bersedia. Pada aku, krisis China-US mampu mencetuskan Perang Dingin ke-2 atau Perang Dunia ke-3 jika China dan US terus dengan sikap agresif dan keras mereka. Namun yang terkena kesannya ialah negara-negara Asia Pasifik dan Malaysia akan terlibat sama. Jadi selaku rakyat Malaysia, kita harus lebih bijak dalam menilai situasi yang sedang dihadapi.    

Saturday, 7 November 2015

Helikopter Tempur Ringan MD-530G


Khabar bahawa Malaysia akan membeli lapan buah pesawat helikopter tempur ringan jenis MD-530G bertiup kencang. Perjanjian pembelian dikatakan akan ditandatangani pada bulan November sewaktu Malaysia menjadi tuan rumah persidangan Asia Timur yang akan turut dihadiri presiden AS, Barack Obama. Namun jika perjanjian gagal dicapai sebelum tarikh itu, ia akan dimuktamadkan pada DSA 2016, April tahun hadapan. Aku terdiam seketika membaca khabar ini. Tahun lalu heboh diperkatakan Malaysia bakal memiliki pesawat Eurocopter EC 665 Tigre. Segala-galanya menunjukkan pesawat Tiger ini akan mengisi keperluan inventori tentera Malaysia sebagai pesawat helikopter tempur. Sehinggakan sahabat kita di seberang laut yang bakal memiliki pesawat Apache galak mengutuk-ngutuk kita sambil membanding-bandingkan kekuatan Apache dan Tiger. Namun kini situasinya berbeza. Ekonomi negara yang diwar-warkan ‘the almighty’ Najib yang kononnya stabil ternyata berbeza pula realitinya. Bajet 2016 menyaksikan hampir semua sektor mengalami pemotongan. Hatta IPT juga menerima pemotongan. Dan peruntukan pertahanan yang sememangnya diketahui seringkali jadi mangsa turut menerima nasib yang sama. (Peliknya Jabatan Perdana Menteri pula mendapat kenaikan!)

MD-530G

 
Pembentangan bajet 2016 menyaksikan peruntukan pertahanan adalah penambahan aset yang sudah diketahui sekian lama (AV8, NGPV dll) selain peruntukan keperluan logistik ATM dan APMM. Tidak ada pengumuman peruntukan penambahan aset yang baru. Namun itu adalah amalan biasa. Selalunya pengumuman penambahan aset akan diumumkan di luar pembentangan bajet tahunan. Perkara yang sama berlaku pada pembelian pesawat MD-530G yang tersebar seminggu selepas pembentangan bajet 2016. Walau pun banyak khabar angin yang tersebar dan banyak juga yang tidak menjadi kenyataan namun khabar pembelian MD-530G ini dikatakan sahih kerana ia memenuhi keperluan ESSCOM dan sehingga kini semua keperluan ESSCOM sebahagian besarnya dipenuhi kerana dianggap sebagai keperluan ancaman yang nyata dan mendesak.

MD-530G adalah dari keluarga MD-500 yang dihasilkan berasaskan helikopter kegunaan tentera, OH-6 buatan firma Hughes. Namun firma ini dipecahkan kepada dua entiti iaitu Boeing yang menghasilkan pesawat untuk kegunaan tentera (AH-6 dan AH-64 Apache) dan McDonald Douglas (MD Helicopters Inc) yang menghasilkan pesawat awam. MD Helicopters Inc tidak seperti Boeing yang membina helikopter khusus untuk kegunaan tentera AS, baru cuba untuk kembali melibatkan diri ke dalam industri pertahanan dengan penghasilan helikopter MD-530F yang lebih spesifik penghasilannya sebagai sebuah pesawat helikopter tempur ringan yang sesuai untuk tugasan tinjauan dan sokongan udara dilengkapi dengan sistem persenjataan yang lebih canggih, radar, sistem pengimejan yang membolehkan ia beroperasi pada waktu malam.
Boeing AH-6i

MD-530G pula adalah versi terkini berasaskan MD-530F yang dipertingkatkan kemampuannya. Khususnya dari segi persenjataan yang lebih canggih. Antara modifikasinya ialah dengan mengukuhkan gear mendarat membolehkan pesawat menampung lebih berat persenjataan yang dibawa. Peralatan radio taktikal yang lebih canggih, pemasangan tangki minyak tambahan dan juga panel perisai  balistik selain pemasangan sayap tambahan yang membolehkan lebih banyak persenjataan dan tangki tambahan dipasang yang juga disambungkan ke sistem pengurusan dalaman yang membolehkan segala persenjataan dan maklumat berkaitan kelengkapan yang dipasang dikawal oleh juruterbang di kokpit. MD-530G boleh dilengkapi persenjataan seperti minigan, mesingan berat, roket panduan laser dan juga peluru berpandu anti tank.

Bagaimana pun berpandukan pada situasi ekonomi dan juga keperluan pesawat ini di ESSCOM, kemungkinan pesawat ini akan hanya dilengkapi mesingan (kemungkinan besar gatling gun yang kini galak dipasang ATM pada Nuri dan AW-109). Tidak ada pelancar roket mahu pun peluru berpandu kerana ancaman yang dihadapi hanyalah pihak militan yang biasanya bersenjatakan senjata ringan. Perlu diingat, peranan utama pesawat ini adalah sebagai pesawat scout attack iaitu mengesan kedudukan musuh dan memberi sokongan udara. Kepantasan adalah amat penting. Persenjataan yang berlebihan akan hanya menambah berat pesawat yang akan menyebabkan penggunaan minyak lebih serta menyukarkan pemacuan pesawat. Kelajuan maksima mencecah 282km/h dengan jarak penerbangan 426 km. Ia mampu terbang selama dua setengah jam jika dilengkapi tangki tambahan (tangki tambahan mampu membawa 35 gelen bahan api yang membolehkan pesawat terbang dengan tempoh tambahan sejam). Pesawat ini juga dilengkapi kamera sistem pemantauan taktikal WESCAM MX-10 yang di pasang pada bahagian hadapan pesawat yang membolehkan juruterbang mendapatkan imej EO (Electro Optical) yang stabil, beresolusi dan berdefinasi tinggi serta berwarna serta imej infra merah dan pengenal-pastian geopoint dan geolocation berketepatan tinggi selain penyasaran laser ke arah sasaran. Dan sudah pasti helmet juruterbang yang akan dilengkapkan dengan teknologi NVG (Night Vision Goggle) membolehkan pesawat ini beroperasi pada waktu malam.

Sebenarnya MD-530G bersaing rapat dengan ‘kembarnya’ iaitu AH-6i, versi terkini yang dinaiktaraf dari versi MH-6. Perbezaan fizikal antara MD-530G dengan AH-6i ialah MD-530G memiliki lima bilah kipas utama dan dua bilah kipas ekor sementara AH-6i memiliki enam bilah kipas utama dan empat bilah kipas ekor. Ini membuatkan pesawat AH-6i punya kelebihan dari segi kawalan pemacuan dalam keadaan panas dan beraltitud tinggi. Kelebihan AH-6i yang lain adalah kerusi juruterbangnya yang lebih tahan terhempas, tangki minyak yang boleh menampung kebocoran serta mampu membawa jumlah amunisi yang lebih berbanding MD-530G. Selain itu AH-6i berasaskan pesawat MH-6 yang mempunyai rekod pertempuran kerana digunakan dengan meluas oleh pihak tentera AS dalam banyak konflik bersenjata. Rekod cemerlang ini meyakinkan Jordan dan Arab Saudi untuk membeli AH-6i bagi kegunaan tentera mereka. MD-530G pula berasaskan pesawat MD-530F dimana rekod perkhidmatannya agak negatif. Pada tahun 2011, MD Helicopter Inc berjaya mendapatkan kontrak membekalkan pesawat MD-530F kepada angkatan tentera udara Afghanistan. Juruterbang Afghanistan mengkritik akan kemampuan pesawat MD-530G yang tidak mampu terbang dalam jarak jauh untuk sampai ke kawasan persembunyian Taliban selain persenjataan mesingannya yang tidak menepati sasaran dan seringkali tersekat (jammed).

MD-530F milik tentera Afghanistan
Walaupun Malaysia dikatakan akan membeli lapan unit MD-530G namun jumlah ideal adalah duapuluh empat. Bagaimana pun jumlah lapan buah ini dibeli hanya untuk memenuhi keperluan ESSCOM dan bukan sebahagian dari program pembangunan dan pemodenan ATM. Kita semua tahu ATM sebenarnya mahukan pesawat tempur berat seperti Tiger, Apache, Cobra mahu pun Rooivalk. Namun keadaan kewangan sekali lagi menjadi penghalang. Malah kalau dilihat dari sejarah, pembelian MD-530G ini kemungkinan akan menyebabkan harapan untuk melihat pesawat helikopter tempur berat berada dalam inventori ATM tidak akan dapat direalisasikan dalam tempoh terdekat ini. Malah kemungkinan besar di masa hadapan, kerajaan akan hanya menambah jumlah pesawat MD-530G dan bukan membeli pesawat tempur baru. Aku sebenarnya agak kecewa dengan keputusan pembelian MD-530G. Satu sebabnya sudah tentu kerana aku kepingin sangat melihat Tiger menjadi milik kita. Dan dengan segala apa yang berlaku yang menunjukkan kita begitu hampir memiliki pesawat buatan Perancis itu, sayangnya masalah kewangan yang begitu mengikat menyebabkan ATM terpaksa melupakan pesawat yang diidam-idamkannya itu. ‘Beggar cannot choose’ bak kata pepatah. Namun apa yang lebih menyedihkan ialah apabila pilihan antara MD-530G dan AH-6i, kerajaan memilih pesawat yang lebih murah dan ekonomi dan bukannya yang lebih berkemampuan. Bererti pesawat dipilih berdasarkan kantung kewangan negara yang semakin menipis.

EC-665 Tiger, impian yang dekat tapi jauh

Timbul persoalan kalau faktor kewangan jadi penyebab Tiger tidak dipilih, kenapa tidak dinaiktaraf saja pesawat AW-109 agar dilengkapi persenjataan? Antara sebab pemilihan MD-530G berbanding AH-6i atau melengkapkan persenjataan pada AW-109 adalah kos penyelenggaraan dan pengoperasiannya yang lebih murah. MD-530G ini pasti akan ditempatkan di pangkalan laut Tun Sharifah Rodziah dan kapal pangkalan laut KD Tun Azizan (sebuah pesawat di setiap pangkalan dalam satu-satu masa). Ruang yang minima diperlukan oleh MD-530G berbanding pesawat lain, contohnya AW-109. Malah sifat MD-530G yang kurang kompleks berbanding pesawat seperti Tiger mahu pun AW-109 membolehkan sebarang masalah teknikal boleh ditangani di kedua-dua pangkalan laut ini tanpa perlu dihantar ke pangkalan darat yang pastinya memakan masa dan kos. Selain dari itu, faktor pembelian yang lebih mudah pesawat MD-530G berbanding AH-6i turut menjadi penyebabnya. MD-530G boleh didapatkan terus melalui penjualan komersil kerana ia masih dianggap pesawat komersil sementara AH-6i perlu mendapatkan kelulusan penjualan persenjataan Amerika Syarikat pada negara asing. Walaupun isu ini masih boleh dipertikaikan dimana hanya pesawat yang boleh dibeli secara terus sementara pemerolehan persenjataannya masih terpaksa melalui proses mendapatkan kelulusan dari pihak kerajaan AS.

KD Tun Azizan

Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah

 
Namun isu yang paling menyedihkan aku dalam hal ini bukanlah jenis helikopter yang dipilih semata-mata. Tetapi kenyataan di mana negara-negara jiran lain giat meningkatkan kemampuan ketenteraan mereka, Malaysia pula kelihatan seperti memperlahankan usaha sedangkan Malaysia antara negara terawal di Asia Tenggara yang memulakan usaha pemodenan angkatan tenteranya. Filipina yang tidak punya kekukuhan ekonomi kini begitu giat meningkatkan kekuatan tentera biar pun kemampuan kewangan mereka terhad. Untuk pengetahuan, Filipina adalah antara negara terawal menggunakan pesawat MD-500 sebagai pesawat tempur ringan bagi menyokong usaha mereka menghadapi insurgensi di selatan Filipina. Dan kini mereka membeli pesawat AW-109 yang dilengkapi senjata sebagai langkah memodenkan skuadron pesawat tempur mereka. Ironi bukan, bila Malaysia sebenarnya negara pertama di Asia Tenggara memiliki pesawat AW-109 berorientasikan ketenteraan dan kini beralih kepada pesawat MD-530G bagi menubuhkan skuadron pesawat helikopter tempur. Seolah-olah kita berundur dan bukannya maju ke hadapan.

AW-109 yang dilengkapi senjata
Negara-negara tetangga seperti Vietnam, Indonesia, Filipina, Thailand, Brunei dan Singapura begitu gigih meningkatkan kemampuan pertahanan mereka kerana bimbangkan ancaman China di Laut China Selatan namun kita masih menggunakan ‘jalan diplomasi’. Sewaktu ekonomi negara kukuh, alasan mengutamakan ekonomi digunakan untuk menjustifikasikan peruntukan kecil dalam sektor pertahanan. Namun kini bila ekonomi lemah, alasan kekangan kewangan pula digunakan. Jadi bila masanya yang sesuai bagi pihak kerajaan meletakkan kepentingan pertahanan nasional sebagai agenda yang penting? Bila musuh sudah di sempadan dan sedia menceroboh kedaulatan negara? Ramai orang kritik pembangkang dengan pandangan bodoh mereka berkaitan penambahan aset pertahanan. Tetapi tak ramai pula yang mahu mengkritik sikap parti pemerintah kini yang gemar berpolitik selain punya agenda peribadi apabila melibatkan isu pertahanan.

Aku memperumpamakan pembelian pesawat MD-530G ini umpama seorang anak meminta ayahnya membeli permainan. Tetapi si ayah tak mampu. Jadi si ayah belikan gula-gula bagi membeli jiwa anak itu sedangkan hakikatnya si anak tidak akan dapat permainan yang diinginkannya. Itulah yang berlaku kini antara pihak kerajaan dengan ATM. Kerajaan tak mampu membelikan pesawat helikopter yang lebih canggih seperti Tiger, jadi dibelikan MD-530G. Dan hakikatnya ATM kemungkinan tidak akan langsung berpeluang memiliki pesawat seperti Tiger sampai bila-bila kerana harapan ini telah disimpan sejak dari dulu namun tidak pernah direalisasikan. Dan senario pemilihan aset berdasarkan kantung kewangan dan bukannya kualiti ini bagai bakal menjadi amalan. Contohnya, sudah ada cadangan agar pesawat ISR F-5 yang telah disarakan digantikan dengan pesawat yang lebih murah. Aku pernah ketengahkan isu kemungkinan ATM memilih pesawat Textron Airland Scorpion bagi menggantikan F-5 sebagai pesawat ISR negara kerana faktor harganya yang lebih murah. Namun Malaysia punya idea yang lebih rendah dari itu. Menggantikan pesawat F-5 dengan pesawat ringan Cessna AC-208 Caravan. Harga pesawat ini dikatakan satu pertiga dari harga pesawat Textron Airland Scorpion selain kos penyelenggaraannya yang menyamai kos pesawat ringan. Jadi masalah kewangan membuatkan kita benar-benar terdesak sehingga sanggup merendahkan kualiti aset pertahanan kita? Pesawat F-5 adalah sebuah jet pejuang tapi bakal diganti dengan pesawat ringan? Bukankah tindakan ini dilihat umpama melangkah kebelakang? Jadi adakah kita akan menggantikan MiG-29 dengan pesawat tempur ringan seperti FA-50 yang dibeli Filipina dan Thailand? Atau pesawat yang lebih murah seperti pesawat turboprop Super Tucano yang dimiliki Indonesia?

Cessna AC-208 Caravan

 
Adalah amat menyedihkan dengan segala tenaga, usaha dan idea yang telah dibentangkan selama ini menyaksikan kita umpama kembali berundur dan bukannya maju ke hadapan bagi mencapai objektif menjadi negara dengan kemampuan pertahanan moden yang mampu menghadapi ancaman musuh di abad ke 21. Ekonomi Malaysia akan kembali kukuh dalam tempoh beberapa tahun ini. Malaysia akan kembali menikmati kemewahan hasil dari penjanaan ekonomi, perindustrian dan hasil sumber asli negara. Dikala itu aku mahu melihat adakah kerajaan Barisan Nasional maha bijaksana dan mulia ini (jika mereka masih berkuasa pada ketika itu) akan berubah minda dan mula menitik beratkan isu pertahanan atau akan tetap dengan sikap sedia ada yang memandang ringan kepentingan keselamatan nasional dengan menggunakan alasan mengutamakan kepentingan ekonomi sebagai hujah untuk peruntukan terhad pertahanan tapi dalam masa yang sama berbillion ringgit wang negara masuk ke dalam poket kroni-kroni mereka!       

Saturday, 18 July 2015

BLACK RAIN


Bila aku dapat berita kematian actor Jepun, Ken Takakura, aku terasa nak tulis review pasal filem BLACK RAIN. Tapi tak kesampaian sebab asyik nak tulis pasal isu pertahanan. So kali ni aku tulis artikel yang santai sikit. Asyik cerita pasal isu pertahanan je, bosan pulak.
BLACK RAIN mengisahkan seorang anggota polis bernama Nick Conklin (Michael Douglas) yang sedang disiasat kerana kes salah laku. Sewaktu dia bersama rakannya, Charlie Vincent (Andy Garcia) sedang makan tengahari di sebuah restoran, mereka terlihat pertemuan sekumpulan Yakuza dengan Mafia. Tiba-tiba muncul beberapa lelaki Jepun bersenjata yang diketuai Sato (Yusaku Matsuda). Sato merampas sebuah kotak dari salah seorang ahli kumpulan Yakuza sebelum membunuh mereka. Conklin dan Vincent mengejar Sato dan berjaya menangkapnya. Namun pihak kedutaan Jepun mahu mengekstradisi Sato. Conklin dan Vincent terpaksa mengiringi Sato pulang ke Jepun. Namun setiba mereka ke lapangan terbang, mereka telah tertipu apabila sekumpulan Yakuza yang menyamar sebagai anggota polis untuk menyelamatkan Sato.
Michale Douglas

Andy Garcia

Conklin enggan pulang ke US sebaliknya mahu memburu Sato biar pun Vincent tidak bersetuju. Pihak polis Jepun yang kurang bersetuju telah mengarahkan seorang pegawainya, Masahiro (Ken Takakura) untuk menemankan mereka. Conklan seorang yang keras kepala dan ego menyebabkan hubungannya dengan Masahiro menjadi tegang sementara Vincent lebih berdiplomasi dan seringkali menjadi pendamai. Sikap polis Jepun yang merahsiakan perkara penting dalam siasatan memaksa Conklan dan Vincent mencari jalan sendiri mendapatkan jawapan. Conklan bertemu dengan seorang GRO berbangsa Amerika bernama Joyce. Joyce memaklumkan yang Sato sedang berseteru dengan seorang Oyabun (ketua Yakuza) bernama Sugai. Dalam siasatan lanjut di dapati kotak yang dirampas Sato di US sebenarnya berisi sebelah dari plat wang palsu Dollar. Pertemuan Yakuza dengan mafia itu diaturkan Sugai untuk memastikan samada plat itu cukup bagus untuk menghasilkan wang palsu. Namun Sato merampas plat itu. Tujuannya ialah untuk memeras ugut Sugai supaya dia dapat menjadi Oyabun dan memiliki kawasannya sendiri.

Ken Takakura
Yusaku Matsuda

Satu malam sewaktu dalam perjalanan pulang ke hotel, Conklan dan Vincent diserang sekumpulan lelaki bermotosikal yang merupakan anggota kumpulan Sato. Vincent dibunuh di hadapan Conklan yang tidak dapat membantu. Menyedari yang dia kini tidak ada sesiapa, Conklan terpaksa merendahkan egonya dan berkerjasama dengan Masahiro. Mereka telah mengekori seorang perempuan simpanan Sato yang akhirnya membawa mereka ke sebuah kilang besi milik Sugai. Pada ketika itu Sato dan Sugai bertemu untuk berbincang. Sato menyatakan akan memulangkan plat wang palsu kalau sekiranya dia diberi kawasannya sendiri. Sewaktu Sato mahu meninggalkan kawasan kilang, Conklan dan Masahiro cuba menangkapnya namun gagal. Pihak polis Jepun yang berang dengan tindakan Conklan dan Masahiro telah bertindak menghantar pulang Conklan dan menggantung kerja Masahiro. Namun Conklan berjaya melepaskan diri dari kapalterbang dan bertemu dengan Masahiro. Conklan cuba meyakinkan Masahiro untuk menolongnya menangkap Sato namun Masahiro enggan.



 
Conklan yang kecewa dengan keputusan Masahiro telah bertemu dengan Joyce. Dia meminta Joyce membantunya bertemu dengan Sugai. Joyce menyatakan yang Sugai sukakan golf. Conklan bertemu dengan Sugai di lapang sasar golf namun dia dibawa pulang ke kediaman Sugai. Sugai menceritakan akan latar belakangnya, bagaimana sewaktu kecil dia terpaksa berlindung di bawah tanah selama tiga hari akibat serangan bom atom oleh Amerika dan bagaimana sewaktu dia keluar dari tempat persembunyian, langit telah menurunkan hujan yang hitam (Black Rain) kesan bom atom itu. Conklan menyatakan yang dia boleh membantu Sugai menghapuskan Sato namun Sugai enggan. Dia menyatakan yang dia menghormati perjanjian yang telah dibuat dengan oyabun yang lain untuk memberikan peluang kepada Sato. Namun Conklan meyakinkan Sugai yang oyabun lain tidak akan tahu yang Sugai terlibat dengan Conklan dan orang akan menyangkakan Conklan bertindak membalas dendam ke atas Sato di atas kematian rakannya Vincent. Sugai akhirnya bersetuju.

Keesokkan paginya Conklan dibawa ke sebuah ladang di mana pertemuan antara beberapa oyabun dengan Sato di adakan. Conklan di turunkan di separuh jalan dan dibekalkan dengan selaras shortgun dan beberapa butir peluru. Sewaktu meninjau rumah di mana pertemuan di adakan, kelihatan beberapa orang peladang sedang bercucuk tanam namun mereka rupa-rupanya adalah orang-orang Sato. Salah seorang dari mereka cuba menyerang hendap Conklan namun berjaya dihalang Masahiro yang mengambil keputusan untuk membantu Conklan. Dalam pertemuan antara oyabun dengan Sato, Sugai bersetuju untuk memberikan Sato kawasannya sendiri tapi dengan syarat dia harus dihukum di atas sikapnya yang tidak menghormati kod Yakuza dengan memotong jari kelingkingnya. Setelah memotong jarinya sendiri, Sato dipanggil Sugai untuk duduk di sebelahnya dan meminum sake sebagai tanda pendamaian. Namun Sato bertindak menikam Sugai dengan pisau dan di kala itu Conklan dan Masahiro serta orang-orang Sato menyerang.



 
Dalam keadaan kelam kabut, Sato berjaya melarikan diri dengan menaiki motorsikal namun dikejar Conklan. Apabila mereka terjatuh di tengah kawasan ladang, berlaku pergaduhan antara mereka. Conklan berjaya menangkap Sato dan mahu menghumban tubuh Sato ke sebatang kayu tajam. Namun Conklan membatalkan hasratnya. Dia dan Masahiro bertindak membawa pulang Sato ke balai polis. Conklan dan Masahiro diberikan penghargaan sebagai wira kerana berjaya menangkap Sato. Di babak terakhir di lapangan terbang sebelum kepulangan Conklan ke Amerika, Masahiro menyatakan rasa bimbangnya kerana dua plat wang palsu tidak ditemui sewaktu mereka menyerbu tempat pertemuan para oyabun dengan Sato. Conklan menyatakan siapa saja yang menemui plat itu adalah orang yang bertuah kerana jika dia kenal dengan orang yang dapat membantunya maka mereka boleh menghasilkan wang palsu dengan kualiti yang tinggi. Sebelum berpisah Conklan menyerahkah hadiah kepada Masahiro. Masahiro membuka kotak hadiah itu dan mendapati sehelai kemeja di dalamnya namun dibawah kemeja itu terdapat dua plat wang palsu yang dicari.

Aku tak tau kenapa filem-filem kegemaran aku selalunya dapat kritikan teruk dan dikatakan filem yang tidak bagus. Taste aku pelik ke? Tapi BLACK RAIN memang salah satu favourite movie aku. Beratus kali aku tengok namun aku tak pernah jemu. BLACK RAIN ditayangkan pada 1989. Satu sebab kenapa aku nak tengok filem ni masa tu bila aku tengok trailernya di TV di mana Sato seret mata pedang di atas jalan sewaktu dia tunggang motorsikal sampai berapi-api. Cool lah sesangat. Tapi sebab aku budak-budak lagi masa tu jadi aku tak dapat nak pergi tengok kat wayang. Aku cuma berpeluang tengok filem ni lebih kurang 7 tahun kemudian. Aku memang suka dengan filem-filem Ridley Scott. For some reason dia tak terlalu blow up American baravado pada karakter utamanya macam filem-filem Hollywood yang lain. Dan aku rasa sampai sekarang dia masih stick pada idea yang sama. Kita boleh tengok dalam BLACKHAWK DOWN, KINGDOM OF HEAVEN, even TOPGUN. Dalam BLACK RAIN watak utama Nick Conklan digambarkan sebagai watak hero Amerika yang tipikal. Rough, tough and always right. Berbeza dengan watak counterpartnya dari Jepun, Masahiro yang digambarkan sebagai tipikal Japanese police, always by the book. Di awalnya nampak seperti Conklan betul dengan caranya yang sembrono tapi kematian Vincent benar-benar memberikan tamparan hebat pada Conklan. Demi membela kematian Vincent, Conklan sedar dia terpaksa merendahkan egonya dan berkerjasama dengan Masahiro. Ingat, situasi ni jarang berlaku dalam filem Hollywood. Selalunya hero America ni sentiasa betul, sentiasa power. Orang lain semua salah, semua bodoh dan selalunya akan minta maaf pada watak utama di atas kebodohan mereka. Propaganda tak sudah.

Kedua mereka mengenepikan ego masing-masing dan bertolak-ansur. Conklan menerima sikap Masahiro dan budaya timurnya sementara Masahiro cuba memahami Conklan dan budaya baratnya. Ini sesuatu yang kita jarang jumpa dalam filem Hollywood sekarang yang selalunya ‘memancarkan’ kehebatan watak hero ala Amerika yang tak pernah salah dan sering menghalalkan tindak tanduk si hero biar pun terang-terangan ia bertentangan dengan norma morality. Contoh perbandingan terbaik ialah LEATHAL WEAPON, 48 HOURS, TANGO & CASH, BADBOYS dan banyak lagi yang kadang-kadang buat aku rasa nak muntah! Tu sebab aku suka Ridlley Scott, dia sering cuba ‘memanusiakan’ karakter filemnya. Sering ada weak side of them yang buatkan mereka vunerable.

BLACK RAIN ni pun banyak drama di sebalik tabir. Nak shoot kat Jepun bukannya senang. Punya banyak kerenah birokrasi sampaikan Ridley Scott bersumpah taknak lagi shot movies kat Jepun. Kalau kat Malaysia lain sikit. Local movie makers kena hadapi macam-macam kerenah birokrasi tapi foreign movie makers selalunya dapat layanan baik. Tipikal Malaysia. Pelakon Yusaku Matsuda yang melakonkan watak Sato, sebelum bermula penggambaran telah di diagnos menghidap kanser. Tapi dia tak mahu menjalani rawatan kemoterapi sebab ia boleh mengganggu konsentrasinya mendalami watak Sato. Talk about method actor with principal even when his life is at stake. Ada actor Malaysia yang macam tu? Never mind. Don’t  answer that. Matsuda tidak sempat menonton BLACK RAIN apabila dia meninggal sebaik tamat penggambaraan filem itu. Beliau menjadi ikon di Jepun biar pun setelah kematiannya sehinggakan karakter Aokiji dalam manga ONE PIECE adalah berdasarkan padanya.

BLACK RAIN ni typical 80s gangster movie with less crash! Boom! Bang! Kekuatan ceritanya ialah pada mutu lakonan, mengasingkannya dengan filem-filem aksi era 80an yang kebanyakan no brain at all. Pada aku kalau watak antagonist pun likeable dan kita suka tengok bererti mutu lakonan pelakon-pelakonnya serta character developmentnya oleh pengarah telah berjaya. Antara yang aku tak boleh lupa ialah scene racing motor pada awal filem. Motor yang ditunggang Michael Douglas memanglah cool. Kemudiannya baru aku tahu motor tu jenis Harley Davidson Evo-Sportster. Quote yang aku tak boleh lupa oleh Michael Douglas, “You watch your tail, cowboy!’ yang diucapkan pada Andy Garcia supaya berhati-hati. Di akhir filem, Michael Douglas mengucapkan line yang sama pada Ken Takakura melambangkan Douglas menerima Takukura sebagai sahabat seperti mana hubungannya dengan Garcia. Touching! Kematian Ken Takakura beberapa bulan sebelum ni membangkitkan nostalgia kali pertama aku menonton BLACK RAIN. It’s awesome and BLACK RAIN will always be one of my favourite movies of all time.

Tuesday, 23 June 2015

SENGATAN HORNET

F/A-18 E/F Advance Super Hornet

Telah sah yang MiG-29 tidak akan ditamatkan perkhidmatannya sebaliknya akan dinaiktaraf agar jangkahayatnya boleh dipanjangkan. Namun dalam masa yang sama berita ini juga menunjukkan program penggantian MRCA akan terus ditangguh dalam satu jangkamasa yang tidak diketahui. Dan secara peribadi aku merasakan yang ia akan tertangguh dalam satu jangkamasa yang lama. Paling tidak pun dalam tempoh beberapa tahun lagi.

 MiG-29 milik TUDM

Namun berita ini tidak menyurutkan isu jenis pesawat yang akan mengisi logistik TUDM. Perbincangan dan analisa di kalangan netizen akan isu ini terus diperkatakan. Aku tertarik akan tajuk pesawat F-18 punya peluang yang besar dalam program MRCA. Jujurnya dan aku rasa semua yang follow blog aku dah tahu yang aku memang tak berapa bersetuju dengan pembelian atau penambahan pesawat F-18 dalam logistik TUDM. Dan rasanya semua dah tahu sebab kenapa aku tak bersetuju, bukanlah dari sudut kemampuannya tapi dari aspek geopolitik. Namun ramai pemerhati tak rasmi merasakan peluang F-18 semakin hari semakin cerah.

Dari sudut kemampuan memang ramai yang tahu TUDM amat bersetuju kalau sekiranya F-18 mengisi kekosongan MiG-29 dalam program MRCA. Ini kerana pengalaman mengoperasi lapan buah pesawat F-18 dalam logistik TUDM menunjukkan pesawat ini bukan saja berkemampuan dari segi kombat malah dari sudut pengoperasiannya juga ia kurang bermasalah kalau mahu dibandingkan dengan pesawat-pesawat buatan Russia yang dimiliki Malaysia. Malah usia F-18 dan MiG-29 adalah hampir sama namun F-18 tidak seperti MiG-29, jarang kedengaran permasalahan dari sudut penyelenggaraan. Kalau ada sekali pun ia sekadar masalah kecil yang dapat diselesaikan secepat mungkin. Berbeza dengan MiG-29 yang menghadapi pelbagai masalah dan masalah yang paling besar adalah mendapatkan alat ganti. Dan yang paling menyedihkan Sukhoi-30 MKM turut mengalami masalah yang sama. Nyata masalah dengan pesawat yang dibeli dari Russia adalah mendapatkan alat ganti serta proses penyelenggaraan yang rapi.
 

Sukhoi-30MKM yang turut mengalami masalah bekalan alat ganti dari Russia

Masalah paling besar berkaitan dengan pesawat F-18 seperti yang diketahui semua adalah masalah berkaitan geopolitik. Hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat sewaktu era pemerintahan Mahathir tidaklah begitu baik. Apatah lagi hubungan antara Malaysia dengan sekutu kuat AS di Asia Tenggara iaitu Singapura sering dilihat tegang. Maka ahli dewan senat AS seringkali menghalang tindakan firma persenjataan AS dari menjual kelengkapan pertahanan pada Malaysia. Ini termasuklah kelengkapan berkaitan pesawat F-18 Hornet. Malah di satu ketika Mahathir dilihat seolah-olah menyesali tindakan Malaysia membeli pesawat F-18 Hornet ini. Macam-macam isu yang dibangkitnya dan isu yang paling panas adalah berkaitan source code yang sebenarnya bukanlah suatu isu yang besar. Kebanyakannya negara yang lebih rapat dengan AS yang memiliki F-18 turut tidak diberikan source code. Cuma dalam hal ini, Malaysia turut dihalang dari membeli peralatan persenjataan termasuklah peluru berpandu anti pesawat AIM 120C yang turut dimiliki Singapura. Hanya baru-baru ini sahaja Malaysi dibenarkan memiliki peluru berpandu yang diingini. Itu pun dalam jumlah yang terhad. Bererti F-18 Hornet milik Malaysia umpama harimau tak bertaring!

Namun scenario kini berubah. Hubungan Malaysia dan AS semakin baik. Mungkin faktor kebimbangan AS dengan kehadiran China yang agak agresif di wilayah Asia Pasifik menjadi pendorong utama akan hal ini selain sikap Perdana Menteri Malaysia kini, Najib Tun Razak yang lebih terbuka dalam hubungan antara kedua buah negara. Mahu tak mahu kita harus akui, dalam hubungan baik antara Malaysia-China, dalam Malaysia melaungkan slogan untuk mengambil jalan diplomasi untuk menangani isu perebutan wilayah di Laut China Selatan, Malaysia juga berasa bimbang yang amat sangat dengan pendirian China terhadap Laut China Selatan yang amat keras. Malah tindak-tanduk pasukan bersenjata China juga dilihat bagai tidak menghormati (atau tidak takut) dengan kedaulatan Malaysia. Saban tahun kapal-kapal milik PLA-Navy dan China Coast Guard menceroboh perairan negara. Malah China giat membangunkan pulau buatan manusia di kawasan terumbu karang yang menjadi perebutan antara China-Malaysia-Brunei. Malah dari pemantauan tentera Amerika Syarikat mendapati pulau buatan itu tampak berfungsi sebagai markas hadapan tentera China yang lengkap dengan landasan udara.
 

Kapal-kapal PLA-Navy yang dikatakan sering menceroboh perairaan negara

Namun Malaysia bagai tidak mampu berbuat apa-apa. Atas nama diplomasi katanya namun dari mata kasar dapat dilihat Malaysia sebenarnya tidak berkemampuan untuk bersikap tegas dengan China. Dari sudut kekuatan ketenteraan saja Malaysia sudah jauh ketinggalan. Kapal-kapal peronda Malaysia tidak mampu bersaing dengan kapal Coast Guard China apatah lagi kapal-kapal People Liberation Army-Navy yang jauh lebih canggih. Dan apa yang boleh Malaysia boleh lakukan berkaitan isu pulau buatan China kalau Amerika Syarikat sendiri berani dikritik China kerana usahanya yang dilihat cuba mencampuri hal ehwal orang lain. Jadi dapat difahami jika Malaysia cuba meningkatkan tahap persahabatan dengan Amerika Syarikat. Sudah tentu Malaysia berharap jika ditakdirkan (harapnya tidak berlaku) tercetus konflik bersenjata dengan China, sekurang-kurangnya Malaysia ada sokongan lembut (soft support) dari negara Uncle Sam. Aku tak tahu dah berapa kali aku cerita pasal perkara ni. Mungkin sebab masih ada orang yang naïf yang menganggap aspek geopolitik tidak memainkan peranan dalam pembelian aset pertahanan.

Berbalik pada isu pembelian F-18. Aku letak di sini F-18. Takda Hornet atau Super Hornet (atau ada orang suka panggil superbug) kerana seperti juga Lockheed Martin yang berusaha meneruskan hayat F-16 dengan model terkini F-16V, Boeing juga melakukan perkara yang sama dengan cadangan program F-18E/F advance Super Hornet. Isu Advance Super Hornet (ASH) ini menjadi satu isu panas di kalangan netizen di US yang meminati isu-isu berkaitan pertahanan negara mereka. Ini kerana ramai pihak semakin muak dengan isu pesawat F-35 JSF Lightning yang menghadapi pelbagai masalah yang memaksa penangguhan pengoperasiannya. Dan sudah tentu isu bajet program F-35 memainkan peranan utama. Program F-35 sejak ia bermula dikatakan telah menelan belanja melebihi setengah trillion US Dollar! Namun sehingga kini ramai pihak masih meragui tarikh yang diberikan Lockheed Martin iaitu 2016 bagi pesawat F-35 pertama beroperasi secara rasmi kerana begitu banyak masalah teknikal yang masih perlu diselesaikan dan para pemerhati yakin tarikh tahun 2019 iaitu tarikh di mana semua pesawat F-35 dapat dihantar kepada semua negara yang telah membeli pesawat ini akan ditangguh lagi seperti sebelum ini.
 Pesawat F-35 JSF Lightning II yang bermasalah dan telah menelan belanja yang amat besar

Jadi idea program ASH menarik minat ramai. Memandangkan ASH berasaskan pada pesawat Hornet yang telah terbukti akan keberkesanannya di medan perang selain faktor kos yang dijangka jauh lebih rendah dan diyakini pesawat ini tidak akan mengalami masalah teknikal sebaik produksinya secara besar-besaran bermula. Malah hasil laporan pandu uji oleh US Navy ke atas ASH mendapat pujian oleh pihak US Navy yang membawa kepada spekulasi akan kemungkinan Navy lebih berminat untuk mendapatkan ASH dan akan menarik diri dari program F-35 yang terlalu tinggi kos pengoperasiannya sebaik ia berada dalam inventori. Perlu diingat, kilang penghasilan F-18 dijangka akan menerima nasib yang sama dengan kilang penghasilan F-16 dimana ia akan ditutup menjelang 2016. Jika US Navy bersetuju mendapatkan pesawat ASH ini, ia akan memberi nyawa kembali pada kilang tersebut. Namun semuanya bergantung pada kelulusan dewan kongres AS. Malaysia juga turut ditawarkan pesawat ASH pada 2013. Jadi persoalannya jika Malaysia bersetuju membeli pesawat F-18, adakah ia jenis Super Hornet atau ASH?

Terdapat perbezaan yang ketara antara kedua-dua pesawat antaranya ialah conformal fuel tank atau tangki minyak tambahan yang kini menjadi sebahagian daripada fiuslaj yang membolehkan pesawat terbang dengan jarak yang lebih jauh. Sebelum ini F-18 yang perlu untuk terbang dengan jarak yang jauh perlu dipasang tangki minyak tambahan pada sayap yang dikenali sebagi drop tank. ASH juga dipasang dengan enclose weapon pod atau pod persenjataan tertutup yang dipasang di bahagian perut pesawat. Rekabentuk Conformal Fuel Tank dan Enclose Weapon Pod telah mengurangkan keratan rentas pengesanan radar dan ini menjadikan ASH lebih halimunan (stealth) berbading Super Hornet. Selain dari itu ASH juga dilengkapi system ISRT (Internal Infrared Search & Track) yang membolehkan pesawat ini mengesan pesawat musuh dari generasi ke-5 yang halimunan. Enjin ASH juga ditingkatkan yang meningkatkan kelajuan dan tujahan pesawat. Jika dilihat pada ciri-ciri tambahan ini ASH dilihat umpama sebuah pesawat generasi ke-5. Dan memang tujuan Boeing membangunkan ASH dengan tujuan memberikan saingan pada pesawat F-22 dan F-35 dengan kelebihan kos penyelanggaraan yang lebih ekonomi dan efisien. Namun ia juga akan menjadikan harga ASH lebih mahal berbanding Super Hornet.

Sebab kenapa isu pemilihan F-18 diulas ialah kerana dari hari ke sehari dilihat peluang F-18 sebagai pesawat pilihan semakin meningkat. Memang F-18 menjadi pilihan TUDM namun faktor geopolitik membuatkan kerajaan keberatan untuk memberikan lampu hijau. Namun dengan situasi terkini menunjukkan hubungan Malaysia-AS yang lebih rapat berbanding sebelumnya kemungkinan faktor geopolitik mungkin bukan lagi penghalang selain faktor kewangan serta efisiennya F-18 untuk berkhidmat dalam TUDM dalam jangkamasa yang lama berbanding pesawat-pesawat pesaing yang lain yang dilihat sering timbul masalah yang tidak dijangka yang menyebabkan kadar efektif pesawat tersebut terjejas. Lawatan Barack Obama pada penghujung tahun ini (lawatan keduanya ke Malaysia dalam tempoh dua tahun berturut-turut!) juga adalah indikasi pemulihan hubungan antara dua negara. Memang ada yang menyatakan sebab utama Obama ke Malaysia selain dari menghadiri persidangan ASEAN adalah untuk memujuk Malaysia agar bersetuju menyertai perjanjian TPPA (Trans-Pacific partnership Agreement). Namun kita semua tahu setiap lawatan Presiden AS ke sesebuah negara tidak akan sekadar membincangkan satu-dua perkara sahaja sebaliknya akan meliputi semua perkara termasuk hal-hal berkaitan keselamatan dan pertahanan. Dan sudah tentu isu pertahanan yang paling panas ialah isu berkaitan kebangkitan kuasa ketenteraan China di Laut China Selatan.

Seperti sejarah yang lalu, AS selalunya tidak mahu terlibat dalam sesuatu konflik secara terus. Jadi mereka memerlukan proksi. Dalam isu berkaitan China, AS cuba membina pengaruh di kalangan negara-negara Asia Tenggara yang selama ini dianggap seringkali mengasingkan diri dan bersikap berkecuali dari terlibat dalam sebarang isu global berkaitan AS. Dan Masalah dengan ancaman dari China memberikan AS peluang untuk mendapatkan sokongan dari negara-negara Asia Tenggara. Setakat ini negara seperti Singapura dan Filipina jelas sekali sudah menjadi sekutu kepada AS sementara negara seperti Vietnam dan Thailand adalah negara yang cenderung menyokong AS. Hanya negara seperti Indonesia, Malaysia dan Brunei yang dilihat masih samar-samar sokongannya memandangkan negara-negara ini juga punya hubungan yang baik dengan China. Sementara Myanmar dilihat negara yang berpotensi untuk menyokong China memandangkan negara ini punya banyak masalah politik dan isu kemanusiaan. Jikalau sekiranya Myanmar terus-menerus ditekan oleh ASEAN, ada kemungkinan negara ini akan keluar dari ASEAN dan bersekutu dengan China. Berbalik pada Malaysia, kelemahan ekonomi serta goncangan politik tempatan umpama peluru yang boleh digunakan AS dalam hubungan antara dua negara. Kita semua tahu kelemahan ekonomi negara sekarang telah menjejaskan usaha ATM untuk melaksanakan program peningkatan dan permodenan pertahanan negara. Situasi Malaysia tidak jauh beza dengan Indonesia. Indonesia telah diberi pelbagai insentif dalam bidang pertahanan.  Dan Malaysia juga tidak terkecuali. Sudah beberapa tawaran bantuan ketenteraan ditawarkan AS pada Malaysia. Namun tidak seperti Indonesia, Malaysia sehingga kini kelihatan masih cuba untuk berusaha sendirian tanpa bantuan dari AS. Namun sampai bila?
 

Skuadron F-16 milik tentera udara Indonesia yang kembali bernafas dengan bantuan AS

China kelihatan semakin berani dari hari ke sehari. Peningkatan kekuatan ketenteraan mereka semakin meningkat. Sedangkan Malaysia dilihat bagai tak mampu nak menghadapi masalah kecil berkaitan pencerobohan sempadan di Sabah. Pihak ESSCOM memerlukan pelbagai aset bagi memudahkan tugas pihak keselamatan di Sabah namun kerajaan bagai memenuhi permintaan umpama melepaskan batuk di tangga! Sewaktu ekonomi kukuh, peruntukan yang kecil pada bidang pertahanan dikatakan kerana peruntukan yang besar diperlukan untuk mengukuhkan ekonomi negara. Namun ekonomi negara sekarang ni dah macam taik! Laporan analisis dari Eropah menyatakan Malaysia akan menerima nasib yang sama seperti Greece jika sekiranya masalah hutang negara tidak diselesaikan dengan segera! Malah menurut Jane Defense Review, krisis 1MDB sebenarnya memberi kesan pada program pembangunan pertahanan negara. Berbalik pada isu F-18 sebagai pilihan TUDM. Aku terbaca sebuah blog yang mencadangkan agar Malaysia membeli pesawat-pesawat F-18 milik Kuwait. Kuwait seperti juga Malaysia, mahu menggantikan pesawat-pesawat lama mereka dengan pesawat yang baru. Dan berita terbaru menyatakan Kuwait sudah bersetuju untuk menggantikan pesawat-pesawat F-18 Hornet mereka dengan pesawat F-18 Super Hornet.
 F-18 Hornet milik tentera udara Kuwait

Walaupun idea itu menarik namun perlu diingat, AS tak membenarkan penjualan aset ketenteraan buatan mereka dijual kepada negara ketiga tanpa kebenaran. Namun rasanya itu bukan satu masalah. Kemungkinan besar AS akan bersetuju sekiranya idea itu diutarakan Malaysia. Namun ia tetap menelan kos tambahan selain dari pembayaran pembelian pesawat-pesawat tersebut dari Kuwait. Biar pun pesawat-pesawat itu diselenggara dengan baik namun ia adalah dari versi lama. Sekiranya pesawat-pesawat ini mahu dimasukkan ke dalam inventori TUDM, penaiktarafan diperlukan bagi membolehkan ia beroperasi dengan baik dengan pesawat-pesawat F-18 yang sudah sedia dimiliki oleh TUDM. Dan adakah kos itu semua masih dibawah nilai kos jika dibandingkan dengan harga pembelian Super Hornet? Dan adakah Malaysia akan dibenarkan membeli sekadar 18 buah pesawat atau adakah Malaysia terpaksa membeli secara pakej, kesemua 26 buah unit F-18 yang dimiliki Kuwait? Ini semua persoalan yang harus diperhalusi.
 

F-18 Super Hornet pilihan TUDM

Namun persoalan yang paling besar pada aku ialah isu berkaitan geopolitik. Bolehkah kita percaya yang AS tidak akan mengongkong kita seperti mana yang berlaku pada pemilikan lapan buah pesawat F-18 dahulu? Adakah kita akan dibenarkan melengkapkan pesawat-pesawat ini dengan kelengkapan semaksima mungkin kalau sekiranya Malaysia memilih untuk membeli F-18? Atau adakah kelengkapannya nanti hanya ala kadar apabila negara jiran tiba-tiba bersuara menyatakan rasa tidak puashatinya nanti?  Itu semua tidak dapat dipastikan. Pada aku, selagi mana hubungan Malaysia dengan AS tidak serapat jiran kita Singapura, ia adalah satu risiko yang tinggi yang diambil negara menjadikan F-18 sebagai tulang belakang kekuatan tentera udara negara.         

Wednesday, 8 April 2015

LIMA yang lemau....


Ada member sound, kenapa masa DSA aku post artikel tapi LIMA 2015 aku senyap? Dan ada pula yang hantar e-mel nak tahu perkembangan terkini berkaitan program MRCA dan pemerolehan pesawat helikopter tempur. Adakah semakan semula RMK10 akan menjejaskan program-program tersebut? Sebab kenapa aku malas nak tulis apa-apa pasal LIMA 2015 adalah sama pada semua pemerhati dan peminat ketenteraan dan pertahanan negara. Sewaktu DSA 2014, pelbagai spekulasi kedengaran. Yang paling heboh ketika itu adalah rancangan pemerolehan pesawat helikopter tempur. Jadi berita macam tu menjadikan DSA 2014 hype. Namun di LIMA 2015, kebanyakan pemerhati sudah dapat berita tidak akan ada sebarang pengumuman yang mengejutkan malah telah dimaklumkan yang Malaysia tidak akan menandatangani sebarang perjanjian dalam memuktamadkan urusan pemerolehan aset negara. Walaupun LIMA 2015 dikatakan antara yang paling padat dengan aktiviti dan program (pertama kali diadakan persidangan menteri-menteri pertahanan ASEAN) namun dari sudut pemberian kontrak ia sekadar berkisar kontrak berkaitan penyelenggaraan dan alat ganti. Selain dari itu ialah penyerahan pesawat helikopter Nuri daripada TUDM kepada PUTD dan juga kehadiran pesawat A400 pertama TUDM. Dan insiden paling hangat pun sudah tentulah insiden kemalangan udara yang melibatkan skuadron Jupiter Aerobatics TNI-AU.

Pesawat pasukan aerobatik Jupiter yang terhempas

 
Selain dari itu tidak ada perkara yang besar berlaku. Seperti LIMA sebelum ini, program pemerolehan pesawat MRCA bagi menggantikan pesawat MiG-29 Fulcrum menjadi perhatian. Namun bukanlah satu rahsia bahawa program MRCA takkan dimuktamadkan di LIMA 2015 atau dalam tempoh terdekat ini biar pun keputusan untuk menamatkan khidmat MiG-29 Fulcrum akan tetap diteruskan di akhir tahun 2015 ini walau pun ini bererti tidak akan ada pesawat yang akan mengisi kekosongan MiG-29 nanti. Namun apa yang ramai tidak tahu, selain MiG-29, skuadron ke-12 yang mengoperasikan pesawat F-5 juga telah ditamatkan perkhidmatannya pada akhir 2014 yang lalu. Jadi sebenarnya kelompongan ini sudah berlaku dan dengan tiada khabar berita akan program penggantian pesawat MiG-29 bererti berakhirnya khidmat Fulcrum tanpa ada pesawat yang akan mengambil alih tugas MiG-29 bukanlah sesuatu perkara yang besar. Biar pun ada firma tempatan Aerospace Technology System Corporation Sdn Bhd menawarkan penaiktarafan MiG-29 yang mampu memanjangkan hayat pesawat itu sekurang-kurangnya 25 tahun lagi namun reaksi sepi dari TUDM menyatakan betapa mereka memang sudah tidak berminat untuk meneruskan perkhidmatan pesawat pemintas terbaik di dunia itu.

 Pesawat F-5 yang telah ditamatkan perkhidmatannya 

Kehadiran hanya 3 pesawat yang berada dalam senarai akhir ke LIMA iaitu Rafale, Gripfen dan Superhornet bagai menunjukkan betapa firma-firma ini muak dengan pengesahan yang bagai tak kunjung tiba. Malah dari tiga pesawat ini hanya Rafale yang membuat demonstrasi udara sementara Gripfen dan Superhornet hanya dipamerkan secara statik dan BAE pula sekadar menghantar replika saiz sebenar pesawat Typhoon. Namun ia juga mengunjurkan akan kecenderungan Malaysia akan pesawat yang akan dipilih. Rata-rata tahu TUDM mahukan F-18 Superhornet. Ini kerana TUDM sudah punya pengalaman berkaitan pesawat ini. Selain dari itu kemampuan Superhornet sudah terbukti dengan penglibatannya dalam pelbagai konflik. Sedangkan pesawat seperti Typhoon dan Rafale masih banyak yang perlu di perhalusi dan didalami kerana kebanyakan sistem yang dipasang pada kedua-dua pesawat ini masih baru dan belum benar-benar teruji. TUDM bimbang jika banyak masalah timbul bila pesawat-pesawat ini berada di dalam inventori TUDM yang akan menjejaskan pengoperasiannya. Contoh terbaik adalah Sukhoi-30 MKM.


F-18 Superhornet yang didambakan TUDM

Tetapi kerajaan Malaysia punya idea yang berbeza. Pengalaman dengan Hornet bagai cuba dielakkan. Insiden dimana AS menghalang pembelian persenjataan dek desakan ahli kongres yang bimbangkan keselamatan Singapura akan terancam masih menghantui Malaysia. Ada sesetengah pemerhati melihat insiden ini dengan pandangan sinis dan menyatakan ia takkan berlaku lagi berdasarkan hubungan terkini Malaysia-AS yang lebih rapat. Namun apa-apa boleh berlaku. Dan kita harus melihat insiden itu bukan saja dari sudut keselamatan tapi juga dari sudut maruah apabila kita boleh dikatakan sudah kalah sebelum berperang lagi. Perlu diingatkan hubungan baik Malaysia-AS sekarang tidak sama dengan hubungan Singapura-AS yang merupakan sekutu sedang Malaysia hanya negara yang punya hubungan baik sahaja dengan negara Uncle Sam. Jadi bagi sesiapa yang menganggap situasi itu takkan berulang, samada dia seorang yang naïf atau bodoh atau seorang yang cenderung pada Singapura dan AS. Mungkin! Dalam masa yang sama juga tindakan Malaysia menaiktarafkan lapan pesawat F-18 Hornet yang membolehkan pesawat ini mengoperasikan peluru berpandu AMRAAM (Advance Medium Range Air To Air Missile) dan sistem JDAM (Joint Direct Attack Munition) menunjukkan Malaysia tidak berhasrat untuk melepaskan lapan pesawat Hornet bagi memenuhi pakej yang ditawarkan AS di mana lapan pesawat ini akan dikembalikan dan akan ditebus sebagai sebahagian kos pembelian 18 pesawat Superhornet.

Jadi Superhornet mungkin pilihan terakhir Malaysia. Hanya tinggal tiga calon, Typhoon, Rafale dan Gripfen. Atau mungkin empat! Lockheed Martin dikatakan berminat untuk turut serta dalam perebutan kontrak MRCA Malaysia dengan mempertaruhkan pesawat F-16V Viper, generasi terkini dari jenis F-16. F-16V ini sedikit berbeza dari generasi sebelumnya kerana kemampuannya telah dipertingkatkan dengan dilengkapi radar AESA yang menambah kemampuan tempurnya. Program ini asalnya bagi memenuhi permintaan Mesir dan Iraq namun Mesir telah memilih Rafale sementara Iraq masih belum memuktamadkan keputusan untuk membelinya. Jadi Malaysia dilihat sebagai usaha terakhir dalam merealisasikan program ini. Tawaran yang dibuat nanti sama seperti tawaran Superhornet, lengkap dengak pakej kewangan dan peralihan teknologi. Namun sehingga artikel ini keluar, Lockheed Martin masih belum menghantar usulan pada Malaysia. Mungkin mereka masih tunggu dan lihat akan perkembangan program MRCA Malaysia ini. Namun aku tidak melihat F-16 Viper ini punya peluang yang lebih cerah kerana tidak ada sebarang kelebihan Viper berbanding Superhornet. Malah tak keterlaluan kalau dikatakan jika pesawat AS yang menjadi pilihan Malaysia, sudah pasti Superhornet yang akan dipilih dan bukannya Viper.

F-16V Viper

 
Namun seperti yang aku katakan tadi, Superhornet juga bukan pesawat yang menjadi pilihan Malaysia. Dua pesawat yang menjadi pilihan utama ialah Typhoon dan Rafale. Namun harga Typhoon yang terlalu tinggi membuatkan pesawat ini juga memiliki harapan yang tipis biar pun kerajaan Britain menawarkan Malaysia untuk menyewa pesawat Typhoon dan akan menghantar pesawat Typhoon standart tranche 3 dalam tempoh sebulan selepas perjanjian ditandatangani. Namun tawaran itu tetap dilihat tidak menguntungkan Malaysia. Jadi kini pesawat yang dilihat menjadi pilihan Malaysia adalah Rafale. Dassault dilihat telah menggandakan usahanya melobi Rafale sejak beberapa tahun ini lebih dari firma-firma lain. Malah ia jelas dapat dilihat apabila Rafale merupakan satu-satunya pesawat yang membuat demonstrasi udara, menunjukkan keyakinan Dassault dalam memenangi kontrak ini biar pun sehingga kini tidak ada khabar berita akan pesawat yang dipilih. Malah Dassault turut menawarkan pakej kewangan yang sama yang telah ditawarkan kepada Mesir pada Malaysia. Pada pendapat aku Malaysia sebenarnya ingin meningkatkan hubungan niaga dalam sektor pertahanan dengan Perancis. Perancis bukan asing pada Malaysia. Selain program kapal selam Scorpene, program SGPV juga melibatkan kapal perang kelas Gowind buatan firma DCNS dari Perancis. Selain dari itu Thales, firma sistem elektronik Perancis juga terlibat dalam program Sukhoi-30 MKM, kapal friget kelas Lekiu dan kelas Kasturi. Malaysia mungkin mahu mengikut jejak langkah Brazil yang mnejadi sahabat niaga dengan Perancis dalam industri pertahanan dan berjaya meraih peralihan teknologi sehingga menjadikan Brazil pengeksport kelima terbesar dalam industri pertahanan dunia. 
     
Rafale yang dianggap memiliki peluang terbesar menggantikan MiG-29

 
Sebaik berakhirnya LIMA 2015, telah dikhabarkan program MRCA ini akan dimuktamadkan di antara 2016 ke 2020. Dalam erti kata lain, paling awal kerajaan menamakan pesawat yang terpilih dalam program MRCA adalah pada tahun 2016 dan paling lewat pada tahun 2020. Sebaliknya pula perancangan pemerolehan flotilla oleh TLDM semakin diberi penekanan. Selain dari program SGPV yang bakal bermula pertengahan tahun ini, Malaysia juga akan meneruskan program pemerolehan enam buah friget dari firma Korea. Begitu juga dengan rancangan pemerolehan dua buah kapal perang dari firma China yang kini lebih jelas bukanlah friget sebalik kapal logistik atau LPD (Landing Platform/Dock) bagi menggantikan KD Inderapura. Dan jika dua buah kapal ini memuaskan hati TUDM, dua buah lagi akan dibina. Pada aku ini satu keputusan yang tepat. Memang ramai yang mempersoalkan kenapa program MRCA tidak dipercepatkan sedangkan terdapat kelompongan dalam pertahanan udara negara. Namun harus difahami, Malaysia menghadapai masalah yang paling besar dalam memperolehi aset-aset ini. Masalah kewangan!
 Kapal Yuzhao 071. Malaysia dikatakan akan membeli dua kapal jenis ini dengan saiz yang lebih kecil

Walaupun Najib Razak menyatakan Malaysia tidak menghadapi masalah ekonomi dan ekonomi negara tidak seteruk tahun 1998 atau 2009 namun hakikatnya ia tetap masalah ekonomi yang merencatkan perancangan negara. Hutang negara meningkat dua kali ganda. Najib menyatakan ia disebabkan kejatuhan matawang dan harga minyak. Aku ada pendapat lain berkaitan kelemahan ekonomi negara tapi tak payahlah dibincangkan di sini. Apa yang mahu aku nyatakan di sini ialah hutang negara yang meningkat dan hampir mencecah jumlah siling hutang negara. Membeli pesawat MRCA bererti kita akan hanya menambah hutang dan akan melebih siling hutang negara. Jika itu berlaku ia akan menimbulkan masalah pada negara dalam mendapatkan kredit dari negara-negara luar yang menjalankan urusniaga dengan Malaysia. Jadi kenapa pula Malaysia menambah jumlah friget-friget untuk TLDM? Dan bukan saja program TUDM malah kerajaan juga telah menghantar LOI (Letter of Intent) untuk program enam buah NGPC (New Generation Patrol Craft) untuk APMM bernilai 380 juta. Tidakkah ia juga akan menjana hutang negara?

Program-program flotilla ini juga sebenarnya akan menjana ekonomi negara. Semua SGPV akan dibina di Malaysia sementara tiga dari enam buah friget yang dibeli dari Korea akan dibina di Korea dan yang selebihnya akan dibina di Malaysia. Kapal LPD dari China pula walaupun dibina di China namun semua sistem penderiaan, radar, navigasi dan persenjataan akan dipasang di Malaysia. Dan kapal yang kedua akan dibina di Malaysia. Bererti program-program flotilla ini akan membuka peluang perkerjaan, menjana keuntungan pada firma-firma tempatan serta berlakunya peralihan teknologi pada Malaysia. Tidak seperti pembelian MRCA di mana pesawat-pesawat akan dibina di negara asal seratus peratus sebelum dihantar kepada Malaysia. Bererti ia tidak memberikan sebarang keuntungan kewangan sebaliknya akan hanya mengalirkan wang keluar negara serta menambah jumlah hutang! Masalah kewangan yang dihadapi negara kini amat meruncing sehingga meggugat kos penyelenggaraan aset-aset pertahanan negara. Malah Hishamudin Tun Hussein secara bersahaja menyatakan pemberhentian khidmat MiG-29 bermakna kos penyelenggaraan pesawat itu boleh disalurkan kepada pesawat Sukhoi-30. Malah Hishamuddin juga apabila ditanya akan program MRCA menyatakan pembelian pesawat itu bergantung pada tahap ancaman dan juga situasi ekonomi negara. Dan jika bersandarkan kenyataan Menteri Pertahanan itu nyata sekali kepentingan pemerolehan pesawat MRCA kini tidak menjadi keutamaan. Sebaliknya aset-aset yang memenuhi keperluan ESSCOM akan diutamakan dahulu. Itu sebabnya kerajaan meluluskan pembelian flotilla untuk kegunaan TUDM dan APMM. Dan jika MRCA tidak menjadi kepentingan maka begitu jugalah pesawat AEW&C. Ini kerana di kala ini TUDM merasakan pemilikian pesawat MPA (Maritime Patrol Aircraft) adalah lebih penting berbanding AEW&C. TUDM berhasrat untuk memiliki enam ke lapan buah pesawat MPA jarak jauh bagi mengawal perairan negara namun hasrat itu juga dilihat masih kelam biar pun ia dapat memenuhi keperluan ESSCOM.

Boeing galak mempromosikan pesawat MSA (Maritime Surveillence Aircraft) Challenger 604 di LIMA 2015

 
Bagaimana pun perancangan untuk pemerolehan helikopter bersenjata akan tetap diteruskan. Seperti juga flotilla yang memenuhi keperluan ESSCOM, begitu juga dengan pemilikan helikopter bersenjata. Cuma apakah jenis helikopter yang mahu dibeli masih dalam perbincangan. Di LIMA tempohari Boeing telah menawarkan pesawat AH-6 dan Malaysia bersetuju untuk mempertimbangkannya selain dari pada pesawat utiliti Huey UH-1Y Venom dan AH-1Z Viper. Tapi seperti yang aku nyatakan dalam artikel aku sebelum ini, aku yakin pesawat EC 665 Tiger yang akan menjadi pilihan. Sebabnya? Boleh baca dalam artikel itu. Ini kerana seperti juga program MRCA, kekangan kewangan menjadi masalah utama. Dan tawaran daripada Perancis berkaitan enam buah pesawat Tiger adalah lebih ekonomikal. Namun kita masih perlu tunggu dan lihat. Kesemua program ini akan dimasukkan ke dalam RMK 11. Kecuali program MRCA dan AEW&C serta MPA yang masih samar-samar. Dan satu lagi perancangan pemerolehan yang dikatakan bakal mendapat lampu hijau adalah pemerolehan pesawat helikopter ASW yang akan melengkapkan program SGPV.

AH-6i yang ditawarkan Boeing

 
Sebenarnya pada pendapat aku tindakan kerajaan menangguh pembelian pesawat MRCA dan AEW&C adalah satu tindakan yang tepat. Aku tahu bagi peminat pesawat MRCA pasti sakit hati dengan kenyataan aku. Namun kita harus realistik. Kita kena akui yang negara sedang menghadapi kegoncangan ekonomi. Negara harus berjimat cermat. Namun dalam masa yang sama Malaysia turut menghadapi ancaman militan. Jadi keperluan pertahanan masih diperlukan. Jadi kerajaan harus bijak dalam memilih aset yang diperlukan agar tidak berlaku pembaziran. Memanglah kalau diikutkan semua benda kita nak beli tapi kita harus melihat keperluannya berdasarkan ancaman yang sedang dihadapi negara. Bukan nak beli yang sexy je macam jet fighter. Dan di kala ini ancaman musuh konvensional pada Malaysia amatlah rendah. Jadi kerajaan pasti, pada masa ini Malaysia tidak mungkin menghadapi serangan jet pejuang negara-negara musuh. Sebaliknya apa yang diperlukan ialah aset-aset yang mampu memperketatkan lagi kawalan sempadan negara dari diceroboh pihak asing. Friget, bot peronda, pesawat MPA, helikopter dan kereta perisai adalah aset yang penting dalam menjalankan operasi kawalan sempadan. Ada juga orang yang menyatakan adalah baik jika Malaysia menangguhkan pembelian pesawat MRCA sehingga pesawat generasi ke-5 buatan Russia, T-50 PAKFA siap memasuki inventori tentera udara Russia maka kita boleh membelinya.

T-50 PAK FA

Aku hanya boleh tersenyum. Pesawat buatan Russia adalah pilihan terakhir Malaysia setelah pengalaman ngeri MiG-29 dan Sukhoi-30 di mana Russia gagal memenuhi permintaan alat ganti yang diminta. Dan tanggapan pesawat generasi ke-5 seperti F-22 Raptor, F-35 Lightning, T-50 PAKFA, J-20 Chengdu, J-31 Shenyang, KF-X, TAI TFX, 313 Qaher atau apa saja pesawat yang sejenis dengannya adalah jauh lebih hebat dari pesawat-pesawat generasi 4.5 masih belum terbukti kebenarannya. Semuanya hanyalah ramalan, projeksi serta simulasi yang masih tidak terbukti secara realiti kerana tidak ada pesawat-pesawat ini yang terlibat dalam mana-mana konflik lagi. Malah berdasarkan eksesais tentera udara Red Flag Alaska yang yang disertai negara-negara sekutu AS menunjukkan kemampuan pesawat Typhoon menewaskan pesawat F-22 Raptor. Malah sewaktu eksesais Cope Taufan antara Malaysia dan AS tempohari juga menunjukkan Sukhoi-30 mampu bersaing dengan F-22. Dan perlu diingat, era pertempuran udara kini kurang berlaku dogfight antara pesawat. Jika berlaku konfrontasi udara, kedua-dua belah pihak akan cuba menghapuskan lawan masing-masing secepat mungkin. Jadi pesawat mana yang mampu mengesan musuhnya lebih awal maka dialah pemenang. Jadi pemilikan pesawat generasi ke 5 oleh Malaysia pada aku tidaklah begitu penting. Pesawat generasi 4.5 pun sudah memadai.

Dan ada pula yang mengatakan Malaysia boleh membeli aset ketenteraan dengan menggunakan pendapatan hasil kutipan cukai GST. Sebenarnya cukai GST atau cukai yang sewaktunya dengannya yang dipraktikkan di negara-negara lain, hasil kutipannya dari tujuhpuluh peratus hingga sembilanpuluh peratus akan dibelanjakan untuk kegunaan rakyat secara terus. Wang akan diperuntukkan untuk perbelanjaan perubatan, pendidikan, sosial, kemudahan awam atau perkara-perkara yang berkaitan dengan rakyat. Peruntukan pembelian aset pertahanan biasanya akan menggunakan dana dari pendapatan negara dari sumber lain seperti cukai perniagaan, pendapatan atau sumber alam. Tapi aku sempat mendengar cerita seorang kakitangan kementerian kewangan menyatakan pendapatan GST sebahagian besar darinya akan digunakan untuk melangsaikan hutang negara kerana ia dapat membantu menaikkan kembali nilai matawang negara selain dapat merancakkan semula ekonomi negara. Itu sebab kenapa Najib menyatakan kutipan GST akan digunakan untuk mengukuhkan ekonomi negara. Jadi tidak mungkin GST akan digunakan untuk membeli aset-aset pertahanan Negara. Namun seperti yang aku nyatakan, Malaysia harus lebih berhemah dan bijaksana dalam memperolehi aset pertahanan bergantung pada keperluan dan kemampuan.