Apabila diumumkan tiada peruntukan tambahan dalam bajet pertahanan 2013, ramai yang tunding jari menyalahkan Tian Chua, PKR dan Pakatan Rakyat yang suka sangat memfitnah dan memperlekehkan ATM. Aku rasa nak tergelak. Sejak bila Barisan Nasional tunduk pada tekanan Pakatan Rakyat atau PKR apatah lagi Tian Chua? Hanya satu perkataan akan jawapan sebab utama kenapa tiada peruntukan tambahan; PILIHANRAYA! Kadang-kadang aku pelik bila baca blog yang menyatakan mereka patriotik dan tidak mencampur-adukkan pertahanan dan ketenteraan dengan politik. Tapi post mereka menunjukkan sebaliknya. Aku pun kadang-kadang tak puashati cara orang-orang PKR menyindir ATM. Malah aku menyokong sebarang usaha menambah aset, menaiktaraf kemampuan sistem pertahanan dan program pembangunan pertahanan negara. Cuma masalah di sini seperti yang selalu aku nyatakan, adanya pihak yang mengaut untung atas angin. Malah kadang-kadang aku rasa pelik bagaimana golongan ‘patriot’ ini walaupun setelah mengetahui kewujudan ‘orang tengah’ ini, masih lagi mempertahankan sistem yang digelar ‘konsultan’ ini. Kononnya negara lain pun sama guna orang tengah. Kalau takda orang tengah susah hendak mendapatkan peralatan tertentu bagi melengkapkan aset negara atau proses pembelian akan mengalami kesukaran. Negara lain guna orang tengah tapi bayaran yang diterima takdalah sampai 10% dari jumlah urusan jual beli (kadang-kadang konsultan Malaysia dapat lebih tinggi). Seolah-olah mereka tak pernah berusaha untuk buat sedikit research tentang perkara ini. Apabila indeks anti rasuah pertahanan antarabangsa dikeluarkan, Malaysia dikelaskan dalam kumpulan D-. Kelakar bila tengok Zahid Hamidi melompat dan menyerang badan kajian tersebut. Sepatutnya dia ambil ikhtiar bagaimana mahu memperbaiki penilaian ke atas Malaysia agar Malaysia naik setakuk di penilaian akan datang.
Sebenarnya Malaysia tidaklah teruk sangat. Malah aku agak terkejut apabila dapat tahu Singapura dan Thailand hanya dapat D+. Indonesia lagi teruk, E! AS dan UK pun cuma dapat B. Hanya dua buah negara yang dapat A. Australia dan Jerman. Daripada laporan penilaian ke atas Singapura, Malaysia dan Indonesia dapat aku rumuskan begini. Antara Singapura dan Malaysia takda jauh bezanya. Apa yang membuatkan Malaysia dan Singapura mendapat D ialah kerana penyata perbelanjaan, audit serta kelulusan peruntukan kecemasan dirahsiakan. Selain dari itu Singapura dan Malaysia tidak ada apa yang dipanggil Jawatankuasa Khas Pemantau dalam memantau pengaliran wang peruntukan yang dikeluarkan. Bagaimana wang dikeluarkan, untuk apa digunakan dan adakah peruntukan itu digunakan dengan berhemah. Bagi negara macam AS dan UK memang ada Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan bagi memantau peruntukan belanjawan pertahanan dan ketenteraan. Malah ahli jawatankuasa ini dianggotai oleh ahli parlimen pemerintah dan pembangkang dan juga pakar dalam bidang berkaitan serta pakar undang-undang dan kewangan. Namun apa yang membezakan Singapura dan Malaysia menurut laporan tersebut ialah kurang keberkesanannya SPRM dalam mengambil tindakan atau siasatan sebarang kes berkaitan pertahanan atau bahasa kasarnya SPRM tidak ada taring untuk siasat benda ni. Selain dari itu perlantikan konsesi dan pemberian kontrak dibayangi pengaruh kronisme atau meritokrasi. Sementara laporan Indonesia pula boleh dikatakan amat teruk. Biar pun Indonesia ada jawatankuasa pemantau khas namun pemberian kontrak atau sebarang keputusan berkaitan pembangunan pertahanan dipengaruhi parti pemerintah. Malah dilaporkan, badan yayasan ketenteraan Indonesia yang banyak terlibat dalam projek pertahanan dikatakan terlibat dalam mengeksploitasi sumber alam, jenayah dadah dan perjudian dalam mengaut keuntungan. How bad is that? Sekurang-kurangnya kita tahu ATM takda buat benda macam tu. Namun bagaimana pun masih ada banyak ruang yang boleh diperbaiki bagi Malaysia naik ke ranking yang lebih baik. Dan bagi mereka yang suka menyokong membabi buta, beria-rian menyatakan jangan dicampur-adukkan politik dan pertahanan, itu pendirian mereka. Aku hanya boleh hormat pendapat mereka.
Berbalik kepada isu peruntukan pertahanan 2013 yang tidak ditambah. Menurut Zahid Hamidi sebab utama tiada peruntukan tambahan bagi membolehkan kerajaan BN memberikan tumpuan pada pembangunan sosio-ekonomi rakyat. Kebiasaannya bajet pertahanan akan disertakan dalam Rancangan Malaysia dalam tempoh lima tahun sekaligus. Namun kerajaan bimbang ia akan memberikan impak negatif pandangan rakyat akan perbelanjaan kerajaan maka ia dilakukan mengikut tahunan. Mengikut rekod, pada 2012, jumlah peruntukan mengikut cabang ketenteraan adalah seperti berikut:-
Tentera Darat memohon peruntukan RM 1.16 bilion namun hanya mendapat RM 541 juta. Ini memberikan kesan pada perancangan tentera darat dalam meningkatkan kemampuan battalion infantry dan rejimen artileri, pemerolehan sistem rangkaian radio serta aset udara. Tentera darat berhasrat untuk menambah rejimen pelancar roket berganda Astross II selain mendapatkan meriam artileri Howitzer. Selain itu tentera darat juga berhasrat untuk mewujudkan unit udara yang terdiri dari rejimen peninjau, utility dan serangan. Sehingga kini hanya rejimen peninjau sahaja yang berjaya direalisasikan dengan pemilikan 11 pesawat Agusta A109.
Tentera Laut pula memohon RM 4.39 bilion tapi hanya mendapat RM 759 juta. Program pemerolehan kapal sokongan pelbagai peranan bagi menggantikan KD Inderapura yang terbakar terpaksa ditangguhkan. Begitu juga dengan perancangan menaik taraf tempoh hayat dua friget kelas Lekiu yang kini menjangkau usia 20 tahun. Selain dari itu TLDM juga dikatakan menggesa agar program SGPV disertakan sekali dengan pembelian 6 buah pesawat helikopter dengan peranan marin. Ini penting bagi memastikan setiap friget SGPV berkemampuan menghadapi pertempuran dari udara, darat, permukaan dan bawah laut dan mampu berlayar di laut lepas secara berdikari dan tidak sekadar di persisir pantai.
Permohonan tentera udara adalah RM 2.49 bilion namun hanya menerima RM 983 juta. TUDM menerima kesan yang agak teruk. Dengan perancangan penggantian MiG-29 menjadi fokus utama, ia terpaksa ditangguhkan walaupun pada asalnya Kementah merancang untuk mengumumkan pesawat yang akan menggantikan MiG-29 selewat-lewatnya pada tahun 2012. Dikatakan TUDM sebenarnya sudah muktamad dengan memilih Eurofighter Typhoon sebagai pengganti. Namun Kementah tidak memberikan sebarang keputusan. Malah keadaan menjadi rumit apabila berdasarkan anggaran bajet asal, TUDM hanya mampu memiliki 10 ke 12 unit pesawat sahaja kalau Typhoon mahu pun Rafale menjadi pilihan. Dan ini adalah sesuatu yang tidak dipersetujui TUDM. Dan menyebabkan TUDM menimbangkan hasrat untuk menyewa 18 pesawat Saab Gripfen. Sebenarnya menyewa pesawat bukanlah sesuatu yang menguntungkan dalam jangka masa panjang namun ia kemungkinan terpaksa dilakukan biarpun TUDM masih belum membuat sebarang keputusan. Kalau ia berlaku, Malaysia bukan negara pertama menyewa pesawat Gripfen. Negara lain yang menyewa pesawat ini ialah Republik Czech dan Hungary, masing-masing dengan 14 buah pesawat.
Kenyataan dari TUDM ini hanya menguatkan lagi ura-ura bahawa TUDM akan mendahulukan program pemerolehan pesawat AEW&C. Dua pesawat menjadi pilihan iaitu E-2D Hawkeye buatan firma Northrop Grumman dan Erieye oleh Saab. Sebenarnya Erieye telah pun dipilih TUDM pada tahun 2005 tapi program itu dibatalkan akibat masalah ekonomi dunia pada 2008. Saab yang mencuba taktik serampang dua mata, telah memasarkan Erieye dan Gripfen. Ia tampak berjaya lebih-lebih lagi apabila Saab mengikat perjanjian berkerjasama dengan DRB Hicom dalam program Erieye. Kerjasama itu juga melibatkan pemindahan teknologi dalam skala besar (maksudnya DRB Hicom akan diberi kemahiran dan kepakaran dalam membangunkan teknologi AEW&C). Perkhabaran yang aku terima menyatakan kerajaan akan meluluskan pembelian 3-4 buah pesawat Saab 340 yang dipasang sistem radar Erieye. Pembelian bernilai lebih RM 1 bilion. Walaupun sebenarnya kemampuan E-2D Hawkeye adalah lebih memberangsangkan namun harga setiap pesawat sangat mahal melebih setengah billion ringgit sedangkan TUDM memerlukan sekurang-kurangnya 2 pesawat AEW&C. Ini kerana tidak seperti Erieye yang ditenggekkan pada sebarang pesawat, E-2D Hawkeye dibina secara unit dengan pesawatnya. Aku yakin kemungkinan pembelian Saab 340 Erieye turut melibatkan kontrak sewa 18 pesawat Saab Gripfen.
E-2D Hawkeye
Sistem Radar Erieye
Pesawat Saab 340