Saturday, 26 June 2021

PESAWAT TEMPUR RINGAN UNTUK MALAYSIA

Bae Hawk milik Arab Saudi


Baru-baru ini kerajaan Malaysia telah mengumumkan tawaran tender untuk pemerolehan 18+18 unit pesawat tempur ringan/latihan bagi menggantikan pesawat BAE Hawk dan Aermacchi MB-339. Beberapa pesawat telah tersenarai iaitu Tejas (India) YAK-130 (Russia) Kai-50 (Korea Selatan), Leonardo M-346 (Itali) dan JF-17 Thunder (Pakistan).

 

Namun dikatakan dua buah pesawat yang kini mendahului persaingan adalah Kai Fa-50 dan JF-17 Thunder sementara Leonardo M-346 pula adalah kuda hitam. Walaupun tender ini terbuka pada mana-mana firma yang mahu menghantar usulan namun bukanlah rahsia yang TUDM berminat dengan pesawat Kai Fa-50. Namun kerajaan Malaysia mungkin memiliki pandangan berbeza. Dan di sinilah JF-17 mengambil peluangnya.

 

TUDM lebih berminat kepada Kai Fa-50 kerana ia adalah pesawat yang dibangunkan Korea dengan kerjasama Amerika Syarikat. Kai Fa-50 dianggap mempunyai banyak persamaan dengan pesawat F-16 Falcon malah dianggap sebagai versi F-16 yang lebih kecil dan murah. Selain harganya yang tidak terlalu mahal, lumrah pesawat buatan AS, kos penyelenggaraan dan operasinya serta harga alat gantinya adalah rendah selain jangkahayat airframe-nya yang lebih panjang. Namun masalah kini ialah peruntukan untuk pembelian pesawat yang kecil. Malaysia pernah menggunakan sistem barter dengan menggunakan komoditi minyak kelapa sawit sebagai tukaran bagi mendapatkan pesawat Sukhoi-30. Dan Malaysia tampak mahu menggunakan cara yang sama dalam memperolehi pesawat LCA. Namun Korea Selatan pula kelihatan tidak berminat dengan cara urusan itu.

 

Masuklah JF-17 Thunder! Pesawat Pakistan ini sebenarnya bukanlah pilihan utama malah dikatakan amat mustahil bagi ia terpilih kerana selain Kai Fa-50, pesawat kedua yang menjadi pilihan ialah Leonardo M-346. Pesawat JF-17 tidak menjadi pilihan kerana ia adalah pesawat baru. Tidak punya rekod dalam pertempuran atau latihan, jadi kemampuannya diragui. Selain daripada itu JF-17 ini juga adalah program usahasama antara Pakistan dengan China. Jadi sistem persenjataan, sistem penderiaan dan radar serta avionik menggunakan sistem China dan Malaysia tidak pernah menggunakan sistem pesawat tempur dari China sebelum ini dan dibimbangi ia akan menimbulkan masalah yang baru pula kepada Malaysia. Selain dari itu, harga JF-17 sebenarnya lebih mahal dari Kai Fa-50. Jadi jelas Kai Fa-50 adalah pesawat pilihan berbanding JF-17.

 

Tetapi menyedari Malaysia tidak memperuntukkan kewangan yang besar pada rancangan pemilikan pesawat LCA ini, Pakistan menganggap ia sebagai peluang dengan berusaha memudahkan urusan jualbeli dengan Malaysia. Selain dari memudahkan urusan jual beli, bantuan perkhidmatan selepas jualan juga ditawarkan di mana ia mampu mengurangkan kos penyelenggaraan. Dan kerajaan Malaysia tampak mula memberikan perhatian pada usulan oleh Pakistan.

 

Ini adalah pendapat peribadi penulis! Bukan kenyataan rasmi mana-mana pihak dan mungkin ada pihak yang tidak bersetuju dan penulis menerima perbezaan pendapat ini. Kenyataannya sebab utama program MRCA (Multirole combat aircraft) ditangguhkan adalah kerana masalah kewangan. Kerajaan Pakatan Harapan pada ketika itu melihat, peruntukan yang besar untuk membeli pesawat tempur adalah tidak produktif. Sebaliknya peruntukan yang besar seharusnya disalurkan kepada sektor ekonomi. Namun keperluan untuk memiliki pesawat tempur bagi tujuan pertahanan negara menjadi penting apabila pesawat Hawk dan F-18 Hornet dilihat sudah tua sementara hayat Sukhoi-30 akan berakhir dalam tempoh 15-20 tahun lagi selain masalah tahap kesiap-siagaannya yang dikatakan amat rendah sehinggakan abang Mat mendakwa hanya 5 dari 18 pesawat sahaja yang boleh terbang.

 

Maka program pemerolehan pesawat LCA diwujudkan untuk dijadikan sebagai stop-gap sebelum program MRCA dinilai semula pada 2025. Namun desas-desus menyatakan, perancangan Kementerian Pertahanan sebenarnya ialah mahu menggantikan semua pesawat tempur termasuklah F-18 dan SU-30 dengan pesawat tempur ringan atas alasan kos efektif. Malah Kai-50 dianggap calon yang paling sesuai kerana ia dilihat mampu menggalas tugas sebagai pesawat tempur udara biar pun statusnya sebagai pesawat LCA. Namun kini JF-17 Thunder dilihat telah mencapai tempoh matang. Kemampuannya sebagai pesawat tempur secara teknikalnya dilihat lebih ampuh dan berkemampuan sedangkan Kai Fa-50 masih berada dalam proses meningkatkan kemampuannya sebagai pesawat tempur. Pakistan telah menawarkan JF-17 variant blok lll yang mampu membawa lebih banyak persenjataan dan menyaingi pesawat kelas sederhana seperti F-18 atau F-16. sementara Kai-50 pula telah menaiktaraf kemampuan pesawat kepada block 10 pada 2018 dan dalam proses meningkatkan kemampuan kepada block 20 yang meningkatkan kemampuan tempur udaranya.

 

Kenapa Pakistan pantas dalam meningkatkan kemampuan JF-17 berbanding Kai-50? Ini adalah kerana matlamat Pakistan membangunkan JF-17 adalah untuk menggantikan pesawat-pesawat mereka yang telah usang seperti pesawat Mirage. Jadi JF-17 dibangunkan dengan orientasi sebuah pesawat yang memiliki kemampuan tempur udara yang maksima. Korea Selatan membangunkan Kai-50 adalah sebagai pesawat latihan yang juga mampu berfungsi sebagai pesawat tempur ringan. Kai-50 ditingkatkan kemampuannya bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berpotensi yang mahukan Kai-50 memiliki kemampuan jet tempur dan tidak pesawat latihan semata-mata.

 

Jika pesawat Kai Fa-50 yang terpilih sebagai pesawat LCA Malaysia, pastinya tidak mengejutkan. Namun jika JF-17 yang terpilih, ia boleh menimbulkan kebimbangan. Apatah lagi jika kerajaan membuat keputusan untuk menambah 18 unit lagi menjadikan 36 unit. Sudah boleh dilihat perancangan untuk menggantikan seluruh pesawat tempur dalam inventori TUDM dengan pesawat tempur ringan bakal menjadi kenyataan. Teruk sangatkah penggunaan pesawat tempur ringan sebagai pesawat tempur utama tanpa pesawat MRCA saiz sederhana atau berat seperti F-18 atau SU-30? Jika situasi negara aman dan damai seperti sekarang, tidak ada apa yang perlu dibimbangkan. Tapi jika negara menghadapi konflik bersenjata berskala besar dengan negara lain yang memiliki pesawat tempur sederhana atau berat sebagai pesawat pemukul utama, maka bolehlah kita ucapkan sadaqallah hul azim….

 

Lihat saja negara jiran yang giat meningkatkan kemampuan tentera udara masing-masing dengan Singapura bakal memiliki 24 buah pesawat F-35, Indonesia yang berhasrat membeli pesawat Rafale disamping menantikan kehadiran pesawat gen-5 mereka dari Korea Selatan iaitu KFX. Hatta Filipina yang dianggap sebagai negara dengan kekuatan tentera udara paling lemah, kini dalam perancangan untuk memiliki pesawat Saab Gripen. Jadi adakah patut Malaysia yang menjadi pelopor angkatan tentera udara moden di rantau ini, merendahkan status dan kemampuannya? Tolong jangan lupa juga insiden 16 buah pesawat China yang menceroboh ruang udara negara dikala TUDM menyambut ulang tahun ke 63. Insiden yang sama China lakukan dengan menceroboh ruang udara Taiwan setelah NATO memberikan amaran pada China agar tidak cuba mengganggu gugat kedaulatan Taiwan. Jadi jelas China ada niat mahu mencerca maruah negara kita sewaktu menghantar 16 buah pesawat menceroboh ruang udara negara Malaysia. Masih lagi kerajaan memikirkan keperluan pesawat MRCA tidak penting? Tampak siapa pun kerajaan yang memerintah, kepentingan keperluan pertahanan negara tetap dipandang ringan. Jangan sampai sudah terhantuk baru hendak terngadah!

  


JF-17 THUNDER

(Pakistan dengan kerjasama China)

Harga seunit - RM 168 juta

Harga 18 unit pesawat (termasuk persenjataan) - RM 4.536 billion

 


KAI FA-50

(Korea Selatan dengan kerjasama AS)

Harga seunit - RM 126 juta

Harga 18 unit pesawat (termasuk persenjataan) - RM 2.646 billion

 


LEONARDO M-346

(Italy)

Harga seunit - RM 105 juta

Harga 18 unit pesawat (termasuk persenjataan) - RM 2.268 billion

Nota: M-364 adalah pesawat subsonik dengan kelajuan lebih rendah berbanding Kai Fa-50 dan JF-17.

 

  

Saturday, 9 January 2021

FAST ATTACK CRAFT KELAS HANDALAN


KD Handalan

Kapal kecil molek ini panjangnya hanya 43.6 meter. Terdapat 4 buah kapal dari kelas Handalan.

KD Handalan

KD Gempita

KD Perkasa

KD Pendekar 

Ditauliahkan pada 1976 dan dianggap sebagai kapal cili padi kerana dikelaskan sebagai kapal FAC-M.

M merujuk kepada missile. Kelas Handalan dilengkapi sistem peluru berpandu anti kapal Exocet MM38.


KD Handalan (sewaktu masih dipasang Exocet 38MM)

Tapi beberapa tahun lalu, sistem peluru berpandu Exocet 38MM ini telah ditanggalkan kerana sudah sampai tempoh expired dan TLDM tidak berhasrat menggantikan dengan sistem peluru berpandu yang lain.

 

KD Gempita (Sewaktu masih dipasang Exocet 38MM


KD Pendekar

Agak mengejutkan kapal litoral mission ship kelas Keris yang panjangnya 69 meter, hanya dilengkapi meriam 30mm dan 2 mesingan 12.7mm sedangkan kapal kelas Handalan kini masih dilengkapi 2 meriam 57mm dan 40mm. Dalam erti kata lain, kapal kelas Handalan yang sudah tua dan lebih kecil, lebih berbisa dari kelas Keris yang lebih besar dan baru. Mungkin kerana kelas Keris dibina oleh konsortium China dan menggunakan sistem penderiaan serta radar buatan China yang memerlukan penggunaan sistem peluru berpandu buatan China, membuatkan TLDM tidak berminat untuk mengoperasikan sistem peluru berpandu dari negara itu.

 

KD Kelas Keris

Malaysia kini dalam perancangan untuk membeli Litoral Mission Ship batch kedua dan beberapa proposal telah diterima (dan tidak ada konsortium China).

 

1) Konsortium Damen (Belanda). Jenis kapal, Stan Patrol 6211. Panjang 68 meter

2) Konsortium Swiftships (US). Panjang 70 meter

3) Konsortium Fassmer (German). Panjang 70 meter

4) Konsortium Preston (Malaysia). Panjang 70 meter

 

Damen Stan Patrol 6211





Walaupun belum ada maklumat akan persenjataan yang akan dilengkapkan pada LMS batch kedua ini, diharapkan ia akan dilengkapi sistem peluru berpandu agar ia lebih bertaring dalam menghadapi kapal-kapal penceroboh di perairan Malaysia.