Monday 6 August 2012

Zhi 9 – Lambang Pembangunan Teknologi Pesawat Berotor China



Mula-mula sekali aku nak ucapkan selamat berpuasa. Semoga Ramadhan ini akan menjadikan kita mukmin dan muslim yang sejati.
Pada 25 Julai yang lalu, bersempena sambutan tahunan People Liberation Army, rejimen ke-4 helikopter pasukan udara tentera darat PLA telah membuat satu pertunjukkan dengan menggunakan helikopter penyerang ringan jenis Zhi-9 WZ. Apa yang menariknya ialah helikopter Zhi-9 ini yang merupakan pembuatan tempatan. Zhi-9 sebenarnya berasaskan teknologi helikopter Eurocopter Dauphin. China diberikan kebenaran untuk menghasilkan helikopter ini pada tahun 80-an.Sejak dari itu pelbagai variasi Zhi-9 dihasilkan dan Zhi-9 WZ, helikopter tempur ringan adalah variasi yang terkini dihasilkan.

Memang Zhi-9 merupakan helikopter generasi ke-3 dan teknologinya boleh dianggap sebagai agak ketinggalan berbanding kebanyakan helikopter utility yang ada kini yang merupakan dari generasi ke-4 dan dan generasi ke-5 sedang giat dibangunkan oleh firma-firma pesawat berotor kini. Namun satu perkara yang boleh dibanggakan ialah kesungguhan China dalam usaha untuk meneroka teknologi-teknologi ini. Memang sekali imbas ia bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan namun sekurang-kurangnya China memiliki ilmu asas dalam membangunkan sebuah helikopter. Malah ia juga membawa kepada kejayaan China dalam menghasilkan helikopter penyerang jenis WZ-10.

Walaupun teknologi pesawat berotor di China masih dianggap agak terbelakang jika dibandingkan dengan firma-firma dari US dan Eropah namun teknologi mereka tidaklah terlalu jauh ketinggalan. Dan kenyataan betapa China berjaya menguasai teknologi yang berkaitan secara keseluruhan seperti rekabentuk, enjin, radar, sistem perisian komputer dan persenjataan menunjukkan betapa China telah berjaya meneroka industry ini secara keseluruhan. Hanya masa yang akan menentukan bilakah China akan menjadi pesaing utama kepada firma-firma utama dari barat.

Malaysia mula memberikan perhatian kepada kemampuan pesawat berotor dari sudut ketenteraan pada lewat 80an yang membawa kepada penubuhan PUTD (Pasukan Udara Tentera Darat) pada tahun 1994. ATM menyedari peranan sebuah helikopter kini adalah lebih dari sekadar mengangkut tentera ke lokasi dan membuat tinjauan ringan. Peranan PUTD secara spesifik adalah memberikan bantuan taktikal kepada pasukan tentera di medan tempur, pemantauan (reconnaissance and observation), melakukan serangan udara ke bumi (anti tank, sasaran spesifik (menara radar), tentera musuh), taktikal transport, MEDEVAC (Medical Evacuation) dan misi SAR (Search and Rescue).

Namun sehingga kini objektif PUTD masih gagal di penuhi akibat kekangan aset. Pada ketika ini PUTD hanya memiliki satu skuadron iaitu skuadron 881 yang terdiri daripada 11 buah pesawat Agusta Westland 109 LOH (Light Observation Helikopter). Pada perancangan awal, AW 109 LOH akan dilengkapi dengan pelancar roket 70mm dan mesingan 20mm. Tetapi aku kurang pasti samada ia sudah dipasang atau belum. AW 109LOH sebenarnya adalah projek perintis kerana hasrat utama PUTD adlah untuk memiliki skudron helikopter penyerang. Malah kita kini mungkin sudah memiliki 8 buah pesawat Denel Rooivalk buatan Afrika Selatan kalau tidak kerana kerunduman ekonomi pada tahun 1997. Namun hasrat itu tidak pernah dipadam. Baru-baru ini Eurocopter telah menawarkan ATM pesawat helikopter tempur EC665 Tiger. Namun seperti biasa, kekangan kewangan menyebabkan tawaran Eurocopter itu terpaksa di tolak. Namun PUTD masih menyimpan impian untuk membeli samada EC665 Tiger atau pun AH64 Apache Longbow (Rooivalk telah digugurkan kerana ATM berkehendakkan pesawat penyerang generasi ke-4).

Apakah peranan helikopter penyerang? Peranan utamanya ialah memberikan bantuan udara (CAS-close air support) secara langsung dan tepat kepada pasukan tentera darat di medan tempur dan keduanya memusnahkan kereta kebal. Selain itu ada juga peranan-peranan sampingan yang lain seperti memusnahkan sasaran spesifik dan membantu mengawal pesawat helikopter peninjau. Kalau dilihat sekali imbas, kelihatan seperti ATM tidak begitu memerlukan helikopter penyerang kerana Malaysia kini sudah 23 tahun berada di dalam situasi aman sejak PKM menyerah diri. Peranan helikopter penyerang tampak diperlukan kalau sekiranya Malaysia terlibat dalam dalam konflik bersenjata dalam skala yang besar. Namun peperangan boleh meletus tanpa diduga.

Aku tidak tahu jika anggota tentera infantry Malaysia mempunyai pengalaman dan kemahiran beroperasi dengan disokong CAS. Aku tahu sewaktu insurgensi dahulu infantry kita memang sudah biasa dengan CAS dari TUDM namun agak terhad dan asas. Malah setahu aku, buat masa ini operasi CAS ATM hanya menggunakan pesawat Hawk 100 dan helikopter AW 109. Operasi CAS kini adalah amat canggih dan terbukti keberkesanannya. Ini terbukti di Iraq dan Afghanistan. Tentera US enggan melaksanakan sebarang misi pemantauan ke kawasan berisiko tinggi sekiranya mereka tidak mendapat sokongan CAS. Pesawat-pesawat seperti AH-64 Apache, A-10 Warthog, AC-130 Spectre, F-15 Eagle malah UAV Predator seringkali digunakan untuk memberikan perlindungan kepada tentera-tentera US dan ia terbukti berjaya mengekang serangan pihak militan. Malah seringkali berlaku dimana tentera-tentera US yang hampir tewas namun berjaya meraih menenangan menumpaskan musuh dengan bantuan CAS. Bererti kini CAS merupakan satu elemen yang penting dalam pertempuran era moden. Dan tentera Malaysia harus mengikut trend ini sekiranya mahu menjadi sebuah pasukan tentera yang efektif.

Selain itu, ancaman kereta kebal juga harus dirisaukan. Kita tahu Singapura memiliki 130 buah kereta kebal jenis Leopard 2SG yang telah diupgrade. Satu jumlah yang sangat besar! Aku tahu tentera darat ada memiliki unit anti material namun ia agak berisiko. Agak sukar untuk mengekang kemaraan kereta kebal dalam jumlah yang banyak. Jadi helikopter penyerang diperlukan bagi menyekat rejimen kereta kebal musuh dalam jumlah yang banyak dengan lebih efisien. More reason to get an attack helikopter.

Kenapa aku membangkitkan isu helikopter dari sudut pertahanan negara dan apa kaitan dengan Zhi-9 China? Seperti yang diketahui, kita akan menerima first batch EC 725 Cougar pada penghujung tahun ini. Selebihnya akan dihantar mengikut waktu yang ditetapkan bagi melengkapkan pembelian 12 buah pesawat tersebut. ATM pernah menyatakan mahu menambah 12 buah lagi EC 725 di masa hadapan bagi membolehkan ia mengambil alih secara keseluruhan akan tugas sebagai helikopter utility utama ATM dari pesawat Nuri. Namun sebenarnya jumlah 24 buah helikopter ini masih tidak mencukupi. ATM menyatakan jumlah minimum yang diperlukan adalah sebanyak 40 buah! Jika angka ini mahu dipenuhi bererti kerajaan terpaksa berbelanja besar untuk mendapatkan 28 buah lagi pesawat yang sama. Dan ini adalah sesuatu yang tidak memungkinkan memandangkan ATM terpaksa menghadapi banyak keperluan akan aset-aset yang lebih penting. Malah aku yakin kemungkinan besar 12 buah pesawat ini akan kekal dalam jumlah tersebut buat satu jangka waktu yang lama sebelum kerajaan bersetuju untuk menambah bilangannya.

Helikopter utility adalah pesawat yang penting dalam sebuah pasukan tentera moden. Ia akan meningkatkan daya mobility sesuatu pasukan infantri dari satu tempat ke tempat yang lain. Bagi tentera US, unit helikopter dianggap pasukan kalvari moden. Tak guna memiliki jumlah pasukan infrantri yang ramai kalau mereka tidak mampu untuk sampai ke lokasi yang diperlukan pada masa yang tepat. Jumlah 12 buah EC 725 tidak mampu membawa anggota tentera yang ramai. Setiap sebuah pesawat hanya mampu membawa 28 orang anggota. Kalau semua pesawat dikerah dalam satu masa untuk satu misi, hanya seramai 336 orang anggota sahaja yang boleh dihantar dalam satu penerbangan. Walaupun Malaysia kini sedang menumpukan pada projek kereta perisai 8x8 bagi memenuhi keperluan mobility infantry namun kenderaan darat hanya mampu memenuhi keperluan itu kalau sekiranya lokasi tersebut berada dalam jarak yang dekat. Bagaimana sekiranya kalau kita perlu menghantar pasukan infantry dari utara semenanjung ke selatan tanahair? Penggunaan kapal laut akan memakan masa yang lama. Pesawat udara adalah kenderaan yang paling sesuai.

Namun kekangan kewangan menjadi masalah utama bagi kita untuk memenuhi keperluan ini. Masalah kewangan seringkali menjadi masalah utama dalam usaha ATM untuk bertransformasi menjadi sebuah pasukan tentera moden yang memenuhi cabaran masa kini. Kalau mahu memenuhi keperluan pesawat utility pun kita tidak mampu, apatah lagi memenuhi keperluan pesawat helikopter tempur. Sudah tentu hasrat itu kelihatan amat jauh dari gapaian. Zhi-9 seringkali dilihat sebagai satu pencapaian yang sederhana China dalam industry pesawat berotor oleh pemerhati luar. Namun secara amnya, ia telah berjaya memenuhi keperluan asas pasukan tentera China (PLA). Sebanyak 200 buah pesawat Zhi-9 kini berada dalam perkhidmatan PLA. Zhi-9 mungkin bukan pesawat tercanggih dalam kelasnya. Namun dengan jumlah yang sangat besar, ia mampu untuk menjadi rintangan barisan hadapan dalam menghadapi ancaman pihak musuh. Kalau China terpaksa membeli, jumlah ini akan memerlukan perbelanjaan yang mega besar.

Isu ini disentuh kerana Malaysia, seperti juga China sedang dalam proses memodenkan barisan ketenteraan dan pertahanan nasional. Namun setelah lebih sepuluh tahun berlalu, usaha itu boleh dikatakan sangat perlahan. Alasan yang sering dikeutarakan ialah kekangan kewangan. Bukannya Malaysia tidak memiliki wang cuma kerajaan beranggapan adalah lebih baik jika pembangunan ekonomi dan infrastruktur diutamakan dahulu berbanding kekuatan kententeraan. Sedang dalam masa yang sama, Singapura yang begitu bimbangkan ancaman dari Malaysia memperuntukkan suku dari jumlah bajet negara bagi tujuan pertahanan malah menetapkan visi untuk menjadi pasukan pertahanan bertaraf kelas pertama. Walaupun matlamat itu masih belum berjaya dicapai seratus-peratus oleh Singapura namun mereka kini adalah ketumbukan tentera yang termoden di Asia Tenggara, jauh meninggalkan pasukan tentera dari negara tetangga yang lain. Mereka gigih membina pasukan tentera mereka sambil cuba untuk membangunkan teknologi dan kelengkapan dengan menggunakan tenaga tempatan. Sesuatu yang boleh dibanggakan.

Namun perkara yang sama tidak dapat dinyatakan pada Malaysia (jangan pula tuduh aku tidak patriotik atau penderhaka!). Kemampuan ketenteraan kita masih agak menyedihkan dan ketinggalan jika hendak dibandingkan dengan Singapura. Dan alasan untuk mengutamakan kepentingan ekonomi pula tidaklah begitu memberangsangkan. Kita berada di bawah Singapura baik dari segi ekonomi dan ketenteraan! Bagai dikejar tak dapat, dikelek keciciran. Apakah sebenarnya masalah utama Malaysia? Adakah benar kekangan kewangan menjadi faktor utama? Inilah yang mahu aku tekankan. Singapura satu masa dahulu sama saja tarafnya dengan kita. Begitu juga dengan China. Malah China satu masa dahulu adalah lebih daif dari Malaysia. Namun kini kedua-dua buah negara tersebut semakin maju dari segi ekonomi dan kekuatan ketumbukan ketenteraan mereka juga semakin meningkat. Malah negara miskin macam Vietnam pun masih mampu meningkatkan kemampuan ketenteraan mereka dalam keadaan yang amat menekan. Jadi di mana silap Malaysia?

Pada asasnya bukanlah Malaysia tidak berusaha atau tidak begitu terbuka atau cukup bijak dalam menambah-baikkan kekuatan pertahanan negara. ATM sudah membentangkan pelbagai kertas kerja dan cadangan akan bagaimana dan apakah yang harus dilakukan bagi meningkatkan kemampuan ketenteraan negara. Malah Malaysia juga berusaha untuk membangunkan teknologi dan penghasilan aset ketenteraan dengan menggunakan tenaga tempatan. Namun banyak benar halangannya. Daripada rumusan aku, kegagalan atau permasalahan yang dihadapi oleh beberapa projek ketenteraaan disebabkan beberapa perkara. Pertama, kewangan. Kedua, ketelusan. Ketiga pengurusan. Dan keempat adalah kemahiran, pengetahuan dan pengalaman. Namun sebab kedua dan ketiga menjadi duri dalam daging. Walaupun seringkali dinafikan adanya berlaku perkara yang tidak sepatutnya namun kita sebagai rakyat akan mula tertanya-tanya kenapa sesuatu projek atau program itu gagal dengan kerugian dari sudut kewangan yang sangat besar! Ambil contoh projek NGPV. Setelah berbilion ringgit dibelanjakan dengan matlamat untuk menghasilkan 27 buah kapal namun ia gagal dipenuhi. Maka kerajaan berhenti setelah menghasilkan hanya enam buah kapal dan tidak berhasrat untuk menambah angka tersebut.  Sejumlah 6.75 billion ringgit dibelanjakan namun yang kita miliki bukanlah sebuah kapal corvette sebaliknya hanyalah kapal peronda.

Begitu juga dengan isu yang mengaitkan raifal Steyr. Sepatutnya setelah sebegitu lama Malaysia berkerjasama dengan Steyr, kita seharusnya sudah memiliki kemampuan dan pengetahuan dalam bidang penghasilan persenjataan ringan. Malang sekali usahasama itu bagai tidak membuahkan sebarang hasil. Malah Vietnam yang serba kekurangan itu memiliki pengetahuan serta kemahiran yang lebih mendalam dalam bidang penghasilan raifal berbanding Malaysia. Dan perlukah aku sentuh isu Scorpene? Rasanya tidak perlu. Nanti ada pula pihak yang menggelar aku sebagai pengkhianat bangsa. Kini dua program menjadi tumpuan. Program pembangunan kereta perisai PARS 8x8 yang bernilai 8 bilion ringgit dan juga program pembangunan SGPV yang dijangka akan menelan belanja sebanyak 6 bilion ringgit. Harapnya program-program ini tidak akan menghadapi masalah yang serius dan yang paling penting, pihak-pihak yang terlibat akan jujur dan amanah dalam memikul tanggungjawab ini. Jika kedua-dua program ini berjaya dilaksanakan dengan jayanya, pada masa hadapan rakyat tidak akan mempersoalkan tindakan kerajaan yang berbelanja besar untuk sesuatu program pembangunan pertahanan.

Membangunkan sendiri teknologi pertahanan dan penghasilan aset pertahanan secara local adalah amat penting kalau kita mahu berjimat cermat dalam jangka masa panjang. Mungkin aset yang dihasilkan tidak sehebat dan secanggih aset-aset negara-negara maju macam US, Britain mahu pun Russia. Namun setidak-tidaknya kita memiliki pengetahuan asas akan sesuatu teknologi tersebut. Pesawat berotor misalnya, setelah sebegitu lama Eurocopter bertapak di Malaysia, menjadikan negara ini sebagai hub mereka di Asia Tenggara, kenapa pengalihan teknologi dan ilmu pengetahuan hanya sekadar menyelenggara dan membaik pulih helikopter sahaja? Bukankah sudah sepatutnya kita berkemampuan untuk setidak-tidaknya menghasilkan sebuah helikopter ringan? Apa alasan kita? Masalah kewangan? China pada era 80an dahulu juga miskin tapi mereka giat juga melaksanakan program pembangunan ketenteraan. Adakah orang kita tidak cukup bijak? Aku ada terbaca satu blog yang menyatakan kalau Malaysia bangunkan sesuatu program aset yang berat macam jet pejuang, kapal selam atau yang sewaktu dengannya, ia takkan sehebat buatan negara luar yang dah lama membangunkan industry tersebut. What the f**k! Dah 2012 ni pun masih ada lagi orang Melayu pak pandir. Pada aku, selagi kita tak buka langkah, maka kita takkan ke mana. Mungkin pada awalnya penghasilan kita adalah rendah kualitinya. Tapi semakin lama kita berusaha semakin banyak pengalaman dan ilmu yang kita tiba. So make a move first! Gagal itu lumrah. Gagal, cuba lagi.

Mungkin masalah utamanya ialah kesungguhan. Orang Melayu (aku kata orang Melayu sebab bidang pertahanan di kuasai orang Melayu) bagai paku, nak kena ketuk dulu. Kita kalau tak terdesak maka buat kerja tak bersungguh-sungguh. Adakah kita akan mula mengambil serius dan berusaha bersungguh-sungguh untuk membangunkan teknologi pertahanan tempatan apabila kita menghadapi krisis bersenjata? Dan seringkali pula ada pihak yang tidak telus apabila dilibatkan dalam program-program pertahanan yang penting ini. Sentiasa cuba mencari peluang untuk memenuhi perut sendiri tanpa memperdulikan kepentingan negara. Entah kemana nilai patriotisma mereka. Perlu diingat, Singapura telah menandatangani persefahaman dan kerjasama ketenteraan dengan Thailand, Filipina, Indonesia malah Brunei juga. Namun tidak Malaysia. keempat-empat buah negara ini adalah negara jiran tertangga kita yang mengelilingi Malaysia. kecuali Brunei, negara-negara lain ada isu terpendam dengan Malaysia. Indonesia dengan sejarah Ganyang Malaysianya. Filipina dengan isu kemasukan Sabah ke dalam Malaysianya. Thailand pula dengan isu pemberontakan di Selatan Thainya. Dan Singapura yang masih paranoid dengan kemungkinan Malaysia akan menceroboh dan merampas kembali kedaulatan Singapura. Tidakkah ia cukup untuk menimbulkan kebimbangan kita? Ini belum lagi melibatkan isu kebarangkalian ancaman dari China yang dari hari ke sehari semakin keras dan agresif menekankan hak mereka ke atas Laut Cina Selatan.

Memang kekuatan ketenteraan Malaysia jauh lebih ampuh jika hendak dibandingkan dengan 20 tahun yang lalu. Dengan 18 buah pesawat SU-30 yang tercanggih di rantau ini dan kemungkinan penambahan 18 buah lagi pesawat pejuang moden di masa hadapan (Typhoon kembali dikatakan sebagai pesawat yang akan mengisi slot tersebut), dua buah kapal selam Scorpene, kapal selam termoden dan paling canggih di Asia Tenggara, program SGPV yang bakal menyaksikan 6 buah kapal LCS stealth yang bakal menjadi sebahagian armada tentera laut Malaysia berbanding Singapura yang hanya memiliki dua buah kapal perang moden stealth. 48 buah kereta kebal PT-91 yang merupakan diantara kereta kebal terbaik di dunia. Serta pembelian penambahan 18 unit bateri pelancar roket berganda Astross II yang keseluruhannya menjadi 54 buah bateri dengan beribu-ribu buah roket dengan kemampuan jarak dari 30 hingga 90 km (menjadikan Malaysia negara kedua memiliki paling banyak unit Astross selepas Arab Saudi. Malah negara pengeluar Brazil juga hanya memiliki 50 unit bateri). Namun bayangkan sekiranya kita berkonfrontasi dengan Singapura sambil jiran-jiran tertangga kita turut membantu mengganyang kita. Mampus kita!

Mahu tidak mahu Malaysia kini harus meningkatkan usaha membangunkan teknologi pertahanan negara. Firma-firma swasta tempatan dan STRIDE (Science and Technology Research Institute of Defence) harus berkerjasama dalam usaha ini. Kita harus berusaha mencedok dan mencuri ilmu dari pihak-pihak luar dengan sebanyak-banyaknya. Walau susah bagaimana pun, harus kita berusaha. Walau sebesar mana pun pengorbanan, harus kita lakukan. Patriotisma juga adalah untuk negara dan bukan pemimpin! Jadi selama ini pihak yang banyak menyalak akan semangat patriotisma, maka inilah masa untuk membuktikannya. Sacrifice everything, not for the money and power but for god and country. Otherwise, don’t ever f**kin demand from rakyat of terima kasih for your so call jasa of what your father have done in the past!

8 comments:

  1. Hempghff!! Purata 28 Bilion Ringgit Malaysia bocor setiap tahun akibat rasuah. Bayangkan berapa buah helikopter tempur boleh kita beli dengan duit tu.

    Kementerian Belia dan Sukan pun beli set pemutar skru pun RM224. Padahal menatang tu rega Rm40 sahaja.

    Indonesia sendiri dah bangunkan senjata api mereka sendiri. Dan mereka gunakan senjata buatan sendiri itu dalam angkatan tentera. Bukan setakat simpan dalam cermin kat pameran. err.. Brapi apa cerita?

    ReplyDelete
  2. He! He! He! Aku pun ada dengar Laptop harga seribu lebih tapi claim enam ribu setengah. Takpalah. Tu antara dorang dengan tuhan. Brapi? Apa tu? Aku tak paham.

    ReplyDelete
  3. Berapi tu senjata api itu buatan tempatan. Dah lama dah projek ni. Cuba google tengok. Tapi rekabentuk dia, aduuh..

    ReplyDelete
  4. Aku tak tahu pun. Thanks Aves for the info. Designnya mungkin tak lawa tapi apa yang penting ialah practicallity. Kalau Ia sesuai digunakan di medan tempur, rasanya ok kot. Raifal moden sekarang kebanyakan designnya sesuai dengan situasi close quarter combat sebab pertempuran sekarang banyak berlaku di urban area. Jadi mungkin sebab tu designnya macam tu. But anyway, its a good first step. Sekurang-kurangnya kita design dari zero. Macam Vietnam based on AK 47. Indonesia base on FN FNC. Singapura based on Steyr. Persoalannya kini adakah ATM nak pakai raifal ni?

    ReplyDelete
  5. Haha.. itulah persoalannya. Takut last-last jadi artifak purba juga kalau tiada sokongan langsung dari ATM. Harp-harapnya tak lah.

    ReplyDelete
  6. Aku sbnrnya nk luahkan pasal asset pertahanan kte..kte asyik mmbeli..tp kesungguhan untuk mencipta serta menambahbaikkan untuk kegunaan peperangan moden ni Malaysia seakan pandang sepi kerana terlalu memokuskan kepada politik serta survival pimpin parti tidak kira pembangkang mahupun kerajaan..kerana..apabila pembelian pertahanan sering kali mempersoalkan..sepatutnya kerajaan perlu melihat pembangunan ketenteraan sdiri kerana penjimatan kos darisegi pembelian..sptut kerajaan perintis pembangunan ini seperti mna kerajaan merintas pembangunan kereta nasional..

    ReplyDelete
  7. He! He! He! Janganlah jadikan industry automotif sebagai batu aras. Aku yang pernah kerja Pro2 ni pun tak begitu bangga dengan kemajuan industry automotif Negara. Yalah, kalau keuntungan hanya berdasarkan pada pasaran tempatan dan asyik cekup model dari Jepun pastu modified dan jual balik pada orang tempatan, it's nothing to be proud of.

    Kerajaan bukannya takda usaha untuk menghasilkan asset pertahanan secara local. Ada. Buktinya penubuhan STRIDE. Cuma ia tak cukup kuat dan tak cukup besar. Selain dari itu masalah tidak jujur dan tidak bersungguh-sungguh serta tak yakin juga menjadi masalah utama. Contoh program pembinaan NGPV. Dan memandangkan industry pertahanan dikuasai orang Melayu secara tidak langsung mencerminkan sikap orang Melayu itu sendiri.

    ReplyDelete
  8. Sedih bila dgr isu ngpv ni... apa tindakan pihak kerajaan terhadap kaki sapu ni.. adakah harta disita dan kaki sapu ni dipenjara...

    ReplyDelete