Monday 7 November 2016

MALAYSIA-CHINA DAN LAUT CHINA SELATAN



Dah lama sangat aku tak post sebarang artikel. Naik bersawang dah laman sesawang ni. (get it? Laman sesawang bersawang? Ha! Ha! Ha!). Jadi kena jugalah aku post artikel memandangkan aku masih belum post sebarang artikel tahun ini. Taknak mati tak bernisan pula blog aku ni.

Isu yang paling hangat (sebenarnya banyak sangat isu hangat kat Malaysia ni) ialah isu Laut China Selatan. Aku pernah post artikel berkaitan Laut China Selatan beberapa tahun dulu. Aku pernah nyatakan konflik laut China Selatan mampu mencetuskan perang dingin US-China.  Dan isu ini tidak reda malah semakin membara. Malaysia antara negara yang tersepit dalam pertelingkahan antara US dan China. Walaupun Malaysia bersikap neutral dan berusaha untuk mengelakkan sebarang pertembungan keras namun sejak akhir-akhir ini sikap China kelihatan amat agresif sehingga Malaysia mahu tidak mahu terpaksa menunjukkan sedikit sikap tegas. Sesuatu yang sebelum ini tidak pernah ditunjukkan.  

Beberapa insiden yang boleh dianggap tindakan mencabar kedaulatan negara telah dilakukan oleh China. Antaranya ialah kehadiran kapal Coastguard China di Beting Pattingi Ali atau Luconia Shoal di Miri yang didakwa penduduk tempatan sudah berlarutan lebih dua tahun. Pada 26 Mac 2013, Tentera laut PLA (People Liberation Army) telah mengadakan eksesais berkekuatan empat buah kapal perang dan sebuah kapal amphibious  berhampiran Beting Serupai atau James Shoal yang jaraknya dari China adalah 1800 km dan hanya 80 km dari malaysia. Eksesais itu dipantau TLDM oleh kapal KD Perak namun Malaysia dilihat menyepikan diri dan hanya melakukan bantahan melalui saluran diplomatik secara senyap. James Shoal adalah wilayah utama yang dituntut Malaysia yang berada di kedudukan titik paling jauh dalam garisan 9 dashed line. Apa itu 9 dashed line? Ia adalah garis persempadanan yang didakwa China adalah milik mereka. Dan China sudah menunjukkan sikap agresif terhadap Malaysia sejak 2009. 

China juga telah memulakan projek pulau buatan sejak 2014 dan sehingga kini sudah membina tujuh buah pulau yang dijadikan pangkalan ketenteraan. Antaranya Pulau Cuarteron di mana China akan membina radar berfrekuensi tinggi jarak jauh bagi membolehkan pemantauan udara dan laut. Pulau Fiery Cross yang memiliki landasan kapalterbang yang cukup panjang membolehkan pesawat tempur dan pesawat bersaiz besar mendarat selain pulau batu karang Mischief dan pulau batu karang Subi yang juga memiliki landasan kapalterbang. Pulau batu karang yang lain ialah Gaven, Hughes dan Johnson Selatan.

SIKAP AGRESIF CHINA

Apa yang mendorong China bersikap agresif sejak beberapa tahun kebelakangan ini? Tuntutan China ke atas Laut China Selatan bukanlah sesuatu yang baru. Namun sebelum ini China tidak dilihat begitu kasar sikapnya dengan ASEAN. Malah atas dasar persahabatan dan rasa hormat antara satu sama lain, pada 4 November 2002, China dan ASEAN telah  mewujudkan apa yang dipanggil South China Sea Code of Conduct. Code of conduct  secara umumnya adalah persetujuan di antara ASEAN dan China dalam menangani isu tuntutan wilayah di Laut China Selatan secara aman dan diplomasi tanpa ada usaha mencetuskan ketegangan yang boleh menyebabkan konflik bersenjata. Code of Conduct (Kod tatalaku) laut China Selatan tidak menyentuh isu kedaulatan dan Malaysia dalam menangani isu Laut China Selatan dilihat lebih fleksibel dengan mengadakan perbincangan secara terus dengan China, membangunkan sesuatu wilayah bertindih secara bersama, pemuliharaan alam sekitar dan sebagainya. Di atas sikap toleransi Malaysia itu, China lebih berlembut dengan Malaysia dalam isu tuntutan bertindih Laut China Selatan jika dibandingkan dengan Vietnam dan Filipina. Dan China tidak pernah membuat bantahan rasmi ke atas aktiviti penerokaan minyak oleh Malaysia di Laut China Selatan. 




Namun keadaan menjadi keruh apabila Barack Obama telah meneruskan kesinambungan usaha pentadbiran George W Bush yang mula memberikan perhatian pada Asia Pasifik kerana bimbangkan ancaman China. Usaha Obama ini dinamakan Pivot to Asia (Berpaksi ke arah Asia).  Pivot to Asia adalah strategi Asia Obama yang mengalihkan fokus polisi luar US dari Timur Tengah dan Eropah kepada Asia Timur dan Selatan. Antara intipati utama Pivot to Asia ialah menguatkan hubungan dua hala dengan sekutu US, meluaskan lagi kerjasama dengan kuasa dunia yang baru termasuklah China, meluaskan perdagangan dan pelaburan,meluaskan kekuatan dan kehadiran tentera dan menambah baikkan sistem demokrasi dan hak asasi manusia. Di sinilah lahirnya idea TPPA (Trans-Pacific Partnership Agreement) bagi merapatkan hubungan dagang antara negara-negara di rantau sebelah sini dengan US dan beberapa negara Amerika Latin. US adalah rakan dagang ke-4 terbesar Malaysia dan pelabur asing terbesar Malaysia. Dengan menyertai TPPA, Malaysia dijangka akan menerima lebih banyak pelaburan asing dari US selain laluan lebih mudah untuk mengekspot produk Malaysia ke US. Namun China tidak dijemput sekali membuatkan mereka merasakan TPPA adalah rancangan licik US untuk mengenepikan dan mengasingkan China dari pasaran ekonomi Asia Pasifik. Lawatan Presiden Obama ke Malaysia pada 26 April 2014 adalah usaha US untuk merapatkan lagi hubungan US-Malaysia dan dalam lawatan itu, Najib telah menyatakan sokongan pada kempen Pivot to Asia yang diusahakan US  yang dianggap dapat menguatkan keselamatan dan pembangunan ekonomi serantau. 

China merasakan US cuba melaksanakan apa yang dipanggil China Containment Policy atau polisi pengawalan China dan mendakwa US cuba melemah dan memecahbelahkan China bagi meneruskan hegemoni US di Asia. Dan matlamat ini dapat dicapai dengan US mewujudkan (atau mempengaruhi) hubungan diplomatik, ketenteraan dan ekonomi dengan negara-negara yang berjiran dengan China. Dengan cara ini, US dapat melemahkan perkembangan pesat ekonomi dan politik China yang mampu menjadikan China sebagai kuasa besar dunia yang baru yang mampu menyaingi US. Namun halangan terbesar US ialah, China merupakan rakan dagang terbesar negara-negara penting yang terlibat seperti Australia, India, Jepun, Indonesia, Vietnam dan Malaysia. Malaysia adalah rakan dagang terbesar China di Asia Tenggara dengan jumlah dagangan tahunan melebihi 100 billion US Dollar. US sedar tentang itu. US tahu kebanyakan negara (termasuk Australia, sekutu rapat mereka di Asia Pasifik) yang mempunyai kepentingan ekonomi dengan China akan keberatan untuk memberikan sokongan pada kempen Pivot to Asia. Di sinilah US menggunakan taktik menakut-nakutkan negar-negara Asia Pasifik dengan menekankan ancaman ketenteraan China berkaitan tuntuan wilayah bertindih. Taktik ini berkesan pada Jepun. Berkesan pada Vietnam dan Filipina. Namun adakah ia berkesan pada Malaysia?


Kapal pemusnah USS Curtis Wilbur yang meronda berhampiran kawasan yang dituntut China-Filipina

Pendekatan diplomatik US yang agresif dengan negara-negara Asia dilihat sebagai usaha Amerika melaga-lagakan negara-negara yang terlibat dengan China dalam tuntutan bertindih di Laut China Selatan. Walaupun ada negara-negara seperti Vietnam dan Filipina yang menyokong pendekatan US namun Malaysia dilihat lebih berhati-hati dalam menyeimbangi hubungan di antara US dan China. China sedar akan potensi mereka menjadi kuasa besar dunia yang baru. Dan mereka belajar dari Soviet Union yang tumbang kerana mereka mengasingkan diri dari dunia luar. Maka China membina hubungan baik dengan negara-negara membangun yang bermasalah dan juga negara dunia ketiga (Amerika Latin dan benua Afrika) namun tidak begitu berjaya dengan negara-negara timur tengah kerana hubungan rapat negara-negara ini dengan US. China bertindak bijak dalam membina hubungan dengan dunia luar dan seharusnya tidak termakan dengan provokasi US. Sayangnya mereka mula rasa tercabar dengan provokasi US. Mereka mula bersikap agresif. Mula membina ‘tembok-tembok ketenteraan’ di sekeliling wilayah mereka. Dan ini menakutkan jiran-jiran mereka. Dan perkara inilah yang digunakan US untuk memomok-momokkan negara-negara di Asia Tenggara.

REAKSI MALAYSIA DENGAN TINDAKAN CHINA

Malaysia punya sejarah yang panjang dalam hubungan dengan China. Sejak era empayar Melaka sehinggal tertubuhnya Negara Malaysia. Malaysia adalah negara ASEAN pertama yang mengadakan hubungan diplomatik dengan China dikala Negara lain cuba menjauhi China kerana ideology komunismenya. Pada 1974, Tun Razak ke China membawa bersama usulan agar China tidak menyokong perjuangan Parti Komunis Malaya. Walaupun ia tidak segera dipersetujui China pada awalnya namun dilewat 70an, China akur kerana mahu Malaysia menjadi jambatan penghubung antara China dengan ASEAN. Dan hubungan ini berlarutan dari Tun Razak hinggalah ke perdana menteri selepasnya. Namun isu tuntutan wilayah bertindih di Laut China Selatan umpama duri dalam daging. Apatah lagi sikap China yang kadangkala tampak kurang ajar!

Walaupun Malaysia cuba mengambil jalan selamat namun pihak media barat secara amnya dilihat cuba memprovokasi isu kehadiran tentera laut PLA di Beting Serupai (James Shoal) sehingga ianya mempengaruhi beberapa tokoh politik, pertahanan serta menimbulkan kesedaran di kalangan orang awam akan pertikaian antara Malaysia-China di Laut China Selatan. Hishamuddin telah bertemu dengan menteri pertahanan Australia, Marise Payne sebagai usaha mendesak China berpegang dengan janji untuk tidak menempatkan sebarang aset ketenteraan di kawasan Laut China Selatan. Presiden Xi Jinping telah menyatakan yang China tidak berhasrat menjadikan pulau-pulau yang dibangunkan sebagai pangkalan tentera. Namun kebimbangan 10 ahli ASEAN meningkat apabila China di dapati menempatkan bateri peluru berpandu dan beberapa buah jet pejuang. Dan ini memaksa kapal-kapal perang US aktif melakukan rondaan di perairan berhampiran pulau-pulau buatan yang dibina China. Malaysia turut mewujudkan koordinasi dengan Vietnam dan Filipina dalam usaha memantau kehadiran kapal-kapal China di sekitar perairan Laut China Selatan.

Sebenarnya hubungan diplomatik Malaysia dengan US yang lebih akrab tidak akan menyebabkan Malaysia terpaksa memilih antara US dan China namun dapat mengimbangi pengaruh dan penguasaan China ke atas Malaysia dalam hubungan antara China-Malaysia. Malaysia akan menolak sebarang permohonan US untuk menempatkan sebarang aset ketenteraan atau pun kehadiran tentera US di Malaysia kerana isu kedaulatan dan juga tekanan dari China tapi US akan menggunakan pendekatan kerjasama khusus yang senyap dan rahsia dengan Malaysia tanpa diketahui pihak umum yang sudah pasti berkaitan pertahanan dan ketenteraan. Ini dapat dilihat pada  peningkatan hubungan pertahanan antara Malaysia dengan US di mana eksesais bersama antara kedua-dua negara telah meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Sebelum ini hanya ada satu eksesais ketenteraan Malaysia-US namun jumlahnya meningkat sehingga tigapuluh kali sedangkan hanya ada satu eksesais ketenteraan bersama antara Malaysia dan China. Selain itu Malaysia juga telah mula membina kekuatan dan pangkalan pasukan amphibious (Pada awalnya ATM menyarankan pengwujudan pasukan Marin namun ditolak kementerian atas faktor kos) berhampiran James Shoal dengan kerjasama bersama US Marine Corps. Kesan dari insiden Lahad Datu serta ancaman militan dari Filipina, Malaysia telah meningkatkan tahap keselamatan dan pertahanan ketenteraan di pantai timur Sabah. US memerhati situasi ini dengan positif kerana ini memudahkan penaiktarafan  kemampuan dan kekuatan ketenteraan Malaysia di sekitar Laut Sulu yang boleh dijadikan sebagai strategi rintangan daripada China. Dan kalau ditakdirkan situasi China-Malaysia semaking tegang, memungkinkan US membina pangkalan atau setidak-tidaknya menempatkan pasukan infantri di kawasan pantai timur Sabah yang kini sudah pun di isytiharkan sebagai kawasan operasi ESSZONE.


James Shoal atau Tebing Serupai yang menjadi rebutan China-Malaysia


SITUASI MALAYSIA ANTARA CHINA-US

Persoalan penting kini adalah ke manakah kecenderungan Malaysia dalam konflik ini? US atau China? Perkembangan mutakhir ialah Najib Tun Razak mengadakan lawatan rasmi ke China yang menyaksikan China menjanjikan ‘soft loan’ berjumlah RM 55 billion untuk projek ECRL dan jumlah keseluruhan perjanjian yang dimeterai antara Malaysia-China bernilai hampir RM 144 billion. Sebelum ini pun sudah banyak kata-kata tidak senang dengan jumlah pelaburan China ke Malaysia. Bimbang jika ia akan dijadikan cagaran oleh China dalam konflik ini. Dan hasil lawatan Najib ini hanya menambah riuhkan lagi keadaan. Malah ada yang pergi lebih jauh dengan mendakwa Malaysia semakin cenderung ke arah China daripada US akibat tindakan US yang ‘mengusik’ isu 1MDB. Apatah lagi tanpa angina dan rebut, Hishamudin mengumumkan China akan membina kapal Litoral Mission Ship untuk Malaysia yang nyata tidak menyenangkan ramai pihak kerana beranggapan Malaysia mungkin terpaksa berhadapan dengan China jadi kenapa harus membeli peralatan ketenteraan dari China? Sebelum ini peralatan ketenteraan yang dibeli Malaysia dari China hanya persenjataan ringan iaitu peluru berpandu mudah alih FN-6. China beberapa kali menawarkan persenjataan dengan teknologi terkini kepada Malaysia. Ia merupakan satu penghormatan apabila sesebuah negara membuat tawaran sedemikian rupa yang menunjukkan sikap hormat serta kepercayaan pada negara yang ditawarkan. Contoh terbaik ialah sewaktu Najib membuat lawatan ke India dan delegasi Malaysia ada menyuarakan rasa minat pada peluru berpandu cruise Brahmos, hasil usahasama India-Russia. Namun India kelihatan agak berat hati kerana hubungan antara Malaysia dan India tidak begitu erat. Dalam hal China, Malaysia lebih suka berdiam diri dan akhirnya tawaran itu senyap begitu saja. China pernah menawarkan peluru berpandu darat ke udara jarak sederhana LY 80 namun ia tidak kemana. China juga pernah menawarkan untuk membina kapal multirole support ship (MRSS) dan juga frigate. Juga tidak kemana. Jadi apabila China ditawarkan membina LMS, ramai pihak menganggap Malaysia bagai membuat pilihan ke arah China.


Gambaran Litoral Mission Ship yang bakal dibina China

Namun hubungan politik tidaklah semudah itu. A berkawan dengan B, A takkan berkawan dengan C! pemerhati politik di US yang memerhatik situasi ini merasakan pertemuan Najib dan Xi Jinping lebih kepada kepentingan ekonomi dan pembelian empat buah LMS adalah atas faktor kos di mana diketahui kapal-kapal buatan China amat murah sehingga sepertiga harganya berbanding kapal-kapal buatan Eropah atau US. Selain itu faktor masa dan peralihan teknologi turut memainkan peranan. Kapal-kapal LMS ini akan siap dalam tempoh 24 bulan bermula dari tarikh ia dibina. Selain dari itu Malaysia berpeluang untuk menerima teknologi peralatan dalaman yang dimiliki China. Sesuatu yang sukar didapati dari firma-firma barat. Dan sebenarnya ramai pihak tidak menyedari situasi kapal-kapal milik TLDM yang sudah terlalu uzur dan sepatutnya sudah lama dilucutkan pertauliahannya namun atas kekangan kewangan maka kapal-kapal ini masih dikerah untuk terus berlayar. Jadi dalam situasi terdesak dari segi kewangan, masa dan kepentingan pertahanan, membeli LMS dari China adalah satu tindakan bijak. 




Ada juga suara-suara yang mengatakan yang Najib telah menjual Malaysia kepada China. Biar aku bagitahu dulu, aku bukan orang UMNO, aku pun tak suka Najib. Tapi kita kena neutral dalam menilai sesuatu situasi. Aku tak bersetuju bila dikatakan Malaysia dah kena jual. Malah aku tak bersetuju juga dengan pendapat yang Malaysia telah mengalihkan sokongan dari US kepada China kerana isu 1MDB. Macam yang aku katakan, geopolitik adalah sesuatu yang kompleks. Malaysia adalah sebuah Negara kecil. Tak pernah berubah. Tapi situasi di sekeliling kita berubah. Suatu masa dahulu, di zaman Tun Razak, di zaman Mahathir, Malaysia adalah sebuah Negara kecil yang tak berapa diberi perhatian. Namun kini ia berubah. Bila dunia melihat potensi Asia Pasifik dan Malaysia pula berada betul-betul di pusat perdagangan Asia Tenggara, tersepit di antara dua kuasa besar, US dan China, maka cara Malaysia membawa diri di peringkat antarabangsa perlu berubah. 

Ramai yang melihat US dan China cuba mengambil kesempatan ke atas Malaysia. Tapi kenapa kita tidak lihat situasi ini dari persepektif berbeza? Bagaimana pula jika situasi ini sebenarnya melihatkan Malaysia mengambil kesempatan dari US dan China. We playing both ways and taking advantage of both of it! Peranan Malaysia unik. Kita tidak seperti Indonesia, tidak seperti Thailand, tidak seperti Filipina atau Vietnam. Malaysia berada di dalam situasi yang unik. Umpama anak kecil yang direbut oleh ibu dan bapa yang bercerai! Sikap kita yang tidak menunjukkan kecenderungan pada mana-mana pihak jelas menghantar isyarat pada US dan China, jangan cuba memijak kepala kami atau kami akan beralih arah! And that’s smart! Malah Presiden Filipina, Rodrigo Duterte turut melakukan perkara yang sama bila mendapati US cuba mengambil kesempatan dan mula mahu menginjak kepala mereka, maka Duterte pantas mengalihkan kecenderungannya kepada China, membuatkan US pening kepala.

Walau apa pun yang berlaku sekarang, kita sebagai rakyat Malaysia harus bersedia. Pada aku, krisis China-US mampu mencetuskan Perang Dingin ke-2 atau Perang Dunia ke-3 jika China dan US terus dengan sikap agresif dan keras mereka. Namun yang terkena kesannya ialah negara-negara Asia Pasifik dan Malaysia akan terlibat sama. Jadi selaku rakyat Malaysia, kita harus lebih bijak dalam menilai situasi yang sedang dihadapi.    

4 comments:

  1. Info Padat and Menjawab Arguement bro. Nc one

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  3. Melihat kepada kuasa ketenteraan Malaysia akan memilih USA manakala dari segi kuasa ekonomi pula Malaysia akan beralih arah kepada China.

    ReplyDelete
  4. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete