Monday 30 October 2017

Tiga Sebab Kenapa Malaysia Tidak Patut Menghantar Tentera ke Rakhine



Isu Rohingya yang tidak berkesudahan menimbulkan polemik di kalangan netizen Malaysia yang mudah sangat mempersoalkan kenapa Malaysia tidak membantu etnik Rohingya dengan lebih intesif atau dalam kata yang lebih kasar, kenapa tidak dihantar tentera kita membantu etnik Rohingya menentang tentera Myanmar. Ia tidak semudah diperkatakan. Di sini aku letakkan tiga sebab utama kenapa Malaysia tidak sepatutnya menghantar tentera ke negeri Rakhine bagi membantu etnik Rohingya mempertahankan diri dari serangan tentera Myanmar. 



1) KEKUATAN KETENTERAAN
Sesiapa yang menganggap kekuatan ketenteraan Myanmar adalah lemah akan aku katakan sebagai bodoh! Ini kerana Myanmar adalah negara yang berorientasikan pertahanan dan tidak seperti Malaysia yang menekankan diplomasi dalam menyelesaikan sesuatu isu. Myanmar, seperti juga negara-negara lain di rantau ini, giat membangunkan dan memodenkan kekuatan ketenteraan mereka. Malah kekuatan ketenteraan mereka dari tiga cabang (udara, darat dan laut) adalah sama atau lebih baik dari kekuatan tentera kita. Myanmar memperuntuk perbelanjaan yang besar dalam belanjawan tahunan mereka pada pertahanan. Myanmar menduduki tangga ke duabelas negara dengan jumlah anggota tentera yang aktif di dunia. Tentera infantrinya saja hampir 350 ribu berbanding Malaysia yang memiliki kekuatan kurang dari 80 ribu. 


Angkatan tentera Myanmar di kenali sebagai Tatmadaw. Tentera laut Myanmar (Tatmadaw Yay) dan tentera udara Myanmar (Tatmadaw Lay) mempunyai kekuatan ketenteraan yang hampir sama dengan Malaysia. Atau mungkin lebih tepat, mereka sedikit baik berbanding kita. Sementara tentera darat Myanmar (Tatmadaw Kyee) pula boleh dianggap sebagai hardcore soldier atu tentera darat yang tegar. Ini kerana Myanmar sejak merdeka pada tahun 1948, sering tercetus perang saudara yang melibatkan etnik minoriti yang menuntut wilayah autonomi. Antaranya Rohingya, Shan, Lahu dan Karen. Turut berlaku konflik antara kerajaan Myanmar dengan etnik Cina yang mencetuskan konflik Kokang Offensive.  

Pesawat MiG-29 yang menjadi tulang belakang tentera udara Myanmar

Hubungan Myanmar dengan negara jiran mereka seperti Thailand, Laos dan Bangladesh juga kurang baik. Kebanyakannya adalah kerana isu etnik minoriti dari negara-negara ini atau isu perebutan persempadan. Hanya China yang dilihat mempunyai pengaruh ke atas Myanmar dan Myanmar juga berusaha untuk menjaga hubungan mereka dengan China. Situasi ini memaksa tentera Myanmar sentiasa berada dalam keadaan siap siaga.

Kapal Shin Pyushin, salah satu dari dua buah frigate kelas Kyan Sittha, kapal termoden dalam inventori tentera laut Myanmar

Tidak seperti Malaysia, Myanmar bersungguh-sungguh membangunkan industri pertahanan mereka bagi membolehkan mereka mengurangkan kebergantungan pada negara luar dalam mendapatkan aset untuk memperkuatkan pertahanan negara mereka. Myanmar dikatakan mendapat bantuan secara rahsia dari Korea Utara untuk membangunkan teknologi peluru berpandu darat ke udara serta dikatakan bercita-cita menjadi kuasa nuklear dengan bantuan dari Korea Utara berdasarkan dari maklumat kebocoran Wikileaks.

2) FAKTOR GEOGRAFI
Kemenangan sebuah bala tentera tidak hanya bergantung pada kekuatan ketenteraan semata-mata. Faktor geografi juga memainkan peranan. Dalam isu menghantar tentera Malaysia menghadapi tentera Myanmar. Faktor jarak yang jauh menjadi faktor utama yang boleh menyebabkan tentera Malaysia kalah teruk!
Sebelum ada si bongok yang mahu menyatakan ayat cliche ‘belum cuba belum tahu’, aku mahu merujuk pada usaha tentera Russia yang menceroboh Afghanistan pada tahun 70an. Dalam keadaan daif dari segi persenjataan, militan-militan Afghanistan masih mampu menewaskan tentera Russia yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan persenjataan. Tentera US juga mengalami situasi yang sama sewaktu era perang Vietnam. Biar pun mereka tidak mengaku mereka tewas dalam peperangan dengan tentera utara Vietnam, namun kenyataannya mereka gagal dalam usaha menghalang terbentuknya sebuah negara Vietnam merdeka yang berpaksikan fahaman sosialis. Dan bagaikan tidak belajar dari sejarah, US melakukan sekali lagi dengan kali ini mengulangi kesilapan Russia di Afghanistan. Biar pun dengan sokongan negara sekutu kuatnya, US secara rasmi masih gagal mencapai objektif menghapuskan pengaruh (the so called) pelampau Islam. Taliban masih menguasai sebahagian besar tanah Afghanistan sementara kerajaan yang disokong US masih amat lemah sehingga masih perlu dipimpin tentera US untuk terus berkuasa. 
Dalam isu Malaysia menghantar tentera ke Myanmar, perkara yang sama perlu diutarakan.
Logistik!


KD Mahawangsa dan KD Inderapura, kapal yang mampu membekalkan bekalan logistik sekiranya tentera Malaysia beroperasi diluar negara.

Berada jauh dari pangkalan tentera di Malaysia, bagaimana tentera Malaysia mendapatkan bekalan logistik? Bekalan logistik ini adalah peralatan persenjataan, makanan dan minuman, sumber bahan api dan juga rawatan kesihatan. US dalam kempen di Afghanistan telah menjadikan lapangan terbang Bagram sebagai pangkalan utama mereka selain pangkalan tentera sokongan dari negara-negara timur tengah di Jordan dan Arab Saudi sementara Jerman menjadi pangkalan tentera perubatan. Bagaimana pula dengan Malaysia? Bekalan logistik tidak boleh dihantar dari Malaysia kerana faktor jarak yang akan menyebabkan kelewatan menyampaikan bantuan logistik. Dan keterlewatan bantuan logistik boleh membunuh tentera kita kerana tentera Myanmar tidak akan mempunyai masalah ini kerana mereka berperang di tanahair mereka sendiri. 
Dan bertempur di tanahair mereka sendiri juga memberikan tentera Myanmar kelebihan yang besar berbanding tentera Malaysia. Mereka tahu selok belok keadaan geografi di negara mereka. Mereka tahu suasana alam semula jadi di negara mereka. Dari cuaca, ancaman hidupan liar, penyakit dan ancaman yang mungkin tidak dijangka. Selain dari itu tentera-tentera Myanmar akan lebih bersemangat kerana menganggap mereka mempertahankan kedaulatan negara mereka dari pencerobohan kuasa asing. Tidak ada yang boleh menjadikan seorang tentera itu ampuh melainkan semangat yang jitu! 
Jadi jika Malaysia mahu menghantar tentera ke Myanmar, mereka harus memiliki forward operation base di Myanmar (dalam negeri Rakhinie paling baik) dan juga pangkalan sokongan di luar dari Myanmar. Pangkalan sokongan di luar Myanmar adalah agak sukar kerana perlu mendapatkan kerjasama dari negara luar. Negara manakah yang akan sanggup bersekutu dengan Malaysia? Indonesia tidak sesuai kerana Indonesia juga berada dalam jarak yang jauh sama seperti Malaysia. Tiga negara penting ialah India, Bangladesh dan Thailand. Aku tidak yakin India dan Thailand akan bersetuju untuk membantu Malaysia malah mereka sedaya upaya mahu menjauhkan diri dari isu ini seperti mana mereka menjauhkan diri dari isu pelarian Rohingya. Harapan hanya pada Bangladesh. Tapi sanggupkah Bangladesh membantu Malaysia menyediakan pangkalan sokongan pada negara yang mereka tidak pernah ada kerjasama ketenteraan sebelum ini?
Dan faktor kewangan juga memainkan peranan dalam mewujudkan pangkalan sokongan di luar negara Malaysia. Adakah Malaysia mampu membuka sebuah pangkalan tentera di tanah asing? Singapura membelanjakan bertrillion dollar untuk mewujudkan pangkalan tentera di Thailand dan Indonesia. Adakah Malaysia sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk membina sebuah pangkalan tentera sementara hanya untuk menangangi isu Rohingya?

3) FAKTOR GEOPOLITIK
Ini faktor yang amat penting kalau sekiranya Malaysia berhasrat menghantar tentera ke negeri Rakhine untuk membantu kaum Rohingya. 
MALAYSA TIDAK BOLEH BERTINDAK SENDIRIAN!
Ya! Malaysia tak boleh sesuka hati hantar tentera ikut syok sendiri. Banyak implikasi politik yang akan memberi kesan yang besar pada negara. Jika Malaysia bertindak ssedemikian, maka Malaysia akan dilabel ‘Polis Asia Tenggara’. Satu gelaran negatif yang kita tidak mahu kerana ia akan hanya mengundang musuh. Malaysia perlu setidak-tidaknya mendapat sokongan dari dua atau tiga negara dari Asia Tenggara dan satu negara besar dari Eropah atau lagi baik, sokongan dari US bagi mengelakkan Malaysia dari dilihat sebagai sebuah negara kecil yang tunjuk samseng tak memasal!
Namun siapakah yang sanggup bersekutu dengan Malaysia? Kalau di Asia Tenggara kemungkinan Indonesia dan Brunei (Kesanggupan mereka amat diragui). Negara besar dari Eropah mungkin Turki. Tapi adakah sokongan dari Turki sahaja mencukupi? Bagaimana kalau Arab saudi atau negara-negara timur tengah bersetuju membantu? Ia masih tidak mencukupi!
Kenapa?
Kerana Myanmar memiliki sokongan yang kuat dari China dan Russia. China adalah sekutu rapat Myanmar sementara Russia adalah sumber utama Myanmar memperkuatkan kekuatan ketenteraan mereka selama berdekad lamanya. Russia dan China takkan berdiam diri membiarkan negara yang memberikan mereka keuntungan dari dikeroyok sewenang-wenangnya. Ini terbukti apabila China dengan sokongan Russia telah menghalang UN Security Council dari mengeluarkan kenyataan mengecam keganasan tentera Myanmar ke atas kaum Rohingya dalam mesyuarat yang diusulkan Britain pada bulan March yang lalu. Dalam erti kata lain Myanmar ada abang besar back up mereka. Malaysia ada siapa? Malah tidak mengejutkan kalau Russia dan China akan memberikan bantuan ketenteraan pada Myanmar kalau sekiranya tercetus konflik bersenjata melibatkan Malaysia (dan sekutunya, kalau ada).

Myanmar adalah sekutu kuat China di Asia Tenggara

Dan isu yang aku rasakan ramai orang terlepas pandang adalah pasca operasi ketenteraan. Jika ditakdirkan Malaysia (dan sekutunya, kalau ada) berjaya membantu menghalau tentera Myanmar dari terus mengganas di negeri Rakhine, apakah yang akan berlaku selepas itu? Adakah negeri Rakhine akan kekal di dalam Myanmar sebagai negeri dengan kuasa autonomi atau menuntut kemerdekaan? Bagaimana kerajaan mahu dibentuk? Siapa yang akan menjadi pemimpinnya? Ini akan menimbulkan masalah kerana Rohingya tidak memiliki kerajaan atau pemimpin yang popular selain masalah kepelbagaian kaum di Rakhine kerana kaum majoriti di Rakhine adalah kaum Rakhine yang beragama Budha diikuti Rohingya dan kaum-kaum minority yang lain. Adakah mereka mampu bersatu untuk mewujudkan kerajaan campuran tanpa mencetuskan perang saudara. 


Kumpulan Militan Haraqah Al Yaqin atau lebih dikenali sebagai ARSA (Arakan Rohingya Salvation Army)

Situasi tentera Malaysia sendiri bagaimana? Adakah tentera Malaysia akan kekal berada di negeri Rakhine bagi membantu melindungi negeri ini dari ancaman tentera kerajaan Myanmar? Kalau ya, sehingga bila? Adakah Malaysia punya kemampuan kewangan untuk melaksanakan operasi ini kerana belanjanya pasti besar. Adakah Kerajaan Malaysia akan membantu mewujudkan kerajaan Rakhine? Kalau kerajaan Rakhine dapat dibentuk, adakah ia akan dapat kekal lama dan bertahan kerana pastinya kerajaan Myanmar akan cuba mendapatkan kembali tanah jajahan mereka.

Kemampuan Tentera Malaysia tidak perlu dipertikaikan namun untuk mencapai kejayaan dalam sesuatu pertempuran memerlukan lebih dari sekadar kekuatan ketenteraan.

Semua persoalan ini harus diambil kira dalam usaha menyelesaikan masalah Rohingya. Dan ia tidak semudah yang disangkakan dengan menghantar tentera dan menembak mati seberapa ramai tentera Myanmar dan menghantar pulang pelarian Rohingya kembali ke Rakhine. Jadi jalan penyelesaian diplomasi yang diguna pakai Malaysia ketika ini adalah jalan yang terbaik. Biar pun memakan masa namun ia lebih menjamin keselamatan semua pihak.  
      



5 comments:

  1. Oh rupa-rupanya Myanmar ada link kuat dengan Korea Utara, patutla Suu Kyi buat taktau je, nice info. Btw, singgah follow sini :)
    http://www.nurzariniismail.com/

    ReplyDelete
  2. Talking BS even to come forward with such topic of discussion. Mahu buat provokasi pun biarlah berpatutan.

    ReplyDelete
  3. Bukan masaalah tentera siapa lebih kuat. Semua negara terikat dgn piagam PBB. Tambah lagi Myanmar dan kita dlm ASEAN.Peperangan makan belanja besar. Thailand, Malaysia malah semua negara ASEAN tidak akan cukup bekalan peluru meriam utk tampung konflik lebih 3 bulan selagi kita negara pembeli barang2 perang. Topik tidak masuk akal.

    ReplyDelete
  4. Bukan masaalah tentera siapa lebih kuat. Semua negara terikat dgn piagam PBB. Tambah lagi Myanmar dan kita dlm ASEAN.Peperangan makan belanja besar. Thailand, Malaysia malah semua negara ASEAN tidak akan cukup bekalan peluru meriam utk tampung konflik lebih 3 bulan selagi kita negara pembeli barang2 perang. Topik tidak masuk akal.

    ReplyDelete
  5. Be a good and competent blogger and have a professional looking blog OR none at all. Look you last updated your blog in 2017! 2018 is almost iver and no entry yet for this year.Good defense blogs are like Singapore's Senang Diri and Malaysian Defense - On The Way...Wallahuwa'lam and wassalam. Maaf bicara.

    ReplyDelete