MiG 29 Fulcrum
Akhbar Berita Harian telah menyiarkan temuramah bersama wakil BAE (wakil Eurofighter-pengeluar Typhoon). Di dalam temuramah tersebut BAE menyatakan sekiranya mereka mendapat kontrak untuk membekalkan pesawat Typhoon kepada TUDM maka mereka akan akan membina pusat servis dan memastikan pengalihan teknologi kepada Malaysia akan dilakukan serta memberi peluang pada pengusaha-pengusaha tempatan untuk menghasilkan alat-alat ganti pesawat berkenaan. keesokan harinya, adik kepada Berita Harian, Kosmo menyiarkan laporan yang menggambarkan seolah-olah Typhoon akan menjadi pengganti MiG 29. Sebelum ini Dassault Aviation, firma pembuat pesawat Rafale turut menyatakan yang mereka akan membuka pejabat mereka di Malaysia sebagai persiapan dalam bersaing bagi mendapatkan kontrak dari kerajaan Malaysia bagi menggantikan MiG 29.
Panglima TUDM, Jen. Tan Sri Rodzali Daud telah menyatakan shortlist pesawat yang menjadi pilihan TUDM bagi menggantikan MiG 29 telah pun dihantar kepada kabinet bagi tujuan kelulusan. Pesawat-pesawat berkenaan ialah Eurofighter Typhoon, Dassault Rafale, Gripfen NG, F-16 C/D dan F/A-18F Super Hornet. Ada beberapa perkara yang mengejutkan aku berkenaan senarai ini.
Pertama, kehadiran bukan satu, tapi dua pesawat buatan AS. Malah kehadiran nama F-16 dalam senarai ini juga agak mengejutkan kerana F-16 sebelum ini telah beberapa kali membida untuk mendapatkan kontrak sejak dari zaman mula-mula kita hendak membeli MiG 29 lagi. Namun pesawat ini tidak begitu menarik perhatian TUDM dan tidak pernah berjaya berada dalam senarai pendek kerana Faighting Falcon adalah pesawat tempur ringan. Kenyataan yang jiran kita juga memiliki F-16 turut mengurangkan minat TUDM terhadap pesawat ini. Sementara F-18 pula telah menimbulkan kontroversi apabila mantan PM (Dr. M) menyatakan bahawa 8 pesawat F-18 yang berada dalam logistik TUDM sebenarnya tidak mencapai kemampuan maksima dan ia sengaja dilakukan sedemikian rupa oleh pengeluarnya iaitu Boeing kononnya atas arahan dewan senat yang bimbang Malaysia akan menimbulkan ancaman ke atas jiran kita di seberang tambak.
Sukhoi 30
Kedua, ketiadaan pesawat buatan Russia. Ada ura-ura mengatakan TUDM sangat berpuashati dengan prestasi Sukhoi-30 membuatkan TUDM menimbangkan mahu menambah jumlah pesawat tersebut dalam inventorinya. Ada juga khabar angin yang menyatakan Sukhoi telah mencadangkan pesawat generasi 4.5 iaitu Sukhoi-35 yang lebih canggih dari Sukhoi-30. Adakah mungkin setelah memiliki pesawat buatan Amerika dan Russia, kini TUDM mahu memiliki pesawat dari Eropah? Dari temuramah dengan Panglima TUDM, Jen. Tan Sri Rodzali Daud ada menyatakan yang TUDM tidak mahu terlalu bergantung sistem persenjataan dan pertahanannya pada satu blok antarabangsa sahaja.
F-16 Fighting Falcon
Jadi antara kelima-lima pesawat ini yang mana sesuai mengisi tempat yang bakal ditinggalkan MiG 29 nanti? Macam komentar bola lah pulak! F-16 dan Gripfen adalah pesawat single engine menjadikan kedua-dua pesawat ini sebagai pesawat tempur ringan (lightweight jet fighter) dan ia salah satu sebab kenapa TUDM menolak pembidaan kedua-dua pesawat sebelum ini. Gripfen sebagai contohnya dibina Sweden dengan memenuhi keperluan yang dikehendaki negara kecil tersebut dalam usaha menghadapi kemungkinan akan serangan Soviet Union. Pesawat yang mampu mendarat dijalanraya awam jelas menunjukkan fungsi utamanya iaitu melindungi ruang udara yang terhad dengan pangkalan yang berada dalam radius yang berhampiran. Begitu juga dengan F-16. Malah itu jugalah sebabnya kenapa Singapura memiliki banyak pesawat F-16. Aku juga tidak pasti jika F-16 adalah pesawat MRCA kerana setahu aku antara peranan pesawat MRCA adalah melakukan tinjauan dalam jarak yang jauh dan boleh kembali ke pangkalan dimana hanya boleh dilakukan oleh pesawat berenjin kembar. Tentera Udara Diraja Thailand memiliki kedua-dua buah pesawat ini. Namun dalam masa yang sama Thailand adalah satu-satunya negara di Asia Tenggara yang memiliki supercarrier. Jadi secara dasarnya mereka memiliki pangkalan yang mobile. Singapura pula telah memajak tanah di beberapa buah negara jiran untuk dijadikan pangkalan luar persisir. Namun begitu, masalah kemampuan jarak penerbangan kedua-dua pesawat boleh ditangani dengan tangki tambahan atau bahasa teknikalnya, Drop Tank.
F-18 Super Hornet
Boeing telah membuat tawaran Super Hornet pada tahun 2002 dalam pakej membeli balik pesawat-pesawat F-18 Hornet milik TUDM dalam usaha mendapatkan kontrak dari Malaysia. Namun Sukhoi-30 menjadi pilihan. Kini Boeing sekali lagi mencuba nasib membida kontrak dengan kerajaan Malaysia. Tidak diketahui jika tawaran yang sama diberikan Boeing dalam bidaan kali ini. Kemampuan Super Hornet amat berbeza dengan pesawat asal Hornet sehinggakan Super Hornet dikategorikan sebagai pesawat generasi 4.5 sedangkan Hornet asal adalah pesawat generasi ke-4. Tentera Udara Australia kini menggunakan pesawat F-18 Super Hornet. Namun mereka menggunakan Super Hornet hanyalah untuk sementara waktu sebelum mereka menerima pesawat F-35 Lightning Strike JSF. RAAF sedar pesawat F-111 dalam logistik mereka semakin uzur dan F-35 tidak diketahui bila boleh mereka terima (akibat masalah teknikal yang dalam peningkatan). Bagaimanapun Super Hornet milik Australia dikritik kerana kemampuan enjinnya yang tidak sehebat MiG 29 dan Sukhoi-30 yang banyak digunakan oleh negara-negara Asia Tenggara. Namun apa yang mengganggu fikiran aku ialah kemungkinan perkara yang sama akan berlaku seperti mana sewaktu kita membeli 8 buah pesawat F-18 Hornet dahulu. Kita akan diberi pesawat dengan capability yang terhad! Bimbang aku jika Malaysia dipatuk ular di tempat yang sama dua kali.
Rafale
Bagaimana pula dengan pesawat Rafale? Mungkin ramai yang tidak tahu. Di awal program Typhoon, firma dari lima buah negara terlibat dalam projek tersebut. UK, Sepanyol, Itali, Jerman dan Perancis. Namun dipertengahan jalan, Dassault, firma dari Perancis menarik diri dengan alasan program Typhoon terlalu lewat dan mereka terpaksa segera menghasilkan sebuah pesawat pejuang bagi memenuhi kehendak tentera udara Perancis. Berpandukan maklumat kejuruteraan sewaktu berada di dalam program pembangunan Typhoon, Dassault menghasilkan Rafale. Sehingga kini Dasault masih dianggap mengkhianati projek Eurofighter tersebut. Baru-baru ini Rafale telah mempamerkan kehebatan mereka di Libya dengan menerajui beberapa serangan udara ke atas lokasi-lokasi tentera pro Gaddafi apabila AS yang seringkali menjadi peneraju utama berbelah bagi dalam operasi ketentera ke atas Libya. Namun ironinya, tentera udara Britain juga turut mengepalai beberapa serangan udara ke atas Libya dengan pesawat Typhoonnya. Kedua-duanya mempamerkan kemampuan yang setanding dalam tugasan masing-masing namun bagi mengesahkan pesawat mana yang lebih hebat hanya boleh ditentukan sekiranya kedua-dua pesawat berada di dalam pihak yang berlawanan.
Saab Gripfen
Apakah mungkin Rafale dan Gripfen menggantikan MiG 29? Pada pendapat aku adalah agak mustahil. Kenapa? Masalah yang paling utama adalah kerana firma yang yang menghasilkan Gripfen dan Rafale tidak mempunyai tapak atau cawangan yang kukuh di Asia Tenggara. Walaupun Thailand memiliki 6 pesawat Gripfen dan telah meluluskan pembelian 6 lagi buah pesawat tersebut namun dikatakan Thailand kini mengalami masalah dalam proses menyelenggara dan mendapatkan alat ganti untuk pesawat Gripfen mereka yang dikatakan agak mahal. Masalah yang sama akan Malaysia hadapi sekiranya sekiranya Rafale menjadi pilihan. Alat ganti dan tenaga pakar yang datang terus dari Perancis pasti akan meningkatkan kos penyelenggaraan dan kita tahu itulah masalah utama yang menyebabkan kita mahu menjual MiG 29.
Eurofighter Typhoon
Sebenarnya Typhoon boleh dianggap sebagai pesawat yang paling sesuai menggantikan MiG 29. TUDM telah pun memiliki 28 buah pesawat Hawk 100 dan 208 binaan BAE bererti TUDM sudah pun mempunyai hubungan yang baik dengan firma tersebut. Typhoon juga merupakan pesawat terbaik dalam kumpulan generasi 4.5 (pesawat lain dalam generasi ini ialah Super Hornet, Rafale, Sukhoi-35). Kemampuannya juga dikatakan mampu menyaingi pesawat F-22 Raptor dari kumpulan generasi ke 5. Aku ada membaca beberapa blog dan forum dan mendapati ramai pihak di Indonesia lebih bimbang sekiranya Malaysia benar-benar mahu membeli Rafale berbanding Typhoon. Pada mereka Rafale adalah lebih hebat berbanding Typhoon. Kebimbangan pihak Indonesia itu mungkin di dorong oleh hasrat tentera udara Indonesia untuk mendapatkan pesawat Dassault Mirage 2000. Tetapi kerana penghasilan Mirage 2000 telah pun dihentikan maka Dassault telah menawarkan Rafale. Dan Indonesia amat berminat dengan pesawat berkenaan. Namun apa yang pasti Rafale kemungkinan tidak bersesuaian dengan system pertahanan TUDM. Kenapa? Kerana seperti juga Saab Gripfen, Rafale dibina berdasarkan kehendak dan keperluan ketenteraan Perancis. Bukan sahaja dari aspek teknikal malah metodologi.
Perancis memang diketahui memiliki metodologi dan teknologi pertahanan yang berbeza. Jika Malaysia benar-benar mahu membeli Rafale, Malaysia akan menjadi negara kedua menggunakan pesawat tersebut selain Perancis. Tidak ada mana-mana negara lain yang menggunakan Rafale. Tetapi ini bererti TUDM terpaksa membuat banyak perubahan bagi menyesuaikan diri dengan pesawat Rafale ini. Typhoon pula adalah apa yang dikatakan sebagai pesawat dengan teknologi yang universal. Ia dikatakan lebih mudah dikemudi berbanding pesawat-pesawat yang lain. Dikatakan BAE telah membuat tawaran sekiranya kerajaan Malaysia memilih untuk membeli 10 buah pesawat Typhoon jenis Tranche 3, TUDM akan turut menerima 20 buah Typhoon jenis Tranche 1 yang bakal ditamatkan khidmatnya dari tentera udara Britain. Tranche 1 adalah versi asal Typhoon sementara Tranche 2 adalah versi yang telah dipertingkatkan. Tranche 3 adalah versi dengan standard yang sama seperti Tranche 2 tapi boleh dipertingkatkan sekiranya di masa hadapan teknologi dan system yang baru diperkenalkan. Sekiranya Malaysia memiliki Typhoon maka TUDM memiliki pesawat tercanggih di rantau Asia Tenggara. Saab Gripfen milik Thailand merupakan lightweight jet fighter. F-15 Eagle milik Singapura pula agak kurang hebat dari aspek air dogfight (tempur udara). Sukhoi-30 milik Indonesia pula dibeli tanpa kelengkapan persenjataan.
Jadi jika Typhoon dilihat amat bersesuaian dari segala aspek dan keperluan TUDM, apa pula downside pesawat ini? Tagprice! Setiap sebuah Typhoon versi Tranche 3 bernilai RM 750 juta. Baru-baru ini artikel dari akhbar Star menyiarkan kenyataan menteri pertahanan; Zahid Hamidi yang menyatakan kemungkinan Typhoon akan menjadi pilihan utama namun mengakui harganya yang amat tinggi. Di dalam artikel tersebut juga dipetik bahawa harga setiap pesawat Typhoon ialah RM 4 billion! Aku tidak tahu samada wartawan tersebut salah tulis atau salah tafsir tetapi harga setiap satu pesawat RM 4 billion? Akan berulang lagikah kontroversi pembelian Scorpene? Mungkin RM 4 billion itu nilai keseluruhan pakej. Mungkin juga tidak kerana dari rekod pembelian pesawat-pesawat sebelum ini memang kita membeli pesawat dengan harga yang lebih tinggi. F-18 Hornet; harga sebenar RM 192.5 juta setiap sebuah. Harga belian ialah RM 200 juta. Sukhoi-30 pula RM 105 juta. harga belian RM 188 juta. Ia mungkin kerana peningkatan dan penambahan teknologi dan sistem persenjataan tapi lonjakan Typhoon dari RM 750 juta kepada RM 4 billion? Pesawat F-22 Raptor pun baru berharga RM 525 juta (tanpa kelengkapan persenjataan). Aku benar-benar berharap ia hanya satu kesilapan dari artikel tersebut.
Tetapi secara realisitiknya kita memerlukan 18 buah pesawat bagi menggantikan MiG-29. Dengan harga Typhoon yang begitu mahal kemungkinan besar F-18 Super Hornet akan menjadi pilihan TUDM. Kemampuan Super Hornet juga tidak boleh dipertikaikan. Selain dari kenyataan yang kita sudah memiliki 8 buah F-18 Hornet bererti Super Hornet tidaklah terlalu janggal untuk diserapkan ke dalam logistik TUDM. Begitu juga dengan F-16 Fighting Falcon. Harganya yang murah (RM 65.8 juta tanpa kelengkapan persenjataan) mungkin menjadi faktor utama ia menjadi pilihan TUDM. 18 buah pesawat bukan satu jumlah yang kecil untuk diganti. Apatah lagi TUDM juga telah menyatakan hasrat untuk mendapatkan pesawat AEW&C bagi tujuan pemantauan ruang udara. Kemungkinan akan Rafale dan Gripfen menjadi pilihan adalah agak tipis. Faktor harga yang mahal ( Gripfen; RM 210 juta seunit dan Rafale; RM 554 juta seunit) serta kemungkinan masalah dari segi teknikal (kemahiran kejuruteraan dan alat ganti) menjadi penyebab utamanya.
Namun walau apapun rumusan yang aku buat berdasarkan pengetahuan aku yang amat terhad ini, jawapannya akan diketahui pada bulan Disember nanti apabila kabinet mengumumkan pesawat apakah yang akan menggantikan MiG-29. Lebih dari itu aku berharap yang Malaysia akan dapat memanfaatkan peralihan teknologi dan mungkin suatu hari nanti kita akan mampu menghasilkan pesawat buatan kita sendiri!