Sunday 25 November 2012

Bercakap Dengan Jin

Kulit keluaran Bercakap Dengan Jin jilid pertama (original)

Masa aku kecik-kecik lagi dah minat membaca. Tetapi sebagai seorang budak yang normal, bahan bacaan awal adalah komik atau majalah humor. Aku ingat dulu komik-komik tempatan dengan print hitam putih dengan harga cuma 70 sen sekeping (roti canai sekarang pun harga 70 sen). Dan juga majalah Gila-Gila, Batu Api, Gelihati (Semua dah takda cuma tinggal Gila-Gila). Setiap kali mak aku nak ke bandar aku akan pesan mak aku belikan aku komik. Tapi mak aku bijak. Taknak aku terus baca komik, dia belikan aku buku cerita. Buku cerita pertama yang aku baca ialah terjemahan Hercules dalam bahasa Melayu (ntah manalah buku tu hilang. Nyesal aku tak simpan). Selain dari tu aku ingat majalah Variasi makcik aku selalu beli untuk bacaan dialah. Tapi aku curi-curi baca. Penuh dengan cerita mistik dalamnya. Kalau sekarang ni lebih kurang macam Mastika lah. (Percaya atau tidak, Mastika ni suatu ketika dulu adalah majalah berilmiah, sama taraf dengan Dewan Siswa keluaran DBP. La ni dah jadi apa pun aku tak tahu). Dalam Variasi ni adalah artikel orang jumpa pontianaklah, jumpa hantu rayalah, mayat takda kepalalah, hantu jepunlah. Gambar pulak ala-ala orang tunjuk tangan kat area dia nampak mahluk halus tu (He! He! He! Teringat aku novel Karipap-Karipap Cinta). Terdapat juga siri fiksyen seram tulisan Tamar Jalis bertajuk Bercakap Dengan Jin.

Tapi aku tak follow BDJ dalam Variasi sebab malas nak tunggu sebulan ke sebulan keluarannya. Jadi bila ia dibukukan, cepat aku mintak mak aku belikan. Mak aku OK je terus belikan. Untuk pengetahuan umur aku masa tu baru 7 tahun! Baru darjah satu dah baca buku jin. Buku BDJ pertama keluar tak silap aku pada tahun 1981 atau 82 lebih kurang macam tu. Aku tak tahu betul atau tidak sebab aku takda rekod yang menyokong pendapat aku tapi rasanya siri BDJ ni adalah buku yang paling laris jualannya dalam sejarah industri buku fiksyen negara kita. Buku yang menceritakan pengembaraan seorang pemuda bernama Tamar Jalis bersama datuknya yang memiliki pengetahuan dalam ilmu perubatan tradisional (mind you, datuk Tamar Jalis bukannya bomoh!). Hebatnya BDJ sehingga menyebabkan banyak buku-buku klon. Berkelahi dengan syaitan. Bercakap dengan hantu. Bercakap dengan bajang. Berdiskusi dengan Imam (?!). Begitu juga dengan klon karakter ‘Datuk’. Pak Tua Mahat, Tok Alang Bumin, Pakcik sebelah rumah aku (eh, silap!).

Lama dah orang tertanya-tanya identiti sebenar Tamar Jalis ni. Aku sendiri tak percaya Tamar Jalis ni wujud sebab pada aku Tamar tu bukan ke kurma? Ada ke orang letak nama anak dia buah kurma? Tapi aku masih percaya yang BDJ sedikit sebanyak adalah berdasarkan pengalaman penulis. Kenapa? Kerana ada beberapa bahagian dalam siri buku ni yang agak detail. Nama tempat, nama orang (ada sesetengah watak tu penulisnya relate dengan orang yang benar-benar wujud. Contohnya Jins Shamsudin (bercakap dengan Jins?)). Dan akhirnya setelah berapa tahun buku ni menemui peminat, si penulisnya menunjukkan diri. Nama sebenar penulisnya ialah Ahmad Radzi Mahmud. Berasal dari Bruas, Perak (tu sebabnya kenapa ceritanya berlatar belakangkan daerah sekitar Perak atau negeri-negeri yang hampir dengannya). Usianya dah melebihi 70. Menurutnya dia mula menulis BDJ sewaktu berusia 40 tahun (lewat betul! Aku yang start menulis secara serius pada umur 24 pun dah rasa lewat sangat). Kini beliau menetap di Kota Damansara. Menurut Ahmad Radzi, karakter ‘Datuk’ itu berdasarkan pada datuknya bernama Kulup Muhamad Diah atau Long Mat Piah, seorang pengamal perubatan tradisional. Seperti juga dalam buku, Ahmad Radzi ni cucu kesayangan datuknya jadi selalulah dibawa kesana kemari. Dari situlah Ahmad Radzi menimba pengalaman yang akhirnya tumpah ke tinta putih untuk santapan minda kita semua.

Fenomena BDJ ni yang menyaksikan lambakan buku-buku seram bagaimana pun menerima tamparan hebat apabila orang ramai mula mempersoalkan kesannya pada minda masyarakat. Ada pihak mengkritik bahawa buku-buku sebegini akan menyebabkan syirik, dan khurafat. Ada pulak yang kata buku-buku macam ni takda faedah dibaca dan hanya meninggalkan kesan yang negatif, merosakkan minda dan membazirkan masa. Maka terima kasih pada (samada Mohd. Rahmat atau Rais Yatim) maka istilah bahan tahyul diharamkan dari media perdana. Mungkin ada betulnya pendapat ini. Tapi aku tak bersetuju kalau BDJ di jadikan kambing hitam. Sebenarnya di zaman persekolahan aku dulu, bahan bacaan untuk budak lelaki memang takda! Tak macam sekarang, sudah ada pilihan (walaupun masih terhad) untuk pembaca lelaki. Karya dari penulis seperti Ramlee Awang Murshid, Eyman Hykal, Khairul Nizam Khairani (penulis faveret aku tu. Semua buku dia aku dapat free!) Jadi bagi seseorang yang dahagakan bahan bacaan untuk penjantan tangguh macam aku ni maka aku beralih minat pada buku BDJ. Namun BDJ bukanlah buku yang keluar tiap-tiap bulan. Ia keluar setahun sekali kompilasi siri dari Variasi yang dijilidkan. Maka aku pun belilah buku Bercakap Dengan Puaka, Berkelahi Dengan Syaitan, Bergaduh Dengan Babi. Ada di antara buku-buku tersebut sebenarnya lebih cenderung ke arah perubatan tradisional yang keislaman. Tapi tak nafikan jugak ada yang merapu. Jadi seperti biasa, sebab nila setitik rosak susu sebelanga. Lembu sekor bawak lumpur, habis semua pergi Kuala Lumpur. Dan akhirnya KDN pun melakukan serangan ke atas syarikat-syarikat ni yang banyaknya takda lesen dan tak dapat kebenaran menerbitkan buku. Dan bagi yang memohon nak terbitkan buku macam tu kena beku pulak (untuk pengetahuan, buku-buku atau bahan cetakan yang bersiri mestilah mendapatkan kelulusan KDN). Maka terkuburlah trend buku-buku seram ni.    

Sebenarnya bukan setakat pihak awam yang kritis dengan kehadiran BDJ. Orang-orang yang terlibat dalam industri penulisan pun sama juga. Mereka menganggap BDJ sebagai karya picisan. Tidak ada nilai seni. Karya bodoh dan sesiapa pun boleh tulis karya macam BDJ. Aku menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan ini. Bagi sesiapa yang pernah membaca BDJ maka cuba bandingkan buku ini dengan novel-novel cinta yang ada kat pasaran sekarang. Sewaktu aku nak tulis novel romantik komedi, oleh kerana aku tak punya pengalaman menulis manuskrip dengan genre macam ni maka aku beli beberapa buah novel cinta. Enam keping semuanya. Secara jujur aku nyatakan dari enam buah novel ini, empat darinya aku declare sebagai sampah. Aku meletakkan taraf sampah pada buku ini berdasarkan pada beberapa perkara. Pertama, jalan cerita yang terlalu tipikal. Baca dua bab dah boleh jangka apa yang berlaku dan bagaimana ia berakhir. Kedua, tidak ada rasa keterujaan. Dah cerita boleh dijangka, apa yang excitednya. Bosan lagi adalah. Penyampaiannya pun mendatar. Macam orang baca sajak dalam nada baca buku sains. Ketiga, meleret-leret dan ditarik-tarik dan dipanjang-panjangkan. Bak kata pepatah, sejengkal jadi sedepa. Benda sikit yang nak dicerita sampai lima enam muka surat. Keempat, penulisannya, cara penyampaiannya, susunan ayatnya, garapannya macam budak ambik SPM buat karangan yang layaknya dapat F9! Kelima, dah nama romantik komedi, jenaka pun tak lucu. Kelakar yang tak kelakar (kalau kelakar bodoh tapi lucu ada ampun lagi). Bak kata omputih, dry joke. Aku tak boleh nak hadam buku-buku ni. Baru masuk bab kedua dah aku campak ke penjuru bilik! Ya! aku CAMPAK buku tu! Peliknya pada muka depan tu menunjukkan betapa buku tu dah diulang cetak lebih sepuluh kali dalam tempoh setahun!

Kalau sesiapa baca BDJ akan dapat lihat dengan jelas walaupun ia novel seram tapi penyusunan ayatnya, gaya bahasanya, garapan ceritanya memiliki standard yang sangat baik. Ahmad Radzi adalah bekas wartawan, orang lama jadi stail penulisannya old school. Ditambah pula ceritanya bersandarkan pengalamannya jadi ia ditulis dengan jiwa. Bak kata omputeh, write with a soul. Jadi pembaca yang baca akan dapat menjiwai perasaan Tamar Jalis walaupun mungkin tidak ada sebarang persamaan kehidupan pembaca dengan penulis. Dalam kata lain, membaca BDJ seolah-olah membaca autobiografi penulis. Selain dari itu, secara tidak langsung BDJ sebenarnya mendekatkan kita orang Melayu moden ni dengan budaya, amalan, petua dan cara hidup orang Melayu yang semakin lama semakin hilang ditelan zaman.

Aku sendiri mengaku dalam membentuk stail penulisan aku, aku menjadikan corak penulisan BDJ sebagai asas. Dari situ barulah aku tingkatkan mutu penulisan aku sedikit demi sedikit. Malah secara jujurnya juga aku akui, BDJ adalah buku bahasa Melayu paling enjoy aku baca. That’s the important thing, buku itu mengasyikkan. Jadi aku sebagai penulis generasi baru mengucapkan ribuan terima kasih pada Ahmad Radzi. Mungkin beliau tidak menyedari besar jasanya serta sumbangannya dalam dunia novel tempatan. Aku tak pasti kalau siri buku BDJ ada di pasaran lagi atau tidak. Tak silap aku beberapa tahun lepas buku siri BDJ ni ada dicetak kembali oleh syarikat lain. Tapi tak taulah kalau syarikat tu ada cetak lagi. Kalau ada korang tangkaplah buku-buku tu. Mengasyikkan. Seolah-olah korang mengembara sekitar tanah Melayu di zaman sebelum merdeka.

5 comments:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  2. As salam...

    Sangat setuju dengan pendapat saudara...
    Saya juga sangat mengagumi karya siri bercakap dengan Jin. Hasil garapan yang sangat superb dan paling penting gaya bahasanya mengalir seperti aliran kehidupan. Semoga karya saudara berjaya. Sekian.

    ReplyDelete
  3. baru ja download bdj pdf jilid satu sampai 17 :)

    ReplyDelete