Tuesday, 23 June 2015

SENGATAN HORNET

F/A-18 E/F Advance Super Hornet

Telah sah yang MiG-29 tidak akan ditamatkan perkhidmatannya sebaliknya akan dinaiktaraf agar jangkahayatnya boleh dipanjangkan. Namun dalam masa yang sama berita ini juga menunjukkan program penggantian MRCA akan terus ditangguh dalam satu jangkamasa yang tidak diketahui. Dan secara peribadi aku merasakan yang ia akan tertangguh dalam satu jangkamasa yang lama. Paling tidak pun dalam tempoh beberapa tahun lagi.

 MiG-29 milik TUDM

Namun berita ini tidak menyurutkan isu jenis pesawat yang akan mengisi logistik TUDM. Perbincangan dan analisa di kalangan netizen akan isu ini terus diperkatakan. Aku tertarik akan tajuk pesawat F-18 punya peluang yang besar dalam program MRCA. Jujurnya dan aku rasa semua yang follow blog aku dah tahu yang aku memang tak berapa bersetuju dengan pembelian atau penambahan pesawat F-18 dalam logistik TUDM. Dan rasanya semua dah tahu sebab kenapa aku tak bersetuju, bukanlah dari sudut kemampuannya tapi dari aspek geopolitik. Namun ramai pemerhati tak rasmi merasakan peluang F-18 semakin hari semakin cerah.

Dari sudut kemampuan memang ramai yang tahu TUDM amat bersetuju kalau sekiranya F-18 mengisi kekosongan MiG-29 dalam program MRCA. Ini kerana pengalaman mengoperasi lapan buah pesawat F-18 dalam logistik TUDM menunjukkan pesawat ini bukan saja berkemampuan dari segi kombat malah dari sudut pengoperasiannya juga ia kurang bermasalah kalau mahu dibandingkan dengan pesawat-pesawat buatan Russia yang dimiliki Malaysia. Malah usia F-18 dan MiG-29 adalah hampir sama namun F-18 tidak seperti MiG-29, jarang kedengaran permasalahan dari sudut penyelenggaraan. Kalau ada sekali pun ia sekadar masalah kecil yang dapat diselesaikan secepat mungkin. Berbeza dengan MiG-29 yang menghadapi pelbagai masalah dan masalah yang paling besar adalah mendapatkan alat ganti. Dan yang paling menyedihkan Sukhoi-30 MKM turut mengalami masalah yang sama. Nyata masalah dengan pesawat yang dibeli dari Russia adalah mendapatkan alat ganti serta proses penyelenggaraan yang rapi.
 

Sukhoi-30MKM yang turut mengalami masalah bekalan alat ganti dari Russia

Masalah paling besar berkaitan dengan pesawat F-18 seperti yang diketahui semua adalah masalah berkaitan geopolitik. Hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat sewaktu era pemerintahan Mahathir tidaklah begitu baik. Apatah lagi hubungan antara Malaysia dengan sekutu kuat AS di Asia Tenggara iaitu Singapura sering dilihat tegang. Maka ahli dewan senat AS seringkali menghalang tindakan firma persenjataan AS dari menjual kelengkapan pertahanan pada Malaysia. Ini termasuklah kelengkapan berkaitan pesawat F-18 Hornet. Malah di satu ketika Mahathir dilihat seolah-olah menyesali tindakan Malaysia membeli pesawat F-18 Hornet ini. Macam-macam isu yang dibangkitnya dan isu yang paling panas adalah berkaitan source code yang sebenarnya bukanlah suatu isu yang besar. Kebanyakannya negara yang lebih rapat dengan AS yang memiliki F-18 turut tidak diberikan source code. Cuma dalam hal ini, Malaysia turut dihalang dari membeli peralatan persenjataan termasuklah peluru berpandu anti pesawat AIM 120C yang turut dimiliki Singapura. Hanya baru-baru ini sahaja Malaysi dibenarkan memiliki peluru berpandu yang diingini. Itu pun dalam jumlah yang terhad. Bererti F-18 Hornet milik Malaysia umpama harimau tak bertaring!

Namun scenario kini berubah. Hubungan Malaysia dan AS semakin baik. Mungkin faktor kebimbangan AS dengan kehadiran China yang agak agresif di wilayah Asia Pasifik menjadi pendorong utama akan hal ini selain sikap Perdana Menteri Malaysia kini, Najib Tun Razak yang lebih terbuka dalam hubungan antara kedua buah negara. Mahu tak mahu kita harus akui, dalam hubungan baik antara Malaysia-China, dalam Malaysia melaungkan slogan untuk mengambil jalan diplomasi untuk menangani isu perebutan wilayah di Laut China Selatan, Malaysia juga berasa bimbang yang amat sangat dengan pendirian China terhadap Laut China Selatan yang amat keras. Malah tindak-tanduk pasukan bersenjata China juga dilihat bagai tidak menghormati (atau tidak takut) dengan kedaulatan Malaysia. Saban tahun kapal-kapal milik PLA-Navy dan China Coast Guard menceroboh perairan negara. Malah China giat membangunkan pulau buatan manusia di kawasan terumbu karang yang menjadi perebutan antara China-Malaysia-Brunei. Malah dari pemantauan tentera Amerika Syarikat mendapati pulau buatan itu tampak berfungsi sebagai markas hadapan tentera China yang lengkap dengan landasan udara.
 

Kapal-kapal PLA-Navy yang dikatakan sering menceroboh perairaan negara

Namun Malaysia bagai tidak mampu berbuat apa-apa. Atas nama diplomasi katanya namun dari mata kasar dapat dilihat Malaysia sebenarnya tidak berkemampuan untuk bersikap tegas dengan China. Dari sudut kekuatan ketenteraan saja Malaysia sudah jauh ketinggalan. Kapal-kapal peronda Malaysia tidak mampu bersaing dengan kapal Coast Guard China apatah lagi kapal-kapal People Liberation Army-Navy yang jauh lebih canggih. Dan apa yang boleh Malaysia boleh lakukan berkaitan isu pulau buatan China kalau Amerika Syarikat sendiri berani dikritik China kerana usahanya yang dilihat cuba mencampuri hal ehwal orang lain. Jadi dapat difahami jika Malaysia cuba meningkatkan tahap persahabatan dengan Amerika Syarikat. Sudah tentu Malaysia berharap jika ditakdirkan (harapnya tidak berlaku) tercetus konflik bersenjata dengan China, sekurang-kurangnya Malaysia ada sokongan lembut (soft support) dari negara Uncle Sam. Aku tak tahu dah berapa kali aku cerita pasal perkara ni. Mungkin sebab masih ada orang yang naïf yang menganggap aspek geopolitik tidak memainkan peranan dalam pembelian aset pertahanan.

Berbalik pada isu pembelian F-18. Aku letak di sini F-18. Takda Hornet atau Super Hornet (atau ada orang suka panggil superbug) kerana seperti juga Lockheed Martin yang berusaha meneruskan hayat F-16 dengan model terkini F-16V, Boeing juga melakukan perkara yang sama dengan cadangan program F-18E/F advance Super Hornet. Isu Advance Super Hornet (ASH) ini menjadi satu isu panas di kalangan netizen di US yang meminati isu-isu berkaitan pertahanan negara mereka. Ini kerana ramai pihak semakin muak dengan isu pesawat F-35 JSF Lightning yang menghadapi pelbagai masalah yang memaksa penangguhan pengoperasiannya. Dan sudah tentu isu bajet program F-35 memainkan peranan utama. Program F-35 sejak ia bermula dikatakan telah menelan belanja melebihi setengah trillion US Dollar! Namun sehingga kini ramai pihak masih meragui tarikh yang diberikan Lockheed Martin iaitu 2016 bagi pesawat F-35 pertama beroperasi secara rasmi kerana begitu banyak masalah teknikal yang masih perlu diselesaikan dan para pemerhati yakin tarikh tahun 2019 iaitu tarikh di mana semua pesawat F-35 dapat dihantar kepada semua negara yang telah membeli pesawat ini akan ditangguh lagi seperti sebelum ini.
 Pesawat F-35 JSF Lightning II yang bermasalah dan telah menelan belanja yang amat besar

Jadi idea program ASH menarik minat ramai. Memandangkan ASH berasaskan pada pesawat Hornet yang telah terbukti akan keberkesanannya di medan perang selain faktor kos yang dijangka jauh lebih rendah dan diyakini pesawat ini tidak akan mengalami masalah teknikal sebaik produksinya secara besar-besaran bermula. Malah hasil laporan pandu uji oleh US Navy ke atas ASH mendapat pujian oleh pihak US Navy yang membawa kepada spekulasi akan kemungkinan Navy lebih berminat untuk mendapatkan ASH dan akan menarik diri dari program F-35 yang terlalu tinggi kos pengoperasiannya sebaik ia berada dalam inventori. Perlu diingat, kilang penghasilan F-18 dijangka akan menerima nasib yang sama dengan kilang penghasilan F-16 dimana ia akan ditutup menjelang 2016. Jika US Navy bersetuju mendapatkan pesawat ASH ini, ia akan memberi nyawa kembali pada kilang tersebut. Namun semuanya bergantung pada kelulusan dewan kongres AS. Malaysia juga turut ditawarkan pesawat ASH pada 2013. Jadi persoalannya jika Malaysia bersetuju membeli pesawat F-18, adakah ia jenis Super Hornet atau ASH?

Terdapat perbezaan yang ketara antara kedua-dua pesawat antaranya ialah conformal fuel tank atau tangki minyak tambahan yang kini menjadi sebahagian daripada fiuslaj yang membolehkan pesawat terbang dengan jarak yang lebih jauh. Sebelum ini F-18 yang perlu untuk terbang dengan jarak yang jauh perlu dipasang tangki minyak tambahan pada sayap yang dikenali sebagi drop tank. ASH juga dipasang dengan enclose weapon pod atau pod persenjataan tertutup yang dipasang di bahagian perut pesawat. Rekabentuk Conformal Fuel Tank dan Enclose Weapon Pod telah mengurangkan keratan rentas pengesanan radar dan ini menjadikan ASH lebih halimunan (stealth) berbading Super Hornet. Selain dari itu ASH juga dilengkapi system ISRT (Internal Infrared Search & Track) yang membolehkan pesawat ini mengesan pesawat musuh dari generasi ke-5 yang halimunan. Enjin ASH juga ditingkatkan yang meningkatkan kelajuan dan tujahan pesawat. Jika dilihat pada ciri-ciri tambahan ini ASH dilihat umpama sebuah pesawat generasi ke-5. Dan memang tujuan Boeing membangunkan ASH dengan tujuan memberikan saingan pada pesawat F-22 dan F-35 dengan kelebihan kos penyelanggaraan yang lebih ekonomi dan efisien. Namun ia juga akan menjadikan harga ASH lebih mahal berbanding Super Hornet.

Sebab kenapa isu pemilihan F-18 diulas ialah kerana dari hari ke sehari dilihat peluang F-18 sebagai pesawat pilihan semakin meningkat. Memang F-18 menjadi pilihan TUDM namun faktor geopolitik membuatkan kerajaan keberatan untuk memberikan lampu hijau. Namun dengan situasi terkini menunjukkan hubungan Malaysia-AS yang lebih rapat berbanding sebelumnya kemungkinan faktor geopolitik mungkin bukan lagi penghalang selain faktor kewangan serta efisiennya F-18 untuk berkhidmat dalam TUDM dalam jangkamasa yang lama berbanding pesawat-pesawat pesaing yang lain yang dilihat sering timbul masalah yang tidak dijangka yang menyebabkan kadar efektif pesawat tersebut terjejas. Lawatan Barack Obama pada penghujung tahun ini (lawatan keduanya ke Malaysia dalam tempoh dua tahun berturut-turut!) juga adalah indikasi pemulihan hubungan antara dua negara. Memang ada yang menyatakan sebab utama Obama ke Malaysia selain dari menghadiri persidangan ASEAN adalah untuk memujuk Malaysia agar bersetuju menyertai perjanjian TPPA (Trans-Pacific partnership Agreement). Namun kita semua tahu setiap lawatan Presiden AS ke sesebuah negara tidak akan sekadar membincangkan satu-dua perkara sahaja sebaliknya akan meliputi semua perkara termasuk hal-hal berkaitan keselamatan dan pertahanan. Dan sudah tentu isu pertahanan yang paling panas ialah isu berkaitan kebangkitan kuasa ketenteraan China di Laut China Selatan.

Seperti sejarah yang lalu, AS selalunya tidak mahu terlibat dalam sesuatu konflik secara terus. Jadi mereka memerlukan proksi. Dalam isu berkaitan China, AS cuba membina pengaruh di kalangan negara-negara Asia Tenggara yang selama ini dianggap seringkali mengasingkan diri dan bersikap berkecuali dari terlibat dalam sebarang isu global berkaitan AS. Dan Masalah dengan ancaman dari China memberikan AS peluang untuk mendapatkan sokongan dari negara-negara Asia Tenggara. Setakat ini negara seperti Singapura dan Filipina jelas sekali sudah menjadi sekutu kepada AS sementara negara seperti Vietnam dan Thailand adalah negara yang cenderung menyokong AS. Hanya negara seperti Indonesia, Malaysia dan Brunei yang dilihat masih samar-samar sokongannya memandangkan negara-negara ini juga punya hubungan yang baik dengan China. Sementara Myanmar dilihat negara yang berpotensi untuk menyokong China memandangkan negara ini punya banyak masalah politik dan isu kemanusiaan. Jikalau sekiranya Myanmar terus-menerus ditekan oleh ASEAN, ada kemungkinan negara ini akan keluar dari ASEAN dan bersekutu dengan China. Berbalik pada Malaysia, kelemahan ekonomi serta goncangan politik tempatan umpama peluru yang boleh digunakan AS dalam hubungan antara dua negara. Kita semua tahu kelemahan ekonomi negara sekarang telah menjejaskan usaha ATM untuk melaksanakan program peningkatan dan permodenan pertahanan negara. Situasi Malaysia tidak jauh beza dengan Indonesia. Indonesia telah diberi pelbagai insentif dalam bidang pertahanan.  Dan Malaysia juga tidak terkecuali. Sudah beberapa tawaran bantuan ketenteraan ditawarkan AS pada Malaysia. Namun tidak seperti Indonesia, Malaysia sehingga kini kelihatan masih cuba untuk berusaha sendirian tanpa bantuan dari AS. Namun sampai bila?
 

Skuadron F-16 milik tentera udara Indonesia yang kembali bernafas dengan bantuan AS

China kelihatan semakin berani dari hari ke sehari. Peningkatan kekuatan ketenteraan mereka semakin meningkat. Sedangkan Malaysia dilihat bagai tak mampu nak menghadapi masalah kecil berkaitan pencerobohan sempadan di Sabah. Pihak ESSCOM memerlukan pelbagai aset bagi memudahkan tugas pihak keselamatan di Sabah namun kerajaan bagai memenuhi permintaan umpama melepaskan batuk di tangga! Sewaktu ekonomi kukuh, peruntukan yang kecil pada bidang pertahanan dikatakan kerana peruntukan yang besar diperlukan untuk mengukuhkan ekonomi negara. Namun ekonomi negara sekarang ni dah macam taik! Laporan analisis dari Eropah menyatakan Malaysia akan menerima nasib yang sama seperti Greece jika sekiranya masalah hutang negara tidak diselesaikan dengan segera! Malah menurut Jane Defense Review, krisis 1MDB sebenarnya memberi kesan pada program pembangunan pertahanan negara. Berbalik pada isu F-18 sebagai pilihan TUDM. Aku terbaca sebuah blog yang mencadangkan agar Malaysia membeli pesawat-pesawat F-18 milik Kuwait. Kuwait seperti juga Malaysia, mahu menggantikan pesawat-pesawat lama mereka dengan pesawat yang baru. Dan berita terbaru menyatakan Kuwait sudah bersetuju untuk menggantikan pesawat-pesawat F-18 Hornet mereka dengan pesawat F-18 Super Hornet.
 F-18 Hornet milik tentera udara Kuwait

Walaupun idea itu menarik namun perlu diingat, AS tak membenarkan penjualan aset ketenteraan buatan mereka dijual kepada negara ketiga tanpa kebenaran. Namun rasanya itu bukan satu masalah. Kemungkinan besar AS akan bersetuju sekiranya idea itu diutarakan Malaysia. Namun ia tetap menelan kos tambahan selain dari pembayaran pembelian pesawat-pesawat tersebut dari Kuwait. Biar pun pesawat-pesawat itu diselenggara dengan baik namun ia adalah dari versi lama. Sekiranya pesawat-pesawat ini mahu dimasukkan ke dalam inventori TUDM, penaiktarafan diperlukan bagi membolehkan ia beroperasi dengan baik dengan pesawat-pesawat F-18 yang sudah sedia dimiliki oleh TUDM. Dan adakah kos itu semua masih dibawah nilai kos jika dibandingkan dengan harga pembelian Super Hornet? Dan adakah Malaysia akan dibenarkan membeli sekadar 18 buah pesawat atau adakah Malaysia terpaksa membeli secara pakej, kesemua 26 buah unit F-18 yang dimiliki Kuwait? Ini semua persoalan yang harus diperhalusi.
 

F-18 Super Hornet pilihan TUDM

Namun persoalan yang paling besar pada aku ialah isu berkaitan geopolitik. Bolehkah kita percaya yang AS tidak akan mengongkong kita seperti mana yang berlaku pada pemilikan lapan buah pesawat F-18 dahulu? Adakah kita akan dibenarkan melengkapkan pesawat-pesawat ini dengan kelengkapan semaksima mungkin kalau sekiranya Malaysia memilih untuk membeli F-18? Atau adakah kelengkapannya nanti hanya ala kadar apabila negara jiran tiba-tiba bersuara menyatakan rasa tidak puashatinya nanti?  Itu semua tidak dapat dipastikan. Pada aku, selagi mana hubungan Malaysia dengan AS tidak serapat jiran kita Singapura, ia adalah satu risiko yang tinggi yang diambil negara menjadikan F-18 sebagai tulang belakang kekuatan tentera udara negara.         

Wednesday, 8 April 2015

LIMA yang lemau....


Ada member sound, kenapa masa DSA aku post artikel tapi LIMA 2015 aku senyap? Dan ada pula yang hantar e-mel nak tahu perkembangan terkini berkaitan program MRCA dan pemerolehan pesawat helikopter tempur. Adakah semakan semula RMK10 akan menjejaskan program-program tersebut? Sebab kenapa aku malas nak tulis apa-apa pasal LIMA 2015 adalah sama pada semua pemerhati dan peminat ketenteraan dan pertahanan negara. Sewaktu DSA 2014, pelbagai spekulasi kedengaran. Yang paling heboh ketika itu adalah rancangan pemerolehan pesawat helikopter tempur. Jadi berita macam tu menjadikan DSA 2014 hype. Namun di LIMA 2015, kebanyakan pemerhati sudah dapat berita tidak akan ada sebarang pengumuman yang mengejutkan malah telah dimaklumkan yang Malaysia tidak akan menandatangani sebarang perjanjian dalam memuktamadkan urusan pemerolehan aset negara. Walaupun LIMA 2015 dikatakan antara yang paling padat dengan aktiviti dan program (pertama kali diadakan persidangan menteri-menteri pertahanan ASEAN) namun dari sudut pemberian kontrak ia sekadar berkisar kontrak berkaitan penyelenggaraan dan alat ganti. Selain dari itu ialah penyerahan pesawat helikopter Nuri daripada TUDM kepada PUTD dan juga kehadiran pesawat A400 pertama TUDM. Dan insiden paling hangat pun sudah tentulah insiden kemalangan udara yang melibatkan skuadron Jupiter Aerobatics TNI-AU.

Pesawat pasukan aerobatik Jupiter yang terhempas

 
Selain dari itu tidak ada perkara yang besar berlaku. Seperti LIMA sebelum ini, program pemerolehan pesawat MRCA bagi menggantikan pesawat MiG-29 Fulcrum menjadi perhatian. Namun bukanlah satu rahsia bahawa program MRCA takkan dimuktamadkan di LIMA 2015 atau dalam tempoh terdekat ini biar pun keputusan untuk menamatkan khidmat MiG-29 Fulcrum akan tetap diteruskan di akhir tahun 2015 ini walau pun ini bererti tidak akan ada pesawat yang akan mengisi kekosongan MiG-29 nanti. Namun apa yang ramai tidak tahu, selain MiG-29, skuadron ke-12 yang mengoperasikan pesawat F-5 juga telah ditamatkan perkhidmatannya pada akhir 2014 yang lalu. Jadi sebenarnya kelompongan ini sudah berlaku dan dengan tiada khabar berita akan program penggantian pesawat MiG-29 bererti berakhirnya khidmat Fulcrum tanpa ada pesawat yang akan mengambil alih tugas MiG-29 bukanlah sesuatu perkara yang besar. Biar pun ada firma tempatan Aerospace Technology System Corporation Sdn Bhd menawarkan penaiktarafan MiG-29 yang mampu memanjangkan hayat pesawat itu sekurang-kurangnya 25 tahun lagi namun reaksi sepi dari TUDM menyatakan betapa mereka memang sudah tidak berminat untuk meneruskan perkhidmatan pesawat pemintas terbaik di dunia itu.

 Pesawat F-5 yang telah ditamatkan perkhidmatannya 

Kehadiran hanya 3 pesawat yang berada dalam senarai akhir ke LIMA iaitu Rafale, Gripfen dan Superhornet bagai menunjukkan betapa firma-firma ini muak dengan pengesahan yang bagai tak kunjung tiba. Malah dari tiga pesawat ini hanya Rafale yang membuat demonstrasi udara sementara Gripfen dan Superhornet hanya dipamerkan secara statik dan BAE pula sekadar menghantar replika saiz sebenar pesawat Typhoon. Namun ia juga mengunjurkan akan kecenderungan Malaysia akan pesawat yang akan dipilih. Rata-rata tahu TUDM mahukan F-18 Superhornet. Ini kerana TUDM sudah punya pengalaman berkaitan pesawat ini. Selain dari itu kemampuan Superhornet sudah terbukti dengan penglibatannya dalam pelbagai konflik. Sedangkan pesawat seperti Typhoon dan Rafale masih banyak yang perlu di perhalusi dan didalami kerana kebanyakan sistem yang dipasang pada kedua-dua pesawat ini masih baru dan belum benar-benar teruji. TUDM bimbang jika banyak masalah timbul bila pesawat-pesawat ini berada di dalam inventori TUDM yang akan menjejaskan pengoperasiannya. Contoh terbaik adalah Sukhoi-30 MKM.


F-18 Superhornet yang didambakan TUDM

Tetapi kerajaan Malaysia punya idea yang berbeza. Pengalaman dengan Hornet bagai cuba dielakkan. Insiden dimana AS menghalang pembelian persenjataan dek desakan ahli kongres yang bimbangkan keselamatan Singapura akan terancam masih menghantui Malaysia. Ada sesetengah pemerhati melihat insiden ini dengan pandangan sinis dan menyatakan ia takkan berlaku lagi berdasarkan hubungan terkini Malaysia-AS yang lebih rapat. Namun apa-apa boleh berlaku. Dan kita harus melihat insiden itu bukan saja dari sudut keselamatan tapi juga dari sudut maruah apabila kita boleh dikatakan sudah kalah sebelum berperang lagi. Perlu diingatkan hubungan baik Malaysia-AS sekarang tidak sama dengan hubungan Singapura-AS yang merupakan sekutu sedang Malaysia hanya negara yang punya hubungan baik sahaja dengan negara Uncle Sam. Jadi bagi sesiapa yang menganggap situasi itu takkan berulang, samada dia seorang yang naïf atau bodoh atau seorang yang cenderung pada Singapura dan AS. Mungkin! Dalam masa yang sama juga tindakan Malaysia menaiktarafkan lapan pesawat F-18 Hornet yang membolehkan pesawat ini mengoperasikan peluru berpandu AMRAAM (Advance Medium Range Air To Air Missile) dan sistem JDAM (Joint Direct Attack Munition) menunjukkan Malaysia tidak berhasrat untuk melepaskan lapan pesawat Hornet bagi memenuhi pakej yang ditawarkan AS di mana lapan pesawat ini akan dikembalikan dan akan ditebus sebagai sebahagian kos pembelian 18 pesawat Superhornet.

Jadi Superhornet mungkin pilihan terakhir Malaysia. Hanya tinggal tiga calon, Typhoon, Rafale dan Gripfen. Atau mungkin empat! Lockheed Martin dikatakan berminat untuk turut serta dalam perebutan kontrak MRCA Malaysia dengan mempertaruhkan pesawat F-16V Viper, generasi terkini dari jenis F-16. F-16V ini sedikit berbeza dari generasi sebelumnya kerana kemampuannya telah dipertingkatkan dengan dilengkapi radar AESA yang menambah kemampuan tempurnya. Program ini asalnya bagi memenuhi permintaan Mesir dan Iraq namun Mesir telah memilih Rafale sementara Iraq masih belum memuktamadkan keputusan untuk membelinya. Jadi Malaysia dilihat sebagai usaha terakhir dalam merealisasikan program ini. Tawaran yang dibuat nanti sama seperti tawaran Superhornet, lengkap dengak pakej kewangan dan peralihan teknologi. Namun sehingga artikel ini keluar, Lockheed Martin masih belum menghantar usulan pada Malaysia. Mungkin mereka masih tunggu dan lihat akan perkembangan program MRCA Malaysia ini. Namun aku tidak melihat F-16 Viper ini punya peluang yang lebih cerah kerana tidak ada sebarang kelebihan Viper berbanding Superhornet. Malah tak keterlaluan kalau dikatakan jika pesawat AS yang menjadi pilihan Malaysia, sudah pasti Superhornet yang akan dipilih dan bukannya Viper.

F-16V Viper

 
Namun seperti yang aku katakan tadi, Superhornet juga bukan pesawat yang menjadi pilihan Malaysia. Dua pesawat yang menjadi pilihan utama ialah Typhoon dan Rafale. Namun harga Typhoon yang terlalu tinggi membuatkan pesawat ini juga memiliki harapan yang tipis biar pun kerajaan Britain menawarkan Malaysia untuk menyewa pesawat Typhoon dan akan menghantar pesawat Typhoon standart tranche 3 dalam tempoh sebulan selepas perjanjian ditandatangani. Namun tawaran itu tetap dilihat tidak menguntungkan Malaysia. Jadi kini pesawat yang dilihat menjadi pilihan Malaysia adalah Rafale. Dassault dilihat telah menggandakan usahanya melobi Rafale sejak beberapa tahun ini lebih dari firma-firma lain. Malah ia jelas dapat dilihat apabila Rafale merupakan satu-satunya pesawat yang membuat demonstrasi udara, menunjukkan keyakinan Dassault dalam memenangi kontrak ini biar pun sehingga kini tidak ada khabar berita akan pesawat yang dipilih. Malah Dassault turut menawarkan pakej kewangan yang sama yang telah ditawarkan kepada Mesir pada Malaysia. Pada pendapat aku Malaysia sebenarnya ingin meningkatkan hubungan niaga dalam sektor pertahanan dengan Perancis. Perancis bukan asing pada Malaysia. Selain program kapal selam Scorpene, program SGPV juga melibatkan kapal perang kelas Gowind buatan firma DCNS dari Perancis. Selain dari itu Thales, firma sistem elektronik Perancis juga terlibat dalam program Sukhoi-30 MKM, kapal friget kelas Lekiu dan kelas Kasturi. Malaysia mungkin mahu mengikut jejak langkah Brazil yang mnejadi sahabat niaga dengan Perancis dalam industri pertahanan dan berjaya meraih peralihan teknologi sehingga menjadikan Brazil pengeksport kelima terbesar dalam industri pertahanan dunia. 
     
Rafale yang dianggap memiliki peluang terbesar menggantikan MiG-29

 
Sebaik berakhirnya LIMA 2015, telah dikhabarkan program MRCA ini akan dimuktamadkan di antara 2016 ke 2020. Dalam erti kata lain, paling awal kerajaan menamakan pesawat yang terpilih dalam program MRCA adalah pada tahun 2016 dan paling lewat pada tahun 2020. Sebaliknya pula perancangan pemerolehan flotilla oleh TLDM semakin diberi penekanan. Selain dari program SGPV yang bakal bermula pertengahan tahun ini, Malaysia juga akan meneruskan program pemerolehan enam buah friget dari firma Korea. Begitu juga dengan rancangan pemerolehan dua buah kapal perang dari firma China yang kini lebih jelas bukanlah friget sebalik kapal logistik atau LPD (Landing Platform/Dock) bagi menggantikan KD Inderapura. Dan jika dua buah kapal ini memuaskan hati TUDM, dua buah lagi akan dibina. Pada aku ini satu keputusan yang tepat. Memang ramai yang mempersoalkan kenapa program MRCA tidak dipercepatkan sedangkan terdapat kelompongan dalam pertahanan udara negara. Namun harus difahami, Malaysia menghadapai masalah yang paling besar dalam memperolehi aset-aset ini. Masalah kewangan!
 Kapal Yuzhao 071. Malaysia dikatakan akan membeli dua kapal jenis ini dengan saiz yang lebih kecil

Walaupun Najib Razak menyatakan Malaysia tidak menghadapi masalah ekonomi dan ekonomi negara tidak seteruk tahun 1998 atau 2009 namun hakikatnya ia tetap masalah ekonomi yang merencatkan perancangan negara. Hutang negara meningkat dua kali ganda. Najib menyatakan ia disebabkan kejatuhan matawang dan harga minyak. Aku ada pendapat lain berkaitan kelemahan ekonomi negara tapi tak payahlah dibincangkan di sini. Apa yang mahu aku nyatakan di sini ialah hutang negara yang meningkat dan hampir mencecah jumlah siling hutang negara. Membeli pesawat MRCA bererti kita akan hanya menambah hutang dan akan melebih siling hutang negara. Jika itu berlaku ia akan menimbulkan masalah pada negara dalam mendapatkan kredit dari negara-negara luar yang menjalankan urusniaga dengan Malaysia. Jadi kenapa pula Malaysia menambah jumlah friget-friget untuk TLDM? Dan bukan saja program TUDM malah kerajaan juga telah menghantar LOI (Letter of Intent) untuk program enam buah NGPC (New Generation Patrol Craft) untuk APMM bernilai 380 juta. Tidakkah ia juga akan menjana hutang negara?

Program-program flotilla ini juga sebenarnya akan menjana ekonomi negara. Semua SGPV akan dibina di Malaysia sementara tiga dari enam buah friget yang dibeli dari Korea akan dibina di Korea dan yang selebihnya akan dibina di Malaysia. Kapal LPD dari China pula walaupun dibina di China namun semua sistem penderiaan, radar, navigasi dan persenjataan akan dipasang di Malaysia. Dan kapal yang kedua akan dibina di Malaysia. Bererti program-program flotilla ini akan membuka peluang perkerjaan, menjana keuntungan pada firma-firma tempatan serta berlakunya peralihan teknologi pada Malaysia. Tidak seperti pembelian MRCA di mana pesawat-pesawat akan dibina di negara asal seratus peratus sebelum dihantar kepada Malaysia. Bererti ia tidak memberikan sebarang keuntungan kewangan sebaliknya akan hanya mengalirkan wang keluar negara serta menambah jumlah hutang! Masalah kewangan yang dihadapi negara kini amat meruncing sehingga meggugat kos penyelenggaraan aset-aset pertahanan negara. Malah Hishamudin Tun Hussein secara bersahaja menyatakan pemberhentian khidmat MiG-29 bermakna kos penyelenggaraan pesawat itu boleh disalurkan kepada pesawat Sukhoi-30. Malah Hishamuddin juga apabila ditanya akan program MRCA menyatakan pembelian pesawat itu bergantung pada tahap ancaman dan juga situasi ekonomi negara. Dan jika bersandarkan kenyataan Menteri Pertahanan itu nyata sekali kepentingan pemerolehan pesawat MRCA kini tidak menjadi keutamaan. Sebaliknya aset-aset yang memenuhi keperluan ESSCOM akan diutamakan dahulu. Itu sebabnya kerajaan meluluskan pembelian flotilla untuk kegunaan TUDM dan APMM. Dan jika MRCA tidak menjadi kepentingan maka begitu jugalah pesawat AEW&C. Ini kerana di kala ini TUDM merasakan pemilikian pesawat MPA (Maritime Patrol Aircraft) adalah lebih penting berbanding AEW&C. TUDM berhasrat untuk memiliki enam ke lapan buah pesawat MPA jarak jauh bagi mengawal perairan negara namun hasrat itu juga dilihat masih kelam biar pun ia dapat memenuhi keperluan ESSCOM.

Boeing galak mempromosikan pesawat MSA (Maritime Surveillence Aircraft) Challenger 604 di LIMA 2015

 
Bagaimana pun perancangan untuk pemerolehan helikopter bersenjata akan tetap diteruskan. Seperti juga flotilla yang memenuhi keperluan ESSCOM, begitu juga dengan pemilikan helikopter bersenjata. Cuma apakah jenis helikopter yang mahu dibeli masih dalam perbincangan. Di LIMA tempohari Boeing telah menawarkan pesawat AH-6 dan Malaysia bersetuju untuk mempertimbangkannya selain dari pada pesawat utiliti Huey UH-1Y Venom dan AH-1Z Viper. Tapi seperti yang aku nyatakan dalam artikel aku sebelum ini, aku yakin pesawat EC 665 Tiger yang akan menjadi pilihan. Sebabnya? Boleh baca dalam artikel itu. Ini kerana seperti juga program MRCA, kekangan kewangan menjadi masalah utama. Dan tawaran daripada Perancis berkaitan enam buah pesawat Tiger adalah lebih ekonomikal. Namun kita masih perlu tunggu dan lihat. Kesemua program ini akan dimasukkan ke dalam RMK 11. Kecuali program MRCA dan AEW&C serta MPA yang masih samar-samar. Dan satu lagi perancangan pemerolehan yang dikatakan bakal mendapat lampu hijau adalah pemerolehan pesawat helikopter ASW yang akan melengkapkan program SGPV.

AH-6i yang ditawarkan Boeing

 
Sebenarnya pada pendapat aku tindakan kerajaan menangguh pembelian pesawat MRCA dan AEW&C adalah satu tindakan yang tepat. Aku tahu bagi peminat pesawat MRCA pasti sakit hati dengan kenyataan aku. Namun kita harus realistik. Kita kena akui yang negara sedang menghadapi kegoncangan ekonomi. Negara harus berjimat cermat. Namun dalam masa yang sama Malaysia turut menghadapi ancaman militan. Jadi keperluan pertahanan masih diperlukan. Jadi kerajaan harus bijak dalam memilih aset yang diperlukan agar tidak berlaku pembaziran. Memanglah kalau diikutkan semua benda kita nak beli tapi kita harus melihat keperluannya berdasarkan ancaman yang sedang dihadapi negara. Bukan nak beli yang sexy je macam jet fighter. Dan di kala ini ancaman musuh konvensional pada Malaysia amatlah rendah. Jadi kerajaan pasti, pada masa ini Malaysia tidak mungkin menghadapi serangan jet pejuang negara-negara musuh. Sebaliknya apa yang diperlukan ialah aset-aset yang mampu memperketatkan lagi kawalan sempadan negara dari diceroboh pihak asing. Friget, bot peronda, pesawat MPA, helikopter dan kereta perisai adalah aset yang penting dalam menjalankan operasi kawalan sempadan. Ada juga orang yang menyatakan adalah baik jika Malaysia menangguhkan pembelian pesawat MRCA sehingga pesawat generasi ke-5 buatan Russia, T-50 PAKFA siap memasuki inventori tentera udara Russia maka kita boleh membelinya.

T-50 PAK FA

Aku hanya boleh tersenyum. Pesawat buatan Russia adalah pilihan terakhir Malaysia setelah pengalaman ngeri MiG-29 dan Sukhoi-30 di mana Russia gagal memenuhi permintaan alat ganti yang diminta. Dan tanggapan pesawat generasi ke-5 seperti F-22 Raptor, F-35 Lightning, T-50 PAKFA, J-20 Chengdu, J-31 Shenyang, KF-X, TAI TFX, 313 Qaher atau apa saja pesawat yang sejenis dengannya adalah jauh lebih hebat dari pesawat-pesawat generasi 4.5 masih belum terbukti kebenarannya. Semuanya hanyalah ramalan, projeksi serta simulasi yang masih tidak terbukti secara realiti kerana tidak ada pesawat-pesawat ini yang terlibat dalam mana-mana konflik lagi. Malah berdasarkan eksesais tentera udara Red Flag Alaska yang yang disertai negara-negara sekutu AS menunjukkan kemampuan pesawat Typhoon menewaskan pesawat F-22 Raptor. Malah sewaktu eksesais Cope Taufan antara Malaysia dan AS tempohari juga menunjukkan Sukhoi-30 mampu bersaing dengan F-22. Dan perlu diingat, era pertempuran udara kini kurang berlaku dogfight antara pesawat. Jika berlaku konfrontasi udara, kedua-dua belah pihak akan cuba menghapuskan lawan masing-masing secepat mungkin. Jadi pesawat mana yang mampu mengesan musuhnya lebih awal maka dialah pemenang. Jadi pemilikan pesawat generasi ke 5 oleh Malaysia pada aku tidaklah begitu penting. Pesawat generasi 4.5 pun sudah memadai.

Dan ada pula yang mengatakan Malaysia boleh membeli aset ketenteraan dengan menggunakan pendapatan hasil kutipan cukai GST. Sebenarnya cukai GST atau cukai yang sewaktunya dengannya yang dipraktikkan di negara-negara lain, hasil kutipannya dari tujuhpuluh peratus hingga sembilanpuluh peratus akan dibelanjakan untuk kegunaan rakyat secara terus. Wang akan diperuntukkan untuk perbelanjaan perubatan, pendidikan, sosial, kemudahan awam atau perkara-perkara yang berkaitan dengan rakyat. Peruntukan pembelian aset pertahanan biasanya akan menggunakan dana dari pendapatan negara dari sumber lain seperti cukai perniagaan, pendapatan atau sumber alam. Tapi aku sempat mendengar cerita seorang kakitangan kementerian kewangan menyatakan pendapatan GST sebahagian besar darinya akan digunakan untuk melangsaikan hutang negara kerana ia dapat membantu menaikkan kembali nilai matawang negara selain dapat merancakkan semula ekonomi negara. Itu sebab kenapa Najib menyatakan kutipan GST akan digunakan untuk mengukuhkan ekonomi negara. Jadi tidak mungkin GST akan digunakan untuk membeli aset-aset pertahanan Negara. Namun seperti yang aku nyatakan, Malaysia harus lebih berhemah dan bijaksana dalam memperolehi aset pertahanan bergantung pada keperluan dan kemampuan.        

Tuesday, 27 January 2015

PEMEROLEHAN PESAWAT BEROTOR MALAYSIA


Beberapa minggu lalu, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri telah mengumumkan akan perancangan pemerolehan enam pesawat helikopter tempur yang akan dimasukkan ke dalam rancangan Malaysia ke 11. Selain itu Malaysia juga merancang untuk membeli sepuluh laras mesingan Gatling Gun M134D Hybrid untuk dipasang pada pesawat helikopter AW 109 bagi memenuhi keperluan ESSCOM. Berita pembelian enam pesawat helikopter tempur ini menjadi heboh di kalangan mereka yang mengikuti rapat perkembangan pemerolehan aset pertahanan negara. Apatah lagi jenis pesawat yang akan dibeli tidak dinyatakan. Maka ramailah yang mengutarakan (tak kurang juga yang meramalkan) jenis helikopter yang bakal menjadi pilihan ATM. Pelbagai jenis helikopter yang popular (Apache, Viper, Rooivalk) sehinggalah yang mustahil (Kamov KA-52, Mil MI-28) diutarakan oleh mereka yang mengikuti isu ini dengan dekat. Namun dua jenis pesawat yang begitu menonjol adalah EC 665 Tiger dan AH-1Z Viper. Apatah lagi firma aviasi Bell begitu giat melobi dua buah pesawat keluaran mereka iaitu Viper dan pesawat utiliti yang dilengkapi persenjataan iaitu UH-1Y Venom. Ini terserlah dengan usaha mereka mengadakan kerjasama dengan firma tempatan iaitu Deftech dalam usaha untuk mendapatkan kontrak membekalkan pesawat berotor untuk kegunaan ATM.
 
AH-1Z Viper

Namun pada pemerhatian aku, pilihan sebenarnya sudah dibuat oleh ATM dan dipersetujui oleh kerajaan akan pesawat yang menjadi pilihan. Cuma memang sikap kerajaan untuk tidak mewar-warkannya sehingga perjanjian rasmi ditandatangani. Pesawat yang dimaksudkan ialah pesawat EC 665 Tiger. Fakta yang menyokong pendapat ini adalah bersandarkan kepada tawaran yang pernah dibuat oleh kerajaan Perancis pada 2013 pada Malaysia di mana enam buah pesawat helikopter tempur yang berada di dalam simpanan mereka iaitu EC 665 Tiger. Sepatutnya Malaysia menandatangani perjanjian pembelian pada 2014 dan akan diterima pada 2015. Namun entah kenapa ia tidak menjadi kenyataan. Seperti yang pernah aku nyatakan dalam artikel yang lalu. Kerajaan Malaysia bagai tidak mengambil iktibar akan apa yang berlaku di Lahad Datu. Sehinggalah insiden penculikan meningkat di Sabah yang bukan sahaja melibatkan orang tempatan tetapi juga pelancong asing dan juga anggota keselamatan. Insiden-insiden ini seolah-olah menunjukkan pihak militan yang sering menceroboh perairan Sabah bagai tidak takut atau setidak-tidaknya memandang sepi akan usaha kerajaan mewujudkan wilayah ESSCOM. Mungkin juga kerana itu, kelengkapan dan keperluan untuk ESSCOM dipertingkatkan. Pendapat ini juga disokong dengan penghantaran pegawai-pegawai tentera bagi menjalani latihan berkaitan pesawat tempur Tiger di Perancis pada tahun 2014. Selain dari itu Malaysia punya hubungan baik dengan Eurocopter dengan pembelian 12 buah pesawat EC725 Super Cougar di mana sehingga kini prestasinya dianggap amat memuaskan.

Aku pernah menyatakan dalam artikel yang lalu akan keperluan yang memuncak bagi anggota keselamatan memiliki pesawat tempur bagi menambah lagi efektifnya usaha pihak keselamatan dalam memantau dan menghalang pencerobohan pihak militan ke perairan Sabah. Namun sayang sekali Malaysia tidak pernah memiliki helikopter dengan kemampuan untuk melancarkan serangan. Sesuatu yang ironic memandangkan Malaysia pernah mengalami era insurgensi komunis, sepatutnya kita memiliki pesawat seperti itu. Pesawat Fennec dan Super Lynx walaupun dilengkapi senjata namun ia dioperasikan oleh TLDM dan distesenkan di atas kapal. Tugasannya juga khusus untuk maritim dan tidak membolehkannya memberi bantuan sokongan pada pasukan infantri. Malaysia tidak seperti negara-negara jiran yang sudah memiliki aset pesawat tempur atau helikopter yang dilengkapi persenjataan khusus untuk tugasan CAS. Pengesahan ini adalah amat melegakan kerana pemilikan pesawat helikopter tempur bukan lagi satu pemerolehan untuk menyaingi kekuatan negara jiran sebaliknya sudah menjadi satu keperluan yang nyata. Biar pun netizen Indonesia berdegar-degar menyatakan pesawat Tiger tidaklah sehebat Apache (dan sudah tentu isu kuantiti juga akan dibangkitkan kerana Malaysia akan hanya memiliki enam pesawat Tiger berbanding Indonesia lapan buah Apache dan berkira-kira untuk menambah jumlah itu) namun pesawat ini adalah bagi memenuhi keperluan dalam menangani permasalahan pencerobohan di Sabah. Bukan sekadar mengisi logistik pertahanan negara. 
Pesawat Fennec yang dilengkapi mesingan GPMG
Pesawat Super Lynx yang dipasang mesingan M3P 12.7mm

 
EC655 Tiger
Pesawat Tiger yang ditawarkan Perancis adalah dari variasi HAP (Hélicoptère d'Appui Protection, Support and Escort Helicopter) yang akan dinaiktaraf ke Standart 1. Bagaimanapun persenjataannya akan mengikut varian HAD yang kemungkinan akan dilengkapi dengan persenjataan meriam 20mm, pelancar roket dan pelancar peluru berpandu udara ke udara Mistral. Isu pembelian ‘barang terpakai’ sudah pasti akan ditimbulkan kerana selalunya Malaysia akan hanya membeli aset-aset yang baru. Namun situasi terkini di Sabah memerlukan pesawat diperolehi dengan kadar segera. Jika Malaysia membeli pesawat yang baru dikeluarkan dari kilang bermakna ia akan memakan masa 4 ke 5 tahun untuk diterima. Selain dari itu faktor kos turut memainkan peranan. Di kala Malaysia mengalami sedikit gelinciran ekonomi dan dalam masa yang sama lebih banyak aset pertahanan berkeutamaan diperlukan, pembelian enam pesawat sedia ada boleh dianggap sebagai tindakan ekonomikal kerana ia mampu menjimatkan wang. Selain dari itu aku juga yakin enam buah pesawat ini akan menjadi kayu pengukur bagi menentukan samada jumlah pesawat ini akan bertambah atau tidak pada masa hadapan kerana ramai pihak yang mempertikaikan kemampuan pesawat Tiger yang dikatakan kurang berkemampuan dan tidak memiliki track record di medan tempur dan sukar untuk dikendalikan berbanding pesawat dari US seperti Apache dan Viper. Pesawat Tiger ini akan dikawal selia oleh PUTD (Pasukan Udara Tentera Darat) dan bukan TUDM kerana sebelum ini ia menjadi persoalan siapa yang akan mengoperasikan pesawat ini kerana TUDM mengoperasikan pesawat EC725 Super Cougar sedangkan PUTD mengoperasikan AW 109LOH. Dan jika Tiger menjadi pesawat sokongan ESSCOM sudah pasti ia akan ditempatkan di pangkalan Labuan.

UH-1Y Venom
Ada pihak yang menyatakan adalah lebih baik memiliki pesawat utiliti yang dilengkapi persenjataan kerana peranannya yang lebih pelbagai berbanding pesawat helikopter tempur yang hanya terhad tugasannya di medan perang. Mungkin pendapat ini lahir dari situasi banjir yang berlaku sekarang ni namun secara peribadi aku tak punya pendapat dalam isu ini. Pada aku baik pesawat helikopter tempur mahu pun pesawat helikopter utiliti yang dilengkapi persenjataan, kedua-duanya adalah bagus. Asalkan ATM memiliki helikopter dengan kemampuan melancarkan serangan, itu sudah memadai. Kerana ini adalah kekurangan paling ketara ketika ini. Malah kalau ditakdirkan pembelian enam pesawat helikopter tempur dibatalkan, tidak menjadi kisah pada aku asalkan perancangan pemerolehan sepuluh laras Gatling Gun yang akan dipasang pada pesawat AW 109 diteruskan. Amat mengejutkan aku juga bila kerajaan mengumumkan akan melengkapkan AW 109 dengan Gatling Gun kerana AW 109 milik Malaysia sebenarnya dibina dengan konsep ‘Fitted for but not with’. Pernah dengar? Sudah tentu! Konsep yang sama pada kapal NGPV dimana ia boleh dipasang senjata tetapi tidak dipasang. Dalam kes AW 109, pesawat ini dilengkapi platform pod mesingan dan pelancar roket namun tidak dipasang. Dengan hanya membeli peralatan ini maka ia sudah sedia dipasang pada pesawat. Jadi kenapa ia tidak dilakukan? Mungkin faktor kos. Membeli sepuluh unit Gatling Gun mungkin lebih murah dari pod mesingan dan pelancar roket. Kini aku tertanya-tanya, bila ia dipasang nanti samada ia akan dioperasikan oleh krew, seperti mana ia dipasang pada pesawat huey atau pun pilot, seperti mana ia dipasang pada pesawat Little Bird. Tapi dari berita terkini menyatakan tidak semua Gatling Gun itu akan dipasang pada AW 109. Ia juga akan dipasang pada pesawat Nuri dan pesawat UH-60 Blackhawk yang bakal diterima Malaysia, ehsan dari Brunei. Ya, empat buah pesawat Blackhawk akan diserahkan Brunei kepada Malaysia sebaik mereka menerima 12 buah pesawat Blackhawk dengan teknologi terkini yang dibeli dari US. Ini tidaklah menghairankan kerana hubungan antara tentera Malaysia dengan tentera Brunei amat rapat sehinggakan sekiranya Brunei terlibat dalam sesuatu misi pengaman dibawah panji Bangsa-bangsa Bersatu, mereka akan meminta akan ditempatkan bersama tentera Malaysia. Dari pemerhatian aku adalah besar kemungkinan Gatling Gun ini akan dipasang di pintu. Namun pada aku, cukuplah kalau kita memiliki skuadron helikopter yang berkemampuan melancarkan serangan yang membolehkan mereka memberikan bantuan sokongan udara pada tentera di lapangan.
 
AW 109 LOH yang dilengkapi pelancar roket dan pod senjata.
Gatling Gun 134D

Gatling Gun yang dipasang dipintu dan dioperasikan oleh krew


SH-60 Seahawk pilihan TLDM bagi distesenkan di atas LCS SGPV

Selain dari dua pemerolehan berkaitan pesawat berotor ini, beberapa permohonan melibatkan pesawat helikopter turut di sertakan dalam Rancangan Malaysia ke-11. TLDM sebagai contohnya berharap permohonan akan pemerolehan enam pesawat ASW yang akan distesenkan di atas kapal SGPV akan mendapat kelulusan. TLDM sanggup untuk membatalkan rancangan untuk melengkapkan LCS SGPV dengan program UAV bagi membolehkan perancangan pemilikan enam pesawat helikopter ASW menjadi kenyataan. Seperti yang diketahui, calon pilihan TLDM adalah pesawat SH-60 Seahawk. Namun harganya bukanlah murah. Dan khabar angin menyatakan kerajaan cenderung untuk memilih pesawat yang ditawarkan Agusta Westland iaitu AW159 Wildcat dimana harganya yang lebih murah selain TLDM turut memiliki pesawat yang hampir sama iaitu Super Lynx. Jadi dari sudut pengalaman dan kemahiran pengendalian dan penyelenggaraan bukan tidak menimbulkan masalah buat TLDM sekiranya AW159 menjadi pilihan. Cuma dalam masa yang sama, pasukan tentera laut Filipina juga dikatakan akan memilih pesawat yang sama dengan peranan yang sama iaitu pesawat anti kapalselam. Namun hasrat untuk memiliki enam pesawat ASW ini masih samar kerana begitu banyak peruntukan untuk TLDM telah dan akan diluluskan. Bajet untuk enam buah LCS SGPV saja sudah menelan belanja 9 billion ringgit. Dan itu kalau tidak ada sebarang masalah. Kalau berlaku sebarang masalah selalunya bajet akan melebihi peruntukan. Selain dari itu firma dari Korea Selatan, Daewoo Shipbuilding & Marine Engineering Co Ltd (DSME) telah mengumumkan akan kejayaan mendapatkan kontrak membina enam buah korvet untuk TLDM. Biar pun berita itu disangkal TLDM namun apa yang sebenarnya berlaku ialah DSME telah menandatangani usahasama dengan sebuah firma tempatan iaitu NGV Marine Engineering & Logistic Sdn Bhd (NMEL - firma yang sama yang membina dua buah kapal latihan untuk TLDM, Gagah Samudera dan Teguh Samudera) untuk membina enam buah korvet untuk TLDM. Memang resminya ATM tidak akan mengumumkan sesuatu pemerolehan aset selagi mana tidak menandatangani perjanjian. Namun secara asasnya ia sudah menjadi kenyataan. Hanya menunggu masa yang sesuai untuk majlis pemeteraian persetujuan di antara kerajaan Malaysia dengan DSME/NMEL. Jadi pemerolehan enam buah korvet ini bakal jadi kenyataan. Namun ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana TLDM memang telah lama merancang mahu menggantikan kapal-kapal FAC-M (Fast Attack Corvette with Missile) yang telah usang. Malah rancangan asal TLDM dahulu adalah untuk mendapatkan kapal-kapal kelas Nakhoda Ragam yang ditolak oleh Tentera Laut Brunei namun entah mana silapnya, rancangan itu tidak diteruskan dan kini kapal-kapal itu dimiliki oleh Indonesia yang lebih pantas bertindak membeli kapal-kapal itu.
 
AW 159 Wildcat yang dikatakan alternatif kepada Seahawk yang agak tinggi kosnya

Model korvet yang ditawarkan DSME pada Malaysia
Kapal kelas Bung Tomo milik Indonesia yang dahulunya dikenali sebagai kelas Nakhoda Ragam oleh Brunei

Namun apa yang membimbangkan aku ialah bagaimana NMEL boleh mendapat kontrak ini kerana projek dua buah kapal latihan Gagah Samudera dan Teguh Samudera mengalami masalah kewangan sehingga kedua-dua kapal ini tersadai di limbungan. Hanya baru-baru ini projek itu dapat diteruskan. Itu pun setelah mendapat campurtangan dari pihak kerajaan. Aku amat bimbang luka lama berdarah kembali. Tragedi program NGPV berlaku lagi apabila projek itu tidak dapat diteruskan dan terpaksa diambil alih oleh Bousted Naval Shipyard dan akhirnya kapal Kelas Kedah itu hanya mendapat status kapal peronda kerana tidak dipasang sistem pelancar peluru berpandu akibat masalah kewangan. Ini benar-benar merungsingkan. Namun harapnya dengan kewujudan majlis pemantaun PAC akan dapat memantau rapat perkembangan program ini nanti dan dapat menghalang ia daripada menjadi projek yang gagal. Selain dari itu TLDM juga telah memohon agar kapal Kelas Kedah dinaiktaraf daripada kapal peronda kepada korvet dengan pemasangan sistem peluru berpandu. Dan dengarnya secara am pihak kerajaan bersetuju dengan permohonan itu. Jika ditakdirkan kesemua program ini berjalan lancar (Insha Allah) menjelang 2025 Malaysia akan memiliki 22 buah kapal tempur termasuk Kelas Lekiu dan Kasturi.

Teguh Samudera sewaktu pelancarannya
Kapal kelas Kedah yang akan dinaiktaraf dari kapal peronda kepada korvet sekiranya perancangan pemasangan peluru berpandu dilaksanakan

Tentera Darat turut tidak ketinggalan memasukkan permohonan mendapatkan pesawat helikopter utiliti. Ini kerana pesawat Nuri dan EC 725 Super Cougar adalah di bawah pengoperasian TUDM. Permohonan ini dapat difahami kerana pihak tentera darat paling banyak terlibat dalam misi-misi kemanusiaan dan sering memerlukan bantuan udara. Jika tentera darat memiliki skuadron helikopter utilitinya sendiri, maka Tentera Darat tidak perlu terlalu bergantung pada TUDM dalam melaksanakan tugas-tugas mereka. Namun ia kelihatan agak samar kerana kerajaan baru saja meluluskan pemerolehan enam pesawat helikopter tempur serta persenjataan untuk helikopter AW 109 untuk unit PUTD, selain program AV8-Gempita, rasanya hasrat untuk memiliki skuadron helikopter utiliti sendiri untuk tentera darat mungkin tidak akan tercapai dalam masa terdekat ini.
EC725 Super cougar

TUDM juga turut memasukkan permohonan untuk meneruskan kesinambungan pemerolehan pesawat EC 725 Super Cougar sebanyak 12 buah lagi bagi merealisasikan program penggantian pesawat Nuri yang sudah usang. Namun seperti juga hasrat Tentera Darat, permohonan ini juga tampak agak samar untuk mendapat kelulusan. Apatah lagi beberapa buah pesawat Nuri telah pun mengalami program pemulihan bagi membolehkan jangkahayat pengoperasiannya dipanjangkan. Dan sudah tentu isu yang paling polular berkaitan TUDM adalah program penggantian pesawat MiG-29 yang sehingga kini masih lagi dalam teka-teki. Apatah lagi TUDM bakal menerima aset yang dinantikan iaitu empat buah pesawat Airbus A400 yang bakal membentuk skuadron baru TUDM iaitu skuadron ke-22. Jadi boleh dikatakan hasrat penambahan pesawat EC 725 Super Cougar ini akan menerima nasib yang sama seperti hasrat untuk mendapatkan pesawat AEWC yang sekian lama senyap tanpa berita.

Apa pun aku dapat melihat patern pemerolehan aset pertahanan di mana ia mesti sejajar dengan kepentingan keperluan ESSCOM. Penubuhan pasukan marin, pesawat helikopter tempur, penambahan kapal korvet, semuanya menunjukkan ia ada kaitan dengan operasi dan tugas-tugas berkaitan ESSCOM. Jadi kemungkinan mana-mana permohonan yang tidak selari dengan operasi ESSCOM kemungkinan akan dibekukan. Dan Nampak gaya begitu jugalah dengan program pemerolehan MRCA. Apa pun belum lagi sahih samada EC 665 Tiger menjadi pilihan. Namun pengumuman Najib yang akan menyusun semula bajet 2015 disebabkan beberapa situasi yang sedang dihadapi negara seperti musibah banjir, penurunan mata wang ringgit dan kejatuhan harga minyak serta kelembapan ekonomi negara menimbulkan kebimbangan aku kerana selalunya antara sektor yang sering dikorbankan apabila negara mengalami masalah kewangan ialah pertahanan negara. Diharapkan pemerolehan enam pesawat ini tidak dibatalkan di saat-saat akhir mahu pun di tangguhkan kerana kehadirannya akan memberikan impak yang besar dalam operasi ESSCOM.            

Wednesday, 19 November 2014

SCORPION UNTUK MALAYSIA?




Scorpion adalah pesawat yang dihasilkan dengan kerjasama dua firma Textron Inc. dan Airland Enterprise. Idea terhasil daripada senario peperangan di Afghanistan dan Iraq di mana pesawat A-10 Thunderbolt II, F-16 Fighting Falcon dan F-15E Strike Eagle seringkali dikerah untuk tugasan rondaan dan bantuan sokongan darat Close Air Support – CAS). Namun pesawat-pesawat ini beroperasi di dalam keadaan ancaman rendah berbanding kemampuan setiap pesawat. Jadi ia beroperasi dengan kos yang tinggi untuk misi berancaman rendah. Textron Airland mendapat idea menghasilkan pesawat yang lebih murah bukan sahaja dari segi harga tapi juga kos dengan peranan yang spesifik dengan misi yang tidak melibatkan ancaman yang tinggi. Dalam tempoh hanya dua tahun setengah, prototaip pertama Scorpion berjaya dihasilkan dan mula dipertontonkan pada pihak awam. Apa yang menariknya projek ini tidak menerima dana kerajaan US sebaliknya dibiaya sendiri oleh Textron Airland. Textron Airland menganggap projek ini sebagai projek komersil dengan potensi ketenteraan. Textron yang diketahui memiliki dua buah syarikat aviasi iaitu Cessna yang menghasilkan pesawat jet korporat dan Bell yang menghasilkan helikopter telah mengguna pakai banyak teknologi dari pembuatan jet korporat Cessna dalam penghasilan Scorpion. Scorpion tidak dikategorikan sebagai pesawat penyerang ringan (Light Attack Aircraft) sebaliknya Textron Airland mengkategorikannya sebagai pesawat ISR/Strike (Intelligence, Surveillence and Reconnaissance) dengan kemampuan melancarkan serangan ke sasaran di darat. Menurut Textron Airland, peranan utama Scorpion ialah kawalan sempadan dari udara, pemantauan perairan maritim, bantuan kemanusiaan dan bantuan sokongan tentera di lapangan (CAS).


Scorpion merupakan pesawat enjin berkembar

Selain dari bahagian fuselage dan sayap yang direkabentuk khusus, bahagian lain diambil dari bahagian pesawat yang sedia ada yang dihasilkan oleh firma pengeluar seperti enjin, sistem hidrolik, gear pendaratan dan sistem aviasi selain aspek-aspek lain seperti kerusi ejeksi dan kokpit yang sudah sedia ada di pasaran. Scorpion memiliki sayap ekor berkembar, sayap kiri kanan yang lurus dan memiliki enjin berkembar jenis Honeywell TF731 Turbofans, enjin yang sama yang dipasang pada pesawat jet korporat komersil yang dihasilkan Cessna. Namun Textron Airland menyatakan enjin itu boleh ditukar kepada enjin lain bergantung pada permintaan pembeli. Sebahagian besar badan pesawat diperbuat daripada bahan komposit yang digunakan pada pesawat komersil. Memang agak membimbangkan kerana pesawat ini adalah untuk kegunaan ketenteraan dan biar serendah mana pun ancaman namun ia tetap membahayakan. Ancaman yang paling dibimbangi sudah tentu serangan peluru berpandu anti pesawat. Namun Textron Airland menyatakan yang Scorpion cukup lasak untuk menghadapi kerosakan yang minima.

Hawk 108MK milik TUDM

Ruang beban (payload) di bahagian tengah Scorpion yang mampu membawa bebanan persenjataan seberat 1400kg

Saiz Scorpion juga tidak sekecil pesawat tempur ringan seperti pesawat Hawk 108 milik TUDM atau T-50 Golden Eagle buatan Korea Selatan, sebaliknya sama besar dengan pesawat Sukhoi-30. Saiznya yang besar ini disebabkan oleh ruang beban (payload) di bahagian tengahnya yang bersaiz 82 kaki persegi. Ia boleh memuatkan payload 1400kg persenjataan, atau membawa bekalan minyak untuk perjalanan jauh atau dipasang alat sensor bagi misi reconnaissance. Scorpion memiliki 6 hardpoint (point persenjataan), tiga si setiap sayap kiri dan kanan dengan berat payload 2800kg, yang mampu membawa gun pod, peluru berpandu, roket, bom atau tangki minyak simpanan atau pun alatan sensor. Sayapnya yang tegak dan dipasang tergantung pada fuselage adalah untuk menstabilkan pesawat dikala terbang dengan kelajuan yang rendah. Di bahagian muncungnya dipasang elctro optical dan infra red sensor yang boleh di keluar masuk bagi mengurangkan pergeseran. Jika boleh aku katakan, Scorpion adalah gabungan pesawat A-10 dan pesawat dengan enjin turboprop seperti Super Tucano. A-10 Thunderbolt adalah pesawat dua enjin dengan peranan CAS dan serangan sasaran di darat termasuk kereta kebal dan kereta perisai. Super Tucano pula adalah pesawat tempur ringan yang menggunakan enjin turboprop (pesawat yang berkipas). Indonesia telah membeli 14 buah pesawat Super Tucano bagi tujuan tinjauan dan serangan ringan ke sasaran darat selain tugasan COIN (Counter Insurgency). A-10 mempunyai kuasa pemusnah yang tinggi namun peranannya terhad serta kosnya yang tinggi. Super Tucano biar pun murah namun kemampuannya amat terhad dan menjadi sasaran mudah ancaman udara dan juga darat. Jadi Scorpion persilangan antara kedua-dua buah pesawat ini. Antara Scorpion dan A-10, kelebihan A-10 ialah daya ketahanannya selain kemampuannya membawa beban persenjataan yang lebih banyak. Namun A-10 tidak memiliki kemampuan ISR yang maksima seperti Scorpion selain kosnya yang amat mahal. Sementara Super Tucano pula kelebihannya sudah tentu pada harga dan kos operasi serta penyelenggaraannnya namun seperti juga A-10, ia tidak memiliki kemampuan ISR seperti Scorpion selain kemampuan Scorpion dari segi sensor, jarak penerbangan dan ketahanan yang melampaui kemampuan Super Tucano.

A-10 Thunderbolt II

Super Tucano milik TNI-AU

Namun apa yang paling menarik tentang Scorpion ialah dakwaan Textro Airland bahawa pesawat ini adalah pesawat moden paling murah di dunia. Bukan saja dari segi harga malah juga dari sudut kos pengoperasian. Dengan tanda harga lebih kurang 20 juta dollar, ia dianggap sangat murah jika dibandingkan dengan jet pejuang seperti F-18 Super Hornet yang bernilai 55 juta dollar. Apatah lagi pesawat generasi 4.5 seperti Eurofighter Typhoon atau pun Dassault Rafale. Malah Scorpion adalah lebih murah daripada kos menaiktaraf pesawat A-10 Thunderbolt atau F-16 Fighting Falcon. Kos pengoperasian Scorpion pula adalah lebih kurang 3000 dollar sejam jika hendak dibandingkan dengan pesawat F-16 iaitu 18,000 dollar sejam (tugas rondaan) dan 25,000 dollar sejam (melaksanakan misi) dan F-16 adalah pesawat yang paling rendah kos pengoperasian berbanding pesawat-pesawat tempur yang lain. Bererti kos pengoperasian Scorpion hanya satu perempat dari kos pesawat yang paling rendah kos pengoperasiannya. Penggunaan komponen dan teknologi pembuatan dari jet komersil Cessna serta tidak menggunakan teknologi penerbangan ‘Fly by wire’ telah mengurangkan kos pembuatannya. Kenapa aku menulis artikel berkaitan pesawat ini? Kerana menurut jurucakap Textron Airland, pesawat ini masih mencari pelanggan pertamanya. Textron dan UAE telah mengadakan perbincangan serius untuk membeli pesawat ini bagi kegunaan skuadron aerobatik UAE, Al Fursan. Namun UAE keberatan menjadi pelanggan pertamanya dan meminta Textron Airland mencari pembeli yang lain dahulu. Textron Airland telah menawarkan pesawat ini pada beberapa buah negara seperti Bahrain, Qatar, Filipina, Indonesia dan Arab Saudi. Namun dua buah Negara yang menunjukkan minat dan dikatakan berpotensi menjadi pelanggan ialah Malaysia dan Brunei.

Ini tidaklah mengejutkan kerana Brunei dan Malaysia sedang menghadapi isu yang sama iaitu isu Laut China Selatan selain Malaysia turut menghadapi konflik pencerobohan di Sabah yang membawa kepada penubuhan ESSCOM. Seperti yang dinyatakan di atas, Scorpion adalah pesawat ISR/Strike dan bukannya pesawat tempur jadi tugasan utamanya adalah pemantauan, intipan serta tinjauan selain memberikan bantuan udara (CAS) pada tentera darat. Di kala ini pesawat yang menggalas tugas tersebut di dalam TUDM ialah pesawat F-5E (ya, pesawat yang kena kebas organ dalamannya tu). Namun pesawat F-5E sudah uzur dan kos penyelenggaraan dan operasinya mahal jika hendak dibandingkan dengan Scorpion selain kemampuannya yang terhad. Sebelum engkau orang berfikir pembelian Scorpion adalah tidak sesuai kerana ia tidak sehebat Typhoon, Rafale, Superhornet, Gripfen atau Sukhoi-30, perlu aku ingatkan, kalau Malaysia membeli Scorpion, ia tidak ada kena-mengena dengan program penggantian MiG-29 Fulcrum. Kerana sekali lagi aku tegaskan, peranan Scorpion adalah ISR/Strike. Bukan untuk mengawal ruang udara negara dari pencerobohan pesawat asing. Namun ia mungkin melibatkan hasrat pembelian pesawat helikopter tempur yang diwar-warkan ATM.

Pesawat F-5E milik TUDM

Sebab utama kenapa ATM memerlukan pesawat helikopter tempur adalah untuk menyokong operasi ESSCOM dalam tugasan ISR dan juga CAS. Malah ia juga dapat membantu memintas bot-bot atau kapal-kapal yang cuba menceroboh perairan Malaysia di ESSZone. Namun kos program pembelian pesawat tempur helikopter amatlah mahal. Dengan program penggantian MiG-29 masih tidak menentu, adalah sukar untuk memenuhi tuntutan pembelian pesawat helikopter tempur. Namun peranannya amat penting dalam memastikan operasi ESSCOM berjaya kerana ATM tidak boleh berharap pada kemampuan flotilla semata-mata. Jadi disinilah kehadiran Scorpion tampak strategik dan sesuai dengan masa dan keperluan ATM bagi melengkapkan keperluan ESSCOM. Bukan saja harganya, kos pengoperasian dan penyelengaraannya murah, malah kemampuannya juga boleh dikatakan melebihi kemampuan sebuah helikopter tempur. Scorpion mampu terbang sejauh 4445km dengan kelengkapan persenjataan dan terbang selama lima jam sebelum kembali ke pangkalan. Sesuatu yang tidak mampu dilakukan oleh sebuah helikopter tempur yang terhad jarak serta tempoh masa penerbangannya. Jika pesawat helikopter digunakan di ESSZone, ia memerlukan pangkalan FARP (Forward Arming and Refuelling Point) bagi kegunaan helicopter kerana tidak efisien sebuah helikopter mahu berulang-alik dari kawasan rondaan ke pangkalan udara kerana jaraknya yang jauh. Dan ia adalah kos tambahan yang besar sedangkan Scorpion boleh ditempatkan di pangkalan tentera udara di Labuan. Mungkin ada yang tidak bersetuju kerana pesawat ini adalah buatan firma Amerika Syarikat dan pengalaman pembelian pesawat F-18 Hornet benar-benar menyakitkan hati kita apabila US secara terbuka mengutamakan keselamatan Singapura dalam memberikan kebenaran penjualan persenjataan pada Malaysia. Namun perlu diingat, program Scorpion dibiaya sendiri oleh Textron Airland tanpa mendapat dana dari kerajaan US bererti pihak senat tidak ada hak untuk menetapkan kawalan ke atas jual beli pesawat ini atau pun alat gantinya. Berkenaan persenjataan, Textron Airland telah menyatakan yang pesawat ini dibina dengan sistem yang modular bererti ia boleh dipasang dengan sistem perisian persenjataan dan sensor mengikut kehendak sipembeli. Perkara yang sama dilakukan TUDM pada pesawat Sukhoi-30MKM yang menggunakan sistem navigasi Thales dari Perancis dan bukan sistem buatan firma Russian. Malah Malaysia mungkin boleh melengkapkan Scorpion dengan persenjataan buatan negara lain tanpa perlu bergantung pada persenjataan buatan US.

AH-1Z Viper bersama UH-1Y Venom

Aku tidak tahu betapa cerahnya harapan untuk memiliki pesawat ini memandangkan ATM memerlukan begitu banyak aset dalam situasi kritikal. Namun keutamaan pada ketika ini adalah kepada keperluan ESSCOM. Pada DSA 2014 yang lalu, syarikat tempatan, Deftech telah menadatangani memorandum persefahaman dengan Textron namun bukan berkaitan pesawat Scorpion sebaliknya untuk melobi Malaysia membeli pesawat helikopter UH-1Y Venom dan AH-1Z Viper. Biar pun di atas kertas kelihatan Scorpion memenuhi keperluan ESSCOM namun ATM dikatakan memerlukan helikopter yang mampu mempertahankan diri atau memberikan perlindungan pada pada pesawat lain yang membawa anggota masuk ke dalam kawasan pertempuran melalui udara. Jelas peranan ini amat sesuai digalas Venom dan Viper kerana dikala ini pesawat seperti AW109 milik ATM tidak mampu menggalaskan tugas tersebut sementara pesawat Super Puma tidak dipasang persenjataan. Anggota yang dikerah ke medan perang melalui udara berhadapan risiko serangan dari pihak musuh. Namun Malaysia masih belum membuat sebarang keputusan apatah lagi memilih pesawat yang dimahukan. Namun aku merasakan ATM lebih berat untuk mendapat pesawat berotor daripada pesawat bersayap. Kemungkinan besar helikopter menjadi pilihan ATM. Namun begitu harus diingat, faktor kewangan selain kemampuan yang lebih baik berbanding helikopter memberikan kelebihan pada Scorpion. Aku berpendapat, jika pun Malaysia memilih untuk membeli helikopter, ada kemungkinan pesawat Scorpion akan turut dibeli. Cuma faktor masa yang akan menentukan bila ia akan dibeli. Kalau berdasarkan tugasan ISR, Malaysia tidak memerlukan begitu banyak unit. Cukup sekadar empat buah pesawat Scorpion sudah cukup untuk mengawal ESSZone. Pada DSA 2014 yang lalu, Textron telah menawarkan pesawat ini pada Malaysia. Walaupun tidak menyatakan sebarang persetujuan namun Malaysia dilihat amat berminat dengan pesawat ini. Dan Deftech pasti akan turut melobi usaha ini kerana Deftech diketahui ingin meluaskan saiz industri mereka dengan melibatkan diri dengan industri aviasi. Deftech telah membeli kepentingan dalam syarikat Composites Technology Research Malaysia (TCRM) yang menghasilkan alat ganti untuk pesawat Airbus 350, 380 dan A400 selain Boeing 737, 747 dan 787. Kalau sekiranya Malaysia membeli Scorpion, ia akan memberikan Deftech akses kepada teknologi pesawat tempur yang mampu membuka jalan akan penghasilan pesawat tempur buatan Malaysia.

Scorpion bukan pengganti kepada MiG-29

Aku amat bersetuju dengan pembelian pesawat ini dan sekali lagi aku tekankan, pembelian Scorpion tidak akan menjejaskan program penggantian pesawat MiG-29 Fulcrum kerana Scorpion bukannya pesawat MRCA. Scorpion tidak mampu menyaingi pesawat-pesawat MRCA dalam pertempuran dogfight (pertempuran udara antara jet pejuang) kerana kemampuan manuevering yang terhad selain kelajuannya yang tidak mencecah 1 mach. Aku menyokong pembelian Scorpion kerana kemampuannya menggalas tugasan mengawal persempadanan Negara darat dan maritime selain mampu melancarkan serangan udara ke darat dengan efisien. Perlu diingat, negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Thailand memiliki kereta kebal dalam jumlah yang besar. Untuk bergantung pada anggota infantry dalam misi memusnahkan pasukan kereta kebal yang begitu banyak adalah tidak munasabah dan akan menyebabkan kehilangan nyawa di pihak Malaysia dalam jumlah yang tinggi. Pesawat Helikopter tempur seperti Apache, Viper dan Tiger serta pesawat A-10 memang memiliki kemampuan menggalas tugas khusus memusnahkan kereta kebal dan kereta perisai. Dan Scorpion juga memiliki kemampuan yang sama bererti ATM tidak hanya bergantung pada unit infantri anti kereta kebal dalam operasi memusnahkan kereta kebal musuh. Namun di akhirnya nanti hanya pak menteri yang akan menentukan samada kemungkinan Textron Airland Scorpion ini akan berada dalam inventori ATM memandangkan sehingga kini, program yang lebih mendesak pun masih berada dalam status yang samar. Semuanya gara-gara kekangan kewangan. Namun apa yang menghairankan aku, Indonesia yang menghadapi masalah ekonomi yang lebih teruk daripada kita sedang berusaha untuk mencapai status kuasa tentera terkuat di Asia Tenggara. Bimbang nanti kalau kita diperbudak-budakkan pula oleh Indonesia setelah kita diperlekeh oleh Singapura. Harapnya tidak.